Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #654 : HUKUM DARAH PADA DAGING, URAT DAN TULANG HAIWAN SEMBELIHAN

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Apakah hukum makan daging ayam yang sudah dimasak tapi masih ada kesan darah pada urat, daging dan tulangnya? 

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ ۚ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-An’am: 145)

Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam Tafsirnya menyebut bahawa “Allah yang Maha Terpuji memberitahu syarat darah yang diharamkan itu adalah darah yang mengalir dan bukan darah yang lain daripada itu. Ini adalah dalil yang jelas bahawa darah yang tidak mengalir adalah halal dan bukan najis.

Manakala Imam al-Baghawi pula berkata dalam Tafsirnya Ma’alim al-Tanzil :

Daman masfuhan bermaksud darah yang mengalir dan mencurah. Berkata Ibn Abbas, “Allah maksudkan ialah darah yang keluar daripada haiwan, yakni haiwan yang hidup, memiliki ruh dan keluar daripada urat ketika penyembelihan, tidak termasuk hati dan limpa, kerana keduanya darah beku (tidak mengalir), dan telah datang dalam Syara’ akan halalnya kedua organ itu. Tidak haram juga daging yang bercampur dengan darah kerana ia tidak mengalir. Berkata Imran bin Hudair, “Aku bertanya Abu Mijlaz tentang daging yang bercampur dengan darah, atau dalam periuk yang terdapat dalamnya merah-merah darah?” Maka dia jawab, “Tidak mengapa, darah yang diharamkan hanyalah darah yang mengalir.” Berkata Ibrahim, “Tiada mengapa darah yang berada pada urat dan otak, melainkan darah yang mengalir yang disengajakan.” Berkata Ikrimah, “Jikalau tidak kerana adanya ayat ini, nescaya orang Islam akan mencari-cari darah pada urat (bersusah-susah untuk buang) kerana mengikut amalan Yahudi.”

Di sisi ulama mazhab al-Syafie, terdapat dua pendapat:

  • Suci. Ini adalah pendapat Imam al-Nawawi seperti mana yang diputuskan daripada kalam beliau dalam al-Majmu’. Ini juga sejalan dengan pendapat Imam al-Subki.
  • Najis tetapi dimaafkan. Yakni, dimaafkan jika dimakan maka hukumnya adalah halal. Tetapi jika bercampur dengan suatu yang asing seperti dijirus air, maka darah yang terdapat pada daging itu tidak lagi murni maka hukumnya najis yang tidak dimaafkan. Inilah yang muktamad dalam mazhab. Adapun, jika dihidangkan lauk daging yang tidak dipastikan bercampur darah atau tidak kerana tidak nampak dan sebagainya, maka kekal hukum suci.

Rujuk I`anah al-Thalibin (1/100)

Kami cenderung kepada pendapat bahawa ianya adalah suci mengikut pendapat Imam al-Nawawi dan Imam al-Subki. Ini kerana yang diharamkan berdasarkan mafhum nas adalah darah yang mengalir ketika hidup atau ketika sembelih. Maka adapun selepas mati, darah pada daging itu tidak mengalir seperti ketika hidup justeru hukumnya adalah halal. Begitu juga sukarnya untuk menjaga diri daripada darah yang terdapat pada daging dan tulang, sama ada dijirus air atau tidak, bagi orang yang memasak, pelapah dan penyembelih.

Justeru, darah pada daging, urat dan tulang ayam yang sudah dimasak adalah halal dan suci. Manakala daripada aspek kesihatan, jika doktor melarangnya kerana mudarat penyakit dan sebagainya, maka haram atau makruh memakannya mengikut kadar mudarat.

Wallahua’lam.