Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #627 : HUKUM MEMELIHARA LEMBU YANG TIDAK DIKETAHUI PEMILIKNYA

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, saya ada memelihara seekor lembu yang tidak diketahui pemiliknya. Apa yang patut saya lakukan ? Saya telah membela lembu tersebut selama setahun lebih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat dan seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berkenaan isu seumpama ini, tidak dinafikan yang ianya pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid R.A beliau menceritakan bahawa telah datang seorang lelaki yang bertanyakan kepada Rasulullah S.A.W berkenaan seorang yang terjumpa kambing yang hilang atau tersesat. Lalu baginda menjawab:

هِيَ لَكَ أَوْ لأَخِيكَ أَوْ لِلذِّئْبِ

Maksudnya: Ia (kambing itu) adalah milik kamu, atau milik saudara kamu, atau milik serigala.

Riwayat Al-Bukhari (2372)

Berdasarkan zahir ucapan Nabi S.A.W di atas, terdapat keizinan daripada Nabi S.A.W untuk seseorang yang menjumpai kambing yang tersesat untuk mengambil dan memilikinya. Ini kerana, di dalam ilmu tatabahasa arab, di antara makna huruf lam adalah menunjukkan kepada pemilikan.

Imam Al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Maknanya adalah keizinan untuk mengambilnya. Ini berbeza halnya dengan unta, dan Nabi S.A.W membezakan di antara keduanya. Baginda menjelaskan perbezaan kerana unta itu tidak memerlukan kepada sesiapa untuk menjaganya kerana ia sendiri mempunyai kebebasan untuk makan dan minum serta mencari air dan pokok-pokok. Ia juga terhalang daripada serigala-serigala dan selainnya daripada haiwan yang bertaring. Ini berbeza keadaannya dengan kambing. Maka boleh untuk kamu mengambilnya, atau pemiliknya, atau saudara muslim kamu mengambilnya, ataupun serigala memakannya. Oleh yang demikian dibolehkan untuk kamu mengambilnya berbeza dengan unta.

Berkenaan dengan unta yang hilang pula, Nabi S.A.W bersabda di dalam hadis yang sama:

مَالَكَ وَلَهَا مَعَهَا سِقَاؤُهَا وَحِذَاؤُهَا، تَرِدُ الْمَاءَ وَتَأْكُلُ الشَّجَرَ، حَتَّى يَلْقَاهَا رَبُّهَا

Maksudnya: Mengapa pula kamu hendak mengambilnya ? Sedangkan ia mempunyai tangki simpanan air di badannya, serta tapak kaki, dan ia juga boleh mendapatkan air dengan sendiri serta boleh memakan daun di pokok sehingga pemiliknya menjumpainya.

Riwayat Al-Bukhari (2372)

Berdasarkan dua kenyataan Nabi S.A.W di atas, terdapat perbezaan yang jelas di antara kambing dan juga unta yang tersesat. Maka secara asasnya, lembu lebih hampir untuk disamakan dengan unta dalam isu ini berbanding kambing. Kata Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah: Dan lembu adalah sama seperti unta sebagaimana yang telah dinaskan oleh Imam Ahmad dan ia merupakan pendapat Imam Al-Syafi’e dan juga Abu Ubaid. Diceritakan dari Imam Malik bahawa lembu sama seperti kambing. Dan kita (golongan hanabilah) mempunyai riwayat daripada Jarir bahawa beliau menolak lembu tersebut iaitu tidak mengambilnya. Ini kerana, lembu tersebut dapat menghalang haiwan-haiwan kecil yang bertaring, demikian ia juga boleh untuk dijadikan haiwan korban, maka ia menyerupai unta. Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah Al-Maqdisi (6/32).

Sekiranya lembu yang dijumpai tersebut tidak mempunyai pemilik, ataupun pemiliknya membuang lembu tersebut kerana tidak mampu menguruskannya dalam erti kata menyediakan makanan dan minuman untuknya, maka boleh bagi seseorang yang menjumpai lembu tersebut untuk mengambilnya, memilikinya, serta mengambil manfaat daripadanya. Ini berdasarkan sebuah hadis marfu’ yang diriwayatkan oleh Al-Sya’bi beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ وَجَدَ دَابَّةً قَدْ عَجَزَ عَنْهَا أَهْلُهَا أَنْ يَعْلِفُوهَا فَسَيَّبُوهَا فَأَخَذَهَا فَأَحْيَاهَا فَهِيَ لَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang menjumpai seekor haiwan yang mana pemiliknya tidak mampu menjaganya dan membiarkan ia maka boleh untuk dia mengambilnya dan menjaganya maka haiwan tersebut akan menjadi miliknya.

Riwayat Abu Dawud (3524)

Jika lembu itu mempunyai pemiliknya, maka tidak boleh untuk kita mengambilnya. Sebaliknya kita menyerahkannya kembali kepada pemiliknya. Namun jika lembu tersebut mempunyai pemilik, akan tetapi ia hilang dari tuannya maka para fuqaha terbahagi kepada dua pendapat di dalam isu ini seperti berikut:

Pertama: Mazhab Al-Syafi’e dan Hanbali berpendapat bahawa tidak boleh untuk mengambilnya kerana ia sama seperti unta pada keadaannya yang menghalang binatang bertaring yang kecil dari menyerangnya. Pendapat ini adalah lebih ahwath (selamat dan berhati-hati).

Kedua: Boleh mengambilnya dengan menggunakan qiyas kepada kambing. Akan tetapi hendaklah ia diumumkan kepada khalayak ramai bahawa orang tersebut menjumpai seekor lembu yang hilang.

Kesimpulan

Setelah kami meneliti dan menekuni isu ini, kami menyatakan sebagai menjawab kepada soalan yang ditanyakan seperti berikut: Sekiranya lembu yang dijumpai tersebut berada di kawasan yang memang tidak terdapat penjaga lembu, atau kendang lembu, dan diyakini yang ia memang tidak bertuan, maka boleh untuk lembu tersebut diambil. Namun sekiranya ia adalah lembu yang hilang dari penjagaan tuannya, maka tidak boleh untuk mengambilnya sebagaimana pendapat ulama Syafi’eyyah. Sebaliknya, jika lembu yang dijumpai itu masih kecil, dan kita takutkan ia akan diganggu haiwan buas, mati kelaparan, dan seumpamanya, maka boleh untuk kita membelanya dan kita membuat hebahan kepada orang ramai untuk mencari pemiliknya dalam tempoh setahun. Akan tetapi sekiranya ditemukan pemiliknya maka kita serahkan kembali kepadanya. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.