Soalan:
Assalamualaikum wbt,
Salam ustaz. Saya nak tanya kalau setiap kali bergaduh suami lafaz cerai apa hukumnya? Adakah tidak boleh lebih dari 3 kali? Tolong bagi pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Talak akan jatuh jika dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih (jelas), sekalipun tanpa niat, dan secara kinayah (kiasan) jika disertakan dengan niat. Tiada pengecualian di dalam Syarak jika talak berkenaan disebut ketika waktu normal, bergaduh mahupun bergurau.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk.”
Riwayat Abu Daud (2194), al-Tirmidzi (1184) dan Ibnu Majah (2039)
Maka, berkenaan situasi di atas, setiap kali lafaz cerai disebut oleh suami ketika bergaduh, talak berkemungkinan besar jatuh, dan hendaklah segera rujuk kepada Mahkamah Rendah Syariah berdekatan untuk pengesahan lafaz talak. Ini penting sebagai rekod yang menjaga kebajikan pihak yang berkaitan khususnya isteri. Penyataan ‘tidak boleh lebih dari kali’ itu mungkin merujuk kepada talak bain kubra yakni wanita itu sudah ditalaktiga sehingga dia tertegah untuk berkahwin dengan lelaki terbabit selamanya sehingglaha dia berkahwin dan bersetubuh dengan lelaki lain kemudian bercerai.
Namun begitu, terdapat kemungkinan kecil bahawa si suami melafazkan talak dalam keadaan marah yang melampau sehingga menghilangkan akal beliau. Dalam kes seperti ini, boleh rujuk keterangan kami dalam Al-Kafi #597: Lafaz Talak Ketika Marah, Tidak Jatuh? bahawa dengan sokongan doktor perubatan, talak boleh jadi tidak jatuh.
Wallahua’lam.