Soalan:
Assalamualaikum wbt,
Saya mengalami nifas selepas melahirkan anak selama 20 hari. Kemudian darah tersebut menjadi keruh dan berhenti sepenuhnya pada hari yang ke-23. Kemudian, pada hari ke 40 selepas kelahiran, darah tersebut datang kembali selama 17 hari. Bolehkah saya anggap keseluruhan darah tersebut sebagai darah nifas kerana masih keluar dalam tempoh 60 hari?
Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda SAW, para sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Di dalam mazhab al-Syafie, hak maksimum bagi darah nifas adalah 60 hari. Ini berdasarkan istiqra (penyelidikan) Imam al-Syafie sendiri. Adapun dalam mazhab lain, contohnya mazhab Hanbali, kadar maksimum adalah 40 hari.
Pun begitu, berlaku suatu keadaan apabila darah nifas berhenti dan naqa’ (bersih tanpa darah) selama 15, kemudian datang kembali tetapi tempohnya masih tidak melebihi 60 hari. Darah kedua tersebut tidak boleh dikira darah nifas sebaliknya adalah darah haid kerana terdapat selang selama 15 hari suci. Begitu juga apabila darah yang kedua itu melebihi 15 hari tetapi masih belum memelepasi kadar maksimum haid iaitu 60 hari, maka ia dikira sebagai darah istihadah. Rujuk al-Iqna` oleh Imam al-Khatib al-Syarbini (Hlm. 142).
Justeru, berkenaan dengan soalan di atas, darah yang datang pada hari ke 40 selepas kelahiran itu dikira sebagai darah haid dan bukan nifas, kerana terdapt sela waktu naqa' selama 15 hari. Tambahan lagi, darah yang keluar selepas 15 hari yakni pada hari ke 16 dan 17 itu dianggap sebagai darah istihadah.
Wallahua’lam.