Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #599 : KELIRU HAID DAN MENGANDUNG LUAR RAHIM

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Saya bermula haid 3 hari sebelum Ramadhan. Selepas 7 hari, haid saya berhenti, yakni pada 4 Ramadhan. Kemudian saya berpuasa selama empat hari. Setelah itu darah datang kembali tidak berhenti. Apabila sampai hari ke-15 saya keluar darah (dikira sejak 3 hari sebelum Ramadhan), saya anggap darah yang keluar itu adalah darah istihadhah dan saya terus menunaikan puasa dan solat. Pada 29hb Ramadhan, saya disahkan mengandung di luar rahim dan saya terus berpuasa. 30hb Ramadhan saya selesai dibedah dan petangnya saya berbuka puasa kerana darurat.

Soalan saya:

  1. Adakah saya perlu mengganti puasa 15 hari yang dikira darah haid berserta 1 hari yang berbuka puasa akibat pembedahan?
  2. Atau kena ganti semua hari semasa saya keluar darah? Bererti 26 hari setelah tolak 4 hari yang saya berpuasa pada awal Ramadhan?

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Waktu haid yang paling lama adalah 15 hari sahaja. Sekirangnya darah masih keluar selepas 15 hari maka ia dikira darah istihadah. Begitu juga jika darah haid keluar sehari semalam kemudian berhenti (waktu naqa’) kemudian keluar darah semula semasa dalam 15 hari pertama, waktu naqa’ berkenaan dikira waktu haid. Rujuk al-Muʿtamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/122). Begitu juga dalam mazhab al-Syafie, wanita yang mengandung boleh keluar haid, khilaf dengan mazhab Abu Hanifah.

Justeru, penanya perlu menggantikan puasa bagi 15 belas hari pertama bulan Ramadhan. Ini kerana 4 hari puasa yang dilaksanakan pada awal Ramadhan itu masih dalam waktu naqa’ haid, maka ia dikira pada waktu haid dan perlu diqadha’kan selepas Ramadhan. Penanya juga perlu mengganti puasa bagi hari ke-30 Ramadhan kerana berbuka puasa akibat keuzuran. Ini menjadikan keseluruhan puasa yang perlu diganti adalah 16 hari. Dalil hadis yang diguna pakai adalah hadis Aisyah R.Anha:

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: Perkara itu (yakni haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kita (kaum wanita). Maka kita diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardu yang ditinggalkan pada waktu haid).  

Riwayat Muslim (335)

Wallahua’lam.   Semoga Allah memberikan kita kekuatan dan kefahaman dalam menjalani Syariat-Nya secara sempurna.