Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #597: LAFAZ TALAK KETIKA MARAH, TIDAK JATUH?

Soalan:

Benarkah talak tidak jatuh jika disebutkan ketika marah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Di dalam mazhab al-Syafie, talak yang dilafazkan secara sarih (jelas, seperti cerai dan talak) dan ditujukan kepada isteri, oleh suami, adalah jatuh meskipun dilafazkan tanpa niat. Pengecualian diletakkan pada enam keadaan;

  1. Orang yang tidur
  2. Orang yang gila
  3. Orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap).
  4. Orang yang menyeru; yakni jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama “Taliq” yang bermaksud orang yang diceraikan.
  5. Penggunaan lafaz yang tidak difahami
  6. Dipaksa dan mabuk bukan kerana maksiat

Rujuk al-Muʿtamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (4/163-166)

Bagi  keadaan yang keenam, sandaran nabawiyyah yang digunakan adalah hadis Rasulullah SAW:

لَا طَلَاقَ وَلَا عَتَاقَ فِي إِغْلَاقٍ

Maksudnya: Tidak berlaku talak dan pembebasan hamba yang dilakukan dalam keadaan Ighlaq.

Riwayat Abu Daud (2193)

Berkata al-Syaukani dalam Nail al-Autar (6/279): “Maksud ‘fi ighlaq’... para ulama al-gharib (pakar dalam istilah-istilah yang sulit) menafsirkannya sebagai paksaan. Ini diriwayatkan daripada Ibn Qutaibah, al-Khattabi, Ibn Sayyid dan selain mereka. Dikatakan maksudnya ialah gila tetap al-Mutarrizi mengecualikannya. Dikatakan juga maksudnya adalah marah. Inilah yang terdapat dalam Sunan Abi Daud, satu riwayat daripada Ibn al-A`rabi dan tafsiran Imam Ahmad. Akan tetapi Ibn Sayyid mengkritik: “Kalau begitu tidak akan pernah berlaku talak kerana seseorang itu tidak mentalakkan melainkan dalam keadaan marah." Berkata Abu Ubaidah: Ighlaq itu penyempitan.”

Justeru dalam mazhab al-Syafie, talak yang dijatuhkan ketika marah adalah sah. Namun kami juga cenderung juga kepada pendapat jika marah itu sifatnya melampau sehingga hilang akal dan perasaan, seperti orang gila, maka tidak jatuh talak. Bagi kedua-dua keadaan, memandangkan lafaz itu disebut secara sarih, hendaklah isteri atau suami itu wajib segera merujuk kepada Mahkamah Rendah Syariah setempat bagi Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai kerana urusan talak ini adalah urusan yang serius berkait dengan tujuan Syariah iaitu penjagaan nasab, keluarga dan keturunan.  

Semoga Allah memelihara kita daripada bermudah-mudah dan bermain-main dalam isu talak.

Wallahua’lam.