Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #575 : PERLUKAH DIASINGKAN SAF MEREKA YANG SOLAT DUDUK?

SOALAN

Hukum menjadikan orang yang solat diatas kerusi satu saf dengan orang yang berdiri.

JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam masalah ini, kami berpendapat dibolehkan bagi mereka yang tidak mampu untuk solat secara berdiri (solat atas kerusi) berada di dalam satu saf bersama orang yang berdiri. Solat mereka itu sahih dan sempurna. Inilah yang zahir daripada dalil-dalil dan tidak ditemukan pertentangan bagi perkara itu. Bahkan tidak ada nas daripada al-Kitab atau Sunnah menunjukkan kepada haram atau makruh meletakkan saf mereka yang uzur untuk berdiri dalam solat secara berasingan. Begitu juga tiada dalil yang mewajibkan orang yang solat duduk hendaklah satu saf dengan orang yang uzur seperti mereka jua.

Adapun jika mereka itu berada pada saf yang pertama selepas daripada imam, maka lebih diutamakan orang yang baligh berbanding orang yang belum baligh sama ada mereka itu solat di atas kerusi ataupun berdiri. Ini kerana orang yang telah baligh lebih bermanfaat bagi imam dan makmum. Walau bagaimana pun, lebih afdal jika yang berada di belakang imam itu adalah mereka yang solat berdiri berbanding mereka yang solat di atas kerusi agar mereka mampu untuk menggantikan imam tersebut ketika darurat di atas sebab-sebab tertentu yang menyebabkan imam keluar dari solat.

Kami juga berpandangan kedudukan kaki belakang kerusi perlulah selari dengan tumit kaki orang yang solat secara berdiri agar dapat memastikan kelurusan saf tersebut dapat dijaga dengan sempurna. Selain itu, kami menyarankan kedudukan orang yang solat diatas kerusi ini diletakkan pada hujung saf.

Akhir sekali, semoga Allah mempermudahkan segala urusan seharian kita dalam memahami dan mempelajari ajaran agama Islam ini. Amin.