Soalan:
Benarkah Rasulullah S.A.W pernah melaksanakan solat sambil mendukung bayi ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, kaum kerabat, para sahabat baginda, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Menjawab persoalan ini, kami mukadimahkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Qatadah Al-Ansari R.anh beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُصَلِّي وَهْوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَلأَبِي الْعَاصِ بْنِ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِ شَمْسٍ، فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pernah menunaikan solat dalam keadaan baginda memikul/mendukung Umamah Binti Zainab Binti Rasulillah S.A.W, dan dia merupakan anak kepada Abu Al-‘Ash bin Rabi’ah bin ‘Abd Syams. Apabila baginda sujud, baginda meletakkannya. Dan apabila baginda berdiri, baginda mendukungnya.
Riwayat Al-Bukhari (516).
Begitu juga berdasarkan sebuah riwayat lain yang juga daripada Abu Qatadah R.anh beliau berkata:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ أَبِي الْعَاصِ عَلَى عَاتِقِهِ فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ سُجُودِهِ أَعَادَهَا
Maksudnya: Aku melihat Rasulullah S.A.W menjadi imam kepada orang ramai dalam keadaan beliau mendukung Umamah binti Abi Al ‘Ash di atas tengkuk baginda. Apabila baginda rukuk, baginda meletakkannya dan apabila baginda bangun baginda mengangkatnya semula.
Riwayat Al-Nasai (827)
Berdasarkan hadis di atas, kami melihat betapa tingginya sifat rahmat dan kasih sayang baginda S.A.W kepada cucu, kaum keluarga, serta anak-anak kecil. Ini yang dibawakan oleh Rasulullah dengan sifat baginda selaku rahmatan lil ‘alamin iaitu rahmat bagi sekalian alam.
Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau mengeluarkan beberapa pendapat. Kata beliau: Pada hadis ini terdapatnya dalil akan sahnya solat seseorang yang memikul anak Adam, atau haiwan yang suci seperti burung ataupun kambing dan selainnya. Selain itu, pakaian dan jasad anak-anak kecil adalah bersih sehinggalah dikenalpasti kenajisannya. Dan sesungguhnya perbuatan yang sedikit itu tidak membatalkan solat, serta perbuatan itu sekiranya dilakukan berkali-kali akan tetapi tidak secara berturutan, bahkan dilakukan secara berpisah (berasingan) tidak membatalkan solat. Dan pada hadis ini juga terdapat petunjuk akan sifat tawadhu’ bersama dengan kanak-kanak dan keseluruhan golongan yang lemah, menyayangi mereka serta saling berlemah lembut kepada mereka. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (5/198).
Menurut mazhab Imam Al-Syafie, hadis ini menjadi dalil bahawa dibolehkan untuk memikul kanak-kanak kecil baik lelaki atau perempuan, dan juga haiwan yang suci di dalam solat fardhu dan juga solat sunat. Ia boleh dilakukan oleh imam dan juga makmum, serta orang yang solat sendirian. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (5/198).
Manakala Imam Ibn Hajar Rahimahullah pula apabila mensyarahkan hadis ini berkata: Hadis ini menunjukkan akan keharusan membawa kanak-kanak masuk ke dalam masjid. Demikian juga harus menyentuh kanak-kanak kecil dan ia tidak memberi kesan kepada taharah (kesucian). Begitu juga sahnya solat bagi sesiapa yang memikul anak Adam, dan juga haiwan yang suci. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (1/703).
Kesimpulan
Berdasarkan hadis-hadis yang telah kami sebutkan, jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W memang pernah melakukan solat sambil memikul kanak-kanak. Walaupun begitu, hendaklah dipastikan kanak-kanak tersebut suci daripada najis serta kami cadangkan jika kanak-kanak tersebut akan menyukarkan seseorang itu untuk menunaikan solat apabila memikulnya, maka perlulah kanak-kanak itu diletakkan di bawah pemeliharaan individu yang berkelapangan untuk menjaganya pada ketika itu. Wallahu A’lam.