Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #565: HUKUM MENUNAIKAN NAFKAH BATIN

SOALAN

Assalamualaikum ustaz. Seorang suami yang warak solat berjamaah setiap waktu dan menunaikan solat malam selalu namun tidak memberi nafkah batin lebih dari empat bulan. Apakah hukumnya?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Secara umumnya, nafkah terbahagi kepada dua iaitu nafkah zahir dan nafkah batin. Nafkah zahir terdiri daripada keperluan asasi manusia seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Nafkah ini wajib dipenuhi oleh pihak suami mengikut kadar kemampuan suami tersebut berpandukan kepada syariat yang telah ditetapkan. Ini adalah berdasarkan dari  dalil dari al-Quran dalam surah al-Talak ayat 7:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ

 Maksudnya : Hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya

(Surah al-Talak ayat 7)

Manakala terdapat hadis Nabi SAW yang menyuruh kepada perkara tersebut berdasarkan hadis dari Mu’awiyah al Qusyairi RA telah bertanya kepada Nabi SAW :

يا رسولَ اللَّهِ ، ما حقُّ زَوجةِ أحدِنا علَيهِ ؟ ، قالَ : أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajiban suaminya?” Beliau menjawab,”Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”.

(Riwayat Abu Daud no 2142 dan Ibn Majah no 1850)

Kembali kepada persoalan diatas, nafkah batin merujuk kepada cara muamalah yang baik antara suami isteri dan begitu juga kebersamaan hubungan kelamin yang baik antara suami isteri tersebut. Suami wajib menunaikan nafkah batin terhadap isterinya selagi mampu. Ini berdasarkan kepada dalil dalam alQuran dalam Surah al-Baqarah ayat 187:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

 Maksudnya : Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.

( Surah alBaqarah ayat 187)

 

Dalam Kitab Tafsir Ibn Katsir,Ibn Abbas menyatakan  maksud  yang dikehendaki dari ayat di atas “mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka”. Manakala dalam tafsir at-Thabari mengatakan bahawa maksud ayat ini adalah berkumpulnya dua jasad menjadi satu “bersetubuh”. (3/490)

Hadis daripada Abdullah Ibn Masud RA dari Nabi SAW telah berkata:

 

‏ يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ ‏‏

Maksudnya : “Wahai pemuda-pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkeluarga hendaknya ia kahwin, karena ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa belum mampu hendaknya berpuasa, sebab ia dapat mengendalikanmu.”

(Riwayat al-Bukhari 5065)

Dalam kitab Ihkam Ahkam Syarah Umdah Ahkam  karangan Ibn Daqiq i’d menafsirkan perkataan ( الْبَاءَةَ) albaah itu membawa maksud nikah yang membawa maksud kemampuan untuk memberi mahar dan nafakah.

(rujuk Kitab Ihkam Ahkam Syarah Umdah Ahkam  2/552)

Seterusnya berdasarkan kepada hadis Abdullah Ibn Amru nabi SAW telah bersabda:

إن لربك عليك حقا، وإن لبدنك عليك حقا، وإن لأهلك عليك حقا، وإن لزورك عليك حقا، فأعط كل ذي حق حق

Maksudnya : “Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak, dan untuk badan kamu terdapatnya hak, dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak, dan untuk isteri kamu terdapatnya hak dan berikanlah setiap yang hak itu haknya.

( Riwayat al-Bukhari no 6139 )

Berdasarkan kepada dalil-dalil diatas jelas menunjukkan bahawa pihak suami wajib menunaikan nafkah zahir mahupun batin keatas tanggungannya semampu mungkin. Berdosa besar kepada sesiapa yang yang tidak menunaikan hak-hak yang telah diamanahkan kepada mereka seperti si suami yang tidak menunaikan nafkah batin terhadap isterinya.

Dalam perkara ini, suami isteri seharusnya mengambil pendekatan yang terbaik untuk berbincang bagi menyelesaikan perkara seperti ini. Pihak keluarga perlu memainkan peranan mereka bagi mendamaikan keadaan antara suami isteri ini. Seterusnya pihak isteri boleh merujuk juga kepada pihak yang berautoriti seperti pihak mahkamah bagi menyelesaikan perkara tersebut. Dengan sebab ini termasuk aib nikah yang harus difasakhkan ialah “عنين”  iaitu mati pucuk dan lemah untuk bersetubuh.

Akhir sekali, semoga Allah mempermudahkan segala urusan seharian kita dalam memahami dan mempelajari ajaran agama Islam ini. Amin.