Soalan:
Apakah hukum makan cengkih ketika ihram? Adakah wajib fidyah kerana memakan sesuatu yang berbau wangi?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat dan seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Hukum memakai wangi-wangian semasa ihram adalah diharamkan. Jika seseorang itu melanggar larangan ini maka dia wajib dikenakan dam. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma yang mana seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah ﷺ dan bertanyakan tentang pakaian apa yang perlu dipakai oleh orang yang sedang berihram dan jawab Baginda ﷺ:
لاَ يَلْبَسُ الْقُمُصَ وَلاَ الْعَمَائِمَ وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ وَلاَ الْبَرَانِسَ وَلاَ الْخِفَافَ، إِلاَّ أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ
Maknanya: “Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).”
Riwayat Al-Bukhari (1542)
Namun begitu, maksud wangi-wangian yang diharamkan itu ialah setiap bahan yang dianggap sebagai wangian pada adat kebiasaan. Jika diniatkan untuk berwangian maka diharamkan apa-apa bentuk penggunaannya. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 504). Justeru bahan-bahan yang tidak diniatkan baunya ketika menggunakannya seperti untuk berubat, bersihkan diri, dan makan adalah tidak diharamkan dan tidak dikenakan dam sekalipun bahan-bahan itu memiliki bau yang wangi.
Berkata Imam al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj (2/296) pada menerangkan perkara-perkara yang terkeluar daripada larangan berwangian ketika ihram ialah bahan makanan dan ubat-ubatan:
وَمَا يُقْصَدُ بِهِ الْأَكْلُ أَوْ التَّدَاوِي وَإِنْ كَانَ لَهُ رِيحٌ طَيِّبَةٌ كَالتُّفَّاحِ وَالْأُتْرُجِّ بِضَمِّ الْهَمْزَةِ وَالرَّاءِ وَتَشْدِيدِ الْجِيمِ عَلَى الْأَفْصَحِ وَيُقَالُ الْأُتْرُنْجُ وَالْقُرُنْفُلُ وَالدَّارَصِينِيُّ وَالسُّنْبُلُ وَسَائِرُ الْأَبَازِيرِ الطَّيِّبَةِ كَالْمُصْطَكَى لَمْ يَحْرُمْ وَلَمْ تَجِبْ فِيهِ فِدْيَةٌ لِأَنَّهُ إنَّمَا يُقْصَدُ مِنْهُ الْأَكْلُ أَوْ التَّدَاوِي
Maksudnya: “Dan apa-apa yang diniatkan dengannya untuk makan atau berubat, sekalipun ia memiliki bau yang wangi seperti epal, atruj (buah sitrus seakan lemon dan limau), cengkih, kayu manis, sunbul (sejenis tumbuhan yang akarnya digunakan untuk membuat wangian), dan segala jenis rembah ratus seperti mastoka (resin daripada pokok Mastik); maka tidak diharamkan (memakannya atau menggunakan sebagai ubat) dan tidak diwajibkan dengan penggunaannya fidyah (yakni dam) kerana sesungguhnya ia hanya digunakan untuk tujuan makan dan ubat-ubatan.”
Tambahan lagi, berdasarkan buku Soal Jawab Haji & Umrah yang dikeluarkan oleh Tabung Haji dan dipersetujui oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH/JAKIM) menyebut soalan tentang hukum jika semasa ihram jemaah haji minum air sirap apakah hukumnya?
Maka dijawab, jemaah haji boleh mengambil makanan dan minuman yang berperisa wangian kerana bahann yang digunakan itu adalah untuk menyedapkan makanan atau minuman itu sahaja.
Rujuk Soal Jawab Haji & Umrah Cetakan 2017 (ms. 76)
Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, jelas kepada kita bahawa memakan cengkih contohnya dalam makanan seperti sup, atau memakannya secara mutlak, tidaklah haram semasa ihram dan tidak dikenakan dam atau fidyah. Semoga penjelasan ini memberikan keyakinan kepada kita semua untuk beramal.