Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LI AL-HAJ #SIRI 6 : HUKUM KANAK-KANAK YANG BELUM MUMAYYIZ MENGUMPUL ANAK BATU UNTUK DIRINYA SENDIRI

 

SOALAN

Adakah dibolehkan bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz untuk mengutip anak batu atau walinya yang perlu mengutip baginya?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam melaksanakan ibadah haji, terdapat rukun-rukun dan wajib-wajib haji yang harus disempurnakan bagi setiap jemaah haji. Namun begitu, terdapat juga jemaah haji yang dikira tidak mampu untuk melaksanakan kerja-kerja haji tersebut yang merangkumi golongan kanak-kanak dan wanita yang hamil. Walaubagaimanapun, kerja-kerja haji haruslah dilaksanakan dengan sempurna oleh sesiapa sekalipun. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah: 196)

Menurut Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menerangkan bahawa ayat ini menyuruh setiap para jemaah haji dan umrah untuk mengerjakan ibadah tersebut dengan sempurna dan lengkap secara lahiriah (luaran). Ia dilakukan dengan menunaikan syariat dan rukun menurut yang sepatutnya. Sementara secara batiniah (dalaman) pula, ia dilaksanakan dengan penuh ketakwaan dan keikhlasan kepada Allah SWT. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/393)

Merujuk kepada persoalan di atas, dibolehkan bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz untuk mengutip batu-batu kecil dan melontarnya dengan kudratnya sendiri (tanpa bantuan orang lain). Namun begitu, jika dilihat secara praktikal pada hari ini, suasana melontar ketika musim haji yang penuh sesak adalah berbahaya serta tidak memungkinkan untuk kanak-kanak tersebut dalam menyelesaikan kerja-kerja haji tersebut. Oleh yang demikian, seelok-eloknya pihak walilah yang perlu memungut dan memberikan kepada kanak-kanak tersebut untuk melakukan lontaran ataupun pihak wali itu sendiri yang mewakili kanak-kanak tersebut dalam melakukan lontaran.

KESIMPULAN

Dalam isu ini, kami berpandangan bagi mereka yang membawa kanak-kanak kecil dalam melaksanakan ibadah haji, sebaik-baiknya merekalah yang seharusnya mewakili kanak-kanak tersebut dalam membuat kerja-kerja haji. Ini kerana, kudrat dan kekuatan yang ada pada kanak-kanak yang belum mumayyiz adalah tidak sesuai dan tidak mencukupi dalam melaksanakan ibadah tersebut. Justeru, kepekaan kepada isu ini bagi pihak ibu bapa haruslah ditingkatkan bagi mereka yang berkenaan.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Wallahua’lam