Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-145: ISU PERKAHWINAN KANAK-KANAK MENURUT PERSPEKTIF SIYASAH SYAR’IYYAH

 

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Setelah sebelum ini kami kemukakan isu perkahwinan kanak-kanak dengan panjang lebar dan perbahasannya mencakupi hukum fiqh, tafsir, hadith dan juga qanun, sambutan kepadanya adalah amat baik daripada semua pihak termasuk daripada pihak kerajaan sekarang. Hal ini dibahaskan di parlimen dan juga oleh pengamal undang-undang serta ulama di samping pembesar negara.

Antara permintaan kepada kami oleh pihak kerajaan adalah untuk kami perkemaskan lagi tulisan dan hujahan ini berdasarkan kepada siyasah syar’iyyah. Justeru dalam Bayan Linnas kali ini, kami namakannya dengan Isu Perkahwinan Kanak-Kanak Menurut Perspektif Siyasah Syar’iyyah. Semoga pencerahan kali ini akan menemukan kepada kita satu natijah dalam menggubal undang-undang untuk menjaga maslahat dan keharmonian rakyat jelata.

 

Kepentingan Pemerintahan dan Fungsinya dalam Menentukan Kestabilan Kerajaan dan Masyarakat Islam

Kami sengaja nyatakan di sini tajuk seperti di atas sebagai muqaddimah perbincangan siyasah syar’iyyah kerana ia secara langsung membabitkan pemimpin utama atau pemerintah. Justeru perbahasan di mulakan dengan isu ini.

Al-Imamah al-'Uzma (pemimpin utama atau pemerintahan tertinggi) merupakan jawatan agama bagi mengambil alih tugas kenabian. Ini bermakna pemerintah merupakan pengganti (khalifah) kepada Nabi SAW dalam mentadbir urusan umat Islam. Walaupun begitu, terdapat perbezaan antara pemerintah dengan Nabi SAW. Nabi SAW menerima hukum-hakam yang wajib dipegang oleh umatnya dalam bentuk wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT. Pemerintah pula menerima hukum-hakam itu dalam bentuk nas-nas yang sah daripada al-Quran dan sunnah, atau ijma' yang disepakati oleh para ulama', atau pemerintah berijtihad berpandukan dalil-dalil umum dan kaedah-kaedah yang sah, sekiranya tiada nas dan ijma’.

Jawatan pemerintah tertinggi begitu penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar umat Islam. Oleh itu, pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam kerana sebab-sebab berikut:

  1. Sebahagian besar perlaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penjaga, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya. Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya.
  2. Dalam syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam imamah (pemerintahan) atau hukum-hakam siasah syar'iyyah (politik Islam). Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syara’ tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum hakam dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam. Contohnya, sebahagian besar hukum hakam berkaitan sistem pengurusan kewangan, gerakan ketenteraan dan pengurusan tawanan.

Jika tiada pemerintah yang berkemampuan dan berwibawa untuk menduduki jawatan ini, sudah tentu segala hukum hakam ini akan terus tergantung tanpa dapat dilaksanakan.  (Lihat Fiqh Manhaji, 5/604-605)

 

Definisi Siyasah Syar’iyyah

Perkataan siyasah merupakan perkataan bahasa Arab yang bermaksud melakukan sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada pihak yang diuruskan urusan mereka. (Lihat Ibn Manzhur, Lisanul ‘Arab, 6/108)

Istilah siyasah tidak terdapat dalam al-Qur’an al-Karim, namun terdapat satu hadith yang menggunakan lafaz siyasah secara khusus, iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, dimana Baginda SAW bersabda:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ

Maksudnya: Bani Israel diperintah oleh para Anbiya’...

Sahih Muslim (1842)

Manakala definisi siyasah syar’iyyah dari sudut istilah syarak pula telah diberikan oleh ramai ulama, samada yang silam mahupun kontemporari. Antara definisi yang diberikan ialah:

  1. Ibn ‘Aqil: Suatu tindakan oleh pemimpin yang boleh menyelamatkan orang ramai dan menghindarkan mereka dari kehancuran, walaupun tindakan tersebut tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW atau pun tidak ada wahyu berkenaan perkara tersebut. (lihat Ibnul Qayyim, At-Thuruq al-Hukmiyyah, hlm. 12)
  2. Ibnu Nujaim: Tindakan atau polisi pemerintah yang dilaksanakan atas faktor maslahah, meskipun tiada dalil juz’iy daripada nas berkenaan hal itu. (Lihat Al-Bahru ar-Ra’iq, 5/11)
  3. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi: Siyasah yang tertegak di atas kaedah-kaedah syarak serta hukum-hakam dan panduannya. (Lihat As-Siyasah as-Syar’iyyah fi Dhaw’ Nusus as-Syari’ah wa Maqasidiha, hlm. 27)
  4. Syeikh Abdul Wahhab Khallaf membawakan beberapa tafsiran berkenaan siyasah syar’iyyah, antaranya ialah:

     i. Pemberian kuasa kepada pemerintah untuk bertindak menurut maslahah, selagi mana ia tidak menyanggahi usul agama,meskipun tiada dalil khas berkenaannya.

     ii. Pelaksanaan maslahah mursalah; ini kerana maslahah mursalah merupakan bab yang tiada dalil syar’ie yang menghukumnya                  sebagai mu’tabar (diambil kira) atau yang tertolak (mulghah).

Berdasarkan pandangan para ulama ini, beliau membuat kesimpulan bahawa ilmu siyasah syar’iyyah bermaksud suatu ilmu yang membahaskan urusan-urusan pentadbiran sebuah negara Islam dari sudut undang-undang, polisi dan sistem yang bertepatan dengan usul agama Islam, meskipun tidak ada dalil khusus berkenaannya dalam nas syarak. (lihat As-Siyasah as-Syar’iyyah fis Syu’un ad-Dusturiyyah wal Kharijiyyah wal Maliyyah, hlm. 6-7)

 

Contoh Aplikasi Siyasah Syar’iyyah

Jika ditelusuri sunnah Baginda SAW dan sirah para sahabat R.’Anhum, kita akan dapati terlalu banyak aplikasi siyasah syar’iyyah dalam urusan harian dan urusan pemerintahan. Kami bawakan di sini beberapa contoh:

  1. Keengganan Nabi untuk membina semula Ka’abah menurut binaan asal. Saidatina ‘Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Baginda SAW bersabda kepadanya:

يَا عَائِشَةُ، لَوْلاَ قَوْمُكِ حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ ـ قَالَ ابْنُ الزُّبَيْرِ بِكُفْرٍ ـ لَنَقَضْتُ الْكَعْبَةَ فَجَعَلْتُ لَهَا بَابَيْنِ باب يَدْخُلُ النَّاسُ، وَبَابٌ يَخْرُجُونَ 

Maksudnya: Wahai ‘Aisyah, jika tidak kerana kaummu masih baharu menganut Islam (kata Ibn Zubair: masih baharu meninggalkan kekufuran), nescaya telah aku runtuhkan Kaabah dan aku jadikannya dua pintu; satu pintu masuk dan satu pintu keluar.

Sahih Bukhari (126)

Imam Bukhari telah memasukkan hadith ini dibawah bab `Meninggalkan sebahagian pilihan kerana takut disalahfahmi oleh sebahagian orang, dan terjadi perkara yang lebih buruk daripada pilihan itu’. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani sewaktu menjelaskan hadith ini menyatakan, pemerintah perlu menguruskan urusan rakyat demi kemaslahatan mereka, meskipun tindakan itu menyanggahi yang awla, selagi mana ia bukan perkara yang diharamkan. (Lihat Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 1/271)

  1. Saidina ‘Umar R.A merupakan antara sahabat yang paling banyak mengaplikasikan siyasah syar’iyyah dalam urusan qadha dan pentadbiran pada zaman beliau. Antara polisi yang berlandaskan siyasah syar’iyyah ialah tidak membahagikan tanah Khaibar yang dikuasai dalam peperangan kepada tentera Muslimin, sebaliknya tanah itu kekal menjadi milik pemilik asal dan dikutip cukai daripadanya. Umar RA juga berijtihad dalam isu talaq tiga dengan satu lafaz, beliau memutuskan jatuh tiga talaq, meskipun ia tidak demikian sewaktu zaman Nabi SAW dan zaman Abu Bakar RA. Begitu juga dengan pengenalan beberapa badan untuk mengelola urusan kewangan negara dan pengsisteman Baitulmal yang juga dianggap sebagai urusan siyasah syar’iyyah oleh para ulama’. (Lihat Abd al-'l Ahmad Utwah, 1993, Al-Madkhal ila as-Siyasah as-Syar’iyyah, hlm. 33-38)

Ijtihad-ijtihad Saidina Umar R.A ini dijadikan polisi negara meskipun ia tidak disokong oleh zahir nas syarak, kerana beliau amat memahami perkara-perkara ini terletak di bawah siyasah syar’iyyah yang bergantung kepada maslahah rakyat.

  1. Arahan Saidina Uthman RA pada zaman pemerintahan beliau agar umat Islam dikumpulkan di atas satu mushaf al-Qur’an yang dinamakan Mushaf ‘Uthmani, dan arahan supaya semua mushaf lain dibakar bagi mencapai maslahah yang dikehendaki iaitu menyatukan umat Islam dan mengelakkan perpecahan dalam kalangan mereka. Pada waktu itu telah umat Islam merangkumi pelbagai kaum dan bangsa, dan mereka berpegang kepada cara bacaan al-Qur’an yang berbeza. Sebahagian bacaan mereka itu bercampur dengan kesalahan; tetapi masing-masing mempertahankan dan berpegang pada bacaannya, serta menentang setiap orang yang menyalahi bacaannya bahkan ada yang saling mengkafirkan. Atas faktor itu Uthman mencadangkan perkara ini. (Lihat Manna’ al-Qatthan, Mabahith fi ‘Ulum al-Qur’an, hlm. 129)

Arahan ini tidak diingkari oleh para sahabat lain, bahkan dipersetujui dan mereka sama-sama berusaha ke arah menjayakannya, meskipun arahannya tidak terdapat dalam al-Qur’an mahupun hadith Baginda SAW.

 

Aplikasi Elemen Utama Siyasah Syar’iyyah Dalam Isu Perkahwinan Kanak-kanak

  1. Siyasah Syar’iyyah

Oleh kerana pemerintah antara sifatnya ialah memelihara agama dan menjaga maslahah rakyat, maka kebahagiaan rakyat perlu diambil kira agar keidupan sentiasa harmoni, aman dan selari dengan fitrah kehidupan. Maka, perkahwinan kanak-kanak yang masih kecil berdasarkan kepada uruf semasa dan juga suasana kehidupan masa kini adalah perlu diraikan agar ia juga dapat hidup dengan tumbesaran yang sempurna sebagaimana kanak-kanak dan remaja yang lain.

Berlakunya perkahwinan akan merencatkan banyak aspek kehidupannya disamping berlakunya taklif dan bebanan yang berada diluar kemampuannnya. Justeru pemerintah berhak untuk melaksanakan satu polisi yang menguntungkan semua pihak terutamnya kanak-kanak.

  1. Maslahah Mursalah

Maslahah dari sudut bahasa bermaksud manfaat dan faedah, manakal dari sudut istilah syarak pula ialah perkara-perkara yang menepati syariat dan maqasidnya, namun ia tidak disebut secara pasti oleh mana-mana dalil samada ia dikira mu’tabar atau mulghah (tertolak). (Lihat Syeikh Wahbah az-Zuhaily, Usul al-Fiqh al-Islamiy, 2/757)

Berdasarkan takrif masalih mursalah ini, jelas bahawa para pemerintah berhak untuk menqanunkan sebarang bentuk undang-undang dengan nawaitu membawa kebaikan kepada rakyat dimana undang-undang tersebut tidak bercanggah dengan nas yang qath’ie, meskipun ia tidak ditetapkan oleh mana-mana nas syarak; tetapi ia bersifat irsyadi atau memimpin ummah ke arah yang lebih baik.

Justeru, pihak pemerintah berhak mengehadkan usia perkahwinan jika dilihat ia membawa kepada kebaikan dan manfaat kepada rakyat, selaras dengan kaedah al-masalih al-mursalah ini.

  1. Sadd az-Zari’ah

Zari’ah dari sudut bahasa ialah jalan yang boleh menyampaikannya dengannya kepada sesuatu. Manakala dari sudut istilah syarak, sadd az-zari’ah bermaksud menutup pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kepada perkara yang diharamkan. (Lihat Imam al-Qarafi, Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, 2/33)

Dalam banyak kes, kita lihat perkahwinan kanak-kanak amat banyak yang berakhir dengan perceraian lantaran tidak cukup persediaan, penderaan emosional dan fizikal ke atas wanita.  Selain itu, perkahwinan kanak-kanak pada zaman sekarang juga dilihat memberi imej yang tidak baik terhadap agama Islam itu sendiri, kerana Islam dilihat seolah-olah kurang mengambil berat terhadap kebajikan kanak-kanak. Hal ini merupakan satu mafsadah yang wajib dielakkan melalui apa jua cara.

Dalam hal ini, perlu dilihat oleh pemerintah agar disana tiada golongan yang mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak sehingga akhirnya mereka terpaksa menanggung tugas wanita dewasa sedangkan dia sendiri masih dalam usia mahu mengenal erti kehidupan. Justeru, pemerintah dengan mengambil kira kaedah sadd zara’ie berhak menghalang daripada berlakunya perkahwinan kanak-kanak dengan sewenang-wenangnya.

  1. Istihsan

Istihsan dari sudut bahasa bermaksud menganggap sesuatu sebagai baik. Manakala dari sudut istilah syarak ia bermaksud beramal dengan dalil yang lebih kuat antara dua dalil, atau mengambil maslahah juz’iyyah yang bercanggah dengan dalil kulliyy. Ini merupakan pandangan Imam Malik. (Lihat Syeikh Wahbah az-Zuhailiy, Usul al-Fiqh al-Islamiy, 2/738)

Dalam kes ini, penetapan had usia wanita yang berhak dikahwinan adalah berdasarkan istihsan yang diasaskan di atas maslahah mursalah, di mana maslahah juz’iyyah iaitu maslahah kanak-kanak diutamakan walaupun terdapat dalil-dalil yang secara asalnya membenarkan perkahwinan kanak-kanak. Maka melalui kaedah ini, istihsan dan maslahah mursalah digunakan secara bersepadu.

Berdasarkan kepada takrif ini, maka pemerintah berhak untuk berijtihad suatu hukum yang bukan qath’ie untuk maslahah rakyat kerana ia difikirkan baik dan perlu, meskipun terdapat dalil yang menyatakan sebaliknya.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Hukum perkahwinan kanak-kanak hendaklah mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan di dalam sesebuah negara. Justeru, melihat kepada kaedah maslahah, istihsan, sadd az-zara’ie, zuruf serta adat, sewajarnya tidak dibenarkan perkahwinan di bawah umur menurut undang-undang. Pengecualian hanya boleh dibenarkan bagi kes-kes tertentu sahaja, setelah menepati syarat-syarat yang ketat dan diperakui oleh pihak mahkamah.

Kami juga nyatakan di sini dengan tegas pendapat dan cadangan kami dalam isu ini:

  • Memahami sesebuah isu dan realiti setempat dan keadaan persekitaran perlu diambil kira dalam mengemukakan pendapat dan hukum.
  • Kerajaan boleh dan perlu menggubal undang-undang yang lebih meraikan Maqasid Syariah dan menggabungkan antara nas syarak serta maslahah, yakni institusi keluarga yang penuh belas kasihan dan cinta. Justeru di bawah prinsip siyasah syar’iyyah yang telah kami bahaskan, kerajaan berkuasa untuk menetapkan polisi mengehadkan umur minimum perkahwinan kerana ia termasuk di bawah kategori taqyid al-mubah (mengikat perkara yang harus dengan suatu maslahat) bagi menegakkan keadilan dan bukanlah bertujuan untuk mengharamkan apa yang Allah SWT halalkan. 
  • Kaedah ini menjadi asas dan sudah menjadi polisi beberapa negara Islam seperti Jordan, Syria, dan termasuk negeri-negeri di Malaysia dan disokong oleh para ulama semasa seperti Syeikh Mustafa Siba’ie dan Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaily bahawa penetapan had umur minimum perkahwinan menepati tujuan sebenar pensyariatan nikah.
  • Hendaklah diberi kefahaman yang mendalam kepada pasangan yang ingin berkahwin berkenaan maksud, tujuan, cabaran dan tuntutan dalam perkahwinan. Alam rumahtangga memerlukan kedua-dua suami isteri mempunyai ilmu pengetahuan yang mencukupi, dan perkahwinan kanak-kanak tidak memenuhi syarat ini.
  • Kami amat bersetuju dengan langkah proaktif pihak Kerajaan Negeri Selangor dan Majis Agama Islam Selangor yang mahu menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun. Terdapat juga cadangan untuk  mewajibkan hakim untuk mengarahkan kanak-kanak tersebut menjalani beberapa Kursus Kekeluargaan Khas, menghadiri sesi kaunseling yang dikendalikan oleh kaunselor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta menjalani pemeriksaan perubatan yang dikendalikan oleh pegawai perubatan hospital kerajaan. Hakim juga akan diwajibkan untuk menyiasat kedudukan ekonomi bakal suami, rekod jenayah lampau (sekiranya ada) dan memanggil bakal suami atau bakal isteri dan bakal ibu bapa mertua atau mana-mana pihak lain untuk diambil keterangan sebelum sesuatu permohonan dipertimbangkan.[1]
  • Meraikan uruf dan adat setempat yang tidak bercanggah dengan syariat seperti kaedah yang masyhur ‘الْعَادَةُ مُحَكَّمَةٌ’ yang membawa maksud: “Adat itu boleh menjadi hukum” boleh diambil kira. Justeru, akta dan enakmen yang diwujudkan pada peringkat pusat dan negeri perlu diambilkira dalam membahas.
  • Ini juga mengambil kira kaedah fekah yang menyebut : لَا يُنْكَرُ تَغَيُّرُ الأَحْكَامِ بِتَغَيِّرِ الزَّمَانِ وَالْمَكَانِ  yang bermaksud : Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum disebabkan perubahan masa dan tempat. Imam Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya I’laam al-Muwaqqi’in menyebut : ‎أنَّ الفتوى تختلف باختلاف الزمان والمكان والعوائد والأحوال  yang bermaksud: Sesungguhnya fatwa itu berbeza dengan berbezanya masa, tempat, adat setempat, dan juga keadaan tertentu.
  • Isu ini (perkahwinan kanak-kanak) bukanlah termasuk dalam perkara tsawabit yang tidak boleh berubah seperti akidah, solat, dan seumpamanya. Bahkan ia termasuk di bawah perkara al-mutaghayyirat iaitu perkara furuk (cabang) yang boleh berubah dengan mengambil kira situasi semasa dan setempat.
  • Melihat kepada situasi zaman sekarang, di mana amat banyak perkahwinan kanak-kanak yang berakhir dengan perceraian dan penderaan ke atas wanita dan kanak-kanak, maka pihak pemerintah perlu mengambil tindakan sewajarnya menggunakan prinsip sadd az-zara’ie bagi mengatasi permasalahan yang timbul.
  • Justeru, sekiranya pemerintah di atas rasional dan kebijaksanaannya, setelah mengambil kira pandangan para agamawan berkenaan sesuatu isu, menetapkan suatu keputusan yang difikirkan lebih mendatangkan maslahah kepada rakyat, maka kita sebagai masyarakat awam dituntut untuk mengikutinya. Ini berdasarkan kaedah : تَصرُّفُ الإمَام عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحة  iaitu : Tindakan (urus tadbir) pemerintah ke atas rakyat adalah terikat dengan maslahah.
  • Pengecualian untuk kebenaran perkahwinan kanak-kanak perlu dilihat kepada kes yang khusus dan tertentu, dan perlu melalui prosedur yang teliti dan melepasi syarat-syarat yang ketat. Contohnya, dalam kes perkahwinan remaja yang sudah terlanjur dan khuatir mengandung luar nikah yang boleh menyebabkan anak tersebut ternafi nasabnya. Justeru, wali hendaklah memainkan peranan penting dan mengetahui sebarang bentuk risiko agar kemaslahatan perempuan yang berkahwin terbela dengan sebaiknya.

 

Akhukum fillah,

S.S Dato' Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

07 Ogos 2018 bersamaan 25 Zulkaedah 1439H

 

[1] “Selangor cadang pinda had umur minimum perkahwinan”. Pautan asal: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/selangor-cadang-pinda-had-umur-minimum-perkahwinan-181966