Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

bl185 compressed

 

Mukadimah

Merujuk Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat Parlimen Keempat Belas Penggal Pertama Mesyuarat Kedua, Datuk Liew Vui Keong selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang & Hal Ehwal Parlimen) telah menyatakan persetujuan kolektif Jemaah Menteri pada 13 November 2018 tentang pemansuhan hukuman mati bagi 33 kesalahan di dalam undang-undang di Malaysia. Antara undang-undang yang terlibat dengan pemansuhan tersebut ialah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori bagi kes bunuh. Rujuk Hukuman mati 32 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan - Liew

Keputusan berkenaan dibuat selepas meneliti hasil kajian Jabatan Peguam Negara yang menunjukkan keberkesanan pencegahan jenayah yang rendah dan kemungkinan berlaku kesilapan dalam proses pengadilan. Keputusan itu juga dibuat bagi mengikut Standard Antarabangsa berkaitan Hak Asasi Manusia dan mendapat pujian daripada wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Rujuk Hukuman mati bukan pencegahan berkesan – Liew, Kajian mansuh hukuman mati di peringkat akhir – Liew, dan Cadangan mansuh hukuman mati dapat maklum balas positif – Liew.

Hampir serentak dengan cadangan tersebut, pada 9 November tahun lalu, negara digemparkan dengan kes kematian tragis bayi perempuan berusia 9 bulan, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal, dilaporkan meninggal dipercayai didera secara seksual dan fizikal oleh suami pengasuh. Susulan kes ini, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah juga merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mengakui bahawa cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori memerlukan penelitian dari segenap aspek kerana ia merupakan isu yang kompleks. Rujuk Tiada hukuman mati pelaku kes bunuh bayi Zara?

Tragedi ini mengundang respon orang ramai yang menggesa hukuman mati tidak dimansuhkan. Antaranya,

  • Keluarga kepada mangsa bunuh Datuk Sosilawati Lawiya, Datuk Kevin Morais dan Wong Jing Kui memohon kerajaan agar mempertimbangkan pemansuhan hukuman mati kerana ia tidak memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka.Peguam mereka, Christina Teng berkata hukuman mati diperlukan di negara ini sebagai pelindung kepada masyarakat daripada jenayah-jenayah berat seperti pembunuhan, aktiviti keganasan dan dadah. Jika ia dimansuhkan, perbelanjaan menjaga banduan di penjara akan meningkat. Kadar jenayah pula akan meningkat apabila pelaku jenayah semakin berani membuat jenayah kerana hukuman mati sudah tiada. Hanya dijatuhkan hukuman penjara. Rujuk Tidak adil bagi keluarga mangsa jika hukuman mati mandatori dimansuhkan.
  • Anggota Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng berkata keluarga Bill Kayong, yang menjadi mangsa pembunuhan, menyuarakan kekecewaan mereka tentang cadangan untuk memansuhkan hukuman mati, terutama terhadap individu yang disabitkan kesalahan kerana membunuh. Mereka menghantar mesej kepadanya bahawa mereka tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia akan memberi isyarat silap seolah-olah membunuh bukan suatu kesalahan serius di negara ini. Rujuk Keluarga Bill Kayong kecewa dengan cadangan pemansuhan hukuman mati.

Pada 19 Mac 2019, pihak kami dijemput dalam suatu perjumpaan meja bulat anjuran International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada membincangkan topik penghapusan hukuman mati. Antara kesimpulan perbincangan itu menyatakan bahawa:

  • Hukuman mati mandatori wajar dihapuskan bagi mengelak berlakunya ketidakadilan khususnya dalam kes salah hukum, kelewatan dalam proses mahkamah, bukti tidak mencukupi dan pengakuan palsu.
  • Syariah membenarkan keluarga mangsa bunuh secara sengaja, untuk memaafkan pembunuh atau/dan menerima diyat, menunjukkan bunuh balas itu bukan mandatori.
  • Penekanan perlu diberikan pada aspek pendidikan dan islah, seperti mana yang diajar al-Quran. Justeru, sistem undang-undang perlu menyediakan saluran yang mencukupi untuk sesi pengampunan, rundingan, atau hukuman diyat.

Pada 24 April 2019, pihak kami juga telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja bertajuk “Penghapusan Hukuman Mati Menurut Fiqh Kontemporari” dalam Wacana Penghapusan Hukuman Mati anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)  dan antara resolusi program berkenaan ialah

  • Melihat semula prinsip punitive dalam hukuman mati kepada restoractive yang mana terkandung nilai Rahmah di dalamnya.
  • Mengkaji semula perkataan mandatori supaya digantikan dengan discretion bagi memberi ruang kepada para hakim untuk menggunakan budi bicara dalam membuat keputusan.
  • Perlu juga melibatkan tentang kesalahan Al-Qasamah diberi gantirugi diyyah kepada mangsa.
  • Menyeimbangi hak tertuduh dan juga hak waris ditambah baik terutama dalam perkara melibatkan darjah pembuktian.

Rujuk Facebook Page Dr. Mujahid Yusof Rawa pada 24 April 2019.

 

Konsep Hukuman Mati Dalam Kes Bunuh Daripada Perspektif al-Quran

Hukuman mati jelas dinyatakan di dalam al-Quran bagi kesalahan membunuh. Firman Allah ﷻ :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنثَىٰ بِالْأُنثَىٰ فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ  ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿١٧٨﴾ وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٧٩﴾

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah, 2:178-179)

Imam al-Baiḍawi Raḥimahullāh (w.685H) berkata tentang tafsir ayat ke-179 tersebut:

 “Kalimah al-qisas ditaʿrifkan dan ḥayah dinakirahkan, untuk merujuk kepada hukum yang menjamin suatu bentuk kehidupan yang lebih signifikan. Itu kerana seseorang yang ingin membunuh akan mencegah dirinya daripada membunuh apabila mengetahui hukum tersebut lalu menjadi sebab terjaminnya dua nyawa di situ (mangsa dan pembunuh). Ini juga kerana (pada zaman Jahiliyyah) mereka akan membunuh semua orang (yakni kabilah si pembunuh itu). Dibunuh satu kumpulan atas kesalahan seorang sahaja. Maka ini akan mendatangkan fitnah kekacauan antara pihak-pihak yang terlibat. Justeru, apabila qisas hanya berlaku kepada pembunuh sahaja, maka selamatnya orang lain dan inilah sebab bagi keselamatan nyawa mereka.”

Rujuk Anwār al-Tanzīl wa Asrār al-Ta’wīl (1/122) 

Firman Allah ﷻ lagi:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).

(Surah al-Isra’ : 33)

Berkata Syeikh Muhammad Tahir Ibn Asyur Raḥimahullāh  (w.1393H), salah seorang ahli tafsir yang terkenal zaman ini, berkenaan ayat ini: “Al-Haqq itu bermakna keadilan, atau istihqaq (tuntutan haq), yakni hak untuk bunuh (balas)” Ini selari dengan hadis Rasulullah ﷺ:

إِذَا قَالُوهَا (أَيْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ) عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّهَا

Maksudnya: “Jika mereka berkata Lailahaillallah maka darah dan harta mereka terperlihara dariku, melainkan orang yang berhak ke atasnya.”

Riwayat Muslim (21)

Menurut beliau apabila apabila ayat ini diturunkan sebelum Hijrah, maka penentuan haq itu telah berlaku dalam bentuk yang diterima dalam kalangan masyarakat berkabilah ketika itu, dan itulah yang disebut oleh Allah Taala selepas ayat: “dan barangsiapa yang dibunuh secara zalim..sehingga akhir ayat.” Orang Islam pada waktu turun ayat ini hidup bercampur dengan orang Musyrikin di Makkah dan orang Musyrikin itu bukannya mereka yang thiqah (terpercaya) pada melakukan ketaatan dan melaksanakan undang-undang yang adil. Kadang-kadang berlaku penindasan oleh seorang Musyrik ke atas seorang orang Islam dengan suatu pembunuhan yang zalim. Lalu Allah memerintahkan kaum Muslimin bahawa orang yang dizalimi tidak boleh melakukan kezaliman balas dan Allah berfirman bahawa barangsiapa yang dibunuh secara zalim maka ke atas walinya sultan (kuasa), yakni hak tasarruf (menguruskan atau menentukan hukuman) ke atas pembunuh dengan balas bunuh atau diyat (pampasan). Rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir (15/92-93).

Ayat ini juga jelas menerangkan bahawa hukuman mati bagi kes bunuh itu bukanlah bersifat mandatori seperti yang diamalkan hari ini, tetapi bersifat budi bicara pihak waris si mati. Dalam erti kata lain, meletakkan hukuman mati secara mandatori terhadap kesalahan membunuh dengan niat adalah bertentangan dengan prinsip keadilan Syariah yang menjamin hak waris mangsa bunuh selaku pihak yang paling terkesan dengan pembunuhan yang berlaku. 

Menurut mazhab Syafie yang menjadi mazhab yang utama di Wilayah Persekutuan, dan mazhab Hanbali, sekiranya seorang Muslim dibunuh maka menjadi hak warisnya untuk menuntut bunuh balas atau dibayar diyat. Adapun di sisi mazhab Hanafi, jika orang bukan Islam yang tidak memerangi Islam dibunuh orang Islam, maka ke atas waris mereka hak qisas dan diyat juga berdasarkan keumuman ayat di atas. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (7/136;21/61).

Fakta ini menunjukkan bahawa pelaksanaan diat atau pampasan kepada keluarga mangsa bagi kes bunuh, atau kes-kes lain melibatkan kecedaraan, memiliki peluang untuk dijalankan secara unilateral, atau menyeluruh terhadap semua warganegara tanpa mengambilkira perbezaan agama atau bangsa. Sebenarnya, konsep pembayaran pampasan kepada mangsa ini sudah ada asasnya di dalam undang-undang jenayah di negara kita, di bawah Seksyen 426 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) yang memperuntukkan kuasa kepada pihak mahkamah, atas permohonan Pendakwa Raya, untuk mengarahkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa akibat jenayah yang berlaku pada diri mangsa, harta atau pendapatannya. Dalam kes Pendakwa Raya lwn. Low Lu Keng, Mahkamah Tinggi telah mengarahkan pesalah yang telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh tanpa niat, untuk membayar RM10,000.00 kepada balu mangsa bunuh, dengan merujuk kepada peruntukan dalam Seksyen 426 Akta 593. Menariknya dalam kes ini, hakim, pesalah dan mangsa yang terlibat semuanya ialah individu-individu bukan beragama Islam. Ini menunjukkan konsep diyat, wang darah atau pampasan kepada mangsa ini adalah sistem yang bersifat manusiawi yang universal serta sesuai dipraktiskan kerana mudah difahami rasional daripada sudut keadilan, serta hikmah dan manfaat daripada sudut Syarak. Rujuk al-Diyah as Compensation for Homicide & Wounding in Malaysia (hlm. 102) oleh Prof. Madya Dr. Syed Ahmad S.A Alsagoff.

 

Diat: Sumber dan Kaedah Pembayaran

Pada asalnya, pembayaran pampasan diat bagi kes bunuh dengan sengaja mestilah menggunakan harta pesalah sendiri. Ini wajib dibayar serta-merta tanpa tangguh. Bayaran mestilah dengan 100 ekor unta, dengan tiga jenis unta iaitu 30 ekor hiqqah iaitu unta berumur genap tiga tahun, 30 ekor jaza’ah iaitu unta berumur empat tahun dan 40 ekor unta khalifah iaitu unta betina yang bunting. Sekiranya unta tidak diperolehi, pesalah wajib membayar nilai yang sama menurut kesepakatan ulama. Bagi orang yang tidak memiliki unta, Amirul Mukminin Umar al-Khattab pernah menetapkan nilai diatnya adalah 1000 dinar emas bagi negeri yang menggunakan matawang emas, manakala bagi matawang perak, nilai 12,000 dirham digunakan.   Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (3/402). Inilah pendapat qadim oleh Imam al-Shafie tetapi pendapat jadidnya menetapkan bahawa nilai diat itu mestilah mengikut harga pasaran unta. Dalam rajah berikut, kami nyatakan nilai diat mengikut negara-negara yang mempraktikkannya:

Negara

Nilai Diat

Tahun

Arab Saudi

SR 400,000.00 (RM 442,957.10)[1] bagi kes bunuh dengan sengaja dan SR 300,000.00 (RM 332,217.82) bagi kes bunuh seakan sengaja dan tersilap bunuh

2011

Iran

IRR 1,500,000,000 (RM 148,220.70)

2014-2015

Emiriah Arab Bersatu

DH 200,000 untuk lelaki dan perempuan (RM 226,137.38)

2014

Pakistan

RP 2,055,936.00 (RM 53,422.01)

2018-2019

Rujuk Inequality in Diya (Blood Money) for Girls under Iranian Law (hlm. 2); UAE’s compensation system is more reasonable than those in the West, says expert.

Di Arab Saudi, dilaporkan sebelum tahun 2011, nilai diat adalah SR 100,000. Kemudian, Mahkamah Syariah Kerajaan Arab Saudi menetapkan kadar SR 300,000 untuk kes bunuh seakan sengaja dan kes tersalah bunuh, dan SR 400,000 kes bunuh dengan sengaja. Daripada sudut sejarah kadar diat mengikut nilai unta telah mengalami pindaan beberapa kali. Menurut Syeikh Abdullah bin Jibrin, salah seorang anggota Hai`ah Kibar Ulama Saudi, mengatakan dalam kitab Ibhaj al-Mu’minin bi Syarh Manhaj al-Salikin (2/226) yang diterbitkan pada tahun 2001 bahawa 50 tahun dahulu kadar diat adalah 800 frankl (riyal Perancis), berdasarkan nilai 100 ekor unta pada masa itu. Kemudian nilainya meningkat kepada 8,000 riyal Saudi, kemudian 16,000 riyal, dan 24,000 riyal pada tahun 1390 Hijri (tahun 1969 Masehi). Kemudian kira pada tahun 1981 M, ditetapkan kadar nilai diyat pada 100,000 riyal.

Rujuk Saudi Arabia triples blood money to SR300,000; Yaqul Inna Mi’ah min al-Ibil La Takfi li Rad` al-Qatil, wa Yas’al `Amman Yutolibun bin Akthar min al-Diyah

Manakala di Pakistan, Seksyen 323 (2) Kanun Keseksaan 1860 mereka mewajibkan kerajaan Kerajaan Persekutuan untuk mengisytiharkan nilai diyat mengikut nilai perak pada bulan Julai setiap tahun. Rujuk Notification.

Sebenarnya, pembayaran diat dengan menggunakan unta, dan jenis-jenisnya, atau dengan nilainya, telah menjadi perselisihan ulama semenjak zaman salaf lagi, sekalipun mereka bersepakat mengenai kadar niat standard adalah 100 ekor unta dan keharusan membayar dengan nilai. Selain kerana faktor tiada nas yang qat’ie menentukan ciri-cirinya, penentuan nilai diat tertakluk kepada keadaan sosio-ekonomi masyarakat yang membela unta atau tidak. Ini membuka kepada pintu ijtihad. Menurut Prof. Madya Syed Ahmad Alsagoff, adalah hampir mustahil untuk menggunakan nilai unta untuk menentukan nilai diat pada hari ini kerana Islam telah tersebar ke negara-negara yang tidak didiami oleh unta atau diperdagang unta secara meluas. Dengan hadirnya industri dan ciptaan kenderaan moden seperti motokar, motosikal dan kereta api, fungsi unta sebagai alat pengangkutan umum telah hilang. Begitu juga daripada sudut manfaat unta sebagai sumber makanan pada daging dan susunya adalah asing di Malaysia. Faktor-faktor ini pastinya mempengaruhi nilai unta dan kesesuaiannya sebagai pengukur nilai diyat. Tambahan lagi, sektor perdagangan hari ini menggunakan nilai emas dan perak sebagai nilai standard, bahkan sebahagian negara tidak lagi mengikat mata wang mereka dengan emas dan perak!. Rujuk al-Diyah as Compensation for Homicide & Wounding in Malaysia (hlm. 186-192) & Victim Compensation for Homicide for All Malaysians (hlm. cxxix)

Sebenarnya kita sudah berjaya dalam mengaplikasikan Fiqh Nusantara atau Fiqh Malaysia dengan menetapkan kadar bayaran zakat fitrah, fidyah dan kaffarah pada harga beras, berbanding dengan makanan ruji yang popular di negara-negara Arab dengan gandum atau kurma. Justeru, melihat kepada kemungkinan ini, adalah disarankan kepada Kerajaan Malaysia sekiranya bersetuju dengan cadangan ini melaksanakan kaedah pampasan nyawa atau diat untuk menetapkan suatu nilai standard bagi pampasan dengan mengambil kira keadaan sosial dan ekonomi masyarakat Malaysia, tanpa berdasarkan diskriminasi kaum. Ini boleh dilaksanakan dengan mengadakan konsultasi dengan pihak-pihak berkuasa agama, undang-undang dan agensi masyarakat yang berkaitan dan dibawa untuk dibentangkan pada peringkat Parlimen.

Jika ada yang bertanya; seandainya keluarga mangsa memilih pampasan, tetapi si pesalah tidak berkemampuan untuk membayar denda. Apakah dia perlu dihukum mati? Selain daripada membuat sumbangan awam, beberapa pakar undang-undang di Malaysia seperti Prof. Madya Dr. Syed Ahmad Syed Abdurrahman Alsagoff, Prof. Ahmad Ibrahim, dan Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Awang mencadangkan perlaksanaan skim insuran sosial menggunakan kaedah takaful. Dana daripada skim itu kemudian akan digunakan untuk membantu keluarga mangsa untuk mendapatkan pampasan. Ini diolah berasal dari amalan ‘Aqilah yang diterima oleh Islam apabila ahli-ahli Qabilah orang yang tertuduh saling bersetuju untuk memberikan sumbangan kewangan bagi tujuan melindungi tertuduh daripada liabiliti kewangan yang timbul yang berpunca daripada kes bunuh syibh al-`amd (tanpa niat) dan al-khata’ (tersilap bunuh). Itu daripada sudut sumber.

Rujuk Diyah (Blood Money) as Substitution to Capital Punishment: An Attempt Toward Harmonisation Between Shari’ah and Malaysian Penal Code oleh Abdul Rahman Awang, Victim Compensation for Homicide for All Malaysians (hlm. cxxix) oleh Prof. Madya Dr. Syed Ahmad Syed Abdurrahman Alsagoff.

Pelaksanaan kaedah pampasan ini dicadangkan meliputi juga warganegara yang bukan Islam kerana polemik perbezaan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah yang berlaku dikhuatiri menghalang perjalanan mendapatkan keadilan, buat masa sekarang. Ini selari dengan tafsir ayat ke-33 Surah al-Isra seperti mana yang dihuraikan oleh Syeikh Muhammad Tahir Ibn Asyur dan mazhab Hanafi. Ini juga merupakan praktik di negara Pakistan, UAE dan Iran.

Kami nukilkan apa yang kami telah sebut semasa Persidangan Kebangsaan Mengenai Hukuman Mati di Malaysia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)  :

“Falsafah perundangan Islam itu terbina di atas lima keperluan asas yang universal untuk menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta bagi manusia. Umat Islam percaya kelima-lima hak ini jika dipelihara dan dijamin dengan baik akan mewujudkan kehidupan yang baik sama ada di dunia dan di akhirat. Kami percaya bahawa hukuman mati mandatori bagi kesalahan bunuh perlu dikaji semula dengan mengambilkira maslahat keluarga si mati dan peluang kedua bagi pihak pembunuh. Oleh sebab itu, kami menerima baik kenyataan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang bertitah bahawa Majlis Jemaah Pengampunan Negeri akan mengambil kira kaedah diyat dalam pelaksanaan sistem pengampunan dengan merujuk kepada keluarga mangsa sebagai alternatif kepada banduan membuat rayuan untuk mendapat pelepasan daripada hukuman mati, contohnya. Titah baginda lagi pelaksanaan kaedah itu mestilah tidak hanya tertakluk kepada masyarakat Islam tetapi membabitkan semua kaum di negeri ini. Ini merupakan suatu langkah yang sangat penting untuk diwacanakan pada peringkat nasional. Manakala, bagi kesalahan-kesalahan lain yang diperuntukkan hukuman mandatori oleh undang-undang sivil tetapi tidak di dalam Syariah Islam, kami juga menyokong agar perbincangan semula tentang hukuman berkenaan sebagai wajar jika kedapatan data kajian yang dibuat oleh badan-badan yang berautoriti menunjukkan tahap keberkesanan yang lemah dalam perlaksanaan.”

Cadangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di atas merupakan suatu langkah awal yang sangat penting untuk diwacanakan pada peringkat nasional. Oleh kerana itu, pihak kami pada 20 Jun 2019 yang lepas telah merafak sembah di hadapan Tuanku Yang di-Pertuan Agong membentangkan kertas kerja ini dalam program Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri di bawah naungan Seri Paduka Baginda di Istana Negara bersama 27 peserta menghadiri majlis itu termasuk semua Pengerusi dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri, Mufti-mufti negeri, Ketua- Ketua Hakim Syarie dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri di bawah naungan baginda.

Rujuk Death Penalty from Islamic Perspective: Understanding Values, Contexts and Viewpoints (hlm. 63); dan Kerjasama kukuh institusi agama tepis permintaan bertentangan Islam, Perlembagaan – Agong.

Kami juga bersetuju bahawa kuasa keluarga juga dalam menentukan hukuman juga mestilah dihadkan bagi mengelakkan salah guna kuasa. Kita tidak mahu ia digunakan untuk memaafkan pembunuh yang diupah oleh keluarga seperti dalam kes honour killing (pembunuhan kerana maruah) yang berlaku di Pakistan. Hakim juga boleh menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah dengan kadar yang munasabah sekalipun pesalah telah dimaafkan oleh waris-waris mangsa. Kriteria atau merit pengampunan bagi banduan-banduan yang layak itu boleh ditentukan oleh Majlis Jemaah Pengampunan Negeri-Negeri berdasarkan rekod berkelakuan baik sebagai contoh.

Berkenaan dengan kadar diat yang sesuai di Malaysia, kami mencadangkan nilai RM 100,000.00 munasabah diletakkan sebagai jumlah minimum bagi diat. Ini diambil berdasarkan kadar pampasan akibat kematian yang ditetapkan dalam amalan takaful oleh beberapa syarikat pengendali. Jumlah ini, seperti yang dimaklumkan di atas, adalah tertakluk kepada pindaan daripada masa ke semasa, dan berkemungkinan meningkat jika digabungkan dengan kos-kos ganti rugi yang dapat dibuktikan di mahkamah. Wallahua’lam.

Syor Kepada Kerajaan Malaysia

  • PMWP mengesyorkan kepada Kerajaan Malaysia agar cadangan pelaksanaan diat atau pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa diperkenalkan dalam Sistem Keadilan Jenayah di Malaysia demi meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga mangsa selaku pihak yang paling menderita akibat jenayah pembunuhan yang berlaku. Syor ini juga mampu memberikan peluang kedua kepada pesalah yang dijatuhkan hukuman mati sekiranya pihak keluarga mangsa memilih pampasan atau memaafkan.
  • PMWP mengesyorkan agar diwujudkan Skim Insuran Sosial pada Peringkat Negeri-Negeri atau Persekutuan untuk membantu memberikan pampasan kepada keluarga mangsa bunuh bagi meneruskan hidup bagi kes pesalah bunuh tidak mampu memberikan pampasan.

 

Rujukan:

  1. 1 Julai 2018. Notification. Pakistan: Bahagian Kewangan (Sayap Kewangan Dalaman). http://www.finance.gov.pk/circulars/circular_01072018.pdf
  2. 11 September 2011. Saudi Arabia triples blood money to SR300,000. Emirates 24/7. https://www.emirates247.com/news/region/saudi-arabia-triples-blood-money-to-sr300-000-2011-09-11-1.417796;
  3. 12 Oktober 2018. Hukuman mati paling tepat untuk pengedar dadah. Kosmo! Online. http://www.kosmo.com.my/terkini/hukuman-mati-paling-tepat-untuk-pengedar-dadah-1.765956  
  4. 13 November 2018. Hukuman mati 32 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan – Liew. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1664320
  5. 13 November 2018. Kesesuaian pemansuhan hukuman mati di negara ini masih dijalankan. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1664256    
  6. 14 November 2018. Hukuman perlu setimpal untuk ganti hukuman mati berkaitan dadah – AADK. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1664893  
  7. 16 Oktober 2018. Hukuman mati bukan pencegahan berkesan – Liew. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1654208  
  8. 16 Oktober 2018. Kerajaan diminta tidak tergesa-gesa mansuh hukuman mati. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1654180  
  9. 16 September 2017. يقول إن مائة من الإبل لا تكفي لردع القاتل ، ويسأل عمن يطالبون بأكثر من الدية. Al-Islam Su’al wa Jawab. https://islamqa.info/ar/answers/258067/يقول-ان-ماىة-من-الابل-لا-تكفي-لردع-القاتل-ويسال-عمن-يطالبون-باكثر-من-الدية
  10. 2006. Al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Kuwait: Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam.
  11. 22 Oktober 2018. Cadangan mansuh hukuman mati dapat maklum balas positif – Liew. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1656761  
  12. 28 Oktober 2018. Pemansuhan hukuman mati: kajian menyeluruh perlu dilakukan. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1658816  
  13. 7 Oktober 2018. Kajian mansuh hukuman mati di peringkat akhir – Liew. Bernama. http://bernama.com/bm/news.php?id=1650692  
  14. 9 November 2018. Keluarga Bill Kayong kecewa dengan cadangan pemansuhan hukuman mati. Bernama. http://bernama.com/bm/news.php?id=1663259  
  15. 9 November 2018. Tidak adil bagi keluarga mangsa jika hukuman mati mandatori dimansuhkan. Bernama. http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1663303  
  16. Abdul Rahman Bin Awang. 18th December, 2012. Diyah (Blood Money) as Substitution to Capital Punishment: An Attempt Toward Harmonisation Between Shari’ah and Malaysian Penal Code. Aust. J. Basic & Appl. Sci. 6(11): 106-112,2012. http://www.ajbasweb.com/ajbas/2012/Special%20oct/106-112.pdf
  17. Al Nowais, Shireena. 16 November 2014. UAE’s compensation system is more reasonable than those in the West, says expert. The National. https://www.thenational.ae/uae/uae-s-compensation-system-is-more-reasonable-than-those-in-the-west-says-expert-1.309249
  18. Al-Baiḍāwi, Naṣiruddin Abu Saʿīd. 1418H. Anwār al-Tanzīl wa Asrār al-Ta’wīl. Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turath al-ʿArabī.
  19. Al-Naisaburi, Muslim bin al-Hajaj.  1424 H. Sahih Muslim. Beitut: Dar Ihya’ Turath al-Arabiy.
  20. Alsagoff, Syed Ahmad S.A. 2006. Al-Diyah  as Compensation for Homicide and Wounding in Malaysia. Kuala Lumpur: International Islamic University Malaysia (IIUM). p.92-93.
  21. Alsagoff, Syed Ahmad Shihabuddin Abdurrahman. 2009. Victim compensation for homicide for all Malaysians. Malayan Law Journal, 6. cxx-cxxxii
  22. Dr. Mujahid Yusof Rawa. 24 April 2019. Facebook. https://www.facebook.com/DrMujahidYusofRawa/posts/2229805727058248
  23. Ibn Asyur, Muhammad al-Tahir. 1984M. Al-Tahrir wa al-Tanwir. Tunisia: Dar al-Tunisiah li al-Nasyr. 
  24. Luqman Arif Abdul Karim. 13 November 2018. Tiada hukuman mati pelaku kes bunuh bayi Zara?. BH Online. https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/11/497556/tiada-hukuman-mati-pelaku-kes-bunuh-bayi-zara
  25. March, 2015. Inequality in Diya (Blood Money) for Girls under Iranian Law. INSIGHTIRAN. insightiran.org/wp-content/uploads/2015/06/Inequality-in-Diya-for-Girls-Under-Iranian-Law.pdf
  26. Nurul Nadira Syaari. 2 Mei 2017. Majlis Jemaah Pengampunan Pahang perkenal kaedah Diyat. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/node/278270
  27. Al-Bakri, Zulkifli bin Mohamad & Umar Mukhtar bin Mohd Noor. 28 Jun 2018. Death Penalty from Islamic Perspective: Understanding Values, Contexts and Viewpoints. Report SUHAKAM’s National Conference on the Death Penalty. Kuala Lumpur: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

 Nota hujung:

[1] Nisbah kadar pertukaran matawang ini dibuat secara kasar di laman web https://www.xe.com  pada 26 Jun 2019.