Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-187: BAHAGIA: HAKIKAT DAN CARA KITA MERAIHNYA

bayan linnas bahagia.JPG

 

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada Bayan Linnas kali ini, kami merasa terpanggil untuk membincangkan dengan lebih khusus berkaitan kebahagiaan yang sering dinyatakan dan diwar-warkan oleh pelbagai pihak. Tetapi hakikatnya, ia seolah-olah hilang dan tidak muncul dalam kehidupan seseorang. Ada pula yang menyangkakan sebuah kerjaya, amalan, tingkahlaku yang dilakukan itu boleh membawa kebahagiaan sedangkan ia bercanggah dengan agama. Justeru, kami nyatakan, bukanlah bahagia kalau kita berada dan bergelumang dalam maksiat, tetapi bahagia yang hakiki tatkala kita dapat menempatkan diri kita dalam ketaatan kepada Allah SWT.

Bayan Linnas pada kali ini, kami tajukkan dengan Bahagia: Hakikat Dan Cara Kita Meraihnya. Semoga kebahagiaan benar-benar singgah dan bertapak dalam diari kehidupan kita. Amin.

 

Takrif Kebahagiaan

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud bahagia ialah suasana senang dan aman, aman damai serta gembira.

Teringat saya kepada kisah seorang perempuan yang dikurniakan pelbagai kelebihan, tetapi akhirnya merasakan takwa dan mengabdikan kepada Allah adalah puncak kebahagiaan seperti katanya:

وَلَستُ أَرى السَعادَةَ جَمعَ مالٍ          وَلَكِنَّ التَقيَّ هُوَ السَعيدُ

“Dan aku tidak melihat kebagiaan hakiki dengan himpunan harta

                                      Tetapi orang yang bertakwa itulah sebenarnya orang bahagia”[1]

 

Pendapat Tokoh Tentang Kebahagiaan

Kami kemukakan di sini beberapa pandangan tokoh berkaitan maksud bahagia, antaranya:

  • Imam al-Ghazali berkata: Bahagia ialah ketikamana manusia berada dalam satu puncak ketakwaan. Ia merupakan kenikmatan daripada Allah SWT. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 3/8)
  • Aristotles: Bahagia itu ialah suatu kesenangan yang dicapai oleh setiap orang menurut kehendaknya masing-masing. (Lihat al-Insan al-Kamil dalam Da’irah al-Ma’arif al-Islami, hlm.69)
  • Plato menyebut: Hidup seseorang manusia itu akan menjadi bahagia sekiranya dia mampu menyeimbangkan antara nafsu, kehendak dan akal.
  • Epicurus menyebut: Kebahagiaan hidup tidak bererti memiliki harta kekayaan yang banyak, melainkan wujud keseimbangan antara kebahagiaan fizikal dengan spiritual.
  • Al-Farabi: Kebahagiaan yang sebenar adalah apabila manusia sampai pada tahap kesempurnaan yang ada di akhirat. Menurut  al-beliau juga,  kebahagiaan merupakan  suatu  yang  dirindui  oleh  setiap  orang  kerana  ia merupakan  kebaikan  paling  besar  di  antara  segala  kebaikan yang ada. (Lihat Kitab Tanbih ‘ala Sabil al-Sa‘adah, hlm. 2)
  • Ibn  Miskawayh  turut  mengakui bahawa kebahagiaan adalah matlamat tertinggi bagi setiap insan. (Lihat Kitab  al-Fawz al-Asghar, hlm. 68)
  • Ibn Sina: Kebahagiaan yang hakiki akan diperoleh pada hari akhirat kelak.
  • Ibn Tufail menyebut kebahagiaan yang hakiki ialah kebahagiaan di akhirat saat bertemu dengan Allah dan melihat wajah-Nya. (Lihat Dirasah al-Nafsiyyah 'inda al-'Ulama' al-Muslimin oleh Dr. Muhammad 'Uthman al-Najati)
  • Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas menyebut al-sa‘adah pada manusia adalah kemuncak kebahagiaan terakhir iaitu dengan cara menyerahkan diri secara sukarela kepada Islam dengan beriman kepada Allah SWT dan mentaati segala perintah dan laranganNya. Kebahagiaan mempunyai pertalian dengan dua dimensi kewujuduan iaitu kewujudan di dunia (duniawiyyah) dan di akhirat (ukhrawiyyah). (Lihat Haqiqat al-Sa‘adah wa Ma‘naha fi al-Islam, hlm. 19)
  • Prof. Dr. Hamka dalam bukunya “Tasawuf Moden” menyebut, kebahagiaan itu mempunyai sejumlah kaedah dan pengalaman seseorang.

Begitu juga ramai lagi tokoh yang mengungkapkan kalimah sa’adah atau kebahagiaan mengikut neraca hati dan makrifah mereka.

 

Hakikat Kebahagiaan dari Kitab La Tahzan

Kami nukilkan di sini, tulisan yang cukup menarik oleh Dr. Aidh al-Qarani melalui bukunya La Tahzan.

Abdullah bin Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda:

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ، أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ

Maksudnya: “Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau musafir.”[2]

Riwayat al-Bukhari (6416), Ibn Majah (4114) dan al-Tirmizi (2333)

Kebahagiaan itu bukan pada istana Abdul Malik bin Marwan[3], bukan pula pada pasukan Harun al-Rasyid[4], bukan pada rumah mewah al-Jassas, bukan pula pada harta simpanan Qarun[5]. Kebahagiaan juga bukan pada kitab al-Syifa’ karya Ibnu Sina, bukan pula pada diwan (himpunan syair-syair) al-Mutanabbi, dan bukan pula pada taman-taman Cordova[6] atau kebun-kebun lainnya.

Kebahagiaan itu menurut para sahabat adalah sesuatu yang tidak banyak menyibukkan, kehidupan yang sangat sederhana dan rendah daya belinya.

Kebahagiaan ada pada Ibn al-Musayyib[7] dengan ilahiyat (ketauhidan)nya, Imam al-Bukhari dengan kitab Sahihnya, Hasan al-Basri[8] dengan sifat kejujurannya, Imam al-Syafi’e dengan kesimpulan hukumnya, Imam Malik dengan sikap muraqabah (merasa sentiasa dalam pengawasan Allah)nya, Imam Ahmad dengan sikap wara’nya dan Thabit al-Bunaniy[9] dengan ibadahnya.

Firman Allah SWT:

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ لَا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ وَلَا نَصَبٌ وَلَا مَخْمَصَةٌ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا يَطَئُونَ مَوْطِئًا يَغِيظُ الْكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِنْ عَدُوٍّ نَّيْلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُم بِهِ عَمَلٌ صَالِحٌ

Maksudnya: Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh - melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh.

Surah al-Taubah (120)

Kebahagiaan itu bukan berupa cek yang dapat ditunaikan, bukan berupa kenderaan yang dapat diperjualbelikan, bukan berupa bunga yang dapat dicium bau yang semerbak harumnya, bukan berupa gandum yang dapat ditumbuk dan bukan pula berupa kain yang dapat dibentangkan.

Kebahagiaan itu adalah keriangan hati kerana kebenaran yang dijalaninya, adalah kelapangan dada kerana prinsip yang diyakininya dan adalah ketenangan hati kerana kebaikan yang dimilikinya.

Anggapan kita, apabila kita memiliki banyak harta kemewahan dalam rumah, berlimpah segala sesuatunya serta dipenuhi semua bentuk kemudahan dan hal-hal yang disukai dan yang diminati, kita akan bahagia, senang, gembira dan hidup kaya. Akan tetapi, semua itu justeru menjadi sebab jiwa resah, tertekan dan hanya menambah masalah sahaja. Kerana bagaimanapun segala sesuatu itu pasti membawa keresahan, kesusahan dan kos yang mesti dibayar untuk mendapatkannya.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِّنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ

Maksudnya: Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.

Surah Taha (131)

Seorang tokoh pembaharuan yang agung, Rasulullah SAW ternyata hidup dalam kefakiran, sering membolak-balikkan tubuhnya di tempat tidur kerana kelaparan disebabkan tidak ada sebiji kurma pun yang Baginda SAW dapati untuk menahan kelaparannya. Sekalipun demikian, Baginda hidup bahagia, tidak mempunyai banyak tekanan dan jiwanya damai dan tiada yang mengetahuinya selain Allah SWT.

Firman-Nya:

وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ ﴿٢﴾ الَّذِي أَنقَضَ ظَهْرَكَ

Maksudnya: Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) - (2) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?[10]

Surah al-Syarh (2-3)

Firman-Nya:

وَكَانَ فَضْلُ اللَّـهِ عَلَيْكَ عَظِيمًا

Maksudnya: Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah besar.[11]

Surah al-Nisa’ (113)

Firman-Nya:

اللَّـهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُ

Maksudnya: Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu.[12]

Surah al-An’am (124)

Dalam sebuah hadis daripada Nawwas bin Sam’an R.A, Nabi SAW bersabda:

الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِى صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ

Maksudnya: “Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.”[13]

Riwayat Muslim (2553)

Dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW bersabda:

الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ

Maksudnya: Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu.

Riwayat Ahmad (18006)

Jelasnya, orang yang berbuat baik akan selalu tenang; sedangkan orang yang berdosa selalu dirundung oleh rasa curiga terhadap semua peristiwa, semua aktiviti dan sikap yang terjadi.

Firman-Nya:

يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ ۚ

Maksudnya: Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka.

Surah al-Munafiqun (4)

Penyebabnya tiada lain kerana mereka melakukan kesalahan. Sesungguhnya orang yang melakukan kesalahan pasti merasa khuatir, curiga, goyah dan selalu dirundung oleh rasa takut.

Jalan keluar bagi orang yang ingin bahagia ialah hendaklah dia selalu melakukan kebaikan dan menjauhi segala keburukan agar dirinya diliputi oleh rasa aman. Firman-Nya:

الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُم بِظُلْمٍ أُولَـٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ

Maksudnya: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.[14]

Surah al-An’am (82)

Seorang penunggang kuda memacu kudanya dengan kencang sehingga debu berterbangan di atas kepalanya mencari Sa’ad bin Abi Waqqas. Ketika itu Sa’ad sedang mendirikan khemahnya di tengah-tengah padang pasir, jauh dari hingar-bingar dan jauh dari perhatian orang ramai. Di dalam khemah itu, dia sendiri jauh dari keluarganya, hanya ditemani beberapa ekor kambing. Si penunggang kuda itu pun mendekati khemah tersebut dan ternyata ia adalah anaknya yang bernama Umar. Lalu si anak itu pun berkata kepada bapanya: “Wahai ayah! orang ramai merebut kekuasaaan, sedangkan ayahanda menggembala ternakan kambing.” Sa’ad menjawab: “Aku berlindung kepada Allah dari keburukan yang kamu bawa. Sesungguhnya aku lebih berhak memegang jawatan khalifah daripada aku hidup dengan selendang yang tergantung di tubuh ini. Namun aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعَبْدَ التَّقِىَّ الْغَنِىَّ الْخَفِىَّ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mencintai seorang hamba yang kaya lagi bertaqwa, yang tidak menonjolkan diri.[15]

Riwayat Muslim (7621)

Sesungguhnya keselamatan seorang Muslim dengan agamanya lebih penting daripada kerajaan Qaisar Rom mahupun Kisra Parsi. Demikian kerana hanya agamalah yang tetap menyertai kita hinggalah kita menempati syurga yang penuh dengan kenikmatan berbeza dengan kekuasaan dan kedudukan, maka sesungguhnya hal tersebut pasti akan lenyap.

Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَرِثُ الْأَرْضَ وَمَنْ عَلَيْهَا وَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.

Surah Maryam (40)

Sebuah Kisah Renungan

Kisah ini diambil dari tulisan Dr. Aidh al-Qarni dalam bukunya bertajuk Siyat al-Qulub. Berikut kisah yang beliau nukilkan dalam buku tersebut:

Pada suatu hari, Putera ‘Ali – salah seorang daripada putera Khalifah al-Ma’mun – berdiri sambil melontarkan pandangannya ke luar istana memerhatikan pasar kota Baghdad. Dia sedang berada di puncak istana yang megah; makanannya lazat, kenderaannya empuk dan hidupnya menyenangkan. Dia memakai pakaian yang cantik lagi indah dan menikmati makanan yang paling lazat. Sepanjang hidupnya dia tidak pernah merasa apa yang dinamakan lapar dan tidak pernah merasa haus. Dahinya juga tidak pernah terkena pancaran sinar matahari.

Dia memandang ke arah orang-orang yang lalu lalang di pasar. Pandangan putera mahkota terhala kepada seorang lelaki daripada sekian banyak manusia yang dilihatnya. Lelaki itu bekerja sebagai kuli yang bekerja mengangkat barang-barang orang lain dengan diberi upah. Pada diri lelaki tersebut terpancar tanda kesolehan dan ahli ibadah. Barang yang dipikulnya diletakkan di atas belakangnya. Dia memikul barang-barang tersebut dari satu kedai ke kedai yang lain, dari satu tempat ke tempat yang lain. Putera mahkota tersebut, dari atas istana memperhatikan tingkahlaku dan aktiviti yang dilakukannya di pasar itu. Apabila waktu Dhuha telah mencapai pertengahannya, tukang pikul ini lalu meninggalkan pasar dan pergi menuju ke tepi sungai Tigris, lalu mengambil air wudhuk dan menunaikan solat dua rakaat. Kemudian dia mengangkat kedua tangannya berdoa kepada Allah SWT.

“Maha Suci Allah yang dapat dihubungi oleh orang-orang fakir miskin. Maha Suci Allah yang berlindung kepada-Nya orang-orang yang teraniaya dan orang-orang yang tertindas. Maha Suci Allah yang dikenal oleh orang-orang yang sederhana dan terhalang dari kebanyakan orang-orang kaya dan orang-orang yang terpandang.”

Apabila tukang pikul ini selesai solat Dhuha, dia kembali bekerja sehingga menjelang waktu Solat Zohor. Kemudian dia membeli roti berharga satu dirham, lalu roti itu dibawanya ke tepi sungai Tigris. Roti itu kemudian dibasahkan dengan air terlebih dahulu, barulah dia makan dan minum. Setelah selesai makan, dia mengambil air wudhuk untuk solat Zohor dan kemudian berdoa, menangis dan mengadu kepada Allah SWT. Kemudian dia tidur sejenak. Setelah itu, dia bangun, lalu turun ke pasar dan bekerja lagi dengan bersungguh-sungguh. Selesai semuanya itu, dia membeli roti lalu pulang ke rumahnya.

Pada hari yang kedua, dia kembali melakukan kegiatan rutinnya seperti biasa tanpa ada perubahan. Hal yang sama dia lakukan pula pada hari yang ketiga, hari yang keempat sehingga beberapa hari berikutnya.

Akhirnya, putera mahkota itu pun menyuruh salah seorang pengawalnya untuk memanggil tukang pikul itu, kerana dia ingin bercakap dengannya di istana. Pengawal itu lalu pergi untuk memanggil tukang pikul tersebut. Apabila melihat kedatangan pengawal kerajaan itu, tukang pikul berkata kepada dirinya sendiri, “Ada urusan apakah tentang Bani Abbas ini datang kepadaku? Aku rasa aku tiada urusan dengan khalifah.” Mereka berkata, “Putera khalifah memerintahkan kepadamu untuk datang menghadap beliau sekarang juga.” Seketika terlintaslah dalam fikiran si miskin ini bahawa putera khalifah pasti akan bertanya dan menghukum dirinya. Disebabkan itu, dia berkata,  “حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ” (Cukuplah Allah menjadi pelindung kami, dan Dia adalah sebaik-baik penolong).

Kalimat ini adalah senjata orang-orang miskin, orang-orang yang tertindas, dan orang-orang yang teraniaya serta orang-orang yang lemah, namun dapat meruntuhkan keangkuhan orang-orang yang melampaui batas, dapat merobekkan jerejak besi, dan dapat meruntuhkan benteng yang kukuh. Nabi Ibrahim AS ketika ditangkap, sedangkan api telah menyala dengan hebatnya, lalu mereka melemparkannya ke dalam kemarakan api itu, dia mengeluarkan senjatanya dan berdoa, ,  “حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ” (Cukuplah Allah menjadi pelindung kami, dan Dia adalah sebaik-baik penolong). Maka ketika itu juga Ibrahim AS sdengan nikmat daripada Allah dan kurniaan-Nya selamat daripada api tanpa terbakar walaupun sedikit pada badannya.

Orang miskin ini masuk menemui putera khalifah yang bernama Ali bin al-Ma’mun dan mengucapkan salam kepadanya. Beliau bertanya kepadanya, “Adakah kamu kenal diriku?”

Dia menjawab, “Aku belum pernah melihat tuan, tetapi aku mengenal tuan.”

“Aku adalah anak khalifah,” jawab Ali.

“Orang ramai menyebut demikian,” jawab si miskin bersahaja.

“Apa pekerjaanmu?” tanya Ali.

“Aku bekerja bersama hamba-hamba Allah di negeri Allah,” jawab si miskin.

Aku telah melihatmu selama beberapa hari terakhir ini, dan aku lihat kamu begitu sengsara. Maka aku ingin meringankan penderitaanmu,” Putera khalifah itu menawarkan bantuan kepadanya.

“Dengan cara apakah tuan akan melakukannya?” si miskin kembali bertanya.

“Kamu dan keluargamu boleh tinggal dalam istana bersamaku. Kamu akan hidup senang, mempunyai tempat tinggal, makan dan minum tanpa ada sebarang kesusahan dan kesulitan, serta tanpa ada penderitaan dan kesedihan,” jawab putera khalifah tersebut.

Si miskin menjawab, “Wahai putera khalifah, tidak ada kesusahan bagi orang yang tidak berdosa, tidak ada penderitaan bagi orang yang tidak derhaka, dan tidak ada kesedihan bagi orang yang tidak melakukan kejahatan. Adapun orang yang berpetang hari dalam kemurkaan Allah dan berpagi hari dalam keadaan derhaka terhadap Allah, maka dia adalah orang yang selalu ditimpa kesusahan, kesedihan dan penderitaan.

Putera khalifah kemudian bertanya tentang keluarganya, lalu si miskin menjawab, “Aku hanya memiliki ibuku yang sudah tua renta dan saudara perempuanku yang buta lagi papa. Aku datang dengan membawa roti untuk memberi makan berbuka puasa kepada keduanya sebelum matahari tenggelam, kerana keduanya selalu berpuasa setiap hari. Kami makan bersama, kemudian tidur.”

Putera khalifah bertanya, “Waktu mana engkau bangun?”

Dia menjawab, “Apabila rahmat yang Maha Hidup Kekal lagi terus-menerus mengurus makhluk-Nya turun ke langit yang terdekat (waktu sahur).”

Putera khalifah bertanya lagi, “Apakah kamu mempunyai hutang?”

Dia menjawab, “Dosa-dosa yang aku lakukan antara aku dan Allah yang Maha Hidup Kekal lagi terus-menerus mengurus makhluk-Nya.”

Putera khalifah bertanya, “Adakah kamu ingin hidup seperti kami?”

“Tidak, demi Allah,” jawab tegas si miskin.

“Mengapa?” Putera khalifah bertanya kehairanan.

“Aku takut hatiku akan menjadi keras, dan agamaku menjadi rosak,” jawab si miskin.

“Apakah kamu lebih memilih menjadi kuli tukang pikul di pasar dalam keadaan lapar di bawah terik matahari, tidak berpakaian, susah, sedih lagi sengsara, dan tidak mahu hidup bersamaku di dalam istana kerajaan?” tanya putera khalifah.

“Benar, demi Allah.” Jawab si miskin. Kemudian dia pun turun, dan pergi meninggalkan putera khalifah.

Putera khalifah merenung dan berfikir dengan perasaan yang syahdu sesudah mendengar ucapan si miskin yang penuh keimanan dari hatinya.

Pada suatu malam, putera khalifah terbangun dari tidurnya yang begitu lena lagi lama. Beliau disedarkan oleh seruan daripada Allah yang membangunkannya:

Bangunlah wahai orang yang banyak tidur,

Sampai bilakah keadaan seperti ini,

Dunia ini adalah negeri yang fana (binasa),

Semuanya yang ada pastilah lenyap,

Kebaikannya pula sangat sedikit,

Sedang keburukannya amat banyak,

Usia di dunia makin berkurang dan keburukan makin bertambah,

Oleh kerana itu, perbanyaklah membuat bekal,

Kerana perjalanan yang akan ditempuh sangatlah jauh.

Putera khalifah terjaga di tengah malam, lalu berkata kepada pengawal peribadinya, “Aku akan bermusafir ke suatu tempat. Setelah tiga hari dari musafirku, sampaikanlah kepada ayahku, al-Makmun, bahawa aku bermusafir dan akan bersua lagi dengannya pada hari Akhirat kelak di padang Mahsyar.”

Mereka bertanya, “Mengapa engkau mahu bermusafir?”

Putera khalifah menjawab, “Aku telah muhasabah diriku, dan ternyata aku berada dalam kealpaan, tidur yang nyenyak, terdampat dan sesat, maka aku ingin berhijrah kepada Allah dengan membawa ruhku.”

Dia pun berangkat pergi di tengah malam, dalam keadaan meninggalkan baju kebesarannya dan memakai pakaian orang miskin, lalu pergi bermusafir menempuh perjalanannya hingga lenyap dari pandangan mata. Adapun khalifah tidak mengetahui ke mana arah yang dituju oleh puteranya. Begitu juga penduduk kota Baghdad.

Saat terakhir pembantu istana melihat putera khalifah ialah pada hari dia meninggalkan istana menaiki kenderaannya menuju ke Wasith[16] sebagaimana yang dikatakan oleh ahli sejarah. Putera khalifah telah mengubah penampilan dirinya dan menjadi seperti orang miskin serta bekerja dengan seorang saudagar untuk menghasilkan batu bata.

Beliau mempunyai wirid yang selalu dilaziminya dan setiap pagi dia menghafal al-Qur’an, berpuasa setiap Isnin dan Khamis serta di malam harinya berqiamullail dan bermunajat kepada Allah yang Maha Hidup Kekal lagi terus menerus mengurus makhluk-Nya. Dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk keperluan hidup sehari-harinya.

Seketika kemudian, lenyaplah kesusahan dan kesulitan serta kesedihannya. Begitu juga lenyaplah rasa besar diri, sombong dan angkuh dari dalam hatinya.

Firman Allah SWT:

أَوَمَن كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَا

Maksudnya: Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya?

Surah al-An’am (122)

Ketika ajal sudah mendekatinya, dia memberikan cincin yang selalu dipakainya kepada majikannya – saudagar tersebut – dan berpesan, “Aku sebenarnya adalah anak khalifah al-Ma’mun. Apabila aku mati, maka mandikanlah, kafankanlah, dan kuburkanlah aku. Kemudian serahkanlah cincin ini kepada ayahku.”

Saudagar itu pun memandikan, mengafankan, dan mensolatkan jenazahnya, kemudian menguburkannya.  Setelah itu, lalu dia membawa cincin itu kepada Khalifah al-Ma’mun.

Pada awal mulanya, khalifah menyangka bahawa puteranya telah terbunuh di suatu tempat atau hilang atau pergi ke suatu tempat tanpa ada khabar beritanya. Setelah dia melihat cincin itu, dia pun sangat terkejut dan menangis dengan suara yang sangat kuat. Kemudian khalifah bertanya kepada saudagar itu berita tentang anaknya. Saudagar pun menceritakan kepada khalifah perihal puteranya.

Setelah mereka mendengar kisahnya, khalifah dan para menterinya menangis kesemuanya. Mereka mengetahui bahawa puteranya telah mengetahui jalannya, tetapi mereka tidak mahu berjalan bersamanya.

Firman Allah SWT:

فَمَن يُرِدِ اللَّـهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ

Maksudnya: Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam.

Surah al-An’am (125)

Penutup

Tajuk seperti ini sentiasa menjadi dambaan seluruh manusia untuk meraih kebahagiaan hakiki sama ada dunia dan akhirat. Sesungguhnya sistem hidup yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah satu sistem yang dapat membahagiakan seluruh umat manusia dan dapat membawa mereka kepada taraf kesempurnaan yang ditetapkan untuk mereka dalam hidup ini.

Risalah ini telah datang kepada umat manusia ketika mencapai usia kedewasaan dan kematangan akal. Ia datang selaku sebuah kitab yang terbuka kepada akal generasi manusia yang akan datang, iaitu sebuah kitab yang mengandungi dasar-dasar hidup manusia yang tidak berubah dan bersedia untuk memenuhi keperluan-keperluan mereka.

Pernah ditanya kepada ahli hikmah: "Siapakah manusia yang paling bahagia?" Jawabnya: "Orang yang membahagiakan orang lain."

Dengan sebab itu tidak pelik apabila Rasulullah SAW menyebut tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A, Nabi SAW bersabda:

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى

Maksudnya: Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.

Riwayat al-Bukhari (1427)

Al-Mubarakfuri berkata: “Tangan yang di atas adalah tangan yang memberi atau berinfaq. Sedangkan tangan yang dibawah ialah yang meminta.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/289)

Kami nyatakan erti sa’adah berdasarkan sebuah hadis daripada Sa’ad bin Abi Waqqas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَب الْهَنِيءُ ، وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ ، وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ ، وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ ، وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

Maksudnya: Empat  tanda kebahagiaan; Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan yang elok. Manakala empat tanda kedukaan adalah jiran yang buruk, isteri yang teruk, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk.”

Riwayat Imam Ahmad (1448) dan Ibnu Hibban (4032)

Dalam Islam, terlalu banyak kalimah yang mengertikan dengan kebahagiaan seperti lafaz al-Falah, al-Fauz, al-Najah, al-Sa’adah dan lain-lain. Ini menandakan gesaan Islam agar kita hidup bertujuan meraih kebahagiaan bukan sekadar di dunia tetapi juga merentasi di akhirat.

Firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ ﴿٣﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ ﴿٤﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ﴿٧﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ ﴿٨﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ ﴿٩﴾ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ ﴿١٠﴾ الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (2) Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; (3) Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); (4) Dan mereka yang menjaga kehormatannya, - (5) Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: - (6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; (7) Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; (8) Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; (9) Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi - (10) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.

Surah al-Mukminun (1-11)

Syeikh al-Maraghi berkata: Surah Makkiyyah ini diturunkan selepas Surah al-Anbiya’, dan terdiri daripada 118 ayat. Menurut sebuah riwayat, sebahagian sahabat bertanya kepada Aisyah R.Anha: “Bagaimanakah akhlak Rasulullah? Aisyah R.Anha menjawab: “Akhlak baginda adalah al-Quran.” Kemudian Aisyah R.Anha membaca ayat: “قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ” hinggalah ke ayat “وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ”. Aisyah menambah, “Demikianlah akhlak Rasulullah SAW.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4613)

Dengan sebab itulah, doa yang kita dambakan kedua-dua kebahagiaan dunia dan akhirat menjadi kehendak dan tuntutan kita. Benarlah firman Allah SWT:

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".

Surah al-Baqarah (201)

Semoga Allah SWT menaungi kita dengan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat serta disisihkan daripada kecelakaan dalam hidup. Amin.

Nota Hujung:

[1] Syair ini dinisbahkan kepada al-Hati'ah iaitu Jarwal bin Aus bin Malik al-'Absi Abu Mulaikah, penyair Mukhadram yang hidup pada zaman Jahiliyyah dan Islam.

[2] Insan yang mengetahui hakikat kehidupan akan menjadikan dunia ini sebagai tempat persinggahan sementara sebelum tiba di destinasi abadi. Mereka menjadikan dunia ini hanya sebagai wasilah (penghubung) dan bukannya ghayah (tujuan utama). Dengan menjadikan dunia ini sebagai wasilah, maka dunia ini akan berada di dalam genggamannya dan bukan di dalam hatinya. Kehidupan ini juga umpama orang yang asing, jauh dari tempat asalnya. Dia akan sentiasa merindui tempat asalnya iaitu di sisi Allah SWT. Maka, dia tidak akan selesa dan tenteram dalam kehidupan yang sedia ada ini meskipun dikurniakan dengan usia yang panjang, harta kekayaan dan anak-pinak kerana dia tahu bahawa dunia ini tidak akan kekal selama-lamanya. (Lihat kitab kami, al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 378-379)

Al-Imam Hasan al-Basri Rahimahullah pernah berkata: “Seorang mukmin ibarat orang asing. Tidak merasa sedih dengan sedikitnya kekayaan di dunia, dan tidak berebut untuk mendapatkannya. Dia sibuk dengan urusannya, ketika orang lain sibuk dengan urusan masing-masing.” Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimuhallah juga pernah berkata: “Ketika mana Allah SWT menciptakan Adam AS dan isterinya, mereka tinggal di syurga kemudian Allah keluarkan mereka dan berjanji akan pulang semula (ke syurga) bersama keturunannya yang soleh. Maka seorang mukmin itu pasti merindui tempat asalnya (iaitu syurga) dan perasaan cintakan tempat asal adalah sebahagian daripada iman.” (Lihat Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, 2/379)

[3] Khalifah Abdul Malik bin Marwan dilahirkan pada tahun 26 Hijrah (646 Masihi). Ibunya bernama Aisyah bt Mu'awiyah bin al-Mughirah. Ketika berusia 16 tahun, Abdul Malik bin Marwan pernah mengetuai pasukan tentera Madinah melawan Byzantine ketika pemerintahan Mu'awiyah. Abdul Malik bin Marwan adalah khalifah Bani Umayyah yang kelima yang memerintah dari tahun 65 Hijrah – 86 Hijrah (685 - 705 Masihi). Khalifah Abdul Malik bin Marwan sempat melakukan beberapa pembaharuan seperti mengumpul kembali Mushaf Uthman dan lain-lain. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Abdul_Malik_bin_Marwan)

[4] Harun al-Rasyid lahir di Rayy pada tahun 766 dan wafat pada tanggal 23 Mac 809, di Tus, Khurasan. Harun al-Rasyid ialah khalifah kelima daripada Bani Abbasiyyah dan memerintah antara tahun 786 hingga 803. Ayahandanya bernama Muhammad Al-Mahdi, khalifah yang ketiga dan abangnya, Musa al-Hadi ialah khalifah yang keempat. Ibundanya, Jurasyiyah al-Khayzuran berasal dari Yaman. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Harun_al-Rasyid)

[5] Qarun (Bahasa Arab: قارون ) adalah salah seorang sepupu Musa dari Bani Israel. Qarun disebut dalam al-Quran sebanyak empat kali, dua kali dalam surah al-Qasas, sekali dalam surah al-'Ankabut dan sekali di surah Al-Mu’min.

[6] Cordoba, juga dikenali sebagai Cordova (Bahasa Arab : قرطبة), ialah ibu kota serta bandar raya wilayah Cordoba, Andalusia, selatan Sepanyol. Terletak di sebelah Sungai Guadalquivir pada 37.88° Utara, 4.77° Barat, bandar raya ini telah diasaskan oleh Claudius Marcellus dengan nama Corduba pada zaman Rom kuno. Pada tahun 2005, jumlah penduduknya adalah 321,164 orang.

Pada hari ini, bandar raya moden yang mempunyai saiz yang sederhana ini mengandungi banyak peringatan seni bina yang menarik tentang zaman ketika Cordoba merupakan sebuah ibu kota yang berkembang maju di bawah Khilafah Cordoba yang memerintah hampir seluruh Semenanjung Iberia. Dianggarkan bahawa Cordoba didiami sehingga 500,000 orang ketika itu, merupakan bandar raya yang kedua terbesar di dunia pada abad ke-10, selepas Byzantium. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/C%C3%B3rdoba,_Sepanyol)

[7] Said bin al-Musayyib Rahimahullah merupakan salah seorang dari tokoh Tabi’in yang besar. Beliau meninggal pada tahun ke-94 Hijrah. Beliau adalah seorang yang mempunyai sifat keperibadian yang sangat baik, berpuasa pada waktu siang, berqiamullail pada waktu malam. Beliau disebut telah mengerjakan ibadat Haji lebih dari empat puluh kali, tidak pernah ketinggalan dari takbir pertama (takbirat al-ihram) di dalam sembahyang selama empat puluh tahun, dan sentiasa berada di saf pertama. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Said_bin_Al-Musayyab)

[8] Hasan al-Basri dilahirkan di Madinah semasa zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab pada tahun 21 Hijrah (642 Masihi). Beliau pernah berguru dengan beberapa orang sahabat Rasulullah SAW sehingga muncul sebagai ulama’ terkemuka dalam peradaban Islam. Hasan al-Basri meninggal dunia di Basrah, Iraq pada hari Jumaat, 5 Rejab 110 Hijrah (728 Masihi), ketika umur 89 tahun. Beliau pernah hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Hasan_al-Basri)

[9] Nama sebenarnya ialah Thabit al-Bunaniy, seorang tabi’in dan muhaddith yang thiqah. Beliau menetap di Basrah. Beliau cintakan al-Quran dan sentiasa membacanya pada waktu siang dan malam. Thabit melazimi amalan berpuasa serta berguru dengan Anas bin Malik R.A hampir empat puluh tahun. Meninggal usia pada usia 86 tahun. (Lihat ar.wikipedia.org/wiki/ثابت_البناني)

[10] Al-Maraghi berkata: Kami telah lepaskan bebanan beratmu dalam mengembangkan risalah sehingga engkau dapat menyampaikannya dengan baik dan mudah serta engkau menjadi redha dan diliputi ketenangan, sekalipun engkau diterima dengan penghinaan oleh orang yang engkau dakwahkan. Ibaratnya seorang ayah yang berasa puas terhadap usaha dan perhatian yang diberikannya kepada anak-anaknya. Segala derita yang bagaimana pun beratnya dirasakan ringan kerana dorongan cinta kasih dan harapan untuk menyerikan kehidupan mereka yang lapang. Dia sanggup memikul segala kesulitan dengan rasa penuh redha untuk memelihara dan membebaskan mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7630)

[11] Sayyid Qutb berkata: Itulah nikmat yang dibangkitkan oleh Allah SWT kepada manusia di muka bumi ini. Itulah nikmat yang menjadikan manusia lahir bersamanya dengan satu kelahiran yang baru dan wujud dengannya sebagaimana ia wujud bagi pertama kalinya dengan tiupan roh yang pertama dari Allah. Itulah nikmat yang telah memungut umat manusia dari kaki bukit Jahiliyyah untuk membawa mereka naik ke kemuncaknya melalui sistem hidup Rabbani yang unik dan mengkagumkan. Itulah nikmat yang tidak diketahui nilainya melainkan oleh orang-orang yang telah mengenal hakikat Islam dan hakikat Jahiliyyah – sama ada jahiliyyah masa silam atau jahiliyyah masa kini – dan mengecap Islam dan mengecapi Jahiliyyah. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 3/580)

[12] Al-Sobuni berkata: Allah Maha Mengetahui siapakah yang paling layak untuk diberi risalah kerasulan dan melaksanakannya mengikut pilihan-Nya dan dia adalah Muhammad SAW, bukan pemimpin atau pembesar Mekah seperti Abu Jahal, al-Walid bin al-Mughirah. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/385)

[13] Yang dimaksudkan dengan berakhlak baik iaitu jujur dalam bermuamalah, santun dalam berusaha, adil dalam menghukum, bersungguh-sungguh dalam melakukan kebajikan. Kadang-kadang dikhususkan berbuat kebajikan itu kepada kedua ibu bapa, tetapi seringkali kebajikan disebut sebagai berbuat kebajikan kepada seluruh makhluk. Di dalam hadis Bahz dan Hakim daripada ayahnya daripada datuknya bahawa beliau berkata, yang bermaksud: “Wahai Rasulullah! Kepada siapakah sepatutnya aku berbuat kebajikan?” Jawab Baginda SAW: “Ibumu.” Kemudian beliau bertanya lagi: “Kemudian kepada siapa lagi”, jawab Baginda: “Bapamu”, Beliau bertanya lagi: “Kemudian kepada siapa lagi”, jawab Baginda: “Kemudian kepada yang paling dekat dan seterusnya.” (Lihat kitab kami, al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 254)

[14] Syeikh al-Maraghi berkata: Dimaksudkan dengan al-zulmu di sini adalah sesuatu yang mencampurkan keimanan seseorang kepada Allah SWT sehingga keimanan itu berkurangan, iaitu syirik di dalam aqidah atau ibadah. Umpamanya menjadikan penolong selain Allah SWT, yang bersama-sama dengan-Nya – atau tanpa Dia – ia dimohon pertolongan. Maka, ia diagungkan seperti Dia diagungkan dan dicintai seperti Dia dicintai kerana berkeyakinan bahawa ia berkuasa untuk mendatangkan manfaat atau kemudaratan dengan sendirinya, atau dengan pengaruh terhadap kehendak dan kekuasaan Allah SWT. Jadi, yang dimaksudkan di sini bukan kezaliman manusia terhadap dirinya sendiri kerana melakukan sebahagian kemudaratan, atau meninggalkan sebahagian manfaat, lantaran tidak tahu atau meremehkan. Bukan pula kezaliman terhadap orang lain dengan sebahagian tindakan dan hukumnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/1912-1913)

[15] Imam Nawawi berkata: Dikehendaki dengan kaya di sini adalah kaya jiwa dan inilah kaya yang dicintai oleh Allah. Walaupun begitu, mengikut pandangan al-Qadhi, dikehendaki dengan kaya adalah kaya harta. Dan perkataan al-Khafiy dimaksudkan orang yang memutuskan diri daripada kehidupan semata-mata untuk beribadat dan sentiasa menghitungkan diri. Ada juga berpendapat, bacaan sebenarnya ialah al-hafiy dengan makna yang sentiasa menyambung hubungan silaturrahim dan amat kasih serta berlembut dengan mereka termasuk terhadap golongan yang dha'if. Tetapi pendapat yang sahih adalah dengan khafiy. (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 18/100)

[16] Wasith adalah sebuah kota lama yang berada di antara Baghdad dan Basrah di Iraq. Kini tempat ini berada di wilayah Wasith, di bahagian timur Iraq. Wilayah ini telah dimasukkan ke dalam senarai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tanggal 7 September 2000 di bawah kategori Budaya. (Lihat https://id.wikipedia.org/wiki/Wasith,_Irak)