Mukadimah
Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.
Profesion sebagai seorang guru adalah antara bidang pekerjaan yang mulia. Guru mempunyai darjat dan martabat yang tinggi, di mana kalimah keramat gelaran cikgu atau ustaz sentiasa abadi dalam kehidupan guru dan tidak pernah dipencenkan oleh masyarakat sekalipun mereka sudah lama bersara. Panggilan guru tersebut akan kekal sehingga ke liang lahad pun pasti dibawa bersama.
Pada masa kini, memegang status sebagai seorang guru bukanlah satu perkara yang mudah. Realiti pada hari ini, menjadi seorang guru bermaksud individu tersebut perlu berhadapan dengan karenah serta perangai pelbagai pihak terutamanya ibubapa dan pelajar-pelajar. Ianya bukanlah satu perkara yang mudah, namun memerlukan kepada kesabaran dan kesungguhan dalam mendidik generasi yang terbaik.
Oleh itu, sebagai menghargai jasa para pendidik ini dalam bersusah payah dan berpahit jerih membentuk generasi hadapan ini, kami ketengahkan isu Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk “Guru dan Kemuliaannya”. Ia bagi membincangkan berkenaan kemuliaan seorang guru menurut perspektif Islam.
Semoga penjelasan ini dapat memangkin semangat yang baru dalam jiwa para guru untuk terus mencurahkan khidmat bakti dalam usaha mendidik generasi rabbani. Amin.
Pembahagian Manusia
Manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang unit dan hebat. Penciptaan manusia ini adalah berbeza dengan maklukNya yang lain kerana dilebihkan dengan pengurniaan akal fikiran dan banyak lagi. Allah SWT berfirman:
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).”
(Surah al-Tin: 4)
Ibn Kathir menyebut antara kelebihan manusia ialah boleh berjalan secara berdiri tegap menggunakan kaki, makan dengan tangan yang membezakan dengan binatang yang berjalan dengan empat kaki dan makan dengan menggunakan mulut. Manusia juga dikurniakan pendengaran dan penglihatan dan hati yang dengannya itu boleh berfikir setiap sesuatu yang bermanfaat untuk dirinya sendiri, mampu membezakan tentang sesuatu perkara dan boleh mengetahui manfaat dan kemudaratan serta kelebihan dalam perkara-perkara dunia dan agama. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/97)
Allah SWT mengurniakan keistimewaan akal kepada manusia, kebolehan membezakan serta kesanggupan menerima ilmu yang pelbagai jenis. Begitu juga, mereka mampu membuat gagasan-gagasan yang menjadikannya mampu menguasai alam wujud. Disamping itu, mereka juga mempunyai kemampuan dan jangkauan untuk memperolehi apa yang dikehendaki. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7637)
Sebenarnya manusia ini mempunyai pelbagai keistimewaan dan ragamnya, tetapi secara khusus dapatlah dibahagikan kepada tiga. Yang berilmu, yang belajar dan yang tidak berilmu dan tidak belajar. Justeru itu, Saidina Ali R.A berkata:
النَّاسُ ثَلَاثَةٌ: فَعَالِمٌ رَبَّانِيٌّ، وَمُتَعَلِّمٌ عَلَى سَبِيلِ نَجَاةٍ، وَهَمَجٌ رَعَاعٌ أَتْبَاعُ كُلِّ نَاعِقٍ، يَمِيلُونَ مَعَ كُلِّ رِيحٍ
Maksudnya: “Manusia ada tiga jenis: Seorang alim rabbani (yang takut kepada Allah SWT) dan seorang murid (pelajar) yang ingin selamat, dan selain itu rakyat jelata pengikut tiap suara seruan, condong mengikut arah angin.
Beliau juga berkata:
الْعِلْمُ خَيْرٌ مِنَ الْمَالِ، الْعِلْمُ يَحْرُسُكَ، وَأَنْتَ تَحْرُسُ الْمَالَ، الْعِلْمُ يَزْكُو عَلَى الْعَمَلِ، وَالْمَالُ تُنْقِصُهُ النَّفَقَةُ... وَالْعُلَمَاءُ بَاقُونَ مَا بَقِيَ الدَّهْرُ، أَعْيَانُهُمْ مَفْقُودَةٌ، وَأَمْثَالُهُمْ فِي الْقُلُوبِ مَوْجُودَةٌ،
Maksudnya:“Ilmu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga dirimu, sedangkan kamu menjaga harta, dan ilmu bertambah jika disiarkan sedangkan harta berkurangan jika dibelanjakan…Dan ulama’ itu akan tetap hidup selamanya meskipun jasadnya tidak ada, dan ajaran mereka selalu diingati dalam hati.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 1/80, Tarikh Dimasyq, 14/18, Tazkirah al-Huffaz, 1/11 dan Tahzib al-Kamal, 24/220)
Keutamaan Mengajar Ilmu
Orang yang menunjukkan suatu kebaikan kepada seseorang seperti mengajarkan ilmu, maka dia juga akan memperoleh pahala sepertimana pahala orang yang dia ajarkan. Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Ansari R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.”
Riwayat Muslim (1893)
Imam Nawawi dalam menjelaskan hadith di atas berkata: “Kelebihan orang yang menunjukkan kepada suatu kebaikan, memberikan perhatian dan membantu orang yang melakukan kebaikan. Pada hadith ini juga terdapat kelebihan mengajarkan ilmu dan kewajiban ibadah terutama kepada orang yang akan mengamalkan ibadah tersebut dari kalangan orang yang rajin beribadah dan selainnya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 6/370)
Beliau turut menyebut: “Maksudnya semisal dengan ganjaran/pahala orang yang melakukannya. Sesungguhnya bagi orang yang menunjukkan tersebut pahala/ganjaran atas perbuatan tersebut sebagaimana orang yang melakukannya mendapatkan ganjaran/pahala. Namun hal ini tidak memberikan konsekuensi besarnya ganjaran/pahala keduanya sama persis.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 6/370)
Imam al-Qurtubi pula berpendapat bahawa sesungguhnya semisal (di sini maksudnya) sama baik kadar atau penggandaannya. Kerana ganjaran/pahala pelbagai amalan sesungguhnya hanya keutamaan dari Allah, yang akan Dia berikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, atas segala sesuatu yang muncul darinya. Terutama jika niatnya benar, di mana niat merupakan asal/pokok pelbagai amalan.” (Lihat Syarh Sahih Adab al-Mufrad, 1/290)
Amalan kebaikan yang boleh ditunjukkan merangkumi perbuatan, percakapan dan penulisan. Inilah kelebihan dan anugerah besar daripada Allah SWT yang Maha Pemurah Lagi Maha Besar Kurniaan-Nya. (Lihat Nuzhah al-Muttaqin Syarh Riyadh al-Salihin)
Orang yang memberikan suatu kemanfaatan tidak akan terputus amal perbuatannya, selama mana kemanfaatan tersebut dinisbahkan kepadanya. Ini adalah tugas dari para nabi dan rasul, serta yang menyeru kepada agama ini dengan ikhlas. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/87)
Manakala dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ
Maksudnya: “Barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.”
Riwayat Muslim (1017)
Oleh itu, daripada nas-nas yang dinyatakan di atas, jelas bahawa orang yang menunjukkan sesuatu kebaikan kepada orang lain, khususnya dalam pengajaran ilmu, maka sudah tentu mempunyai kelebihan dan keutamaan yang besar.
Gelaran Guru
Betapa mulianya guru sehingga mereka digelar dengan pelbagai gelaran seperti cikgu, ustaz, maulana, tok guru, syeikh, dan juga kadang-kadang disifatkan sebagai mursyid, murabbi, muaddib dan lain-lain. Ini jelas menunjukkan ianya disanjung kerana dengan merekalah manusia menjadi manusia bahkan diisi dengan jati diri, akhlak, modal insan di samping membawa kepada ma’rifatullah.
Kami lebih cenderung agar guru dikenali sebagai mu’allim yang memberi maksud pemberi dan pengajar ilmu. Oleh kerana guru memiliki segunung ilmu, maka sudah pasti ia dapat menaungi, membimbing, mengasuh dan mendidik murid dan pelajarnya sehingga jadilah mereka dengan watak-watak mulia, soleh, berpekerti dan lain-lain sekalipun menjawat pelbagai jawatan atau menceburi pelbagai bidang tugas dan pekerjaan. Sudah pasti ilmu yang diterima oleh seseorang sejak mengenali alif, ba, ta, dari gurunya sentiasa menjadi azimat dan panduan dalam menempuh rencah kehidupan.
Martabat Guru
Dengan menekuni nas-nas jelas menunjukkan betapa mulianya guru kerana dia telah membawa bersamanya ilmu. Begitu juga dengannya dia dapat menunjukkan pelajarnya erti kehidupan dan kemanusiaan yang mana wajib mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa. Antara yang menunjukkan kemuliaan guru atau mu’allim ialah:
- Kebaikan yang Allah SWT kurniakan kepadanya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:
مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ
Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”
Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/165)
- Guru sebagai khazanah harta yang tiada ternilai. Benarlah sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
وَالنَّاسُ مَعَادِنُ، خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الإِسْلاَمِ إِذَا فَقِهُوا
Maksudnya: “Manusia itu adalah umpama barang-barang galian seperti barang galian emas dan perak. Sebaik-baik mereka di zaman kejahilan dulu juga akan menjadi sebaik-baik manusia setelah mengikut Islam jika mereka memahami Islam itu.”
Riwayat Bukhari (3495) dan Muslim (2526)
- Guru menjadi penunjuk jalan kebaikan. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah R.Ahuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ
Maksudnya: “Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun.”
Riwayat Muslim (1017)
- Guru selamat daripada celaan. Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:
الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ، مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرَ اللهِ أَوْ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا
Maksudnya: “Dunia ini dan seisinya adalah laknat kecuali mengingati Allah, yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang alim (guru) dan pelajar.”
Riwayat Ibn Majah (4112) dan al-Tirmizi (2322)
Syeikh Syuaib al-Arnaut menghukumkan sanad hadis ini sebagai hasan
Sebenarnya terlalu banyak kelebihan guru dan penuntut ilmu. Justeru, memadai apa yang telah disebutkan di atas.
Tanggungjawab Kepada Guru
Oleh kerana guru adalah pelita kepada ummah yang memegang wazifah sebagai pewaris Nabi, sudah pasti kedudukannya hendaklah dimuliakan. Kerana itu ramai dalam kalangan para ulama’ mengarang kitab, menekankan betapa pentingnya penghormatan dan kemuliaan kepada guru. Antara mereka adalah seperti Imam al-Ghazali, Ibn Abd al-Bar, Abd al-Fatah Abu Ghuddah, Bakar bin Zid dan al-Ajurri.
Sasterawan Negara, Osman Awang dalam sajaknya yang bertajuk “Guru Oh Guru” menyebut:
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang Ulama’ yang mulia,
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,
Sejarahnya bermula oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.
Oleh itu, sebagai pelajar dan murid, wajib kita memuliakan guru kita dan antara tanggungjawab yang sepatutnya kita tunaikan ialah:
- Menghormati dan memuliakannya, walaupun sudah selesai dari bangku sekolah. Rasulullah SAW pernah bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُجِلَّ كَبِيرَنَا وَيَفِ لِعَالِمِنَا
Maksudnya: “Bukanlah termasuk golongan kami orang yang tidak menyayangi yang muda, tidak menghormati yang tua, dan tidak mengerti hak ulama kami.”
Riwayat Ahmad (5/323) dan al-Bazzar (2718)
Imam Nawawi berkata: “Seorang murid hendaklah melihat gurunya dengan pandangan penghormatan. Hendaklah dia meyakini keahlian gurunya berbanding yang lain. Kerana perkara itu akan menjadikan seorang murid dapat mengambil banyak manfaat darinya, dan lebih dapat memberi kesan dalam hati terhadap apa yang dia dengar dari gurunya tersebut.” (Lihat al-Majmu’, 1/84)
- Berdoa untuk kepada guru. Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ ، فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang berbuat kepada kamu kebaikan maka balaslah. Jika kamu tidak mempunyai sesuatu untuk membalasnya, maka doakanlah dia, sehingga kamu merasakan bahawa kamu sudah membalasnya.”
Riwayat Abu Daud (1672)
Hal ini juga sepertimana yang telah dilakukan oleh salaf al-Soleh. Antaranya disebut bahawa Imam Ahmad selalu berdoa untuk Imam al-Syafi’e yang menjadi gurunya.
- Menjaga adab ketika berada dalam majlis guru seperti memberi sepenuh perhatian dan fokus. Ahmad bin Sinan menjelaskan mengenai majlis Abd al-Rahman bin Mahdi, guru Imam Ahmad, katanya: “Tidak ada seorang pun yang bercakap-cakap dalam majlis Abd al-Rahman bin Mahdi, tidak ada seorang pun yang berdiri, tidak ada seorang pun yang mengasah pena dan tidak ada yang tersenyum.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 17/161)
- Menolong dan membantu serta menyelesaikan hajat gurunya apabila gurunya perlu kepada bantuannya dengan ini sudah pasti unsur keberkatan akan menyelubungi kehidupan murid tersebut.
- Tidak berasa hati apatah lagi berdendam kepada gurunya, begitu juga dengan memukul gurunya. Ini kerana, sifat tersebut amat bercanggah dengan nilai dan etika seorang pelajar ilmu.
- Menziarahi gurunya apabila sakit atau mati. Begitu juga jika perlu pada masa hayat gurunya dengan menzahirkan sifat tawaduk sekalipun muridnya sudah menjadi tokoh yang terbilang.
- Tidak sombong serta takabbur kepada gurunya. Begitu juga menjaga adab ketika bersamanya. Saiyidina Ali R.A pernah berkata: “Antara hak orang alim yang mesti kamu tunaikan ialah, kamu hendaklah memberi salam kepada orang ramai secara umum tetapi memberi salam kepadanya secara khusus. Kamu hendaklah duduk di hadapannya dan jangan menggerak-gerakkan isyarat tangan ketika berada di sisinya. Jangan sekali-kali kamu mengenyitkan mata di hadapannya, jangan terlalu banyak bertanya kepadanya, jangan cuba membantunya dalam memberikan sesuatu jawapan, jangan kamu mendesaknya ketika dia rasa malas dan jangan berulang-ulang kali mengajaknya jika dia enggan.” (Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 22)
- Sentiasa bersikap rendah diri kepada guru. Ibn Jama’ah berkata: “Hendaklah seorang murid mengetahui bahawa rendah dirinya kepada seorang guru adalah kemuliaan, dan tunduknya adalah kebanggaan.” (Lihat Tazkirah al-Sami’ wa al-Mutakallim, hlm. 88)
Ibn al-Mu’taz berkata: “Pelajar yang tawaduk dan selalu merendah diri sudah pasti akan mendapat banyak ilmu umpama tanah yang rendah akan mengalir kepadanya air yang lebih banyak.”
- Mencontohi dan meneladani akhlak guru. Imam al-Sam’ani menceritakan bahawa majlis Imam Ahmad bin Hanbal dihadiri oleh lima ribu orang. Lima ratus orang menulis, manakala selainnya hanya ingin melihat dan meniru adab dan akhlak Imam Ahmad. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 11/316)
Selain itu, antara adab dengan guru juga ialah tidak membenci guru, tidak memaki guru, tidak menyakiti guru, tidak menyakiti hatinya, tidak meninggikan suara dengan guru, tidak bermasam muka dengan guru dan tidak menghina guru. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 127)s
Penutup
Al-Quran dan hadith menekankan ketinggian ilmu dan penghormatan kepada guru dalam banyak riwayat yang masyhur. Justeru, sebagai seorang pelajar atau mahasiswa, penghormatan bukan semata-mata diluahkan dengan kata-kata tetapi dengan tindakan dan hati yang mentauqirkan kemuliaan guru.
Lihatlah sejarah bagaimana penghormatan para Sahabat R.Anhum terhadap guru mereka, Rasulullah SAW melalui tindak tanduk dan kesopanan ketika menuntut mutiara ilmu daripada Rasulullah SAW. Sebuah buku kecil yang dinamakan Ayyuhal Walad karangan Imam al-Ghazali, menekankan isu penghormatan murid kepada guru dan juga adab pelajar kepada guru.
Sebagai penutup, kami nukilkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa R.A bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنَ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتِ الْمَاءَ، فَأَنْبَتَتِ الْكَلأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ، وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتِ الْمَاءَ، فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا، وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى، إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لاَ تُمْسِكُ مَاءً، وَلاَ تُنْبِتُ كَلأً، فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقِهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ، فَعَلِمَ وَعَلَّمَ، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا، وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ
Maksudnya: “Bandingan petunjuk dan ilmu yang diutuskan kepadaku ialah seperti hujan yang menimpa bumi. Maka sebahagian daripada bumi itu ada tanah yang subur menyerap air lalu menumbuhkan rumput dan tanaman lain yang banyak. Dan terdapat sebahagian daripadanya tanah yang keras yang tidak menyerap tetapi menakung air. Allah SWT menjadikannya juga bermanfaat kepada manusia lalu mereka minum, memberi minum dan menyiram tanaman dengannya. Dan terdapat pula sebahagian daripadanya tanah yang keras dan rata yang tidak menakung air dan tidak menumbuhkan tanaman.
Itulah bandingan orang yang memahami agama Allah SWT dan mengambil manfaat daripada ajaran yang diutuskan kepadaku lalu dia belajar dan mengajar. Dan juga bandingan orang yang tidak menghiraukan langsung (ilmu yang aku sampaikan itu) serta tidak mahu pula menerima petunjuk yang aku diutuskan membawanya.”
Riwayat Bukhari (79) dan Muslim (2282)
Ibn Qudamah al-Maqdisi berkata: “Hadith di atas menjelaskan mengenai apa yang berlaku ke atas makhluk. Di mana, para fuqaha’ yang memahami adalah umpama tanah yang menerima hujan lalu menumbuhkan tumbuhan. Ini kerana mereka adalah golongan berilmu, faham dan mengajarkannya pula kepada manusia. Golongan ahli hadith tetapi tidak dikurniakan kefahaman dan kesedaran, mereka adalah umpama tanah yang keras dan gersang yang tidak menyerap air tetapi menakungnya sehingga orang yang berada di sisi mereka dapat mengambil manfaat daripadanya. Manakala orang yang mendengar tetapi tidak belajar dan menghafalnya adalah golongan awam yang jahil.” (Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 1/5)
Akhir kalam, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Guru, kepada guru-guru saya dan semua guru. Semoga Allah SWT membalas jasa baik mereka di dunia dan seterusnya melayakkan mereka mendapat kedudukan yang terpuji di akhirat nanti. Amin.