Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-214: SOLUSI RASULULLAH SAW DAN PARA SAHABAT TERHADAP PERTIKAIAN HADHANAH

solusi rasulullah terhadap hadhanah.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Alhamdulillah, pada hari ini 26 September 2019, kami ditaklifkan untuk menyampaikan ucaptama dalam Seminar Kebangsaan Solusi Hadhanah Mahkamah Syariah anjuran Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Justeru, kami merasa terpanggil untuk berkongsi inti pembentangan ucaptama tersebut dalam ruangan Bayan Linnas ini dengan tajuk Solusi Rasulullah SAW dan Para Sahabat Terhadap Pertikaian Hadhanah.

Semoga ia memberi manfaat dan merungkai isu hadhanah yang sentiasa menjadi perbincangan dan kemelut serta pertikaian seolah-olah tidak berkesudahan.

Nilai Anak-Anak dan Keprihatinan Islam

Anak-anak adalah anugerah Allah ﷻ yang paling bernilai dalam hidup manusia. Mereka adalah manifestasi daripada konsep Maqasid al-Syariah yang terkenal iaitu hifz al-nasl. “Hifz al-nasl” boleh diertikan sebagai penjagaan, pemeliharaan dan pemuliharaan keturunan manusia di atas muka bumi ini. Tanpa penjagaan keturunan daripada sudut fizikal, maka manusia akan pupus dan misi utama manusia ke muka bumi untuk memakmurkannya sesuai dengan kehendak Pencipta Yang Maha Esa akan gagal. Manakala daripada sudut rohani dan kemasyarakatan, anak-anak yang lahir bukan daripada hubungan yang sah antara suami dan isteri akibat berleluasanya zina akan menjadi tersisih akibat hilangnya jaminan berbentuk nafkah dan nasab kekeluargaan yang menjadi hak asasi bagi setiap manusia. Firman Allah ﷻ:

أَيَوَدُّ أَحَدُكُمْ أَن تَكُونَ لَهُ جَنَّةٌ مِّن نَّخِيلٍ وَأَعْنَابٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ لَهُ فِيهَا مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ وَأَصَابَهُ الْكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفَاءُ فَأَصَابَهَا إِعْصَارٌ فِيهِ نَارٌ فَاحْتَرَقَتْ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).”

(Surah al-Baqarah: 266)

Dalam ayat ini, Allah ﷻ menjelaskan fitrah manusia yang mengambil berat tentang kebajikan anak-anak mereka khususnya yang masih kecil, lagi memelihara akan mereka daripada apa-apa bentuk kebinasaan. Berkata Imam Abu Muhammad al-Baghawi Rahimahullah:

“Maka apabila seseorang itu meningkat tua, atau menjadi lemah renta, dan memiliki anak-anak yang masih belum pandai berdikari, lalu ladang kebunnya ditimpa ribut taufan berapi lantas habis terbakar, lantas dia menjadi sangat terdesak terhadap kebunnya sedangkan dia sudah tidak mampu untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku, begitu juga daripada usaha anak-anaknya lantaran semuanya masih kecil. Dia pula tidak memiliki simpanan yang boleh diberikan kepada anak-anaknya, dan anak-anak juga tiada apa-apa yang boleh diberikan kepada ayah mereka. Lalu mereka semua ditinggalkan dalam keadaan bingung dan lemah, tanpa ada apa-apa jalan keluar. Seperti itulah Allah membinasakan amalan orang-orang munafik dan riyak sampaikan tiada siapa yang boleh menolong mereka, tidak diterima taubat mereka dan tiada jalan keluar.” Rujuk Ma`alim al-Tanzil (1/364)

Begitulah betapa penting Islam menakan aspek penjagaan keturunan manusia supaya kekal membiak di atas muka bumi Allah ﷻ dalam melaksanakan tugas mereka sebagai Khalifah. Namun, semua cita-cita ini akan musnah seandainya dalam kalangan ibu bapa tidak mempunyai pedoman dalam menguruskan hak penjagaan anak apabila berlaku suatu perceraian. Oleh itu, di sini kami nukilkan pendapat-pendapat para ulama berkenaan hukum hadhanah dan contoh-contoh yang diikuti daripada Nabi ﷺ dan para sahabat baginda. Semoga pencerahan ini memberikan manfaat bagi program ini. InsyaAllah.

 

Definisi Hadhanah

Berikut kami nyatakan beberapa takrif bagi hadhanah:

  • Berkata Syeikh Ali al-Jurjani, “hadhanah” ialah: “تربية الولد” (pengasuhan anak). Rujuk al-Ta`rifat (hlm. 88)
  • Menurut al-Mu`jam al-Wasit (1/182), kalimah "hadhanah" bermaksud:

الْولَايَة على الطِّفْل لتربيته وتدبير شئونه ودور الْحَضَانَة مدارس ينشأ فِيهَا صغَار الْأَطْفَال

“Wilayah kuasa ke atas kanak-kanak untuk mendidiknya dan menguruskan urusannya.”

  • Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab (13/122) menyebut:

الحِضْنُ: مَا دُونُ الإِبْط إِلى الكَشح، وَقِيلَ: هُوَ الصَّدْرُ والعَضُدان وَمَا بَيْنَهُمَا، وَالْجَمْعُ أَحْضانٌ؛ وَمِنْهُ الاحْتِضانُ، وَهُوَ احتمالُك الشيءَ وجعلُه فِي حِضْنِك كَمَا تَحْتَضِنُ المرأَةُ وَلَدَهَا فَتَحْتَمِلُهُ فِي أَحد شِقَّيْها

“Al-Hidhnu ialah bahagian badan di bawah ketiak hingga rusuk. Dikatakan; ia adalah dada dan dua lengan serta kawasan antara keduanya. Kata jamaknya ialah ahdhan. Disebut juga sebagai ihtidhan, yang bererti “engkau menanggung sesuatu dan menjadikannya di bawah jagaan engkau,” seperti mana seorang perempuan menjaga anaknya lalu mendokongnya di salah satu daripada bahagian sisinya.”

  • Berkata al-Nawawi:

الْحَضَانَة بِفَتْح الْحَاء تربية الطِّفْل مَأْخُوذَة من الحضن بِكَسْر الْحَاء وَجمعه أحضان وَهُوَ الْجنب لِأَنَّهَا تضمه إِلَى حضنها يُقَال أحضنت الشَّيْء جعلته فِي حضني وحضنت الصَّبِي

Maksudnya: “al-Hadhanah dengan difatahkan ha’, ialah “pengasuhan kanak-kanak”; ia diambil daripada (kalimah) al-hidhn dengan dikasrahkan had itu dan (perkataan) jamak/pluralnya ialah ahdhan, yang bererti “sisi”, kerana pengasuhan itu mengumpulkan dia (yakni penjaga) bersama individu yang dijaganya. Justeru disebut ahdhantu al-syai’ bermaksud “aku jadikannya dalam jagaan aku” dan hadhantu al-sobiyy ertinya aku menjaga bayi kecil.” Rujuk Tahrir Alfadz al-Tanbih (hlm.30)

  • Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/181):

“Perkataan hadhanah bermakna penjagaan anak. Dari segi bahasa, hadhanah bermaksud tepi atau sisi. Hal ini demikian kerana penjaga anak mengambil anak yang dijaga ke sisinya.”

Manakala menurut definisi istilah Syarak, maksudnya tidak jauh berbeza daripada sudut bahasa

  • Dalam Raudhah al-Talibin (9/98) oleh Imam al-Nawawi, “hadhanah” bererti:

القيام بحفظ من لا يميز ولا يستقل بأمر نفسه وتربيته بما بصليه ووقايته عما يؤذيه

“Mendirikan (hak-hak) dengan menjaga orang yang tidak mumaiyiz dan tidak berdikari untuk dengan urusan diri sendiri, dan mengasuhnya dengan apa yang layak untuknya dan memeliharanya daripada apa yang menyakitinya.”

  • Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah (w.676H) dalam Minhaj al-Tolibin:

حِفْظُ مَنْ لَا يَسْتَقِلُّ وَتَرْبِيَتُهُ

“Penjagaan individu yang tidak dapat berdikari serta mendidik atau mengasuhnya.”

  • Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah (w.977H) menghuraikan definisi di atas dengan kata beliau:

وَشَرْعًا (حِفْظُ مَنْ لَا يَسْتَقِلُّ) بِأُمُورِ نَفْسِهِ عَمَّا يُؤْذِيهِ لِعَدَمِ تَمْيِيزِهِ كَطِفْلٍ وَكَبِيرٍ مَجْنُونٍ (وَتَرْبِيَتُهُ) أَيْ تَنْمِيَةُ الْمَحْضُونِ بِمَا يُصْلِحُهُ بِتَعَهُّدِهِ بِطَعَامِهِ وَشَرَابِهِ وَنَحْوِ ذَلِكَ، وَقَدْ مَرَّ فِي بَابِ الْإِجَارَةِ مِنْ الْكِتَابِ تَفْسِيرُ الْحَضَانَةِ بِمَا هُوَ أَعَمُّ مِنْ ذَلِكَ، وَمُؤْنَةُ الْحَضَانَةِ فِي مَالِ الْمَحْضُونِ، فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ مَالٌ فَعَلَى مَنْ تَلْزَمُهُ نَفَقَتُهُ؛ لِأَنَّهَا مِنْ أَسْبَابِ الْكِفَايَةِ كَالنَّفَقَةِ، وَلِهَذَا ذُكِرَتْ عَقِبَ النَّفَقَاتِ.

“(Makna “hadhanah”) daripada sudut Syarak ialah [menjaga individu yang tidak dapat berdikari] daripada menguruskan diri sendiri, (dan) memeliharanya daripada setiap sesuatu yang menyakitinya lantaran ketidakmampuan jagaan itu untuk melakukan tamyiz (membezakan baik dan buruk), seperti kanak-kanak dan orang gila yang dewasa; [serta mendidik atau mengasuhnya] yakni membesarkan anak jagaan dengan apa yang sesuai dan munasabah, pada perlaksanaannya, dengan memberikan makan, minum dan seumpamnya… dan belanja untuk penjagaan itu datang dari harta anak jagaan, jika tiada baginya harta, maka tanggungjawab itu adalah ke atas individu yang menanggung nafkahnya. Ini kerana penjagaan itu adalah salah satu sebab kifayah seperti nafkah; dan oleh kerana itu bab penjagaan disebut selepas bab nafkah-nafkah.” Rujuk Mughni al-Muhtaj (5/191)

  • Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji:

Menurut Syara’, ianya bermaksud menjaga seseorang yang belum berupaya mengurus diri dan mendidiknya dengan pelbagai cara yang sesuai dengan pembesarannya. Bagi kanak-kanak yang masih kecil, hadhanah berakhir sehingga umur mumayyiz.”

Penjagaan kanak-kanak selepas umur mumayyiz sehingga baligh dinamakan kafalah, yang bermakna memelihara.”

 

Hadis Abdullah bin Amr

Abdullah bin `Amr R.Anhuma meriwayatkan bahawa ketika mana datang seorang wanita lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ ابْنِي هَذَا كَانَ بَطْنِي لَهُ وِعَاءً وَثَدْيِي لَهُ سِقَاءً وَحِجْرِي لَهُ حِوَاءً وَإِنَّ أَبَاهُ طَلَّقَنِي وَأَرَادَ أَنْ يَنْتَزِعَهُ مِنِّي فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي

Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya (tinggal sewaktu mengandung), puting susuku adalah tempat minumnya, dan pangkuanku adalah pelindungnya, sedangkan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya dariku. Lalu Rasulullah bersabda kepadanya: “Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum bernikah.”

Riwayat Abu Daud (2276), al-Baihaqi (15763) dalam Sunan al-Kubra,
Hakim (2830) dalam al-Mustadrak dan beliau mensahihkannya.

Hadis di atas merupakan hadis hukum yang masyhur yang dirujuk oleh para ulama dalam menyusun bab hadhanah dalam kitab-kitab fiqh. Berikut adalah pengajaran yang diperolehi daripada hadis di atas.

 

Tujuan Hukum Hadhanah

Hadis di atas juga jelas menunjukkan bahawa kebajikan atau maslahat anak adalah objektif utama dalam hukum hadhanah. Penjaga mestilah pihak yang boleh mencurahkan kasih sayang secukupnya kepada anak ketika anak itu berada dalam jagaannya. Oleh sebab itu, turutan penjaga itu mesti diberikan kepada pihak waris perempuan terlebih dahulu kerana mereka yang lebih penyayang dan belas kasihan.

Kami petik keterangan dalam al-Fiqh al-Manhaji (2/181-182):

“Hikmah pensyariatan hadhanah adalah untuk mengatur tanggungjawab berkaitan dengan penjagaan dan pendidikan kanak-kanak yang masih kecil.

Ini kerana kemungkinan suami isteri berpisah atau hidup tanpa persefahaman, atau berada dalam kesempitan untuk memberi perhatian dan mendidik anak kecil mereka. Jika keadaan ini dibiarkan, pertikaian mereka tidak akan selesai. Hal ini merupakan satu penganiayaan terhadap kanak-kanak dan mengabaikan kepentingan mereka.

Keadaan ini berkemungkinan menjadi penyebab kehancuran masa depan kanak-kanak itu. Oleh itu, peraturan yang menyeluruh perlu diwujudkan bagi menentukan pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga dan mendidik mereka.

Penentuan penjagaan kanak-kanak tersebut hendaklah berdasarkan keutamaan agar kepentingan mereka tidak terjejas sekiranya berlaku pertikaian atau perselisihan di kalangan penjaga mereka...

Ibu lebih berhak daripada bapa dalam menjaga anak kecil kerana:

  • Kasih dan kesabaran ibu menanggung beban menjaga dan mendidik anak kecil.
  • Ibu lebih berlemah-lembut dalam menjaga dan mendidik anak-anak, di samping mampu memberikan kasih sayang dan belaian yang diperlukan oleh anak-anak kecil.”

 

Siapa Yang Berhak Mendapat Hak Jagaan Anak?

Berdasarkan hadis di atas juga, Islam telah menetapkan bahawa yang paling layak mendapat hak jagaan anak setelah terbubarnya sebuah perkahwinan adalah ibu kepada anak-anak tersebut, selagi mana si ibu tersebut belum berkahwin dengan suaminya yang baru. Sabda Nabi ﷺ: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي menunjukkan bahawa sebelah pihak ibu yang berhak mendapatkan jagaan bagi anak kecil tersebut.

Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, seandainya si ibu didapati oleh pihak mahkamah hilang kelayakan untuk menjaga anak tersebut, maka ianya akan berpindah kepada salah seorang yang berikut[1]:

(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;

(b) bapa;

(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;

(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;

(e) kakak atau adik perempuan seibu;

(f) kakak atau adik perempuan sebapa;

(g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;

(h) anak perempuan dari kakak atau adik seibu;

(i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;

(j) ibu saudara sebelah ibu;

(k) ibu saudara sebelah bapa;

(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari:

Turutan di atas adalah dengan syarat jagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.Ini bertepatan dengan firman Allah ﷻ:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu itu menyusukan anak-anak mereka selama tempoh dua tahun yang lengkap bagi mereka yang mahu menyempurnakan susuan.”

(Surah Al-Baqarah: 233)

Kata Imam al-Qurthubi dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini: ‘’Ayat ini menjadi dalil di sisi Imam Malik bahawa hadhanah (hak penjagaan anak) adalah milik bagi seorang ibu. Maka dia berhak menjaga anak lelaki sehingga tempoh baligh dan anak perempuan sehingga tempoh dia berkahwin. Ia (hak penjagaan anak) adalah milik ibu. Inilah juga pendapat yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah.’’

Imam Al-Syafi’e pula berkata: ‘’Apabila seorang anak lelaki sampai kepada usia lapan tahun iaitu umur tamyiz (mumayyiz), maka dia diberi pilihan antara kedua ibubapanya. Ini kerana anak tersebut pada ketika itu berada dalam keadaan bersemangat untuk mempelajari Al-Quran, adab, tanggungjawab beribadat, dan hal ini sama keadaannya antara anak lelaki dan juga perempuan.’’

Imam Al-Qurthubi menyambung lagi: Imam Al-Nasai’e dan selainnya telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA :

أَنَّ امْرَأَةً جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ لَهُ: زَوْجِي يُرِيدُ أَنْ يَذْهَبَ بِابْنِي، فَقَالَ لَهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:" هَذَا أَبُوكَ وَهَذِهِ أُمُّكَ فَخُذْ أَيَّهُمَا شِئْتَ فَأَخَذَ بِيَدِ أُمِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang perempuan telah datang kepada Nabi SAW lalu berkata kepada baginda: “Suami aku mahu mengambil anak lelaki aku.’’ Maka Nabi SAW berkata kepada anak lelaki tersebut: ‘’Ini adalah bapa kamu dan ini adalah ibu kamu, maka pilihlah yang mana satu yang kamu mahu (untuk bersama)’’. Maka anak tersebut memegang tangan ibunya.”

Beliau turut menukilkan kata-kata Imam Ibn al-Munzir yang menyebut:

أَجْمَعَ كُلُّ مَنْ يُحْفَظُ عَنْهُ مِنْ أَهْلِ الْعِلْمِ عَلَى أَنَّ الزَّوْجَيْنِ إِذَا افْتَرَقَا وَلَهُمَا وَلَدٌ أَنَّ الْأُمَّ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحْ

Maksudnya: “Para ulama telah berijma’ bahawa pasangan suami isteri apabila telah berpisah dan mereka mempunyai seorang anak, bahawa yang paling berhak kepada anak tersebut adalah ibunya selama dia belum berkahwin.”

Demikian juga Abu Umar berkata:

لَا أَعْلَمُ خِلَافًا بَيْنَ السَّلَفِ مِنَ الْعُلَمَاءِ فِي الْمَرْأَةِ الْمُطَلَّقَةِ إِذَا لَمْ تَتَزَوَّجْ أَنَّهَا أَحَقُّ بِوَلَدِهَا مِنْ أَبِيهِ مَا دَامَ طِفْلًا صَغِيرًا لَا يُمَيِّزُ شَيْئًا

Maksudnya: “Aku tidak mengetahui sebarang khilaf sesama para ulama salaf dalam isu seorang wanita yang diceraikan dan belum berkahwin bahawa dia lebih berhak ke atas anaknya berbanding bapanya selama mana anak tersebut masih kecil dan tidak boleh membezakan sesuatu (belum mumayyiz).”

Kata Imam Ibn Al-Munzir:

وَقَدْ أَجْمَعَ كُلُّ مَنْ يُحْفَظُ عَنْهُ مِنْ أَهْلِ الْعِلْمِ عَلَى أَلَّا حَقَّ لِلْأُمِّ فِي الْوَلَدِ إِذَا تَزَوَّجَتْ

Maksudnya: “Para ulama telah berijma’ bahawa tidak ada hak bagi seorang ibu ke atas anaknya (dari sudut hadhanah) apabila dia berkahwin.”

Namun, terdapat juga pendapat yang mengatakan tidak gugur hadhanah dengan perkahwinan seperti mana yang dinaqalkan oleh Imam al-Qurtubi.Ini adalah pendapat yang dikemukakan oleh Al-Qadhi Abdul Wahhab daripada Al-Hasan al-Basri beliau berkata:

لَا يَسْقُطُ حَقُّهَا مِنَ الْحَضَانَةِ بِالتَّزَوُّجِ

Maksudnya: “Tidak gugur hak ibu dari hadhonah dengan perkahwinan.”

Di sisi ulama Syafieyyah, perkahwinan ibu tidak membatalkan hak penjagaan anak dalam dua keadaan;

  • Bapa kepada kanak-kanak itu dan bapa tirinya bersetuju supaya anak itu tinggal bersama-sama ibunya. Keadaan ini mengekalkan hak ibu menjaga anak tersebut dan menggugurkan hak nenek.
  • Suami yang baru kepada ibu ialah kaum keluarga anak itu dan termasuk di kalangan mereka yang mempunyai hak penjagaan terhadapnya, sekalipun susur jalur kekeluargaannya jauh. Dalam keadaan ini, hak ibu menjaga anaknya tidak gugur jika suami bersetuju menjaganya. Ini kerana suami mempunyai hak penjagaan terhadap anak tersebut. Di samping itu, dia juga mempunyai perasaan kasih sayang yang mendorongnya bekerjasama dengan isteri bagi menjaga dan memberikan perhatian kepada anak tersebut. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (2/188)

 

Kelayakan Yang Diperlukan Untuk Jagaan[2]

Hadis di atas juga mengisyaratkan bahawa seseorang yang mempunyai hak mengasuh seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika:

(a) dia adalah seorang Islam;

Justeru, di sisi mazhab Imam Syafie sekiranya kanak-kanak itu seorang Islam kerana mengikuti ayah atau ibunya, maka tidak sabit hadhanah bagi pihak yang bukan Islam, kerana hadhanah itu adalah wilayah, sedangkan tiada wilayah kekuasaan bagi orang kafir ke atas orang Islam. Ini berdalilkan firman Allah Taala:

وَلَن يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Nisa’: 141)

Larangan ini juga disebabkan jika hadhanah ke atas seorang kanak-kanak Muslim jatuh kepada orang bukan Islam, berkemungkinan kanak-kanak itu akan dipengaruhi akan agamanya; daripada Islam kepada agama selainnya.

Mereka juga berdalilkan firman Allah Taala:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ

Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.

(Surah al-Tur: 21)

Adapun hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abdul Hamid bin Jaafar yang menyebut:

أَخْبَرَنِي أَبِي عَنْ جَدِّي رَافِعِ بْنِ سِنَانٍ أَنَّهُ أَسْلَمَ وَأَبَتْ امْرَأَتُهُ أَنْ تُسْلِمَ فَأَتَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ ابْنَتِي وَهِيَ فَطِيمٌ أَوْ شَبَهُهُ وَقَالَ رَافِعٌ ابْنَتِي قَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اقْعُدْ نَاحِيَةً وَقَالَ لَهَا اقْعُدِي نَاحِيَةً قَالَ وَأَقْعَدَ الصَّبِيَّةَ بَيْنَهُمَا ثُمَّ قَالَ ادْعُوَاهَا فَمَالَتْ الصَّبِيَّةُ إِلَى أُمِّهَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ اهْدِهَا فَمَالَتْ الصَّبِيَّةُ إِلَى أَبِيهَا فَأَخَذَهَا

Maksudnya: Bapaku telah menceritakan kepada aku berkenaan datukku Rafi’ bin Sinan, bahawa dia telah memeluk Islam, sedangkan isterinya (nenekku) enggan berbuat demikian. Maka nenekku telah berjumpa Nabi SAW dan berkata “Ini adalah anakku, dan dia baru saja berhenti dari menyusu denganku (fathim). Maka Baginda SAW menyuruh datukku untuk duduk di satu sudut, dan menyuruh nenekku untuk duduk di satu sudut yang lain, dan meletakkan anak kecil itu di antara mereka berdua. Kemudian Nabi SAW berkata “Biarkannya (memilih).” Maka anak kecil itu pun menuju ke arah ibunya. Kemudian Nabi SAW berdoa “Ya Allah berilah hidayah kepadanya (anak kecil).” Kemudiannya anak kecil itu menuju ke arah bapanya, dan dia pun mengambilnya.     

Riwayat Abu Daud (no.2244); Ahmad (no.23122) dalam Musnad; al-Nasa’ie (no.3495);
al-Daruqutni (no.2530); al-Baihaqi (no.1341) dalam Sunan al-Kubra;
dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (no.2754)

Berkata Imam Ibn Ruslan dalam Syarah Sunan Abi Dawud (10/41): “Istidlal daripada hadis ini menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mumaiyiz apabila ibu bapanya berpisah dalam hal keadaan kedua-duanya layak untuk membelanya (secara kafalah) dan kedua-duanya tinggal dalam satu negeri yang sama, maka ke atas anak itu hak memilih salah seorang daripada keduanya, sama ada anak itu lelaki atau perempuan. Ibn al-Qasim, Abu Thaur dan Ashab al-Ra’iy beristidlal dengan riwayat ini bahawa ibu yang bukan Islam mendapat hadanah anak yang Islam dan jika anak itu mumaiyiz dia boleh memilih antara ibu yang bukan Islam dan ayah yang Islam. Manakala berkata Malik, al-Syafie dan Ahmad: Tiada hadhanah bagi orang perempuan kafir ke atas Muslim, dan tidak boleh memilih antara keduanya, bahkan Muslim lebih berhak terhadap anak itu.”

Dalam hadis lain daripada Rafi’ bin Sinan RA bahawa dia telah menganut Islam, namun isterinya enggan (menganut Islam). Lalu dibawa kepada Nabi ﷺ anak kecil mereka dan berkata bahawa anak ini masih menyusu atau seumpama dengannya. Rafi’ berkata: “Anak perempuanku.” Nabi ﷺ berkata kepadanya:

اقْعُدْ نَاحِيَةً، وَقَالَ لَهَا: اقْعُدِي نَاحِيَةً، قَالَ: وَأَقْعَدَ الصَّبِيَّةَ بَيْنَهُمَا، ثُمَّ قَالَ: ادْعُوَاهَا، فَمَالَتِ الصَّبِيَّةُ إِلَى أُمِّهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللَّهُمَّ اهْدِهَا، فَمَالَتِ الصَّبِيَّةُ إِلَى أَبِيهَا، فَأَخَذَهَا

Maksudnya: “Duduklah kamu di satu sudut (Nabi SAW meletakkan si bapa di satu sudut). Nabi SAW berkata kepada si ibu pula: Duduklah kamu di satu sudut yang lain. Lalu Nabi SAW meminta keduanya untuk memanggil anak mereka. Setelah itu, anak tersebut cenderung kepada ibunya. Lalu Nabi SAW pun berdoa, “Ya Allah berikannya (anak kecil tersebut) petunjuk.” Maka dengan itu, anak tersebut cenderung kepada bapanya dan dengan itu dia (si bapa) mengambilnya (mengambil hak penjagaan anak tersebut).”

Riwayat Abu Daud (2244). Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai
hadith ini sebagai sahih dan perawinya adalah thiqah.

Imam al-Khattabi di dalam kitabnya dalam memahami hadith ini, bahawa jika berlaku perselisihan di antara orang Islam dan bukan Islam dalam penjagaan anak, maka orang Islam adalah lebih berhak dengannya dan ini merupakan pandangan Imam al-Syafie. Lihat Ma’alim al-Sunan (3/262).

Jumhur ulama (al-Hanafiyyah, al-Syafi’iyyah dan al-Hanabilah) berpandangan, anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam itu ibu ataupun bapa. Manakala mazhab al-Malikiyyah pula berpendapat, anak-anak mengikut agama bapa, tanpa mengira bapa itu Islam ataupun tidak. Manakala pendapat Sufyan al-Thauri bahawa kanak-kanak berkenaan diberikan pilihan selepas dia baligh untuk mengikut agama ibu atau agama bapanya. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/271).

Begitu juga dalam soal hadhanah, ulama mazhab Maliki dan Hanafi tidak mensyaratkan Islam ke atas penjaga wanita. Justeru, boleh jadi hak penjagaan seseorang kanak-kanak itu diberikan kepada wanita yang bukan Islam tetapi status agama anak itu kekal sebagai Islam. Disebut dalam al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (17/305-306):

أَمَّا عِنْدَ الْمَالِكِيَّةِ فِي الْمَشْهُورِ عِنْدَهُمْ وَعِنْدَ الْحَنَفِيَّةِ بِالنِّسْبَةِ لِلْحَاضِنَةِ الأُْنْثَى، فَلاَ يُشْتَرَطُ الإْسْلاَمُ إِلاَّ أَنْ تَكُونَ الْمَرْأَةُ مُرْتَدَّةً، لأِنَّهَا تُحْبَسُ وَتُضْرَبُ - كَمَا يَقُول الْحَنَفِيَّةُ - فَلاَ تَتَفَرَّغُ لِلْحَضَانَةِ.أَمَّا غَيْرُ الْمُسْلِمَةِ - كِتَابِيَّةً كَانَتْ أَوْ مَجُوسِيَّةً - فَهِيَ كَالْمُسْلِمَةِ فِي ثُبُوتِ حَقِّ الْحَضَانَةِ، قَال الْحَنَفِيَّةُ: مَا لَمْ يَعْقِل الْمَحْضُونُ الدِّينَ، أَوْ يُخْشَى أَنْ يَأْلَفَ الْكُفْرَ فَإِنَّهُ حِينَئِذٍ يَنْزِعُ مِنْهَا وَيُضَمُّ إِلَى أُنَاسٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ، لَكِنْ عِنْدَ الْمَالِكِيَّةِ إِنْ خِيفَ عَلَيْهِ فَلاَ يَنْزِعُ مِنْهَا، وَإِنَّمَا تُضَمُّ الْحَاضِنَةُ لِجِيرَانٍ مُسْلِمِينَ لِيَكُونُوا رُقَبَاءَ عَلَيْهَا

“Adapun di sisi Malikiyyah dan seumpamanya daripada mazhab Hanafiah dengan nisbah kepada penjaga perempuan, maka tidak disyaratkan Islam, melainkan jika penjaga perempuan itu seorang yang murtad, kerana keadaannya yang dipenjara atau disebat – mengikut pendapat Hanafiah – maka ia tidak layak untuk hadhanah. Adapun selain wanita Muslim seperti Kitabiyyah atau Majusiyyah maka hukumnya sama seperti Muslimah pada thabitnya hak hadanah. Berkata ulama Hanafi: itu selama mana anak jagaan itu tidak mencapai akal tentang agama, atau menjadi cenderung kepada kekafiran, maka ketika itu dipisahkan dari penjaga wanita bukan Islam dan dikumpulkan bersama orang Islam yang lain. Akan tetapi di sisi Malikiyyah sekalipun jika ditakuti cenderung kepada kekafiran sekalipun tetap tidak boleh dipisahkan, sebaliknya hendaklah dikumpul penjaga perempuan bukan Islam itu bersama jiran yang Muslim supaya rapat dengan anak jagaannya yang Muslim itu.”

(b) dia adalah sempurna akal;

(c) dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;

(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan

(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

 

Tempoh Jagaan

Daripada zahir hadis di atas juga menunjukkan bahawa hak hadhanah terikat dengan status bayi atau kanak-kanak tersebelum sebelum mumayyiz. Apabila anak jagaan itu mumayyiz, iaitu bolehnya kanak-kanak tersebut menyelesaikan urusannya yang khusus tanpa memerlukan bantuan orang lain seperti boleh makan dan minum dengan sendiri, boleh menguruskan diri sendiri ketika qadha’ hajat, membersihkan dirinya dari kotoran dan juga bleh melakukan ibadah taharah (bersuci) daripada wudhu’ dan sebagainya, maka berubahlah ia menjadi kafalah.

Kalimah “kafalah” pula merujuk kepada hak penjagaan bagi kanak-kanak yang sudah mumaiyiz. Beza antara hadhanah dan kafalah ialah kanak-kanak yang sudah mumaiyiz berhak untuk memilih antara orang-orang yang layak menjaganya seperti ibu atau bapa, yang sudah berpisah untuk menjadi penjaganya. Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie 4/305-315

Penetapan umur bagi mumayyiz itu setelah sampai umurnya 7 tahun kerana pada kebiasaannya pada umur inilah kanak-kanak itu dikira sebagai mumayyiz. Boleh jadi juga setelah sampai umurnya 8 tahun mengikut keadaan kanak-kanak tersebut dan mumayyiz ini bukanlah semata-mata ditentukan dengan nilaian umur. Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e (4/306-307).

Daripada Abu Hurairah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيَّرَ غُلَامًا بَيْنَ أَبِيهِ وَأُمِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi ﷺ memberikan pilihan kepada seorang ghulam antara bapanya dan ibu”

Riwayat al-Tirmidzi (1357)

Kata al-Tirmidzi hadis ini hasan sahih. Menurut beliau, hadis ini diamalkan oleh sebahagian ahli ilmu daripada kalangan para sahabat Nabi ﷺ dan selain mereka bahawa seorang kanak-kanak itu diberikan pilihan antara ibu bapanya jika berlaku pertikaian antara kedua-duanya tentang penjagaan anak. Inilah pendapat Ahmad dan Ishak. Mereka berkata: “Selama mana anak itu masih kecil maka ibulah yang berhak dengannya, maka setelah mencapai umur ghulam iaitu tujuh tahun makan diberikan pilihan antara ibu bapanya.”

Di dalam hadith yang lain, Rasulullah ﷺ bersabda:

فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ زَوْجِى يُرِيدُ أَنْ يَذْهَبَ بِابْنِى، وَقَدْ سَقَانِى مِنْ بِئْرِ أَبِى عِنَبَةَ وَقَدْ نَفَعَنِى. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اسْتَهِمَا عَلَيْهِ. فَقَالَ زَوْجُهَا: مَنْ يُحَاقُّنِى فِى وَلَدِي، فَقَالَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَذَا أَبُوكَ، وَهَذِهِ أُمُّكَ، فَخُذْ بِيَدِ أَيِّهِمَا شِئْتَ فَأَخَذَ بِيَدِ أُمِّهِ فَانْطَلَقَتْ بِهِ

Maksudnya: “Seorang perempuan menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasululllah! Bekas suamiku ingin mengambil anakku. Anakku telah memberiku minum daripada telaga Abu ‘Inabah. Sesungguhnya, dia amat berguna kepadaku.” Rasulullah SAW bersabda: “Buatlah undian.” Maka bekas suami perempuan tersebut berkata: “Sesiapa yang boleh menghalangku daripada anakku!” Rasulullah SAW bersabda: “Ini bapamu dan ini pula ibumu, peganglah tangan siapa yang kamu pilih.” Lalu, anak tersebut pun memegang tangan ibunya dan mengikutnya pulang.”

Riwayat Abu Daud (2277)

Hadis ini dihuraikan ulama seperti berikut:

“Telaga Abu `Inabah ialah telaga yang terletak di suatu tempat yang jauh. Maksud perempuan tersebut berkata: “Anakku telah memberiku minum daripada telaga Abu `Inabah” ialah anaknya sedang meningkat remaja dan mampu menolongnya.” Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (2/185)

Terdapat beberapa riwayat daripada sahabat Nabi SAW yang menceritakan tindakan mereka apabila berhadapan dengan isu penjagaan anak ini. Justeru, di sini kami nukilkan beberapa riwayat daripada sahabat yang terdapat di dalam Sunan al-Kubra oleh Imam al-Baihaqi. Antaranya:

  • Daripada ‘Umarah al-Jarmiy berkata:

خَيَّرَنِي عَلِيٌّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، بَيْنَ أُمِّي، وَعَمِّي، ثُمَّ قَالَ لِأَخٍ لِي أَصْغَرَ مِنِّي: وَهَذَا أَيْضًا لَوْ قَدْ بَلَغَ مَبْلَغَ هَذَا لَخَيَّرْتُهُ،

Maksudnya: “Ali RA pernah memberiku pilihan di antara ibuku dan juga bapa saudaraku. Kemudian dikatakan kepada saudaraku yang lebih kecil daripadaku: Hal ini juga sekiranya ia sampai ke tahap ini maka aku akan memberinya pilihan.”

Riwayat al-Baihaqi (15761)

  • Daripada Abd al-Rahman bin Ghanmin berkata:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ خَيَّرَ غُلَامًا بَيْنَ أَبِيهِ وَأُمِّهِ

Maksudnya: “Umar bin al-Khattab pernah memberi pilihan kepada seorang anak kecil di antara ayah dan ibunya.”

Riwayat al-Baihaqi (15762)

  • Daripada Abu Maimunah Sulaim yang merupakan hamba daripada penduduk Madinah dan dia merupakan seorang yang jujur telah berkata:

بَيْنَمَا أَنَا جَالِسٌ مَعَ أَبِي هُرَيْرَةَ جَاءَتِ امْرَأَةٌ فَارِسِيَّةٌ مَعَهَا ابْنٌ لَهَا، فَادَّعَيَاهُ وَقَدْ طَلَّقَهَا زَوْجُهَا، فَقَالَتْ: يَا أَبَا هُرَيْرَةَ رَطَنَتْ بِالْفَارِسِيَّةِ زَوْجِي يُرِيدُ أَنْ يَذْهَبَ بِابْنِي، فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: اسْتَهِمَا عَلَيْهِ وَرَطَنَ لَهَا بِذَلِكَ فَجَاءَ زَوْجُهَا، فَقَالَ: مَنْ يُحَاقُّنِي فِي وَلَدِي؟ فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: اللهُمَّ إِنِّي لَا أَقُولُ هَذَا، إِلَّا أَنِّي سَمِعْتُ امْرَأَةً جَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَنَا قَاعِدٌ عِنْدَهُ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ زَوْجِي يُرِيدُ أَنْ يَذْهَبَ بِابْنِي، وَقَدْ سَقَانِي مِنْ بِئْرِ أَبِي عِنَبَةَ، وَقَدْ نَفَعَنِي، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اسْتَهِمَا عَلَيْهِ، فَقَالَ زَوْجُهَا: مَنْ يُحَاقُّنِي فِي وَلَدِي؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَذَا أَبُوكَ، وَهَذِهِ أُمُّكَ، فَخُذْ بِيَدِ أَيِّهِمَا شِئْتَ، فَأَخَذَ بِيَدِ أُمِّهِ فَانْطَلَقَتْ بِهِ

Maksudnya: “Ketika aku sedang duduk bersama dengan Abu Hurairah. Tiba-tiba datang seorang wanita Parsi dan bersamanya anak lelaki yang mana keduanya (suami dan isteri) menginginkan anak tersebut sedangkan dia (isteri) telah diceraikan oleh suaminya. Wanita itu berkata dengan menggunakan bahasa Parsi: “Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya suamiku ingin membawa anakku pergi.” Kemudian Abu Hurairah berkata dengan bahasa yang asing: “Kamu berdua perlu membuat undian.” Setelah itu, suaminya muncul dan berkata: “Siapakah yang menyelisihiku mengenai anakku.” Abu Hurairah berkata lagi: “Ya Allah! Sesungguhnya aku tidak mengatakan hal ini melainkan aku telah mendengar bahawa seorang wanita pernah datang kepada Rasulullah SAW dan aku ketika itu berada di sisi Baginda SAW. Lalu wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya suamiku hendak pergi membawa anakku. Sedangkan anakku telah mengambil air minum daripada telaga Abu ‘Inabah dan ia sangat bermanfaat bagiku. Rasulullah SAW kemudian berkata: “Kamu berdua perlu membuat undian.” Setelah itu, suaminya berkata: “Siapakah yang menyelisihiku mengenai anakku.” Nabi SAW berkata: “Ini ayahmu dan ini ibumu. Ambillah tangan siapa sahaja daripada keduanya yang kamu sukai.” Lalu anak itu mengambil tangan ibunya dan wanita itu pun pergi dengan membawa anak tersebut.”

Riwayat al-Baihaqi (15758)

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami mendapati bahawa sikap Rasulullah ﷺ dan Para Sahabat – ridhwanullah alaihin – ketika menyelesaikan isu hadhanah sentiasa mengutamakan kebajikan anak dan memastikan kanak-kanak itu mendapat asuhan, pendidikan, pembiayaan dan tempat tinggal terbaik untuk tumbesaran dirinya. Kebajikan itu pula tidak terhadap kepada maslahat yang bersifat duniawi semata-mata, bahkan memastikan pemeliharaan itu seimbang dengan maslahat ukhrawi juga. Dalam bahasa yang lebih jelas, hukum hakam hadhanah tidak boleh lari daripada aplikasi Maqasid al-Syariah yang jelas menunjukkan bahawa tujuan Syarak adalah untuk menjaga nyawa kanak-kanak daripada terbiar akibat perpisahan yang berlaku antara ibu bapa. Marilah kita renungi firman Allah ﷻ dalam Surah al-Nisa’ ayat ke-9:

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

Maksudnya: “Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).”

 

Nota Hujung:

[1] Ini sepertimana yang termaktub di dalam Akta 303, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Bahagian VII – Jagaan (Hadhanah Atau Jagaan Kanak-Kanak), Seksyen 81 (Orang yang berhak menjaga kanak-kanak)

 

[2] Dalam konteks Wilayah-Wilayah Persekutuan, Akta 303, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Bahagian VII – Jagaan (Hadhanah Atau Jagaan Kanak-Kanak), Seksyen 82 (Kelayakan yang perlu untuk jagaan)