Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

BL227

Mukaddimah

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian. Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ R.A:

 ‏‏ إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ ‏‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah S.W.T menurunkan penyakit dan menurunkan ubat dan menjadikan bagi setiap penyakit ada penawar baginya, maka berubatlah dan janganlah berubat dengan perkara yang haram (di sisi syarak)”.

Riwayat Abu Daud (3874)

PENGENALAN

Sel stem ialah sel yang belum membeza. Sel stem berlainan daripada sel-sel khusus di dalam badan kita seperti sel saraf, sel otot dan sel darah. Sel stem mampu membeza kepada pelbagai jenis sel dan tisu. Di dalam tubuh manusia, sel stem berfungsi sebagai sistem pemulihan dalaman semasa pertumbuhan awal dan di sepanjang hayat. Apabila sel stem membahagi, ia berpotensi membeza kepada sel dengan fungsi yang lebih khusus, contohnya sel darah merah atau sel saraf. Secara ringkasnya, sel stem boleh membina tisu bila dan di mana diperlukan dalam badan kita [1]. 

Terdapat dua punca utama sel stem, iaitu sel stem dewasa dan sel stem embrio.

Pertama: Sel stem embrionik manusia (Human Embryonic Stem Cells, hESCs). Ia berasal dari embrio manusia (blastocyst) yang dijanakan melalui prosedur persenyawaan in vitro (in vitro fertilisation, IVF). Embrio dibekalkan oleh klinik rawatan kesuburan dengan persetujuan penderma. Ia juga boleh diperoleh melalui teknologi pengklonan (pemindahan nuklear sel somatik) [2].

Kedua: Sel stem dewasa (Somatic Stem Cell). Ia biasa dijumpai dalam tisu tertentu dan biasanya tumbuh untuk menggantikan tisu yang khusus di persekitarannya. Secara asasnya, ia merupakan sel belum membeza di kalangan sel-sel khusus. Sel stem dewasa boleh diperolehi daripada janin yang gugur, darah tali pusat, sum-sum tulang, darah dan otak. Sel-sel ini kurang mampu bertukar menjadi sel-sel khas berbanding dengan sel stem embrionik. Bilangannya agak kurang dan kadangkala sukar diperolehi (contohnya, daripada bahagian otak dan retina mata) [3].

Peranan utama sel stem ini ialah membaiki atau menggantikan tisu-tisu yang rosak. Sebagai contoh, sel stem dalam sum-sum tulang membeza kepada beberapa jenis sel darah. Keupayaan sel stem ini membolehkan pemindahan sum-sum tulang daripada penderma kepada penerima untuk menjana semula sistem darah [4].

FAEDAH SEL STEM DALAM RAWATAN TERAPEUTIK

Terdapat beberapa aplikasi sel stem yang telah pun dikaji dan berjaya dalam percubaan klinikal pada hari ini. Antara faedah sel stem yang telah dicapai dalam rawatan terapeutik pada masa ini ialah:

  • Membaiki atau menggantikan tisu yang rosak atau berpenyakit. Contohnya merawat penyakit jantung, osteoatritis,alzheimer, parkinson, kecederaan saraf tunjang, indikasi otopedik, strok, kegagalan hati dan fibrosis paru.
  • Modulasi Imun atau Pembinaan Semula Imun. Contohnya merawat tulang belakang kecederaan saraf, penyakit kron, penyakit geraf lawan badan dan diabetes jenis I.
  • Merawat penyakit berkaitan darah seperti sickle-cell anaemia, thalassaemia, leukimia, lymphoma dan myeloma.
  • Membaiki Luka dan Tisu Lembut. Contohnya merawat luka kulit, penyakit permukaan mata, kecacatan epitelium yang berterusan, penggantian sel untuk menghasilkan insulin untuk penyakit diabetes dan hemofilia.
  • Menjana Semula Selaput Organ seperti selaput hati, selaput pankreas dan selaput gastrointestinal.
  • Merawat penyakit berkaitan mata seperti penggantian selaput kornea[5].

Justeru, penggunaan sel stem telah memberi manfaat yang besar kepada bidang perubatan dan membawa kemaslatan kepada kehidupan manusia dalam menjaga nyawa dan menambah baik kualiti kehidupan dan kesihatan tubuh badan mereka.

RAWATAN MENGGUNAKAN SEL STEM DI MALAYSIA

Di Malaysia, sejarah tercatat sekitar 1997 apabila Hospital Universiti (ketika itu) melakukan pemindahan sel stem darah tali pusat kepada seorang kanak-kanak pesakit talasemia major yang didermakan oleh adiknya yang baru lahir [6]. Begitu juga pada tahun 2005, buat pertama kalinya Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berjaya melakukan pemindahan sel stem darah periferal alogenik daripada penderma yang tidak mempunyai hubungan persaudaraan dengan pesakit yang menderita penyakit leukemia [7].

Rawatan atau terapi Sel Stem digunakan secara meluas dalam bidang klinikal di Malaysia bagi merawat penyakit-penyakit kronik. Kaedah ini disebut sebagai transplant atau pemindahan. Kaedah pemindahan yang terkenal pada masa kini adalah pemindahan sel stem dewasa dan pemindahan sel stem plasenta. Bagi pemindahan sel stem dewasa, ia terbahagi kepada dua iaitu sel stem dari tulang sum-sum dan sel stem dari darah. Bagi pemindahan plasenta pula, ia lebih kepada pemindahan sel stem dari darah tali pusat. Maklumat lanjut mengenai jenis pemindahan sel stem ini adalah seperti di dalam jadual berikut:

Pemindahan Sel Stem Dewasa Sel Stem dari Tulang Sumsum

Pemindahan Sel Stem Dewasa Sel Stem dari Darah

Pemindahan Sel Stem Tali Pusat Sel Stem dari Darah Tali Pusat

Rawatan atau terapi sel stem yang paling terkenal. Cara ini digunakan secara meluas untuk merawat leukemia, kanser dan pelbagai jenis penyakit darah. Sel stem dari tulang sum-sum akan diekstrak keluar dari badan pesakit [8].

Peripheral Blood Stem Cells (PBSC) atau Sel Stem Darah Periferal. Walaupun kebanyakan darah sel stem berada di dalam tulang sumsum kita, sebilangan juga hadir dalam aliran darah kita. Sel stem dari darah juga boleh digunakan seperti sel stem dari tulang sumsum kita untuk merawat penyakit seperti leukemia, kanser dan penyakit darah. Darah dari pesakit sendiri atau penderma digunakan [9].

Sel stem darah tali pusat, iaitu, sel stem hemopoietik (HSC) atau lebih dikenali dengan nama Cord Blood Stem Cells. Ianya diperolehi dari tali pusat bayi yang baru lahir iaitu darah yang masih tertinggal di dalam tali pusat dan di dalam uri selepas kelahiran bayi. Darah tali pusat mempunyai sel stem yang berharga yang boleh dikrioawet untuk kegunaan terapi perubatan. Ianya mengandungi sel stem hematopoetik (HSC) yang muda dan fleksibel serta belum terdedah kepada pencemarana alam sekitar. Ianya juga mempunyai padanan 100% untuk kegunaan diri sendiri dan kebarangkalian padanan yang tinggi dengan ahli keluarga [10]. Setakat ini ia berpotensi untuk merawat lebih 80 jenis penyakit[11].

Rajah 1.0 Jenis Pemindahan Sel Stem

Antara penggunaan sel stem yang paling popular Malaysia ialah sel stem tali pusat. Ini dapat dilihat pada hari ini, darah tali pusat yang disimpan di dalam bank mula mendapat perhatian pelbagai pihak setelah usaha menyebarkan kebaikan dan kepentingan darah ini kepada masyarakat dilakukan secara telus. Melalui bank darah tali pusat oleh Pusat Darah Negara yang disediakan oleh kerajaan, setiap ibu bapa boleh menyimpan aset biologi ini dengan lebih selamat dan terancang untuk jangka masa panjang yang berpotensi menyelamatkan nyawa bayi dan ahli keluarga yang lain sekiranya diperlukan.

HUKUM MENGGUNAKAN STEM SEL DALAM RAWATAN TERAPEUTIK DAN PENYELIDIKAN

Hukum dan masalah penggunaan sel stem tidak disebut secara jelas dalam kitab-kitab fiqh yang lampau. Hal ini berkemungkinan disebabkan ianya suatu benda baru yang belum ditemui berdasarkan teknologi pada zaman tersebut. Oleh itu, ia merupakan suatu penemuan baru yang diperoleh hasil daripada kemodenan teknologi sejajar dengan zaman. Justeru ia termasuk dalam bab fiqh al-nawazil (fiqh kontemporari) yang dibahaskan oleh para ulama’ mu’asarah dan sarjana Islam masa kini. Maka, berlaku perubahan hukum selari dengan perkembangan teknologi sebagaimana kata-kata Ibn al-Qayyim: “Tidak boleh diingkari perubahan hukum disebabkan perubahan zaman, tempat dan keadaan [12]. Oleh itu, jika terdapat rawatan yang mampu merawat sesuatu penyakit yang berkaitan maka kita boleh mendapat rawatan tersebut selari dengan maqasid al-syariah yang menjaga nyawa manusia.

Oleh yang demikian, para ulama’ mu’asarah mengatakan hukum menggunakan stem sel dalam rawatan terapeutik dan penyelidikan adalah harus berdasarkan ayat al-quran dan hadis yang menganjurkan manusia untuk berubat dan menyediakan perubatan yang berkualiti demi kemaslahatan masyarakat. Di antaranya ialah:

Firman Allah S.W.T:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْر

Maksudnya: “Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran”.

(Surah al-Baqarah: 185)

Berkata Muhammad Rashid bin Ali Redha ketika menghuraikan ayat di atas “Sesungguhnya Allah menjadikan agama ini mudah dan tidak ada kesusahan padanya” [13]. Oleh itu, sekiranya perbuatan mengambil dan menggunakan sel stem adalah dilarang untuk tujuan perubatan, maka ia boleh mendatangkan kesusahan bagi seseorang untuk mendapatkan rawatan tertentu, sedangkan Islam adalah agama yang datang untuk membawa kemudahan kepada umatnya. 

Firman Allah S.W.T:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tolong menolong atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusahan”.

(Surah al-Ma'idah: 2)

Imam Ibnu Kathir menyatakan daripada ayat ini Allah menyuruh hamba-hambanya yang beriman untuk tolong-menolong di atas perkara kebaikan dan ketaatan dan meninggalkan segala bentuk kemungkaran serta tolong-menolong di atas perkara dosa dan kebatilan [14]. Justeru, perbuatan mengambil dan memanfaatkan sel stem untuk tujuan perubatan dan penyelidikan adalah salah satu bentuk tolong-menolong dalam perkara yang kebaikan dan ketaqwaan samada bagi diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Bahkan ia dapat menatijahkan suatu kajian klinikal yang memberi kesan optimum dalam bidang sains kesihatan lantas memberi suntikan baru di dalam dunia perubatan kepada masyarakat di seluruh dunia.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

ما أنزل الله داء إلا أنزل له شفاء

Maksudnya: “Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan Allah menurunkan penawar baginya”.

Riwayat al-Bukhari (5678)

Hadis di atas menunjukkan bahawa perubatan itu ialah suatu perkara yang diharuskan dan dianjurkan oleh syarak [15], justeru menggunakan sel stem adalah suatu bentuk perubatan dan ianya diharuskan selagi mana tidak bercanggah dengan apa yang ditetapkan oleh syarak.

Selain itu, kaedah fikah ada menyebutkan:

المشقة تجلب التيسير 

Maksudnya: “Suatu kesusahan itu dapat membawa kepada kesenangan” [16]. 

Justeru, sesungguhnya dalam menggunakan sel stem itu suatu bentuk kemudahan bagi seorang mukallaf dan boleh mengangkat kesusahan daripada mereka. Selain itu, Allah menciptakan tubuh badan dan sel-sel yang pelbagai dalam diri manusia dan setiap satunya mempunyai tugasnya yang tersendiri [17]. Penemuan sains pada hari membuktikan sel stem mempunyai sangat banyak fungsi dan boleh merawat lebih daripada 80 jenis penyakit.

Justeru, melalui dalil-dalil yang telah disebutkan, hukum menggunakan sel stem dalam rawatan terapeutik dan perubatan adalah harus dan ia adalah untuk mencapai kemaslahatan bagi umat manusia dan merawat pelbagai jenis penyakit yang wujud hari ini.

HUKUM MENDAPATKAN SEL STEM DEWASA DAN EMBROINIK

Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, terdapat dua punca utama dalam sel stem iaitu sel stem dewasa dan sel stem embroinik. Para ulama’ mua’sarah bersepakat menyatakan keharusan menggunakan sel stem dewasa berdasarkan keumuman dan dalil-dalil yang telah disebutkan sebelum ini.

Namun begitu mereka berbeza pandangan dalam menentukan hukum mendapatkan sel stem embroinik. Hal ini kerana para ulama’ empat mazhab berbeza pandangan dalam menentukan hukum yang berkaitan dengan janin yang gugur sebelum 40 hari. Para ulama' telah berselisih pandangan dalam hal ini kepada dua pendapat:

Pendapat Pertama: Harus Menggugurkan Janin yang Kurang Daripada 40 hari.

Berkata Imam Kamal Ibn al-Humam: “Diharuskan untuk menggugurkan kandungan sekiranya masih belum terlihat rupa kejadiannya”[18].

Berkata Imam al-Qalyubi: “Benar, diharuskan untuk menggugurkannya meskipun dengan bantuan ubat-ubatan sebelum ditiupkan roh, berbeza dengan pandangan Imam al-Ghazali yang melarangnya” [19].

Berkata Imam al-Lakhmi: “Diharuskan untuk menggugurkan janin sebelum usianya 40hari” [20].

Justeru, para ulama’ mengatakan harus untuk menggugurkan janin sebelum usia 40 hari kerana ketika itu belum nampak rupa kejadiannya dan ia belum ditiupkan roh. Oleh itu diharuskan untuk menggugurkan janin untuk maslahah tertentu seperti penyelidikan dan perubatan.

Pendapat Kedua: Haram Menggugurkan Janin Yang Kurang Daripada 40 hari.

Berkata Imam al-Ghazali: “Perbuatan menggugurkan janin itu sama dengan membuat jenayah ke atas sesuatu yang sudah wujud dan berhasil, sedangkan kewujudan itu mempunyai peringkatnya yang tertentu. Peringkat pertama kewujudan itu ialah terlekatnya air mani di dalam rahim dan bercampur pula dengan air mani ibu itu kemudian benih itu sudah bersedia untuk menerima kehidupan. Oleh itu merosakkan benih itu pada peringkat ini adalah suatu jenayah” [21].

Para ulama’ mengatakan haram menggugurkan janin untuk mendapatkan sel stem embroinik. Hal ini kerana ia bersalahan dengan akhlak islam, adab dan kemuliaan janin itu sendiri kerana ia adalah perbuatan yang membunuh janin dan janin di sisi Islam ialah suatu makhluk yang telah diciptakan serta bersedia menerima kehidupan dan menggugurkannya adalah haram.

TARJIH PANDANGAN

Justeru, dalam hal ini kami cenderung mengatakan haram menggugurkan janin yang kurang daripada 40 hari bagi mendapatkan sel stem untuk tujuan perubatan dan penyelidikan kerana ia bersalahan dengan akhlak islam, adab dan kemuliaan janin itu sendiri. Tambahan pula, perbuatan menggugurkan janin dengan sengaja untuk mendapatkan sel stem itu bukanlah satu-satunya cara untuk memperoleh janin tersebut. Bahkan ia boleh diperolehi dengan cara lain yang lebih mesra dan selamat seperti mengambil janin yang gugur secara spontan atau janin yang digugurkan atas nasihat doktor dan sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak.

Selain itu, ia juga boleh diperoleh daripada lebihan embrio (melalui kaedah IVF) kerana kebiasaanya lebihan tersebut akan dibuang dan dihapuskan.

Oleh yang demikian, hukum mengambil sel stem embroinik daripada janin dan memanfaatkannya adalah diharamkan sekiranya janin itu digugurkan secara sengaja. Adapun sekiranya janin itu gugur secara spontan atau digugurkan atas nasihat doktor (dengan sebab-sebab yang dibenarkan di sisi syarak) atau daripada lebihan embrio maka ia adalah diharuskan tetapi hendaklah menjaga syarat-syarat berikut:

  • Hendaklah mendapat keizinan ibu bapa atau waris terlebih dahulu sebelum mendapatkan janin atau lebihan embrio ersebut.
  • Hendaklah lebihan embrio itu diperoleh melalui proses IVF bagi pasangan yang telah berkahwin secara sah.

FATWA MU’ASARAH BERKENAAN SEL STEM

Disebutkan di dalam Fatwa Dar al-Ifta' al-Misriyyah: “Kebiasaannya sel stem diperolehi melalui janin yang gugur atau daripada plasenta bayi atau tali pusat atau daripada kanak-kanak atau orang dewasa, atau daripada lebihan embrio (melalui proses IVF). Justeru, mendapatkan sel stem dan membiakkannya untuk tujuan perubatan atau penyelidikan adalah harus di sisi syarak sekiranya tidak membawa sebarang kemudaratan. Dengan syarat hendaklah mendapatkan kezinan orang yang menderma atau walinya. Diharuskan untuk mengambil sel stem daripada tali pusat atau plasenta atau janin yang keguguran (secara spontan) atau yang digugurkan atas nasihat doktor dan sebab-sebab yang dibenarkan syarak. Dan diharuskan diambil daripada lebihan embrio. Justeru, haram hukumnya mendapatkan sel stem dengan cara yang haram seperti persenyawaan telur (dalam proses IVF) di antara lelaki dan perempuan yang tidak berkahwin atau sengaja melakukan keguguran untuk mendapatkannya atau tanpa keizinan penderma dan walinya terlebih dahulu [22].  

Disebut di dalam Qarar Majma’ Fiqh al-Islami: Diharuskan untuk mendapatkan sel stem, mengembangkannya dan memanfaatkannya untuk tujuan perubatan dan penyelidikan sekiranya ia diperoleh melalui cara-cara yang diharuskan di sisi syarak iaitu seperti:

-Untuk mendapatkan sel stem dewasa bagi orang dewasa, hendaklah mendapat keizinan daripada penderma tersebut dan proses itu tidak membawa kemudaratan kepada dirinya.

- Untuk mendapatkan sel stem dewasa bagi kanak-kanak hendaklah keizinan daripada ibu bapa atau wali mereka untuk kemaslahatan dan tidak membawa kemudaratan kepada diri mereka.

-Untuk mendapatkan sel stem daripada uri bayi atau plasenta hendaklah mendapatkan keizinan daripada ibu bapa mereka.

-Bagi lebihan embrio yang diperoleh daripada kaedan IVF, diharuskan mendapatkannya sekiranya mendapat keizinan daripada ibu bapanya, dan tidak boleh mendapatkan melalui persenyawaan yang haram.

-Haram mendapatkan janin daripada kaedah yang haram seperti janin yang digugurkan atas sebab-sebab yang bersalahan dengan ketetapan syarak dan lebihan embrio yang disenyawakan daripada lelaki dan perempuan yang tidak berkahwin [23].

FATWA BERKENAAN SEL STEM DI MALAYSIA

Mengikut Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-51 pada 11 Mac 2002 (e-fatwa, 2012), telah memutuskan seperti berikut dalam menentukan kegunaan sel stem:

i. Pengklonan manusia untuk apa-apa tujuan sekalipun adalah haram kerana ia bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T.

ii. Penggunaan sel stem bagi tujuan perubatan dalam kajian yang ambil bukan dari proses pengklonan adalah diharuskan selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Manakala mengikut Jawatankuasa Muzakarah kali ke 67 pada 22 Februari 2005 yang juga membincangkan hukum khusus mengenai pengklonan terapeutik dan penyelidikan sel stem telah memutuskan bahawa:

i. Pengklonan terapeutik untuk tujuan rawatan perubatan seperti mencipta sel-sel tertentu atau menggantikan organ yang telah rosak dengan mengambilkira langkah-langkah sempadan yang dibenarkan oleh syarak adalah diharuskan.

ii. Harus menggunakan embrio yang disimpan beku atau lebihan embrio daripada proses persenyawaan di luar rahim (IVF) untuk tujuan penyelidikan dengan syarat mendapat persetujuan pasangan suami isteri yang menerima rawatan dan kajian tersebut dilakukan sebelum mencapai tahap alaqah (blastocyst);

iii. Penyelidikan ke atas pra-embrio selain dari untuk tujuan terapeutik hendaklah mendapat kebenaran daripada pasangan suami isteri danpra-embrio hasil penyelidikan ini, tidak boleh sama sekali ditanam dalam rahim isteri atau mana-mana wanita yang lain.

iv. Harus melakukan penyelidikan ke atas pra-embrio untuk mengetahui penyakit genetik bagi pasangan yang berisiko tinggi dan hanya embrio yang dikenalpasti bebas dari penyakit sahaja boleh ditanam ke dalam rahim ibunya dalam tempoh perkahwinan yang sah. Sebarang penyelidikan yang berunsurkan komersial yang tiada kaitan dengan kesihatan ibu atau janin adalah tidak dibenarkan.

v. Rawatan kejuruteraan genetik ke atas pra-embrio yang melibatkan pengubahsuaian sifat semulajadi seperti rambut, warna rambut, kebijaksanaan, ketinggian dan sebagainya termasuk memilih jantina adalah haram. Bagaimanapun pemilihan jantina diharuskan sekiranya faktor jantina menyebabkan suatu penyakit genetik yang serius yang boleh membawa kematian.

vi. Penyelidikan hendaklah dijalankan secara sah dan proposal penyelidikan mestilah jelas, saintifik dan dikendalikan oleh penyelidik yang benar-benar mempunyai kemahiran, amanah dan bertanggungjawab.

vii. Sel stem daripada sumber-sumber yang dinyatakan di bawah adalah harus digunakan untuk tujuan rawatan perubatan dan kaji selidik [24].

Pada 25 Mei 2006 Jabatan Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan juga turut menyatakan bahawa sel stem daripada sumber-sumber yang dinyatakan adalah harus digunakan untuk tujuan rawatan perubatan dan kaji selidik melalui fatwa no. P.U. 13 (Jabatan Mufti Negeri Selangor, 2012). Sumber-sumber sel stem adalah seperti berikut:

a) Daripada seorang dewasa (sel stem dewasa) dengan izin dan prosedurnya tidak mengakibatkan mudarat.

b) Daripada seorang kanak-kanak dengan keizinan ibubapanya dan prosedurnya tidak mengakibatkan mudarat.

c) Daripada uri dan darah tali pusat bayi dengan keizinan ibubapanya.

d) Daripada janin yang gugur secara spontan atau keguguran akibat daripada rawatan perubatan yang dibenarkan syarak dengan syarat yang mendapat keizinan ibu bapanya, bukan janin yang digugurkan secara sengaja atau digugurkan tanpa sebab-sebab perubatan yang dibenarkan oleh syarak.

e) Daripada lebihan embrio (excess embryos) yang disimpan beku daripada teknologi bantuan kesuburan IVF dengan syarat mendapat keizinan ibu bapanya. Sel stem daripada embrio yang dihasilkan secara sengaja dengan teknologi Somatic Cell Nuclear Transfer (SCNT) adalah tidak dibenarkan berdasarkan kaedah sad al-zaraie (menutup pintu keburukan) [25].

PENDIRIAN KAMI

Setelah meneliti perbahasan di atas kami cenderung mengatakan harus menggunakan, mengembangkan dan memanfaatkan sel stem baik untuk tujuan rawatan terapeutik atau penyelidikan. Hal ini kerana rawatan transplan sel stem boleh menjadi salah satu pilihan dan ikhtiar untuk merawat pelbagai jenis penyakit dan proses rawatan ini telahpun disahkan secara klinikal berjaya iaitu antaranya lebih daripada 30 000 transplan darah tali pusat dilakukan di seluruh dunia dan Setakat 2011 [26], 4% daripada transplan penyakit darah di Malaysia menggunakan sel stem darah tali pusat [27].

Oleh itu, penggunaan sel stem menyuntik suatu roh yang segar dalam bidang perubatan bahkan sehingga hari ini penyelidikan tetap dijalankan secara berterusan untuk menambah baik perkhidmatan dan kajian sedia ada. Justeru ia bertepatan dengan konsep agama yang diletakkan untuk membawa kemaslahatan kepada umat manusia sejagat. Hal ini juga bertepatan dengan maqasid al-kuliyyah iaitu menjaga nyawa.

Namun begitu, kami ingin menegaskan bahawa keharusan  ini bukanlah bersifat mutlak. Ia mestilah mengikut ketetapan syarak dan lunas undang-undang semasa. Oleh itu di sini kami nukilkan beberapa garis panduan dalam mengambil dan memanfaatkan sel stem supaya tidak bercanggah dengan hukum-hakam syarak, di antaranya seperti berikut:

  • Daripada seorang dewasa (sel stem dewasa) hendaklah mendapat keizinan pemiliknya dan daripada seorang kanak-kanak hendaklah mendapat keizinan ibubapanya serta prosedurnya tidak mengakibatkan mudarat.
  • Daripada uri dan darah tali pusat bayi hendaklah mendapat keizinan ibubapanya.
  • Daripada janin yang gugur secara spontan atau keguguran atas nasibat doktor atau akibat daripada rawatan perubatan yang dibenarkan syarak dengan syarat mendapat keizinan ibu bapanya, bukan janin yang digugurkan secara sengaja atau digugurkan tanpa sebab-sebab perubatan yang dibenarkan oleh syarak.
  • Daripada lebihan embrio (excess embryos) yang disimpan beku daripada teknologi bantuan kesuburan IVF dengan syarat mendapat keizinan ibu bapanya dan hendaklah rawatan dan kajian tersebut dilakukan sebelum mencapai tahap alaqah (blastocyst).
  • Lebihan embrio yang diperoleh melalui IVF tersebut mestilah daripada pasangan yang berkahwin secara sah dan tidak boleh ditanam di dalam rahim wanita yang lain untuk mengelakkan berlakunya percampuran nasab.
  • Sel stem daripada embrio yang dihasilkan secara sengaja dengan teknologi Somatic Cell Nuclear Transfer(SCNT) adalah tidak dibenarkan berdasarkan kaedah sad al-zaraie (menutup pintu keburukan) untuk mengelakkan eksploitasi dan sebarang bentuk perbuatan yang boleh mensia-siakannya.
  • Sel stem daripada sumber-sumber yang dinyatakan di atas adalah harus digunakan untuk tujuan rawatan perubatan dan kaji selidik.
  • Pengklonan terapeutik untuk tujuan rawatan perubatan seperti mencipta sel-sel tertentu atau menggantikan organ yang telah rosak dengan mengambilkira langkah-langkah sempadan yang dibenarkan oleh syarak adalah diharuskan.
  • Penyelidikan hendaklah dijalankan secara sah dan proposal penyelidikan mestilah jelas, saintifik dan dikendalikan oleh penyelidik yang benar-benar mempunyai kemahiran, amanah dan bertanggungjawab. Wallahu a’lam.

[1] Dr. Yvonne Khoo Siew Khoon. Sel Stem,http://www.myhealth.gov.my/sel-stem/

[2] Cook, M. The Stem Cell Debate. Australasian Bioethics Information. www.australasianbioethics.org.  

[3] Cook, M. 2014. The Stem Cell Debate. Australasian Bioethics Information. www.australasianbioethics.org.  

[4] Dr. Yvonne Khoo Siew Khoon. Sel Stem,http://www.myhealth.gov.my/sel-stem/.

[5] ClinicalTrials, https://clinicaltrials.gov/ct2/results?term=mesenchymal+stem+cells , cordlifetech.com/potential applications.html

[6] Utusan. 2010. http://www.utusan.com.my/kesihatan.

[7] Mohd Al’Ikhsan Ghazali, Siti Salwa Md. Sawari, Zetty Rohaiza,Muhammad Sahak@Ishak, Lailatul Hamidah Hamdan. Penyelidikan dan Aplikasi Sel Stem dari Sudut Perubatan Menurut Perspektif Islam dan Agama Lain di Malaysia.

[8] American Cancer Society. Leukemia_Acute Myeloid(Myelogenous).  http://www.cancer.org/acs/groups/cid/documents/webcontent/003110-pdf.pdf  

[9] Haut, Cohn, Morgan, Hubbell, Danner-Koptik, Olszewski. Efficacy Of Autologous Peripheral Blood Stem Cell (PBSC) Harvest and Engraftment After Ablative Chemotherapy in Pediatric Patients. Biology of Blood and Marrow Transplantation (4):38–42.

[10] Beatty PG, Boucher KM, Mori M. Probality of Finding HLA-mismatched Related or Unrelated Marrow of Cord Blood Donors. Human Immunology. 61/834-840.

[11] BallenKK, Gluckman E, Broxmeyer HE. Umbilical cord blood transplantation: the first 25 years and beyond. Blood.

[12] Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah. I‘lam al-Muwaqqi‘in ‘an Rabb al-‘Alamin. 3/ 11.

[13] Muhammad Rashid Ali Redha.Tafsir al-Manar. hlm. 1320.

[14] Ibnu Kathir. Tafsir Ibn Kathir. Hlm. 90.

[15] Al-Ibad, Abdul Muhsin. Syarh Sunan Abi Daud. 20/170.

[16] Al-Suyuti.  Al-Asybah wa al-Naza'ir. Hlm.7

[17] Thariq Abd al-Mun'im Khalaf. Al-Istifadah min al-Kholaya al-Jiz'iyah al-Janiniyah fi al-’Ilaj wa al-Tajarub, ’Imad al-Bahs al-’Ilmi. Hlm. 333.

[18] Ibn al-Humam.  Syarh Fath al-Qadir. 3/380.

[19] Al-Qalyubi; Al-Burullusi (Umairah). Hasyiyata Qalyubi wa ’Umairah. 4/244.

[20] Al-Kharsyi. Syarh Mukhtasar Khalil li al-Kharsyi. 13/160.

[21] Al-Ghazali. Ihya’ Ulmu al-Din. Hlm. 47.

[22] Fatawa Dar al-Ifta' al-Misriyah. https://www.dar-alifta.org/AR/ViewResearch.aspx?ID=245.

[23] Majma’ Fiqh al-Islami. Qararat Majma’ Fiqh al-Islami. No (99), 3/17.

[24] E-fatwa. 2012. Bahagian Pengurusan Fatwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-pengklonan terapeutik-dan-penyelidikan-sel-stem-stem-cell.

[25] Jabatan Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan. 2012. http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp

[26] BrunsteinCG, Setubal DC, Wagner JE. Expanding the Role of Umbilical Cord Transplantation. 137(1):20-35.

[27] Alan The, Chan LL. Blood and Marrow Transplantation. Eight Report of the National Transplant Registry.

Bibiliografi

Al-Quran al-Karim.

Abu Daud, Sulaiman bin Al Ash’ash. T.t. Sunan Abi Daud. Beirut: Al-Maktabah al-’Asriyah.

Alan The, Chan LL. 2011. Blood and Marrow Transplantation. Eight Report of the National Transplant Registry.

Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. 2001. Sahih al-Bukhari. Beirut: Dar Thauq al-Najah.

Al-Ghazali. Muhammad bin Muhammad. T.t. Ihya’ Ulmu al-Din. Beirut: Dar al-Makrifah.

Al-Ibad, Abdul Muhsin. T.t. Syarh Sunan Abi Daud.

Al-Kharsyi, Muhammad bin Abdullah. T.t. Syarh Mukhtasar Khalil li al-Kharsyi. Beirut: Dar al-Fikr.

Al-Qalyubi. Ahmad bin Ahmad; Al-Burullusi, Ahmad bin Ahmad (Umairah). (2009). Hasyiyata Qalyubi wa ’Umairah. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah.

Al-Suyuti, Abd al-Rahman bin Abi Bakar. 1990.  Al-Asybah wa al-Naza'ir. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah.

American Cancer Society. 2014. Leukemia_Acute Myeloid(Myelogenous).  http://www.cancer.org/acs/groups/cid/documents/webcontent/003110-pdf.pdf  

BallenKK, Gluckman E, Broxmeyer HE. 2013. Umbilical cord blood transplantation: the first 25 years and beyond. Blood.

Beatty PG, Boucher KM, Mori M. 2000. Probality of Finding HLA-mismatched Related or Unrelated Marrow of Cord Blood Donors. Human Immunology.

BrunsteinCG, Setubal DC, Wagner JE. 2007. Expanding the Role of Umbilical Cord Transplantation.

ClinicalTrials, https://clinicaltrials.gov/ct2/results?term=mesenchymal+stem+cells  

Cook, M. 2014. The Stem Cell Debate. Australasian Bioethics Information. www.australasianbioethics.org.  

Cordlifetech.com/potential applications.html

E-fatwa. 2012. Bahagian Pengurusan Fatwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-pengklonan terapeutik-dan-penyelidikan-sel-stem-stem-cell.

Fatawa Dar al-Ifta' al-Misriyah. 20 Sept 2015. https://www.dar-alifta.org/AR/ViewResearch.aspx?ID=245.

Haut, Cohn, Morgan, Hubbell, Danner-Koptik, Olszewski. 1998. Efficacy of Autologous Peripheral Blood Stem Cell (PBSC) Harvest and Engraftment After Ablative Chemotherapy in Pediatric Patients. Biology of Blood and Marrow Transplantation.

Ibn al-Humam, Kamal. 2009. Syarh Fath al-Qadir. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah.

Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah. 1992. I‘lam al-Muwaqqi‘in ‘an Rabb al-‘Alamin. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Ibnu Kathir, Ismail bin Umar bin Ibn Kathir. 2012. Tafsir Ibn Kathir. Beirut: Dar al-Kitab al-Alami li al-Nasyr.

Jabatan Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan. 2012. http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp

Majma’ Fiqh al-Islami. Qararat Majma’ Fiqh al-Islami. No (99).

Mohd Al’Ikhsan Ghazali, Siti Salwa Md. Sawari, Zetty Rohaiza,Muhammad Sahak@Ishak, Lailatul Hamidah Hamdan. 11 April 2016. Penyelidikan dan Aplikasi Sel Stem dari Sudut Perubatan Menurut Perspektif Islam dan Agama Lain di Malaysia.

Muhammad Rashid Ali Redha. 1990.Tafsir al-Manar.

Thariq Abd al-Mun'im Khalaf. Al-Istifadah min al-Kholaya al-Jiz'iyah al-Janiniyah fi al-’Ilaj wa al-Tajarub, ’Imad al-Bahs al-’Ilmi.

Utusan. 2010. http://www.utusan.com.my/kesihatan.

Dr Yvonne Khoo Siew Khoon. 25Jun 2015. Sel Stem, http://www.myhealth.gov.my/sel-stem/