Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE- 249: Sekatan Aplikasi ‘Hijrah Diri’ JAKIM - Dimana Kebebasan yang Diperjuangkan?

 

Bayyan Linnas 249

Mukadimah

Aplikasi Telefon Pintar ‘Hijrah Diri’ merupakan inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Yayasan Ihtimam Malaysia untuk membimbing golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk kembali kepada fitrah Islam. Aplikasi ini mengandungi wirid al-ma'thurat, doa dan zikir terpilih yang warid daripada Nabi SAW serta tazkirah dalam bentuk audio. Selain itu, aplikasi ini juga mempunyai artikel berkaitan dengan persoalan LGBT serta ebook yang mengandungi perkongsian pengalaman sebenar individu LGBT yang telah berhijrah. Muat turun aplikasi ini sebelum ini boleh dibuat secara percuma oleh para pengguna tanpa paksaan. Fokus utama aplikasi ini adalah bagi memandu golongan LGBT untuk berubah kepada fitrah asal.      

Pendekatan Dakwah melalui aplikasi digital ini dilihat amat berkesan dan mampu memastikan maklumat berkaitan Islam lebih mudah diakses dan memberi manfaat kepada pelanggannya. Ini kerana platform ini memiliki faktor seperti prestasi capaian yang lebih baik, mesra pengguna, pengaruh sosial lebih luas dan kepesatan infrastruktur.[1]

Malangnya baru-baru ini aplikasi ‘Hijrah Diri’ ini dikatakan telah dikeluarkan daripada Google Play Store. Pihak Google menyatakan bahawa terdapat laporan dan respon negatif daripada ramai pengguna berkaitan aplikasi Hijrah Diri ini berkaitan Conversion Therapy yang ditawarkan kepada golongan LGBT ini. Ia dikatakan mendiskriminasi dan menggalakkan kebencian terhadap golongan LGBT dan melanggar garis panduan platform tersebut. Perkara ini malah dianggap sebagai jenayah di banyak negara Eropah yang lain.

Pengaruh Hak Asasi Manusia Sekular

Laporan negatif terhadap aplikasi ‘Hijrah Diri’ ini memberi gambaran kepada kita bahawa ideologi sekular yang antara lain mengangkat Hak Asasi Manusia (HAM) versi sekular ini semakin berleluasa dan sebenarnya semakin mendominasi majoriti pemikiran masyarakat moden. Konsep HAM sekular ini memperjuangkan kebebasan individu, menekankan dan memenuhi aspek keperluan dan keinginan fizikal manusia semata-mata dan menolak aspek kerohaniannya. Ia juga meletakkan manusia sebagai pengukur setiap sesuatu (إن الإنسان هو مقياس كل شيء)[2] , dan memisahkan manusia daripada tuhan dan kehidupan ukhrawi yang sepatutnya menjadi matlamat kehidupan manusia.

Pemikiran sebegini jelas bertentangan dengan hak asasi menurut Islam yang menekankan aspek tuntutan Allah SWT melalui syariat-syariat yang diwahyukan, serta keperluan kembali kepada fitrah insan. HAM dalam Islam juga turut menekankan keperluan berbuat sesuatu yang benar dan betul seperti yang terkandung di dalam kalimah ‘hak’ (حق) itu sendiri iaitu benar dan betul. Dalam erti kata lain sesuatu yang kita anggap hak dalam erti kata milik atau kepunyaan, mestilah juga sesuatu yang benar. Sesuatu yang batil sama sekali tidak boleh dianggap sebagai hak. Justeru untuk memastikan sesuatu perkara itu sebagai betul, maka pastinya sebagai muslim kita tidak boleh lari dari syariat yang bersumber al-Quran, Sunnah dan juga para ulama yang mentafsirkan kedua-dua sumber utama syariat tersebut.

Ironinya golongan ini yang mengaku sebagai pejuang kebebasan, termasuk kebebasan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral, mereka juga pada masa yang sama menghalang kebebasan untuk memperbaiki diri daripada perbuatan tidak bermoral tersebut.

Penjelasan lanjut berkaitan hak asasi dalam Islam boleh merujuk kepada artikel yang pernah diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini yang bertajuk Tashih Al-Mafahim #7: Islam Tolak Hak Asasi Manusia? dalam pautan berikut:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/tashih-al-mafahim/2897-tashih-al-mafahim-7-islam-tolak-hak-asasi-manusia

Kepentingan Dakwah Berterusan

Sewajarnya untuk menyatakan solidariti bersama pihak JAKIM bagi bersama-sama membanteras pemikiran yang membawa idea songsang ini, kita perlu mengutuk tindakan menyekat aplikasi ini. Sesungguhnya reda dengan maksiat itu adalah sesuatu maksiat (الرِّضَا بِالمَعْصِيةِ مَعْصِيَةٌ).[3]

Pada masa yang sama halangan dan cabaran ini tidak seharusnya melunturkan semangat kita semua berdakwah khususnya melalui manipulasi teknologi-teknologi digital terkini. Firman Allah SWT:

 ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ ‎﴿١٢٥﴾‏

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Surah al-Nahl (125)

Kita berdoa semoga kementerian dan pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan proaktif bagi menangani isu penarikan aplikasi Hijrah Diri ini. Pada masa yang sama sewajarnya lebih banyak lagi aplikasi seperti ini dikeluarkan dan juga diberi sokongan bagi membuktikan bahawa Islam sebenarnya bukan mencemar atau mencabul hak asasi, sebaliknya Islam lah yang menunaikan hak sebenar manusia iaitu hak untuk berbuat sesuatu yang benar, sesuai dengan fitrah dirinya yang telah ditentukan oleh penciptanya. WallAhua’lam.

[1] Mansur Aliyu, Murni Mahmud, Abu Osman Md Tap & Rasheed Mohammad Nassr. "An empirical investigation of factors influencing Islamic websites use and their positive impact from Muslim user perception." Asia-Pacific J. Inf. Technol. Multimed. 2, no. 2 (2013): 13-26.

[2] Tammam, Abbas Mansur. "Pengaruh orientalis terhadap liberalisasi pemikiran Islam." Kalimah: Jurnal Studi Agama dan Pemikiran Islam 14, no. 1 (2016): 1-12.

[3] al-Razi, Fakhr al-Din. al-Tafsir al-Kabir. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2000, 16: 16 & 26: 215.