Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-305: GENCATAN SENJATA DI GAZA, PALESTIN: SIKAP UMAT ISLAM

GENCATAN_SENJATA_DI_GAZA_PALESTIN_-_SIKAP_UMAT_ISLAM.jpg

 

PENDAHULUAN

Sejak penghujung tahun 2023, perang antara Israel dengan Hamas yang melibatkan kematian lebih daripada 46000 nyawa rakyat Palestin akhirnya mencapai persetujuan perjanjian gencatan senjata yang dibantu oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat sebagai negara perantara. Siri Bayan Linnas pada kali ini ingin mengajak masyarakat Malaysia terutamanya umat Islam terus istiqamah dalam bersolidariti dan menyokong bagi membangunkan semula bumi Palestin.

SOLIDARITI PERDAMAIAN

Usaha perjanjian damai atau gencatan senjata seharusnya disokong semua umat Islam sekiranya ia dapat membawa kepada penyelesaian yang adil dan menguntungkan kedua-dua pihak seperti yang ditunjukkan dalam perjanjian Hudaibiyah antara Nabi Muhammad SAW dan kaum Quraisy. Firman Allah SWT:

وَإِن جَنَحُوا۟ لِلسَّلْمِ فَٱجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Maksudnya: Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah."

Surah Al-Anfal (61)

Ayat ini menunjukkan dibolehkan melakukan genjatan senjata dengan musuh Islam kerana mereka memiliki kekuatan peperangan yang besar.[1] Seharusnya tidak menjadi halangan juga bagi umat Islam untuk menerima genjatan senjata meskipun musuh Islam mempunyai rekod dalam melanggar perjanjian sebelum ini.[2] Dengan menerima gencatan senjata buat masa ini, umat Islam dapat menghindari konflik berkepanjangan yang berpotensi menyebabkan kerugian besar bagi semua pihak.

DUKUNGAN KEROHANIAN

Doa merupakan salah satu bentuk dukungan kerohanian yang paling utama dalam Islam. Doa juga merupakan senjata bagi umat Islam sebagaimana yang disebutkan dalam banyak kisah para anbiya dan salihin bahawa doa itu adalah senjata yang ampuh, antaranya termasuklah kisah Nabi Ibrahim AS yang berdoa ketika hendak dibakar dalam api dengan doa:

حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الوَكِيلُ

Maksudnya: Cukuplah Allah sebagai Penolong kami, dan Dia adalah sebaik-baik Pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami).[3]

(Riwayat al-Bukhari)

Allah SWT mengkabulkan doa Nabi Ibrahim AS tersebut dan digambarkan melalui firman-Nya:

قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ ‎﴿٦٩﴾‏ وَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الْأَخْسَرِينَ ‎﴿٧٠﴾

Maksudnya: Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!”. Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).

Surah al-Anbiya’ (69-70)

Dalam Islam doa mempunyai kekuatan yang luar biasa iaitu dengan memohon pertolongan daripada Allah SWT. Dalam konteks Palestin, umat Islam dapat memperbanyakkan doa untuk kesejahteraan rakyat Palestin, keselamatan mereka daripada kekejaman juga kemenangan bagi mereka yang memperjuangkan kebebasan dan keadilan. Di samping itu, boleh juga melakukan solat hajat beramai-ramai, qunut nazilah dan seumpamanya.

BANTUAN KEMANUSIAAN

Isu kemanusiaan di Palestin adalah salah satu krisis terbesar di dunia moden. Rakyat Palestin telah menderita akibat penindasan dan kekerasan dalam konflik yang berterusan dengan Israel. Keadaan ini menyebabkan taraf hidup mereka merosot dengan sukar untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan, air, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan perlindungan daripada keganasan.

Dalam konteks ini, bantuan kemanusiaan menjadi sangat penting untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin. Antara bantuan kemanusiaan yang boleh disalurkan kepada rakyat Palestin termasuklah bantuan kesihatan, bantuan makanan dan seumpamanya. Selain itu, umat Islam juga boleh memberikan bantuan dalam bentuk membina semula rumah yang rosak dan menyediakan perlindungan kepada pelarian Palestin di kem-kem pelarian. Umat Islam boleh juga membantu dalam usaha membangunkan semula infrastruktur yang musnah akibat konflik. Nabi SAW bersabda:

وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi mana hamba tersebut membantu saudaranya.

(Riwayat al-Tirmizi)

SUMBANGAN KEWANGAN

Kewangan merupakan faktor utama dalam membangunkan sesebuah negara. Umat Islam seharusnya bersatu dalam membantu memberi sumbangan kewangan kepada saudara kita yang berada dalam serba kekurangan terutamanya di Palestin. Hal ini kerana dengan sumber kewangan yang cukup akan dapat melancarkan proses pembangunan bumi Palestin terutamanya di bumi Gaza yang teruk dibelasah oleh rejim Zionis. Nabi SAW telah mengajar umatnya dalam perkara mengumpulkan kewangan dan keperluan bagi membantu saudara-saudara Muslim yang serba kekurangan sebagaimana sabda Nabi SAW:

إنَّ الأشْعَرِيِّينَ إذا أرْمَلُوا في الغَزْوِ، أوْ قَلَّ طَعامُ عِيالِهِمْ بالمَدِينَةِ، جَمَعُوا ما كانَ عِنْدَهُمْ في ثَوْبٍ واحِدٍ، ثُمَّ اقْتَسَمُوهُ بيْنَهُمْ في إناءٍ واحِدٍ، بالسَّوِيَّةِ، فَهُمْ مِنِّي وأنا منهمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya kaum al-Asyaariyin, apabila mereka kekurangan makanan untuk keluarga mereka di medan perang atau di Madinah, mereka akan mengumpulkan apa sahaja yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian, mereka akan membahagikan makanan itu secara sama rata antara mereka dalam satu bekas. Sesungguhnya mereka adalah daripada aku dan aku adalah daripada mereka.”

(Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa kita digalakkan untuk menubuhkan tabung atau dana takaful bagi mengumpul sumbangan kewangan untuk rakyat Gaza. Umat Islam di Gaza kini berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan kemanusiaan segera. Oleh itu, umat Islam di luar Gaza wajib menghantar pelbagai bentuk bantuan seperti bekalan makanan, minuman, ubat-ubatan, pemulihan hospital, katil pesakit, ambulan, tempat tinggal sementara, pakaian musim sejuk serta bekalan tenaga, elektrik dan air bersih. Semua bantuan ini perlu diutamakan dan disegerakan untuk meringankan penderitaan mereka.

WASPADA KELICIKAN ZIONIS-ISRAEL

Penting untuk memahami bahawa pelbagai cara dan strategi yang digunakan oleh Zionis-Israel untuk mencapai tujuan mereka. Ini termasuk mengadakan hubungan diplomatik, pengaruh ekonomi, manipulasi maklumat terutama dalam media baharu, hingga mengakibatkan kecederaan terhadap warga Palestin. Dari sudut pandang Islam, ada beberapa hal yang harus diwaspadai terkait kelicikan Zionis-Israel Israel, hal ini kerana dalam al-Quran Allah SWT berfirman:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ

Maksudnya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu).

Surah al-Baqarah (120)

Antara sikap atau kelicikan Zionis-Israel yang mesti umat Islam waspadai pada hari ini termasuklah Zionis Israel sering kali menggunakan media untuk mengubah pandangan dunia terhadap konflik Palestin. Mereka menguasai sebahagian besar saluran media dan memanipulasi naratif untuk menggambarkan tindakan mereka sebagai bentuk pembelaan diri, manakala tindakan rakyat Palestin digambarkan sebagai ancaman. Dalam Islam, umat Islam diwajibkan untuk mencari kebenaran dan tidak mudah terpengaruh oleh berita yang diputarbelitkan. Oleh itu, adalah penting bagi umat Islam untuk berfikir secara teliti dan mendapatkan maklumat yang sahih tentang situasi sebenar di Palestin.

Meskipun pada masa kini, mereka mengisytiharkan gencatan senjata namun apa yang berlaku setelah pengisytiharan ialah mereka masih melakukan serangan terhadap rakyat Palestin sehingga mengakibatkan 10 orang yang terkorban dalam masa 2 hari setelah gencatan senjata diisytiharkan.[4]

PENUTUP

Sehubungan dengan itu, walaupun sekarang ini dalam fasa gencatan senjata umat Islam perlu teruskan berdoa agara keselamatan saudara Islam di Palestin terpelihara daripada sebarang keganasan yang dilakukan oleh Zionis-Israel. Ini kerana kelicikan Zionis-Israel adalah suatu bentuk penindasan yang mesti dihadapi dengan kesedaran dan keteguhan. Umat Islam di seluruh dunia perlu bersatu untuk memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin, membongkar naratif yang diputarbelitkan dan memastikan bahawa keadilan ditegakkan. Keprihatinan terhadap apa yang berlaku di Palestin adalah tanggungjawab bersama umat Islam dan mereka harus terus berusaha untuk menghapuskan ketidakadilan serta memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat Palestin berdasarkan prinsip-prinsip keadilan Islam.

Wallahu alam

 

Rujukan: 

[1] Ismāʿīl ibn ʿUmar al-Dimashqī Ibn Kathīr, Tafsīr al-Qurʾān al-ʿAẓīm, ed. Muṣṭafā al-Sayyid Muḥammad, Muḥammad al-Sayyid Rashād, Muḥammad Faḍl al-ʿAjmāwī, ʿAlī Aḥmad ʿAbd al-Bāqī, and Ḥasan ʿAbbās Quṭb (Giza: Muʾassasat Qurṭubah, Maktabat Awlād al-Shaykh, 2000), 7: 114. Teks asal:

الآية - فيه نظر أيضًا، لأن آية براءة فيها الأمر بقتالهم إذا أمكن ذلك، فأما إذا كان العدو كثيفًا، فإنه تجوز مهادنتهم، كما دلت عليه هذه الآية الكريمة، وكما فعل النبي ﷺ يوم الحديبية، فلا منافاة ولا نسخ ولا تخصيص، والله أعلم

[2] Abū Manṣūr Muḥammad ibn Muḥammad ibn Maḥmūd al-Māturīdī, Tafwīlāt Ahl al-Sunnah: Tafsīr al-Māturīdī, ed. Majdī Bāsilūm (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 2005), 5: 251. Teks asal:

وأما إذا كانوا طلبوا منا ذلك أولا فيجابون إلى ذلك. ويحتمل ما ذكرنا، أي: لا يمنعك ما كان منهم من نقض العهد.

[3] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Zuhair Nasir al-Nasir (t.tp.: Dar Tuq al-Najah, 1422), hadis no. 4563, jld. 6: hlm. 39.

[4] Rujuk Berita Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/709007/global/serangan-israel-di-tebing-barat-berterusan-ketika-gencatan-senjata-gaza. Diakses pada 24 Januari 2025.