Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-306: SOKONGAN TERHADAP RANCANGAN PEMBANGUNAN BANDAR WAKAF MALAYSIA DI GAZA

Template_Header_Artikel_PMWP.jpg

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Sejarah telah merakamkan jenayah kemanusian dan genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis sejak perang bermula pada Oktober 2023. Mulai daripada tarikh itu, kota Gaza pula dibedil dengan kemudahan dan infrastruktur awam seperti hospital, masjid sekolah dijadikan sasaran sehingga menyebabkan kemusnahan yang menyeluruh dan total. Selain daripada itu, orang awam dalam kalangan warga emas, kanak-kanak dan wanita turut dijadikan sasaran rambang rejim Zionis yang mengakibatkan ramai nyawa telah terkorban. Semua kezaliman dan kekejaman rejim Zionis ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dimaafkan dan tidak boleh dipandang sebelah mata. Alhamdulillah, isu Palestin yang mendapat perhatian kita semua sejak dua tahun lalu telah menunjukkan kepada cahaya di hujung terowongnya. Kejayaan gencatan senjata yang bermula pada 19hb Januari lalu telah memberikan sedikit kelegaan dan keredaan buat umat Islam seluruh dunia khususnya rakyat Palestin.

Namun dalam situasi semasa ini, kita sebagai umat Islam tidak boleh berasa selesa dengan berlepas tangan dan mengendurkan usaha kita dalam usaha membantu saudara-saudara kita. Bahkan ini adalah waktu kita perlu menggandakan bantuan dan sokongan kerana mereka masih lagi berada dalam keadaan terdesak yang di saat-saat yang sangat getir ini. Dalam usaha untuk memberi sinar harapan yang bermakna buat rakyat Palestin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengambil langkah proraktif dengan menyatakan komitmen untuk membangun bandar wakaf di bumi Palestin dengan anggaran kos RM 120 juta. Menurut kenyataan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Sani Arabi, pembangunan di kawasan tanah wakaf seluas 35.2 hektar itu telah dimeterai sejak Februari 2023 dan sehingga kini pihaknya telah mengumpulkan sebanyak RM40 juta. Projek ini melibatkan pembinaan 14 blok apartmen wakaf mewakili semua negeri dalam Malaysia, sebuah masjid kembar dengan Masjid Shah Alam dan sebuah sekolah Malaysia. Turut dibangunkan taman rekreasi, 56 unit premis perniagaan di bawah program Mikro-kredit Khardul Hasan, sebuah klinik kesihatan, serta menara tangki air, menjadikannya satu ekosistem pembangunan yang lengkap dan mampan.[1]

ISU KEMANUSIAN DI PALESTIN LEBIH KRITIKAL DAN MENDESAK

Pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) menyokong penuh terhadap usaha yang digerakkan ini. Hal ini kerana kami berpandangan bahawa pada waktu sekarang isu kemanusiaan di Palestin merupakan antara isu umat Islam yang paling kritikal dan mendesak berbanding isu-isu lain sama ada di dalam atau di luar negara. Maka dari sudut pertimbangan keutamaannya, ia perlu didahulukan dan diutamakan berbanding isu selainnya.

Situasi yang berlaku sekarang ialah kita memberikan bantuan kepada saudara kita yang baru sahaja terselamat daripada peperangan dan kematian. Kita tidak boleh membiarkan mereka terkontang-kanting tanpa sebarang pertolongan yang munasabah dalam membina semula kehidupan mereka yang normal. Bantuan demi kelangsungan hidup atau survival dalam memastikan mereka dapat membina kembali kehidupan di tanah air mereka adalah penting supaya cadangan untuk mengusir dan menempatkan mereka di luar tanah air mereka itu tidak dibangkitkan lagi.

Semua pihak khususnya umat Islam perlu memiliki sifat empati dan kasihan terhadap nasib yang telah menimpa rakyat Palestin daripada peperangan yang berlaku. Hal ini selaras dengan hadis yang diriwayatkan daripada Nukman Ibn Basyir, bahawa Baginda SAW bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: Perumpamaan orang yang beriman dalam berkasih sayang, saling bersimpati dan persaudaraan sesama mereka sama seperti satu jasad yang apabila salah satu anggota badannya sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam.

(Riwayat Ahmad)

Oleh itu sebagai seorang mukmin kita perlu meletakkan diri kita di dalam situasi yang sangat terdesak kepada bantuan dan pertolongan daripada luar. Justeru pertolongan dan bantuan ini merupakan keutamaan terpenting pada waktu ini.

BANTUAN KEPADA PALESTIN SINERGI DARIPADA PELBAGAI PIHAK DAN TIDAK MENJEJASKAN PEMBANGUNAN DALAM NEGARA

Selain daripada itu, bantuan yang akan diberikan kepada rakyat Palestin ini pastinya tidak akan menjejaskan pembangunan di dalam negara kita sendiri. Sememangnya keutamaan kepada rakyat di negara sendiri diberikan perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan. Apatah lagi projek ini akan dibantu dengan sinergi dan kerjasama daripada semua pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta, perniagaan, korporat dan rakyat. Manakala anggaran keseluruhan projek itu dijangka kira-kira RM 120 juta meliputi pemberian tanah wakaf seluas 35.2 hektar yang telah dimeterai perjanjian di Gaza pada Februari 2023. Justeru itu, sumbangan akan disalurkan daripada pelbagai pihak yang terlibat dan tidak hanya bergantung penuh kepada sumbangan daripada kerajaan.

Menurut pengerusi MAPIM itu lagi, beberapa komponen utama dalam pembangunan bandar wakaf itu turut disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka, dan Pulau Pinang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) serta mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shahyang menitahkan dan melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza pada Mac tahun lepas.[2]

TANDA SOLIDARITI MALAYSIA YANG AKAN MEMBAWA BANYAK LAGI BANTUAN ANTARABANGSA

Usaha yang digerakkan ini juga merupakan satu bentuk solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai kemerdekaan. Pengumuman pembinaan Bandar Wakaf Malaysia di Gaza menjadikan Malaysia sebagai negara ASEAN pertama yang mengambil inisiatif membangunkan semula wilayah itu. Hal ini akan dapat menarik perhatian antarabangsa dan menggerakkan pihak yang terlibat daripada seluruh pelusuk dunia untuk menghulurkan bantuan dan pertolongan dalam apa juga bentuk. Hal ini bertepatan dengan galakan dan anjuran Rasulullah SAW agar memulakan suatu perbuatan yang baik untuk dijadikan teladan dan contoh bagi orang lain. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ

Maksudnya: Sesiapa yang memulakan di dalam Islam suatu amalan kebaikan kemudian dilakukan pula oleh orang selepasnya, maka dicatatkan baginya ganjaran yang sama dengan orang yang melakukan kebaikan tersebut tanpa dikurangkan sedikit pun ganjaran tersebut. Sebaliknya sesiapa yang memulakan amalan keburukan kemudian dilakukan pula oleh orang selepasnya, maka dicatat baginya dosa yang sama dengan dosa orang yang melakukan kejahatan tersebut tanpa dikurangkan sedikit pun dosanya.

(Riwayat Muslim)

Oleh yang demikian, langkah dan tindakan dalam menghulurkan bantuan ini adalah sesuatu yang wajar dilakukan dengan pantas supaya menimbulkan kesedaran dan menarik perhatian masyarakat antarabangsa untuk turut menggerakkan usaha yang sama. Justeru, pemulihan dan pembangunan semula Palestin dapat dilakukan lebih awal dan lebih baik daripada sebelumnya.

Kesimpulan

Kesimpulannya, pihak JMWP menyokong penuh usaha kerajaan dalam mengusahakan projek pembinaan Bandar Wakaf Malaysia di Gaza ini sebagai satu bentuk solidariti daripada negara terhadap perjuangan suci rakyat Palestin untuk mendapatkan kemerdekaan mereka. Selain daripada itu, kami mengambil kesempatan untuk menasihati semua pihak agar tidak mempertikaikan niat dan usaha murni kerajaan ini yang ikhlas membantu rakyat Palestin yang baru sahaja keluar daripada kancah peperangan dan mengalami kemusnahan negara yang menyeluruh. Sesungguhnya usaha ini amat bermakna buat saudara-saudara kita di sana dalam memulihkan semula kehidupan mereka di waktu-waktu yang mendatang ini.

Waallahu a’lam.

[1] Rujuk pautan: https://www.edisi9.com.my/2025/01/mapim-sahut-seruan-pm-bakal-bangun-bandar-wakaf-di-gaza/.

[2] Rujuk Pautan: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1355578/projek-bandar-wakaf-di-gaza-bukti-solidariti-malaysia-untuk-palestin