Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-311: RASUAH SEBAGAI DOSA BESAR DAN JENAYAH NEGARA

HUKUM_RASUAH_SEBAGAI_DOSA_BESAR_DAN_JENAYAH_NEGARA.jpg

Rasuah merupakan salah satu bentuk jenayah kolar putih yang meninggalkan impak negatif terhadap pembangunan ekonomi, kestabilan politik dan struktur sosial bagi sesebuah negara. Berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 yang dikeluarkan oleh Transparency International, kedudukan Malaysia kekal berada di tangga ke-57 daripada 180 negara dengan memperoleh skor 50 mata. Skor ini dilihat masih jauh daripada sasaran negara iaitu mencapai kedudukan 25 teratas dengan skor sekitar 68 hingga 70 mata menjelang tahun 2033. Tambahan pula, data semasa juga menunjukkan peningkatan jumlah tangkapan kes yang melibatkan rasuah oleh SPRM. Bahkan, kerugian akibat rasuah dianggarkan mencecah RM1.8 trilion. Hal ini sememangnya amat merugikan negara kerana jumlah yang besar tersebut boleh dimanfaatkan bagi pelbagai tujuan seperti membangunkan ekonomi negara, menaik taraf pelbagai fasiliti awam, meningkatkan taraf kehidupan masyarakat dan sebagainya.

Dari sudut bahasa, istilah rasuah membawa konotasi yang buruk kerana ia merujuk perbuatan yang salah di sisi undang-undang seperti pecah amanah, menggelapkan wang, mencuaikan tanggungjawab dan lain-lain (PRPM,2024). Dalam bentuk yang lebih khusus, rasuah boleh difahami sebagai penerimaan atau pemberian suapan sebagai suapan atau upah untuk individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi (SPRM,2024). Dengan perkataan yang lain, rasuah dinilai sebagai suatu jenayah kerana ia mengandungi unsur-unsur seperti penipuan, pencabulan dan penafian hak orang lain demi memenuhi kepentingan peribadi.

Secara asasnya, syariat Islam amat menitik beratkan aspek pengurusan harta dalam kehidupan manusia. Setiap harta yang diperolehi mestilah berasal dari sumber yang halal iaitu suci daripada unsur-unsur syubhah dan haram. Sejajar dengan itu, syariat Islam melarang sebarang bentuk perbuatan memakan harta orang lain secara batil. Antaranya termasuklah mendapatkan keuntungan melalui jenayah rasuah. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."

Surah al-Baqarah (188)

Selain itu, Rasulullah SAW juga melarang perbuatan rasuah dengan melaknat golongan yang terlibat dalam jenayah tersebut. Baginda SAW bersabda:

لعنَ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ الرَّاشِيَ والْمُرْتَشِيَ

Maksudnya: "Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah."

(Riwayat al-Tirmizi)

Dari sudut perbincangan usul fiqh, penggunaan istilah laknat dalam hadis di atas menunjukkan bahawa hukum terlibat dengan rasuah adalah haram dan ia merupakan salah satu dosa yang besar dalam agama Islam.

Selain itu, terdapat juga kaedah fiqh yang memuatkan perbincangan mengenai pengharaman rasuah. Imam al-Suyuti merumuskan kaedah seperti berikut:

ما حَرُمَ أَخْذُهُ حَرُمَ إعْطَاؤُهُ

Maksudnya: "Sesuatu yang haram untuk diambil, maka haram juga untuk diberi."

Beliau menyatakan bahawa antara pengecualian terhadap kaedah ini ialah situasi di mana seseorang memberi rasuah kepada hakim bukan untuk mendapatkan sesuatu yang bukan haknya, tetapi untuk mendapatkan haknya yang telah dinafikan dan tidak dapat diperoleh melainkan dengan cara tersebut.

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa rasuah termasuk dalam perbuatan haram yang mendatangkan dosa besar ke atas golongan yang terlibat dengannya. Bahkan ia juga telah disabitkan sebagai jenayah yang berat dari sudut undang-undang secara global. Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini gejala rasuah dalam kalangan masyarakat dilihat masih berleluasa. Hal ini kerana sebahagian masyarakat masih beranggapan tahap pengharaman rasuah berbeza dengan pengharaman arak, khinzir dan anjing yang telah menjadi tabu dalam masyarakat Melayu.

Sehubungan dengan itu, pembudayaan terhadap pengharaman rasuah dan ancaman terhadap mereka yang bergelumang dengannya perlu disuburkan sejak dari peringkat awal lagi. Generasi muda perlu dididik untuk bersikap anti-rasuah. seawal pendidikan mereka dari kecil bermula dari dalam rumah, seterusnya di sekolah, institusi dan alam pekerjaan. Kewujudan ekosistem sedemikian akan menyumbang terhadap pembinaan sebuah masyarakat yang menolak sebarang bentuk jenayah atau penyelewengan wang secara total.

Selain itu, antara usaha yang dapat dilakukan juga ialah pembacaan teks khutbah pada hari Jumaat yang berkisar tentang dosa, bahaya dan ancaman rasuah. Secara asasnya, bacaan khutbah pada setiap hari Jumaat bertujuan memberikan peringatan kepada umat Islam mengenai keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Lebih-lebih lagi, kesemua umat Islam akan berhimpun di masjid pada waktu tersebut untuk mendengar khutbah dan peringatan daripada khatib. Oleh itu, penyediaan teks khutbah Jumaat mengenai rasuah juga boleh menjadi salah satu pendidikan kepada masyarakat untuk menjauhi jenayah tersebut.

Kesimpulannya, rasuah dan penyelewengan merupakan halangan besar kepada pembangunan ekonomi dan nilai kepada masyarakat kerana ia merupakan kotoran maknawi menjadikan setiap agenda terbantut. Gejala rasuah adalah penyakit sosial yang telah berakar umbi dalam kelemahan nilai moral dan sistem pentadbiran yang tidak telus. Ia hanya dapat dibanteras melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi pendidikan, penguatkuasaan undang-undang dan reformasi institusi. Seluruh masyarakat di negara ini perlu komited dalam menjadikan integriti sebagai budaya nasional demi menjamin masa depan negara yang bersih, telus dan berwibawa.

Wallahu a'lam