Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-317: KONSEP KELESTARIAN (SUSTAINABILITY) DALAM KERANGKA MAQASID AL-UMRAN

lestari.jpg

Isu kelestarian (sustainability) kini menjadi antara agenda global yang penting berkaitan alam sekitar, ekonomi dan sosial. Pelbagai krisis seperti perubahan iklim, ketidaksamarataan sumber dan kemerosotan struktur sosial menunjukkan perlunya pendekatan yang holistik berasaskan nilai-nilai Islam dalam menangani cabaran pembangunan masa kini. Dalam konteks Islam, kelestarian bukan sekadar persoalan teknikal atau ekonomi bahkan ia berkait rapat dengan peranan manusia sebagai khalifah di bumi serta tanggungjawabnya untuk memakmurkan alam. Sehubungan dengan itu, bagi menangani isu-isu pembangunan dan kelestarian di Malaysia, maka penulisan ini diketengahkan sebagai satu usaha untuk mengemukakan Bayan Linnas: Konsep Kelestarian (Sustainability) Dalam Kerangka Maqasid Al-Umran.

United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO)[1] menjelaskan bahawa konsep kelestarian (sustainability) merujuk kepada penciptaan dan penggunaan sumber yang memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan kapasiti generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri. Kelestarian ditunjangi oleh tiga komponen utama iaitu:

  1. Kelestarian Alam Sekitar:

Kelestarian alam sekitar menuntut agar sumber semula jadi kekal terpelihara. Pengekstrakan sumber boleh baharu (renewable resources) tidak boleh melebihi kadar pembaharuannya semula jadi sumber tersebut, manakala sumber tidak boleh baharu (non-renewable resources) perlu diminimumkan. Alam juga tidak boleh dibebani melebihi kapasiti menyerap dan mengurai sisa bagi memastikan kesinambungan jangka panjang.

  1. Kelestarian Sosial:

Kelestarian sosial merujuk kepada keperluan untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat serta keupayaan kolektif untuk bekerjasama ke arah matlamat bersama. Ini termasuklah memenuhi keperluan asas individu seperti kesihatan dan kesejahteraan, pemakanan, tempat tinggal, pendidikan dan budaya. Dengan memenuhi keperluan ini, masyarakat dapat membina struktur sosial yang inklusif dan tahan uji.

  1. Kelestarian Ekonomi:

Kelestarian ekonomi pula dicapai apabila pembangunan yang menyokong kelestarian sosial dan alam sekitar dapat dilaksanakan secara kewangan dan ekonomi. Ini bermaksud segala bentuk pembangunan haruslah mampu menjana nilai ekonomi secara mampan, tanpa menjejaskan integriti sosial atau memburukkan keadaan alam sekitar.

Tiga tunjang utama kelestarian iaitu alam sekitar, sosial dan ekonomi merupakan asas penting bagi menjamin kesejahteraan bumi secara menyeluruh. Keseimbangan antara ketiga-tiga aspek ini bukan sahaja menyumbang kepada kemakmuran material, tetapi juga membentuk suasana hidup yang stabil, sejahtera dan harmoni.

Sekiranya aspek alam sekitar diabaikan, ia akan mengakibatkan kemerosotan sumber semula jadi, bencana ekologi dan perubahan iklim yang akhirnya menjejaskan kehidupan manusia secara langsung. Menurut laporan Climate and Catastrophe Insight 2025 mendedahkan bahawa tahun 2024 merupakan antara tahun paling signifikan dalam sejarah bencana alam dari sudut kerugian ekonomi dan insurans. Jumlah kerugian ekonomi global akibat bencana alam mencecah sekurang-kurangnya USD 368 bilion, iaitu 14% lebih tinggi berbanding purata abad ke-21[2].

Dalam masa yang sama, kelestarian sosial amat penting untuk mengekalkan keutuhan masyarakat, memastikan keadilan sosial dan memperkukuh jaringan sokongan komuniti. Tanpa keadilan dan kesejahteraan sosial, masyarakat akan menghadapi ketegangan dan konflik dalaman. Sementara itu, pembangunan ekonomi yang lestari pula penting bagi menjamin peluang pekerjaan, sumber pendapatan yang stabil dan sistem sokongan kewangan yang mampan.

Menurut Laporan Global Economic Prospects terkini oleh Bank Dunia ketegangan perdagangan dan ketidakpastian dasar ekonomi global dijangka menyebabkan pertumbuhan ekonomi dunia merosot kepada 2.3% pada tahun 2025 iaitu kadar terendah sejak krisis kewangan global 2008 (tidak termasuk tahun-tahun kemelesetan rasmi). Laporan ini menyatakan bahawa kira-kira 70% ekonomi global telah mengalami semakan turun dalam ramalan pertumbuhan merentasi semua wilayah dan kumpulan pendapatan[3].

Pertumbuhan yang perlahan dijangka menggagalkan usaha negara membangun dalam mencipta pekerjaan, mengurangkan kemiskinan ekstrem dan merapatkan jurang pendapatan dengan negara maju. Khususnya, pertumbuhan pendapatan per kapita negara membangun pada 2025 dijangka hanya 2.9% iaitu 1.1 mata peratus lebih rendah berbanding purata 2000–2019. Dengan kadar pertumbuhan semasa, negara membangun kecuali China mungkin memerlukan dua dekad untuk kembali ke trajektori ekonomi sebelum pandemik[4].

Dalam kerangka ini, Islam telah meletakkan tanggungjawab besar kepada manusia untuk memakmurkan bumi. Allah SWT telah mengutuskan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi untuk mentadbir dan mengurus alam dengan penuh amanah dan adil. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan dalam firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ فِى ٱلْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوٓا۟ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّىٓ أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya"

Surah al-Baqarah (30)

Menurut Syeikh Tahir Ibn Asyur, perkataan "khalifah" dari sudut bahasa merujuk kepada seseorang yang menggantikan orang lain dalam menjalankan suatu tugas. Dalam konteks ayat ini perkataan “khalifah” bukanlah bermaksud Allah SWT mewakilkan suatu kerja yang pernah dilakukan-Nya kepada manusia sebaliknya, khalifah bermaksud manusia dilantik untuk melaksanakan kehendak Allah di bumi, seperti seorang wakil atau pentadbir yang menjalankan urusan atas perintah Allah SWT[5].

Manusia, berbeza daripada makhluk lain seperti haiwan kerana manusia diberikan kemampuan istimewa seperti akal, ilmu dan kuasa memilih yang membolehkan mereka mengurus ciptaan bumi dalam pelbagai bentuk dan cara. Inilah yang membezakan manusia sebagai satu-satunya makhluk yang layak menjadi khalifah di bumi[6].

Ada pendapat yang menyatakan bahawa sebelum manusia, bumi pernah dihuni oleh makhluk lain seperti "al-hinn" dan "al-binn" atau dalam mitos lain seperti makhluk "Titan" dalam kepercayaan Yunani. Namun, Syeikh Tahir Ibn Asyur menolak pendapat ini kerana ia tidak disokong oleh mana-mana nas yang jelas. Hal ini kerana ayat tersebut secara jelas menunjukkan bahawa pelantikan manusia sebagai khalifah berlaku selepas penciptaan bumi dan ia adalah peristiwa awal dalam sejarah manusia di bumi[7].

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ وَٱسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا

Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan kamu dari bumi serta menghendaki kamu untuk memakmurkannya.”

Surah Hud (61)

Menurut Imam Ibn ʿArabi al-Maliki, sebahagian ulama daripada mazhab al-Syafiʿi menafsirkan lafaz وَاسْتَعْمَرَكُمْ sebagai suatu perintah untuk memakmurkan bumi. Oleh kerana perintah ini datang secara mutlak daripada Allah SWT, maka hukum membangunkan dan memelihara bumi adalah wajib[8]. Tuntutan ini selari dengan fungsi manusia sebagai khalifah iaitu melaksanakan amanah mengurus dan membangunkan alam secara adil dan lestari sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak.

Syeikh Ali Muhiyuddin Al-Qaradaghi dalam bukunya al-Irtiqa min Maqasid al-Syari’ah ila al-Manzumah al-Maqasidiyyah menjelaskan bahawa tujuan penciptaan manusia tidak hanya terbatas kepada ibadah ritual seperti solat, puasa dan zikir, tetapi juga melibatkan usaha membangun, memakmur dan mengatur dunia secara bijaksana dan beretika. Ini digambarkan melalui konsep “الخلافة” (pengganti di bumi) yang menegaskan bahawa manusia ditugaskan bukan sahaja untuk menyembah Allah, tetapi juga membangun dan memakmurkan bumi secara seimbang antara nilai spiritual dan pembangunan duniawi[9].

Dalam mencapai fungsi sebagai seorang khalifah ia memerlukan kepada keseimbangan antara dua perkara iaitu pertama ketaatan kepada Allah SWT (التسبيح والتقديس) dan kedua pembangunan tamadun (العمران) termasuk pertanian, teknologi, pengurusan sumber alam, ekonomi, pendidikan dan perlindungan alam sekitar. Kedua-duanya membentuk apa yang dinamakan sebagai Fiqh al-Mizan iaitu kefahaman seimbang dalam menilai antara keperluan rohani dan pembangunan material dalam kehidupan manusia[10].

Pendekatan Maqasid al-Shariah klasik yang menumpukan kepada lima objektif utama iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan telah memberikan sumbangan besar kepada pembinaan hukum-hakam agar selari dengan tujuan pensyariatannya. Namun begitu, apabila diteliti dalam konteks semasa yang lebih kompleks, pendekatan ini dilihat kurang menekankan aspek pembangunan yang menyeluruh. Sehubungan itu, Syeikh Ali Muhiyuddin Al-Qaradaghi berpandangan bahawa perlunya juga menambah maqasid yang lain seperti maqasid keamanan baik pada peringkat individu dan masyarakat mahupun dalam konteks kestabilan negara Hal ini penting bagi memastikan maqasid al-Shariah terus relevan dan responsif terhadap cabaran semasa umat Islam[11].

Kelompangan ini menjadi lebih ketara apabila isu-isu kelestarian (sustainability) seperti kelestarian alam sekitar, kemajuan ekonomi, integrasi teknologi dan pembangunan sumber manusia semakin mendesak untuk ditangani secara holistik dalam kerangka maqasid itu sendiri. Justeru, Maqasid ‘Umran berfungsi bukan sekadar sebagai pelengkap, tetapi sebagai tonggak utama dalam mengembalikan umat Islam kepada landasan ketamadunan yang unggul, berpaksikan nilai-nilai Rabbani dan keseimbangan duniawi ukhrawi dalam mengekalkan kelestarian (sustainability) dan keseimbangan alam ini.

[1] UNESCO-UNEVOC. (t.t). Sustainable development. UNESCO-UNEVOC International Centre for Technical and Vocational Education and Training. Diakses pada 9 Julai 2025, daripada https://unevoc.unesco.org/home/Sustainable+development

[2] Aon. (2025). 2025 Climate and catastrophe insight: Helping clients navigate volatility in a year of extremes. Aon. Diakses pada 9 Julai 2025, daripada https://assets.aon.com/-/media/files/aon/reports/2025/2025-climate-catastrophe-insight.pdf

[3] World Bank. (2025, Jun 10). Global Economic Prospects, June 2025: Press release. World Bank. Diakses pada 9 Julai 2025, daripada https://www.worldbank.org/en/news/press-release/2025/06/10/global-economic-prospects-june-2025-press-release

[4] Ibid.

[5] Tahir Ibn Asyur, al-Tahrir wa al-Tanwir,

والخَلِيفَةُ في الأصْلِ الَّذِي يَخْلُفُ غَيْرَهُ أوْ يَكُونُ بَدَلًا عَنْهُ في عَمَلٍ يَعْمَلُهُ، فَهو فَعِيلٌ بِمَعْنى فاعِلٍ والتّاءُ فِيهِ لِلْمُبالَغَةِ في الوَصْفِ كالعَلامَةِ. والمُرادُ مِنَ الخَلِيفَةِ هُنا إمّا المَعْنى المَجازِيُّ وهو الَّذِي يَتَوَلّى عَمَلًا يُرِيدُهُ المُسْتَخْلَفُ مِثْلَ الوَكِيلِ والوَصِيِّ أيْ جاعِلٌ في الأرْضِ مُدَبِّرًا يَعْمَلُ ما نُرِيدُهُ في الأرْضِ فَهو اسْتِعارَةٌ أوْ مَجازٌ مُرْسَلٌ ولَيْسَ بِحَقِيقَةٍ لِأنَّ اللَّهَ تَعالى لَمْ يَكُنْ حالًّا في الأرْضِ ولا عامِلًا فِيها العَمَلَ الَّذِي أوْدَعَهُ في الإنْسانِ وهو السَّلْطَنَةُ عَلى مَوْجُوداتِ الأرْضِ، ولِأنَّ اللَّهَ تَعالى لَمْ يَتْرُكْ عَمَلًا كانَ يَعْمَلُهُ فَوَكَلَهُ إلى الإنْسانِ بَلِ التَّدْبِيرُ الأعْظَمُ لَمْ يَزَلْ لِلَّهِ تَعالى فالإنْسانُ هو المَوْجُودُ الوَحِيدُ الَّذِي اسْتَطاعَ بِما أوْدَعَ اللَّهُ في خِلْقَتِهِ أنْ يَتَصَرَّفَ في مَخْلُوقاتِ الأرْضِ بِوُجُوهٍ عَظِيمَةٍ لا تَنْتَهِي خِلافَ غَيْرِهِ مِنَ الحَيَوانِ، وإمّا أنْ يُرادَ مِنَ الخَلِيفَةِ مَعْناهُ الحَقِيقِيُّ إذا صَحَّ أنَّ الأرْضَ كانَتْ مَعْمُورَةً مِن قَبْلُ بِطائِفَةٍ مِنَ المَخْلُوقاتِ يُسَمَّوْنَ الحِنَّ والبِنَّ بِحاءٍ مُهْمِلَةٍ مَكْسُورَةٍ ونُونٍ في الأوَّلِ، وبِمُوَحَّدَةٍ مَكْسُورَةٍ ونُونٍ في الثّانِي. وقِيلَ اسْمُهُمُ الطَّمُّ والرَّمُّ بِفَتْحِ أوَّلِهِما، وأحْسَبُهُ مِنَ المَزاعِمِ، وأنَّ وضْعَ هَذَيْنِ الِاسْمَيْنِ مِن بابِ قَوْلِ النّاسِ (هَيّانُ بْنُ بَيّانٍ) إشارَةً إلى غَيْرِ مَوْجُودٍ أوْ غَيْرِ مَعْرُوفٍ. ولَعَلَّ هَذا أنْجَزُ لِأهْلِ القَصَصِ مِن خُرافاتِ الفُرْسِ أوِ اليُونانِ، فَإنَّ الفُرْسَ زَعَمُوا أنَّهُ كانَ قَبْلَ الإنْسانِ في الأرْضِ جِنْسٌ اسْمُهُ الطَّمُّ والرَّمُّ، وكانَ اليُونانُ يَعْتَقِدُونَ أنَّ الأرْضَ كانَتْ مَعْمُورَةً بِمَخْلُوقاتٍ تُدْعى ”التِيتانَ“ وأنَّ ”زُفَسَ“ - وهو المُشْتَرِي - كَبِيرُ الأرْبابِ في اعْتِقادِهِمْ - جَلّاهم مِنَ الأرْضِ لِفَسادِهِمْ. وكُلُّ هَذا يُنافِيهِ سِياقُ الآيَةِ، فَإنَّ تَعْقِيبَ ذِكْرِ خَلْقِ الأرْضِ ثُمَّ السَّماواتِ بِذِكْرِ إرادَتِهِ تَعالى جَعْلَ الخَلِيفَةِ دَلِيلٌ عَلى أنَّ جَعْلَ الخَلِيفَةِ كانَ أوَّلَ الأحْوالِ عَلى الأرْضِ بَعْدَ خَلْقِها، فالخَلِيفَةُ هُنا الَّذِي يَخْلُفُ صاحِبَ الشَّيْءِ في التَّصَرُّفِ في مَمْلُوكاتِهِ ولا يَلْزَمُ أنْ يَكُونَ المَخْلُوقُ مُسْتَقِرًّا في المَكانِ مِن قَبْلُ، فالخَلِيفَةُ آدَمُ، وخَلَفِيَّتُهُ قِيامُهُ بِتَنْفِيذِ مُرادِ اللَّهِ تَعالى مِن تَعْمِيرِ الأرْضِ بِالإلْهامِ أوْ بِالوَحْيِ وتَلْقِينِ ذُرِّيَّتِهِ مُرادَ اللَّهِ تَعالى مِن هَذا العالَمِ الأرْضِيِّ، ومِمّا يَشْمَلُهُ هَذا التَّصَرُّفُ تَصَرُّفُ آدَمَ بِسَنِّ النِّظامِ لِأهْلِهِ وأهالِيهِمْ عَلى حَسَبِ وفْرَةِ عَدَدِهِمْ واتِّساعِ تَصَرُّفاتِهِمْ. فَكانَتِ الآيَةُ مِن هَذا الوَجْهِ إيماءً إلى حاجَةِ البَشَرِ إلى إقامَةِ خَلِيفَةٍ لِتَنْفِيذِ الفَصْلِ بَيْنَ النّاسِ في مُنازَعاتِهِمْ إذْ لا يَسْتَقِيمُ نِظامٌ يَجْمَعُ البَشَرَ بِدُونِ ذَلِكَ، وقَدْ بَعَثَ اللَّهُ الرُّسُلَ وبَيَّنَ الشَّرائِعَ فَرُبَّما اجْتَمَعَتِ الرِّسالَةُ والخِلافَةُ ورُبَّما انْفَصَلَتا بِحَسَبِ ما أرادَ اللَّهُ مِن شَرائِعِهِ إلى أنْ جاءَ الإسْلامُ فَجَمَعَ الرِّسالَةَ والخِلافَةَ لِأنَّ دِينَ الإسْلامِ غايَةُ مُرادِ اللَّهِ تَعالى مِنَ الشَّرائِعِ وهو الشَّرِيعَةُ الخاتِمَةُ ولِأنَّ امْتِزاجَ الدِّينِ والمُلْكِ هو أكْمَلُ مَظاهِرِ الخُطَّتَيْنِ

[6] Ibid.

[7] Ibid.

[8] Abu Bakar Ibn Arabiy, Ahkam al-Quran, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2003), 3:18.

قال بعض علماء الشافعية: الاستعمار طلب العمارة، والطلب المطلق من الله على الوجوب

[9] Ali Muhiyuddin Al-Qaradaghi, al-Irtiqa min Maqasid al-Syari’ah ila al-Manzumah al-Maqasidiyyah, (Beirut: Dar al-Asolah, 2023), 35.

[10] Ibid, 25.

[11] Ibid,