PENGENALAN
Trend “S-Line” yang tular di media sosial merupakan satu bentuk normalisasi maksiat yang berselindung di sebalik naratif hiburan. Berinspirasikan daripada drama Korea, ia digunakan untuk mendedahkan kisah aib dan pengalaman seksual secara terbuka, sekaligus mencabar ajaran Islam dan nilai budaya Timur. Penyebaran kandungan seperti ini khususnya kepada golongan muda dan pengguna media yang mudah terpengaruh, berisiko merosakkan akhlak serta melemahkan maruah umat Islam. Sehubungan dengan itu, PMWP dalam penulisan kali ini akan meneliti beberapa isu sosial yang berbangkit kesan daripada pengamalan trend “S-Line” dengan melihatnya daripada perspektif syarak, seterusnya dijadikan sebagai panduan umum kepada umat Islam dalam mendepani cabaran semasa dari aspek budaya dan pemikiran.
DOSA MENORMALISASI MAKSIAT SECARA TERANG-TERANGAN
Fenomena penyebaran maksiat secara terbuka dalam masyarakat Islam kini bukan lagi isu akhlak peribadi semata-mata, tetapi menjadi ancaman serius terhadap akidah dan kestabilan sosial. Dalam era digital yang sarat dengan budaya hiburan, maksiat dinormalisasi melalui gurauan, konten ringan dan gaya hidup bebas, hingga dosa bukan sahaja dilakukan, malah dibanggakan serta dipromosikan tanpa rasa bersalah. Lebih parah apabila masyarakat mula menerima keburukan itu sebagai perkara biasa, lalu hilang sensitiviti terhadap dosa. Realiti ini seiring dengan amaran Allah SWT:
اِنَّ الَّذِيْنَ يُحِبُّوْنَ اَنْ تَشِيْعَ الْفَاحِشَةُ فِى الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌۙ فِى الدُّنْيَا وَالْاٰخِرَةِۗ وَاللّٰهُ يَعْلَمُ وَاَنْتُمْ لَا تَعْلَمُوْنَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang suka agar perbuatan keji itu tersebar dalam kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
Surah an-Nur (19)
Ayat ini menunjukkan kecaman keras terhadap mereka yang menyukai agar perbuatan keji disebarluaskan dalam kalangan orang beriman sama ada melalui perbuatan, perkataan atau bahkan dengan menyambutnya secara positif. Menurut Wahbah al-Zuḥaylī, hanya dengan menyukai penyebaran maksiat pun sudah cukup untuk menerima azab yang pedih. Apatah lagi jika seseorang benar-benar menyebarkannya secara nyata, maka dosanya lebih berat dan hukumannya lebih dekat.[1]
Ayat ini juga menekankan bahawa sifat suka melihat maksiat tersebar adalah cerminan niat jahat terhadap orang beriman.[2] Kecintaan seperti ini bukan sekadar lintasan hati, tetapi satu dorongan jiwa yang berterusan.[3] Bahkan, ayat ini mencakupi sesiapa sahaja yang memiliki sifat tersebut sama ada seorang mukmin, munafiq atau kafir. Ini kerana ia adalah sifat batin yang membawa kerosakan dalam masyarakat.[4]
Tersebarnya perbuatan maksiat secara terbuka dalam masyarakat akan mendorong orang ramai untuk lebih berani melakukannya dan menganggapnya perkara remeh.[5] Apabila maksiat dinormalisasi dan menjadi tontonan umum, nilai dosa dalam hati umat Islam akan semakin terhakis. Akibatnya, perkara yang dahulunya dianggap jijik dan perlu dijauhi kini dipandang biasa, sehingga membuka jalan kepada lebih banyak pelanggaran syariat tanpa rasa bersalah
Lebih membimbangkan, apabila maksiat berlaku dalam kalangan orang yang beriman dan bertakwa, kesannya menjadi lebih buruk kepada masyarakat. Jika perbuatan keji tersebar dalam kalangan golongan bertakwa dan bermaruah, masyarakat akan lebih mudah mengikutinya.[6] Ini kerana apabila mereka yang sepatutnya menjadi contoh turut terlibat atau berdiam diri terhadap maksiat yang dilakukan secara terang-terangan, ia akan meruntuhkan sempadan moral dan mengurangkan sensitiviti umat Islam terhadap dosa.
Menilai maksiat melalui sudut hiburan, logik akal atau emosi semata-mata tanpa merujuk kepada wahyu menunjukkan kejahilan terhadap hikmah dan ilmu Allah SWT. Teguran Ilahi terhadap golongan yang suka melihat tersebarnya kejahatan dalam kalangan orang beriman membuktikan bahawa kecenderungan hati ke arah maksiat adalah petanda niat yang kotor terhadap umat Islam. Niat seperti ini sudah memadai untuk dikenakan hukuman, sama ada di dunia melalui pelaksanaan had qazaf, mahupun di akhirat dengan azab yang lebih berat.[7] Oleh itu, menormalisasikan maksiat secara terbuka, sama ada melalui persetujuan hati atau tindakan nyata, merupakan satu bentuk jenayah moral dan keimanan yang sangat berbahaya.
BAHAYA HILANG SIFAT MALU YANG MEROSAKKAN KETAKWAAN
Kewujudan pelbagai platform di media sosial yang menyediakan akses untuk berkomunikasi secara tidak langsung turut meninggalkan impak yang negatif terhadap pembangunan akhlak dan sahsiah umat Islam. Kebebasan dalam menggunakan media sosial pada masa kini terutamanya dengan memuatkan kandungan yang bersifat peribadi atau menyentuh perihal orang lain telah menyebabkan masyarakat terjerumus dalam perbuatan mendedahkan aib secara terbuka kepada khalayak. Lantaran itu, ketiadaan pengawalan terhadap gejala ini dilihat menghakis sifat malu dalam diri, melenyapkan garis pemisah antara halal dengan haram secara perlahan-lahan dan akhirnya tiada perasaan segan silu untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak. Allah SWT telah menjelaskan dalam al-Quran melalui firman-Nya:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖوَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan;dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.”
Surah al-A’raf (26)
Menurut al-Tabari, maksud pakaian takwa dalam ayat tersebut merujuk kepada nilai ketakwaan pada diri manusia yang mendorong ke arah perbuatan mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya[8]. Beliau kemudiannya menjelaskan lagi bahawa pakaian takwa yang dimaksudkan merangkumi pelbagai aspek iaitu keimanan, amal soleh, sifat malu, takut kepada Allah dan berakhlak mulia. Berdasarkan pandangan ini juga boleh difahami bahawa terdapat hubungan yang jelas antara sifat malu dengan takwa. Dalam maksud yang lain, orang yang bertakwa ialah orang yang berasa malu untuk melakukan perkara-perkara yang syubhah, haram dan berdosa kerana malu dilihat oleh Allah SWT.
Selain itu, Rasulullah SAW juga telah bersabda dalam sebuah hadis yang menegaskan tentang kepentingan sifat malu berserta ancaman jika mengabaikannya dalam kehidupan. Diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud RA bahawa Baginda SAW bersabda:
إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ إِذَا لَمْ تَسْتَحِي فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
Maksudnya: “Sesungguhnya salah satu daripada kalam para nabi yang masih terdapat pada manusia ialah: 'Jika kamu tidak merasa malu, maka buatlah apa yang kamu suka.”
(Riwayat Bukhari)
Dalam menghuraikan maksud hadis di atas, al-San’ani berpendapat bahawa lafaz hadis “buatlah apa yang kamu suka” mengandungi dua maksud[9]. Pertama, lafaz tersebut merupakan sebuah kiasan berbentuk isyarat sekiranya seseorang itu tidak memiliki sifat malu, maka dirinya boleh melakukan pelbagai perkara dengan mengikut hawa nafsu, lalu akan menerima balasan daripada Allah SWT. Selain itu, lafaz ini juga menunjukkan peranan sifat malu yang melindungi diri daripada melakukan keburukan dan kejahatan.
Sementara maksud kedua bagi lafaz tersebut bersifat nasihat yang bererti jika seseorang itu berasa malu untuk melakukan sesuatu perkara, maka dia hendaklah menjauhi perbuatan tersebut. Berdasarkan huraian terhadap hadis ini, individu yang tidak memiliki sifat malu akan melakukan apa sahaja perkara yang boleh mendatangkan keseronokan kepada dirinya tanpa mempedulikan sama ada perkara tersebut menyalahi perintah syarak ataupun tidak.
Dalam konteks perbincangan ini, pengamalan trend “S-Line” yang memaparkan bilangan hubungan seksual yang pernah dilakukan oleh individu jelas menyalahi tuntutan ke atas umat Islam agar bersikap malu dalam perkara-perkara yang melibatkan maruah dan keaiban diri. Walaupun terdapat sesetengah pihak yang mendakwa bahawa perbuatan tersebut hanyalah sekadar gurauan atau hiburan semata-mata, namun hakikatnya ia telah melampaui batasan syarak dalam berhibur kerana mendedahkan aib serta mengundang fitnah terhadap diri sendiri atau orang lain. Ketiadaan sifat malu dalam kalangan umat Islam bukan sahaja menyalahi maqasid al-tadayyun yang menghimpunkan hikmah pensyariatan Islam bagi membentuk individu beragama dan menjauhi maksiat, malah turut menggugat maqasid al-‘umran yang menekankan pembinaan masyarakat yang berakhlak, sejahtera dan bermaruah.
PENUTUP
Tuntasnya, trend “S-Line” yang menormalisasikan pendedahan aib dan kisah seksual secara terbuka bukan sekadar melanggar batas moral, malah bertentangan dengan tujuan syariah dalam membentuk kehidupan beragama dan membina masyarakat yang berakhlak serta sejahtera. Ia meruntuhkan sifat malu, menghilangkan sensitiviti terhadap dosa serta merosakkan struktur masyarakat yang bermaruah. Berdasarkan panduan wahyu yang jelas, sesiapa yang cenderung kepada penyebaran maksiat akan dikenakan azab yang pedih di dunia dan akhirat, meskipun hanya dalam bentuk kecenderungan hati. Justeru itu, hukum terlibat dalam budaya “S-Line” dan perbuatan menzahirkan aib secara sengaja dan terbuka adalah haram. Ini kerana ia membuka ruang kepada dosa, fitnah dan kerosakan sosial yang lebih besar. Umat Islam wajib menolak budaya ini dengan ilmu, iman dan dakwah berhikmah. Sebagai langkah pencegahan, institusi keluarga, sekolah, media dan pihak berautoriti disaran memperkukuh pendidikan akhlak, memperketat kawalan kandungan digital serta memperluas kempen kesedaran agar maruah umat dan nilai agama sentiasa terpelihara.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Wahbah al-Zuḥaylī, al-Tafsīr al-Munīr fī al-ʿAqīdah wa al-Sharīʿah wa al-Manhaj, (Damascus, Syria: Dār al-Fikr; Beirut, Lebanon: Dār al-Fikr al-Muʿāṣir, 1991), 18: 182. Teks asal:
والآية تدل على أن مجرد حب إشاعة الفاحشة كاف في إلحاق العذاب، فالذين يشيعونها فعلا أشد جرما وإثما وتعرضا للعقاب.
[2] Muḥammad al-Ṭāhir Ibn ʿĀshūr, al-Taḥrīr wa al-Tanwīr: Taḥrīr al-Maʿnā al-Sadīd wa-Tanwīr al-ʿAql al-Jadīd min Tafsīr al-Kitāb al-Majīd (Tunis: al-Dār al-Tūnisiyya li al-Nashr, 1984), 18: 184. Teks asal:
فَالْمَحَبَّةُ هُنَا كِنَايَةٌ عَنِ التَّهَيُّؤِ لِإِبْرَازِ مَا يُحِبُّ وُقُوعَهُ. وَجِيءَ بِصِيغَةِ الْفِعْلِ الْمُضَارِعِ لِلدَّلَالَةِ عَلَى الِاسْتِمْرَارِ.
[3] Muḥammad al-Ṭāhir Ibn ʿĀshūr, al-Taḥrīr wa al-Tanwīr: Taḥrīr al-Maʿnā al-Sadīd wa-Tanwīr al-ʿAql al-Jadīd min Tafsīr al-Kitāb al-Majīd (Tunis: al-Dār al-Tūnisiyya li al-Nashr, 1984), 18: 184. Teks asal:
وَجَعَلَ الْوَعِيدَ عَلَى الْمَحَبَّةِ لِشُيُوعِ الْفَاحِشَةِ فِي الْمُؤْمِنِينَ تَنْبِيهًا عَلَى أَنَّ مَحَبَّةَ ذَلِكَ تَسْتَحِقُّ الْعُقُوبَةَ لِأَنَّ مَحَبَّةَ ذَلِكَ دَالَّةٌ عَلَى خُبْثِ النِّيَّةِ نَحْوَ الْمُؤْمِنِينَ
[4] Muḥammad al-Ṭāhir Ibn ʿĀshūr, al-Taḥrīr wa al-Tanwīr: Taḥrīr al-Maʿnā al-Sadīd wa-Tanwīr al-ʿAql al-Jadīd min Tafsīr al-Kitāb al-Majīd (Tunis: al-Dār al-Tūnisiyya li al-Nashr, 1984), 18: 184. Teks asal:
وَاسْمُ الْمَوْصُولِ يَعُمُّ كُلَّ مَنْ يَتَّصِفُ بِمَضْمُونِ الصِّلَةِ فَيَعُمُّ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُنَافِقِينَ وَالْمُشْرِكِينَ، فَهُوَ تَحْذِيرٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَإِخْبَارٌ عَنِ الْمُنَافِقِينَ وَالْمُشْرِكِينَ
[5] Wahbah al-Zuḥaylī, al-Tafsīr al-Munīr fī al-ʿAqīdah wa al-Sharīʿah wa al-Manhaj, (Damascus, Syria: Dār al-Fikr; Beirut, Lebanon: Dār al-Fikr al-Muʿāṣir, 1991), 18: 182. Teks asal:
فإن شيوع الفاحشة في مجتمع يجرئ الناس على الإقدام عليها، ويجعلهم يستسهلون الوقوع فيها.
[6] Muḥammad ibn Aḥmad Abū Zahrah, Zahrat al-Tafāsīr, (Cairo: Dār al-Fikr al-ʿArabī, t.t.), 10: 5164. Teks asal:
وقد بين ما يترتب عليه إشاعة الفحشاء ونشرها بين الذين آمنوا؛ وذلك لأنها إذا شاعت في الأتقياء ذوي المكانة سهل ارتكاب الفاحشة
[7] Muḥammad al-Ṭāhir Ibn ʿĀshūr, al-Taḥrīr wa al-Tanwīr: Taḥrīr al-Maʿnā al-Sadīd wa-Tanwīr al-ʿAql al-Jadīd min Tafsīr al-Kitāb al-Majīd (Tunis: al-Dār al-Tūnisiyya li al-Nashr, 1984), 18: 184. Teks asal:
فَلَا جَرَمَ أَنْ يَنْشَأَ عَنْ تِلْكَ الْمَحَبَّةِ عَذَابُ الدُّنْيَا وَهُوَ حَدُّ الْقَذْفِ وَعَذَابُ الْآخِرَةِ وَهُوَ أَظْهَرُ لِأَنَّهُ مِمَّا تَسْتَحِقُّهُ النَّوَايَا الْخَبِيثَةُ
[8] Abu Ja’afar Ibn Jarir al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Ay al-Quran (Mekah:Dar al-Tarbiyyah wa al-Turath, t.t), 12: 371. Teks asal:
قال أبو جعفر: وأولى الأقوال بالصحة في تأويل قوله: " ولباس التقوى "، استشعار النفوس تقوى الله، في الانتهاء عما نهى الله عنه من معاصيه، والعمل بما أمر به من طاعته ، وذلك يجمع الإيمان، والعمل الصالح، والحياء، وخشية الله، والسمتَ الحسن, لأن مَنْ اتقى الله كان به مؤمنًا، وبما أمره به عاملا ومنه خائفًا، وله مراقبًا, ومن أن يُرَى عند ما يكرهه من عباده مستحييًا. ومَنْ كان كذلك ظهرت آثار الخير فيه, فحسن سَمْته وهَدْيه، ورُئِيَتْ عليه بهجة الإيمان ونوره.
[9] Muhammad bin ‘Amir al-San’ani, Subul al-Salam Sharh Bulugh al-Maram (Kaherah:Dar al-Hadis,1997), 4:690. Teks asal:
(فاصنع ما شئت) قولان، الأول أنه بمعنى الخبر أي صنعت ما شئت وعبر عنه بلفظ الأمر للإشارة إلى أن الذي يكف الإنسان عن مدافعة الشر هو الحياء فإذا تركه توفرت دواعيه على مواقعة الشر حتى كأنه مأمور به أو الأمر فيه للتهديد أي اصنع ما شئت فإن الله مجازيك على ذلك، الثاني: أن المراد انظر إلى ما تريد فعله فإن كان مما لا يستحى منه فافعله وإن كان مما يستحى منه فدعه ولا تبال بالخلق.