Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-322: ETIKA DEMONSTRASI DARIPADA SUDUT PANDANG FIQH AL-MIZAN

ETIKA_DEMONSTRASI_DARIPADA_SUDUT_PANDANG_FIQH_AL-MIZAN.jpg

 

Demonstrasi merupakan manifestasi kebebasan bersuara dalam sistem demokrasi moden. Meskipun menjadi medium menyuarakan pandangan rakyat, tindakan ini boleh memberikan implikasi negatif terhadap imej negara sekiranya tidak dikendalikan secara bertanggungjawab. Artikel ini meneliti isu demonstrasi dari perspektif hukum syariah, prinsip Fiqh al-Mizan serta impaknya terhadap kestabilan ekonomi dan persepsi antarabangsa. Kajian ini turut melihat daripada aspek undang-undang yang sedia ada di Malaysia.

Amalan demonstrasi bukanlah sesuatu yang asing dalam landskap politik Malaysia dan dunia Islam secara umumnya. Ia sering dilihat sebagai salah satu wadah menzahirkan pendirian masyarakat awam terhadap dasar kerajaan atau isu keadilan sosial. Namun, pelaksanaan demonstrasi mestilah menepati batasan syariah dan undang-undang demi memastikan keamanan dan kestabilan negara terpelihara. Prinsip ini selari dengan peruntukan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

Di Malaysia, terdapat Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) yang merupakan undang-undang khusus bagi mengawal selia perhimpunan awam dan bantahan secara aman. Akta ini bertujuan memastikan kebebasan berhimpun sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan dapat dilaksanakan secara tertib, tanpa menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara. Seksyen 2 akta ini juga menyebutkan:

(a) selagi wajar untuk berbuat demikian, bahawa semua warganegara mempunyai hak untuk menganjurkan perhimpunan atau untuk menyertai perhimpunan, secara aman dan tanpa senjata; dan

Dalam Islam, prinsip kebebasan bersuara dan nasihat kepada pemerintah amat dititikberatkan. Pada masa yang sama, Islam juga meletakkan garis panduan yang jelas agar hak tersebut tidak disalahgunakan sehingga menimbulkan kemudaratan yang besar (mafsadah 'ammah). Secara umum, hukum mengadakan demonstrasi aman adalah harus selagi tidak melibatkan unsur kekacauan, kerosakan harta benda atau pelanggaran hak individu. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang masyhur:

الأصل في الأشياء الإباحة ما لم يدل دليل على التحريم

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus, selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya.”

Antara dalil yang menunjukkan keharusannya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

أن رجلا أتى النبي صلى الله عليه وآله وسلم فشكا إليه جاره ، فقال : يا رسول الله إن جاري يؤذيني . فقال : " أخرج متاعك فضعه على الطريق   " فأخرج متاعه فوضعه على الطريق فجعل كل من مر عليه قال : ما شأنك ؟ قال : إني شكوت جاري إلى رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم فأمرني أن أخرج متاعي فأضعه على الطريق فجعلوا يقولون : اللهم العنه اللهم اخزه ، قال : فبلغ ذلك الرجل فأتاه فقال : ارجع فوالله لا أؤذيك أبدا

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan mengadu bahawa jirannya menyakitinya. Maka Nabi SAW bersabda: ‘Keluarkan barang-barangmu dan letakkan di jalan.’ Lalu lelaki itu pun meletakkan barangnya di jalan. Orang ramai yang lalu bertanya kepadanya: ‘Apa yang berlaku?’ Dia menjawab: ‘Aku telah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang jiranku dan Baginda menyuruhku mengeluarkan barang dan meletakkannya di jalan.’ Maka orang ramai pun mula berkata: ‘Ya Allah, laknatilah dia (jiran itu), hinakanlah dia.’ Apabila perkara itu sampai kepada si jiran, dia pun datang dan berkata: ‘Kembalilah (ke rumah), demi Allah aku tidak akan mengganggumu lagi.”

(Riwayat al-Hakim)

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telahpun menjelaskan perkara ini dalam artikel Bayan Linnas Siri Ke-158: Demonstrasi (Perhimpunan Aman): Isu Dan Hukum. Pandangan yang mengharuskan ini turut disokong oleh tokoh-tokoh ulama seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi[1], Dr. Ali Juma’ah[2] dan Dr. ‘Ali al-Qurrah Daghi[3] serta institusi fatwa seperti Dar al-Ifta’ al-Libiyyah (Badan fatwa Libya) dan Dar al-Ifta’ Jordan (Badan fatwa Jordan).

Dalam kerangka Fiqh al-Mizan terdapat penekanan bahawa pemerintah dan rakyat masing-masing mempunyai peranan yang saling melengkapi dalam menjamin kestabilan negara. Pemerintah diberi mandat untuk mentadbir negara berdasarkan prinsip keadilan (al-‘adl) dan ihsan, sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلْإِحْسَٰنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat ihsan.”

Surah al-Nahl (90)

Sebaliknya, rakyat pula memikul amanah untuk menasihati pemerintah dengan adab dan hikmah, selaras dengan sabda Nabi Muhammad SAW:

الدين النصيحة قلنا لمن قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم

Maksudnya: “Agama itu adalah nasihat.” Kami (para sahabat) bertanya: “Untuk siapa wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Untuk Allah, untuk kitab-Nya, untuk Rasul-Nya, untuk para pemimpin umat Islam, dan juga untuk seluruh masyarakat umum.”

(Riwayat Muslim)

Peranan kedua-dua pihak ini amat penting dalam memastikan tercapainya salah satu daripada maqasid syariah yang utama, iaitu memelihara keamanan (hifz al-amn). Menurut Syeikh Dr. ‘Ali al-Qurrah Daghi, selain lima maqasid utama yang sering digariskan oleh para ulama iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, terdapat maqasid tambahan yang tidak kurang pentingnya, iaitu maqasid memelihara keamanan masyarakat dan negara[4].

Nasihat terhadap pemimpin hendaklah disampaikan secara berhikmah dan beradab, sesuai dengan prinsip Islam yang menekankan hikmah dalam menegur. Tindakan menggunakan cercaan, penghinaan atau fitnah bukan sahaja bercanggah dengan akhlak Islam, bahkan boleh mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan kestabilan negara. Amat mendukacitakan apabila wujud segelintir pihak yang menjadikan platform politik sebagai medan untuk melontarkan tuduhan berunsur peribadi seperti menuduh orang lain sebagai gay.

Baru-baru ini, tular tindakan sebahagian individu yang membacakan doa Qunut Nazilah ke atas sesama umat Islam. Perlu ditegaskan bahawa Qunut Nazilah secara prinsipnya disyariatkan sebagai doa memohon pertolongan Allah SWT dalam menghadapi kezaliman dan ancaman musuh Islam yang jelas memerangi umat Islam. Sehubungan itu, tindakan membaca Qunut Nazilah terhadap sesama Muslim atas dasar perbezaan pandangan atau perselisihan dalam politik boleh membuka ruang kepada sikap melampau dan keterlaluan dalam beragama yang ditegah oleh Islam[5].

Tindakan seperti ini juga tidak wajar mencemarkan semangat demokrasi yang menjadi teras keharmonian masyarakat di Malaysia. Dalam konteks ini, peruntukan Seksyen 7(a)(iii) Akta Perhimpunan Aman 2012 [Akta 736] dengan jelas menyatakan bahawa:

“Melakukan apa-apa perbuatan atau membuat apa apa pernyataan yang berkecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan di kalangan orang awam amnya atau membuat apa-apa yang akan mengganggu ketenangan orang awam;”

Selain itu, demonstrasi yang berulang dan tidak terkawal memberi kesan langsung terhadap keyakinan pelabur asing. Berdasarkan Indeks Political Stability and Absence of Violence/Terrorism, World Bank kestabilan politik adalah indikator utama dalam menentukan kemudahan perniagaan dan pertumbuhan ekonomi. Negara yang sering berdepan ketidakstabilan akan menghadapi penangguhan atau pembatalan projek pelaburan asing dan penurunan penarafan kredit negara. Selain itu, demonstrasi turut menyebabkan peningkatan kos keselamatan serta kerosakan harta awam[6].

Bagi menjamin hak untuk menyuarakan pendapat terus terpelihara tanpa menjejaskan kepentingan awam, berikut dikemukakan beberapa cadangan garis panduan yang wajar diberi perhatian dalam pelaksanaan sesuatu perhimpunan aman:

1)    Demonstrasi mestilah mendapat kebenaran pihak berkuasa dan mematuhi garis panduan undang-undang.

2)    Penganjur hendaklah memastikan tiada elemen provokasi, fitnah atau maki hamun.

3)    Tempat dan masa demonstrasi perlu diatur agar tidak mengganggu urusan awam dan ekonomi.

4)    Penceramah atau pemimpin demonstrasi perlu menonjolkan akhlak Islam yang tinggi.

Kesimpulannya, demonstrasi dalam bentuk aman dan bertanggungjawab boleh menjadi medium yang dibenarkan dalam Islam bagi menyampaikan suara rakyat dan menuntut keadilan. Namun demikian, ia perlu dilaksanakan dengan tertib, penuh adab serta mengambil kira maslahat negara dari sudut ekonomi, politik dan imej antarabangsa. Keseimbangan antara hak bersuara dan menjaga kemaslahatan awam adalah kunci kepada keharmonian dan kestabilan negara.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan:

[1] Al-Qaradawi, (tanpa tarikh). Shar‘iyyat al-muzaharat al-silmiyyah. Diakses pada 28 Julai 2025 daripada https://www.al-qaradawi.net/node/3885

[2] Ali Juma’ah, (2016, 7 November). Hukm al-muzaaharat wa al-iʿtisaamaat. Diakses pada 28 Julai 2025 daripada https://www.draligomaa.com/index.php/الفتاوى/item/2009-حكم-المظاهرات-والاعتصامات

[3] Al-Qaradhaghi, (tanpa tarikh). Araa’ al-mu‘aasirin fi al-muzaaharat wa nahwiha. Diakses pada 28 Julai 2025 daripada https://alqaradaghi.com/آراء-المعاصرين-في-المظاهرات-ونحوها/

[4] Ali Muhiyuddin Al-Qaradaghi, al-Irtiqa min Maqasid al-Syari’ah ila al-Manzumah al-Maqasidiyyah, (Beirut: Dar al-Asolah, 2023), 173.

[5] Lihat: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5959-al-kafi-1993-hukum-membaca-doa-qunut-nazilah-ke-atas-sesama-orang-islam

[6] World Bank. (tanpa tarikh). Political Stability and Absence of Violence/Terrorism (PV.EST). Worldwide Governance Indicators. Diakses pada 28 Julai 2025 daripada https://databank.worldbank.org/metadataglossary/worldwide-governance-indicators/series/PV.EST