Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-323: MENGISLAHKAN KECELARUAN APLIKASI MUWĀJAHAH SILMIYYAH (MENENTANG SECARA AMAN) TERHADAP PEMIMPIN

Silmiyyah.jpg

Pendahuluan

Dalam era moden, penentangan rakyat terhadap pemimpin melalui demonstrasi dan media sosial semakin meluas. Amalan demokrasi ini dibenarkan selagi mana ia tidak bercanggah dengan syarak. Namun, tindakan yang melampaui batas boleh mencetuskan fitnah dan merosakkan kestabilan negara. Justeru itu, umat Islam perlu memahami adab dan batas syarak dalam menasihati pemimpin. Jihad rakyat yang sebenar hari ini bukan dengan kekerasan, tetapi melalui dialog, wacana ilmiah dan nasihat yang berhikmah.

Ruang lingkup penentangan terhadap pemimpin

Bagi memperbetulkan kekeliruan tentang muwājahah silmiyyah terhadap pemimpin, perlu disedari bahawa konsep jihad dalam Islam merangkumi pelbagai bentuk tindakan yang sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa. Ia tidak terbatas kepada penentangan secara fizikal semata-mata, sebaliknya merangkumi usaha menyampaikan kebenaran dengan berani dan ikhlas termasuk menyuarakan pandangan yang benar di hadapan pemimpin. Sabda Nabi Muhammad SAW:

أَفْضَلُ الجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

Maksudnya: ‘Jihad yang paling utama adalah menyampaikan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.’

(Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi)

Hadis ini menunjukkan bahawa menegur pemimpin termasuk dalam bentuk jihad yang terpuji, namun mesti dilakukan dengan penuh adab dan kebijaksanaan agar tidak mengundang kemudaratan. Menurut Imam al-Ghazālī, hanya dua pendekatan yang sesuai terhadap pemimpin iaitu penjelasan dan nasihat asalkan ia tidak mencetuskan keresahan awam atau mengganggu kestabilan negara. Adapun teguran yang lebih tegas hanya boleh dipertimbangkan jika tidak membawa kepada kekacauan sosial dan ia perlu disampaikan secara peribadi serta dengan tanggungjawab yang tinggi, bukan dengan cara yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.[1]

Muwājahah silmiyyah menurut neraca maqasid syariah

Penilaian terhadap muwājahah silmiyyah tidak boleh terpisah daripada neraca maqasid syariah yang ketimbang antara maslahat dengan mafsadah. Menegur pemimpin adalah tuntutan syarak, namun pendekatannya mesti selari dengan prinsip penjagaan agama, nyawa, akal, harta dan maruah. Tanpa panduan maqasid, penentangan yang disangka aman boleh membawa kesan yang lebih mudarat kepada kestabilan negara dan kemaslahatan umat.

Keamanan sejati tertegak melalui pemimpin yang adil dalam menjaga hak rakyat dan kestabilan negara, disokong oleh sistem ekonomi dan sosial yang menyeluruh serta lestari. Ia merangkumi keselamatan individu dan keselamatan kolektif yang mencakupi kestabilan pemerintahan yang sah dan keharmonian sosial. Dalam masa yang sama, maqasid syariah menuntut pemeliharaan akal melalui suasana yang kondusif untuk berfikir dan berkreativiti serta penjagaan jasmani dengan memastikan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan rawatan dipenuhi demi kelangsungan hidup bermaruah.[2]

Oleh yang demikian, sebarang muwājahah terhadap pemimpin yang mengabaikan dimensi ini perlu dinilai teliti menurut neraca maqasid. Jika penentangan yang didakwa aman mencetuskan ketidaktentuan politik, menggugat ekonomi atau menimbulkan keresahan masyarakat, maka ia bertentangan dengan prinsip syariah yang mengutamakan kelangsungan hidup, kestabilan sosial dan kesejahteraan insan. Tindakan yang melampaui batas tanpa hikmah dan pertimbangan maslahat hanya mengundang kemudaratan lebih besar berbanding manfaat yang diharapkan.

Kesimpulan

Sebagai penutup kepada perbincangan mengenai mengislahkan kecelaruan aplikasi muwājahah silmiyyah terhadap pemimpin, perlu difahami bahawa menegur pemimpin merupakan sebahagian daripada prinsip amar makruf nahi mungkar. Namun, pelaksanaannya hendaklah berpaksikan syariat yang ketimbang antara maslahat dengan mafsadah serta mengelakkan sebarang bentuk tindakan yang boleh membawa kepada kerosakan yang lebih besar.

Dalam konteks semasa, umat Islam perlu kembali kepada pendekatan yang bersifat hikmah dan strategik. Tindakan menasihati pemimpin mestilah diasaskan kepada dialog, hujah ilmiah dan adab, bukannya didorong oleh emosi atau provokasi yang hanya menambahkan ketegangan. Keberanian semata-mata tidak mencukupi jika tidak disertai dengan pertimbangan maslahat dan panduan syarak.

Naratif jihad moden menuntut keikhlasan menyampaikan kebenaran secara berhemah dan berlandaskan ilmu. Inilah bentuk muwājahah yang sebenar iaitu jihad lidah dan pena yang bertujuan melakukan islah dalam masyarakat. Pendekatan ini bukan sahaja selari dengan tuntutan syarak, malah lebih diterima dalam masyarakat beradab dan bertamadun.

[1] Abū Ḥāmid al-Ghazālī, Iḥyāʾ ʿUlūm al-Dīn, (Beirut: Dār al-Maʿrifah, t.t.), 2: 342. Teks asal:

قد ذكرنا درجات الأمر بالمعروف وأن أوله التعريف وثانيه والوعظ وثالثه التخشين في القول ورابعه المنع بالقهر في الحمل على الحق بالضرب والعقوبة والجائز من جملة ذلك مع السلاطين الرتبتان الأوليان وهما التعريف والوعظ وأما المنع بالقهر فليس ذلك لآحاد الرعية مع السلطان فإن ذلك يحرك الفتنة ويهيج الشر ويكون ما يتولد منه من المحذور أكثر وأما التخشين في القول كقوله يا ظالم يا من لا يخاف الله وما يجري مجراه فذلك إن كان يحرك فتنة يتعدى شرها إلى غيره لم يجز وإن كان لا يخاف إلا على نفسه فهو جائز بل مندوب إليه

[2] Al-Qaraḍāghī, ʿAlī Muḥyī al-Dīn, al-Irtiqāʾ min Maqāṣid al-Sharīʿah ilā al-Manẓūmah al-Maqāṣidiyyah, (Istanbul: Dār al-Aṣālah, 2023), 206.Teks asal:

فهذه الكفة تتحقق بوجود سلطة عادلة تحمي كرامة الإنسان وحقوقه، والبلاد والعباد، وتوفر المال الكافي والتكافل والتعاون؛ ولذلك ربط الله تعالى بين الأمن السياسي والأمن الاقتصادي؛ فقال تعالى .] قريش: 4 [ومن جانب آخر، وباعتبار آخر، فإن للأمن كفتين هما: كفة أمن الفرد، وكفة أمن الجماعة، التي تتوزع على جناحين مهمين، هما: أمن الدولة الشرعية، وأمن المجتمع- كما سبق. وباعتبار آخر، فللأمن كفتان أخريان، هما: كفة العقل وتوفير الأمان الامل له،