Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-324: ETIKA PENGAMAL PERUBATAN MENURUT MAQASID AL-SYARIAH

ETIKA_PENGAMAL_PERUBATAN_MENURUT_MAQASID_AL-SYARIAH.jpg

Mukadimmah

Sektor perubatan merupakan antara sektor penyumbang terbesar kepada ekonomi sesebuah negara. Bahkan menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad laporan terkini yang dikeluarkan firma global, Nomad Capitalist. Malaysia kini diiktiraf sebagai destinasi pelancongan perubatan nombor satu dunia dan dijangka Industri penjagaan kesihatan Malaysia menyumbang AS$4.19 bilion kepada ekonomi negara.[1] Hal ini membuktikan keyakinan terhadap kepakaran doktor, jururawat tempatan dan kualiti rawatan bertaraf antarabangsa menjadi pilihan utama bukan sahaja bagi masyarakat setempat bahkan pelancong antarabangsa.

Namun di sebalik pencapaian yang membanggakan ini, aspek etika dalam amalan perubatan tidak boleh diketepikan. Kemajuan bidang perubatan perlu berjalan seiring dengan pemeliharaan nilai dan prinsip syarak. Di sinilah peranan Maqasid Syariah menjadi panduan penting dalam membentuk etika pengamal perubatan.

Tokoh inspirasi Pengamal Perubatan Muslim

Menyingkap lipatan sejarah Islam, terdapat beberapa sosok individu Muslim yang menjadi inspirasi dalam dunia perubatan Islam. Antaranya Rufaidah dikenali sebagai tokoh jururawat Islam paling terkenal dan sentiasa memberikan bantuan perawatan buat tentera di medan perang. Antara dalam kisah beliau berkhidmat merawat Saad bin Muadz yang cedera dalam perang khandaq pada zaman Rasulullah SAW[2]. Selain itu, Ummu Sulaim dan Syifa' binti Abdullah juga turut serta dalam medan perang dan berkhidmat memberikan rawatan kepada para tentera Islam.[3] Seorang lagi pengamal perubatan terkemuka pada zaman kedatangan Islam ialah Ibn Abi Ramthah al Tamimi. Diriwayatkan bahawa beliau juga mempunyai kepandaian di dalam bidang pembedahan.[4]

Dikatakan bidang perubatan semakin berkembang pada zaman pemerintahan Bani Umayyah. Salah seorang khalifah Bani Umayyah iaitu al Walid ibn Abdul al Malik merupakan orang yang pertama membina hospital di dalam Islam.[5] Kemuncak perkembangan ilmu perubatan semakin dirasai di zaman Abbasiyah apabila terhasilnya beberapa karya-karya perubatan yang ditulis oleh pakar-pakar perubatan Islam antaranya Abu Bakr Muhammad bin Zakaria al Razi (865-925M) iaitu “Kitab al Hawi” yang mempunyai 24 jilid. Selain itu, kemunculan tokoh Abu ‘Ali ibn “AbdAllah ibn Sina atau dikenali juga dengan Avicenna (980-1036M) menghasilkan antara karya beliau yang termasyhur dalam bidang perubatan ialah “al Qanun Fi al Tibb” yang dirujuk dan dikaji sehingga kini.[6]

Hal ini membuktikan, Islam menghargai akal manusia sebagai jalan pengetahuan memberi kebebasan kepada perkara yang bersifat saintifik, eksperimen dan pengalaman selagi mana selari dengan syariah. Nilai keilmuan ini mencerminkan maqasid al‑syariah, di mana ilmu tentang perubatan bukan sahaja dibenarkan, malah sangat penting untuk mencapai kemaslahatan umat.

Dimensi Ihsan dalam Diri Pengamal Perubatan

Dalam Islam, ihsan bukan sekadar satu sifat yang baik akan tetapi merupakan teras utama dalam segenap aspek perkataan dan perbuatan dalam interaksi sesama manusia[7]. Berdasarkan hadis daripada Syaddad bin Aus RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَةَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memerintahkan berbuat baik terhadap segala sesuatu. Jika kalian hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang baik. Jika kalian hendak menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang baik. Hendaklah kalian menajamkan pisaunya dan senangkanlah hewan yang akan disembelih.”

Dalam konteks profesion perubatan, ihsan menjadi neraca pertimbangan yang membimbing pengamal perubatan agar melaksanakan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab, belas ihsan, dan adab yang tinggi, sejajar dengan maqasid syariah dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Dengan ihsan, profesion perubatan bukan sekadar kerja teknikal, tetapi medan amal soleh yang tinggi di sisi Tuhan dan mulia di sisi masyarakat.

Etika Pengamal Perubatan

Etika perubatan bagi seorang Muslim bukan sekadar soal profesionalisme, tetapi juga satu tanggungjawab agama yang memerlukan pengamal menggabungkan kepakaran perubatan dan kesedaran syariah dalam setiap tindakan. Terdapat beberapa perkara kritikal yang perlu diberi perhatian oleh para pengamal perubatan:

  1. Mempunyai Keperibadian yang Baik

Akhlak mempunyai peranan yang penting dalam mencorakkan tingkah laku dan kehidupan seseorang. Setiap tingkah laku yang lahir daripada manusia sebenarnya adalah hasil daripada apa yang tersemat di dalam dirinya.[8] Hal ini selari dengan hadis yang diriwayatkan daripada Husain bin ‘Ali RA bahwa Rasulullah bersabda:

إِنَّ اللهَ تَعَالَى يُحِبُّ مَعَالِيَ الأُمُوِر وَأَشرَافَهَا، وَيَكَرهُ سَفْسَافَهَا

Maksudnya : “ Sesungguhnya Allah SWT menyukai akhlak-akhlak yang tinggi dan mulia dan Allah SWT membenci akhlak-akhlak yang keji ”.

(Riwayat al-Tabarani)

Pengamal perubatan Muslim sewajarnya membentuk keperibadian yang dijiwai nilai agama iaitu dengan menampilkan sifat jujur, sabar, rendah hati dan berdisiplin. Ishaq bin Ali al‑Ruhawi dalam karya klasiknya Adab al‑Tabib menjelaskan bahawa doktor adalah penjaga tubuh dan jiwa, yang memikul amanah syariah untuk menjaga kesihatan pesakit secara menyeluruh.[9]

Justeru, pengamal perubatan Muslim hari ini perlu mewujudkan keseimbangan antara tugas dan amanah dengan menjadikan setiap tindakan sebagai manifestasi iman kepada Allah melalui akhlak mulia.

  1. Menjaga Hubungan Baik Sesama Pengamal Perubatan

Allah SWT sangat menggalakkan hamba-hambaNya yang beriman untuk saling tolong menolong dalam melakukan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran. Oleh itu, pengamal perubatan hendaklah saling menghormati antara satu sama lain. Hal ini kerana dalam menjalankan tugas ini banyak kerja-kerja yang melibatkan kerjasama antara pengamal perubatan demi membantu pesakit.Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah al-Ma’idah: 2)

Tambahan pula, dalam keadaan tertentu banyak perkongsian ilmu berlaku antara satu sama lain dan terdapat keperluan untuk berunding dengan pengamal perubatan yang lebih arif dan pakar apabila timbul keraguan dalam membuat keputusan rawatan. Hal ini bersesuain dengan firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.

(Surah al-Nahl:43)

  1. Menjaga Hubungan Baik antara Pengamal Perubatan dan Pesakit

Hubungan baik antara pengamal perubatan dan pesakit merupakan elemen penting dalam memastikan keberkesanan sesuatu rawatan. Justeru, hubungan dua hala ini perlu dibina berasaskan etika Islam. Para ulama terdahulu seperti al-Ruhawi dalam karyanya Adab al-Tabib dan Abu Bakar al-Razi dalam al-Hawi telah menegaskan kepentingan akhlak dan adab antara pengamal perubatan dan pesakit.

Dalam hal ini, pengamal perubatan hendaklah melayan pesakit dengan penuh kasih sayang, belas ihsan dan profesional. Pengamal perubatan bukan hanya bertanggungjawab secara klinikal, tetapi juga memikul amanah kemanusiaan yang menuntut sifat ihsan, keadilan dan kejujuran dalam setiap interaksi dengan pesakit.

Di samping itu, perlu difahami bahawa kesembuhan tidak terbatas kepada aspek jasmani semata-mata. Islam mengiktiraf keperluan pesakit terhadap sokongan emosi dan dorongan rohani, terutamanya bagi mereka yang menghadapi penyakit kronik dan kritikal. Dalam konteks ini, pengamal perubatan juga berperanan sebagai orang bantu memberi sokongan emosi yang baik dan positif dan embantu pesakit melihat ujian sebagai satu bentuk keampunan dan kasih sayang Allah. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلا وَصَبٍ وَلا هَمٍّ وَلا حُزْنٍ وَلا أَذًى وَلا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Maksudnya: "Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya."

Namun demikian, hubungan pengamal dan pesakit ini bersifat dua hala. Pesakit juga memikul tanggungjawab untuk mematuhi arahan rawatan seperti pengambilan ubat mengikut jadual, menghadiri sesi terapi dan menjalani pemantauan kesihatan dengan disiplin. Mereka juga perlu jujur dalam memberikan maklumat perubatan, termasuk sejarah penyakit, penggunaan ubat semasa dan simptom yang dialami, bagi memastikan rawatan yang diberikan adalah tepat dan berkesan.

  1. Memperbaharui ilmu seiring dengan Perkembangan Semasa

Selain aspek akhlak dan komunikasi, pengamal perubatan juga dituntut untuk sentiasa memperbaharui ilmu dan kemahiran seiring dengan perkembangan sains dan teknologi perubatan. Dalam Islam, menuntut ilmu bukan sahaja dituntut sepanjang hayat, malah merupakan sebahagian daripada amanah dalam profesion. Kelekaan dalam meningkatkan pengetahuan akan memberi kesan kepada rawatan, yang akhirnya menjejaskan maqasid utama syariah iaitu menjaga nyawa (hifz al-nafs) pesakit.

  1. Menjaga Kerahsiaan pesakit

Petugas kesihatan bertanggungjawab menjaga kerahsiaan rekod rawatan dan maklumat terperinci setiap pesakit yang dirawat tanpa mendedahkan kepada mana-mana pihak yang tidak berkepentingan. Tanggungjawab tersebut hendaklah dipikul bersama para pembantu dan kakitangan lain yang dilantik.[10] Dalam keadaan kes-kes tertentu, data diperlukan untuk membantu siasatan jenayah atas perintah mahkamah atau saranan peguam, alasan pendedahan maklumat tersebut boleh dipertimbangkan apabila telah melalui saluran-saluran yang berautoriti. Oleh itu, Membocorkan maklumat peribadi tanpa keperluan syarie merupakan satu bentuk pengkhianatan dan pelanggaran terhadap maqasid hifz al-‘ird (penjagaan maruah).

Kod etika menjaga kerahsiaan ini dibahaskan dalam nilai “al-Amin” iaitu amanah dalam menjaga rahsia, sebaliknya mengingkari amanah termasuk dosa munafik. Firman-Nya:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”

(Surah al-Mukminun: 8)

Ayat ini   bersifat umum yang juga menjurus kepada pelaksanaan semua amanah termasuk urusan kerja   serta menunaikan janji terhadap kontrak yang dilakukan.[11] Dapat difahami bahawa ia termasuk perjanjian akta rahsia yang ditandatangan.

6.     Menghormati Hak Pesakit

Selain itu, pengamal perubatan hendaklah menghormati hak pesakit. Hal ini termasuk memberi ruang kepada pesakit mempertimbang pilihan untuk menerima lawatan pada waktunya, memahami diagnosis, memilih sama ada hendak menjalani pemeriksaan dan rawatan atau sebaliknya. Keizinan dan persetujuan daripada pesakit hendaklah diberi secara bebas dan bermaklumat (informed consent). Berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Salman RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِضَيْفِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ ‏

Maksudnya: Sesungguhnya tubuh badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, Tuhan kamu juga mempunyai hak ke atas kamu, tetamu kamu juga mempunyai hak ke atas kamu dan isteri kamu juga mempunyai hak ke atas kamu. Oleh itu, berikanlah bagi setiap yang mempunyai hak ke atas diri kamu itu akan haknya.

(Riwayat al-Tarmizi)

Hal ini sama sekali tidak menafikan bahawa penjagaan nyawa merupakan tanggungjawab syarie yang wajib dipelihara oleh setiap individu yang hidup di muka bumi ini, sebagaimana yang dituntut oleh prinsip Maqasid al-Syariah dalam menjaga nyawa(hifz al-nafs). Keizinan seseorang untuk meneruskan atau meninggalkan rawatan bagi umur dewasa yang layak hendaklah dibuat berdasarkan pertimbangan maslahah (kebaikan) dan mafsadah (kemudaratan) terhadap dirinya sendiri serta mengambil kira kesan terhadap orang lain khususnya dalam kes penyakit berjangkit yang boleh menimbulkan mudarat awam.[12] Hal ini juga berdasarkan sabda Nabi SAW:

‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.

(Riwayat Malik)

Dalam mazhab Syafi’i, mereka yang ditimpa penyakit sunat untuk berusaha mencari ubat dan mendapatkan rawatan.[13] Hal ini berdasarkan kepada hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda :

تَدَاوَوْا عبادَ اللهِ، فإنَّ اللهَ لمْ يَضَعْ داءً إلا وضَعَ له شفاءً

Maksudnya: “Berubatlah, wahai hamba-hamba Allah, kerana sesungguhnya Allah tidak menurunkan suatu penyakit melainkan Dia juga menurunkan penawarnya.

(Riwayat Ibn Majah)

Menurut ulama mazhab Syafi’i hukum berubat boleh menjadi wajib jika bagi suatu penyakit tersebut terdapat ubat yang diyakini menunjukkan manfaat yang berkesan atau dapat menyembuhkan.[14] Malah menurut Imam al-Isnawi hukum meninggalkan berubat adalah haram dalam keadaan seperti luka yang diyakini boleh menyebabkan kematian dan kemudaratan seperti dalam kes pembedahan.[15]

Oleh itu, pertimbangan dalam mengenalpasti kesesuaian meninggalkan rawatan bagi pesakit tertentu ini hendaklah berdasarkan nasihat pakar perubatan yang amanah dengan. Dalam hal ini, pihak pengamal perubatan terutama para doktor tetap berperanan memberi nasihat yang sewajarnya kepada semua pesakit tentang pelan rawatan pesakit di hospital dan juga mengenai risiko serta kemungkinan komplikasi penyakit supaya pesakit memahami keperluan melengkapkan pelan rawatan di hospital seperti yang dirancang. Komunikasi berkesan di antara doktor dengan pesakit, dan informed consent penting dalam mendapatkan kerjasama sepenuhnya dari pesakit.[16]

Kesimpulan

Etika pengamal perubatan dalam Islam bukan sekadar memenuhi tuntutan profesionalisme, bahkan merupakan manifestasi kepada amanah syarie yang berpaksikan maqasid syariah, khususnya dalam menjaga nyawa (hifz al-nafs). Pengamal perubatan yang beretika bukan sahaja melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, tetapi turut mempamerkan sifat ihsan, adil, jujur dan belas kasihan dalam melayani pesakit. Kehebatan profesion ini diibaratkan seperti malak al-rahmah (malaikat rahmah) kerana ia mendukung nilai kemanusiaan dan kerahmatan sejagat. Malah, ia turut merealisasikan maqasid al-tadayyun melalui penerapan nilai-nilai agama dalam amalan kerja, serta menyumbang kepada maqasid al-‘umrān dengan membina kesejahteraan kesihatan masyarakat yang menjadi asas kepada pembangunan sosial dan ketamadunan ummah.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan:

[1] Malaysia destinasi pelancongan perubatan nombor satu dunia diakses pada Julai 2025, https://malaysiamadani.gov.my/2025/05/malaysia-destinasi-pelancongan-perubatan-nombor-satu-dunia/

[2]   Al-Bukhari Al-Adab al-Mufrad (Beirut : Basyanir al-Islamiyyah. 1989) Hkmn 835

وقد ثبت أنها كانت لها خيمة في مسجد النبي صلى الله عليه وسلم تداوي فيه المرضى ، فقد أخرج البخاري في "الأدب المفرد"

قد ثبت أنها كانت لها خيمة في مسجد النبي صلى الله عليه وسلم تداوي فيه المرضى ، فقد أخرج البخاري في "الأدب المفرد" (1129) وابن سعد في "الطبقات" (3/427) من حديث محمود بن لبيد رضي الله عنه قال : لَمَّا أُصِيبَ أَكْحُلُ سَعْدٍ يَوْمَ الْخَنْدَقِ فَثَقُلَ ، حَوَّلُوهُ عِنْدَ امْرَأَةٍ يُقَالُ لَهَا: رُفَيْدَةُ ، وَكَانَتْ تُدَاوِي الْجَرْحَى ، فَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَرَّ بِهِ يَقُولُ: كَيْفَ أَمْسَيْتَ؟ ، وَإِذَا أَصْبَحَ: كَيْفَ أَصْبَحْتَ؟ فَيُخْبِرُهُ ". انتهى

والحديث صحح إسناده ابن حجر في "الإصابة" (8/136) ، والشيخ الألباني في "صحيح الأدب المفرد"

[3] Abdul Halim (2002) Tahrir al-Mar’ah fi ‘Asri ar-Risalah. Cet 6 Kaherah : Dar al-Qalam, Jld 2 Hlmn 35-45

[4] Amir al Najjar. Fi Tarikh al Tibb Fi al Daulah al Ilamiyyah (Kaherah: Dar al Ma’arif, 1987), Hal. 58

ومن الأطباء على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم ابن أبي رمثه التميمي وكان على معلرفة متواضعة بصناعة الجراحة

[5] Amir al Najjar. Fi Tarikh al Tibb Fi al Daulah al Ilamiyyah (Kaherah: Dar al Ma’arif, 1987), Hal. 60

أن قيل من أول بنى في الاسلام مستشفى هو الخليفة الأموي الوليد بن عبد الملك توفي 88 ه

[6] Ismail Saad.Pengenalan Tamedun Islam Dalam Ilmu Perubatan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan, 1985)

[7] Atiyyah Muhammad Salim, Sharh al-Arbain al-Nawawiyyah,

الإحسان في الإسلام قاعدة عامة في جميع الأعمال

[8] Abu Hamid al-Ghazali, Ihya’ ulum al-Din

[9] Ishaq Bin Ali Ruhawi, adab al-Tabib, (Riyad: Markaz Malik Faisal, 1992), hal. 40

إذ الطبيب حاكم في النفوس والأجسام» ولا يشك أحد في أن النفوسَ والأبدان أشرفٌ من الأموال فلذلك ينبغى للطبيب أن يأخذ نفسه بالآداب والعلوم النافعة له في صناعة الطب

[10]Chromeextension://efaidnbmnnnibpcajpcglclefindmkaj/https://hq.moh.gov.my/tcm/ms/upload/kodetika.pdf

[11] Fakhr al-Din al-Razzi , Tafsir Al-Razi ( Beirut : Dar al-Ihya’ Turath al-’Arabi, 1420h) J 14: Hlmn 284

وَتَحْتَ سَائِرِ الْعُمُومَاتِ الْوَارِدَةِ فِي وُجُوبِ الْوَفَاءِ بِالْعُهُودِ وَالْعُقُودِ.

[12] Kementerian kesihatan Malaysia (KKM), Prosedur mengenai pesakit yang ingin discaj dari hospital atas risiko sendiri, hal.2, diakses daripada https://mmc.gov.my/wp-content/uploads/2019/11/Surat_Pekeliling_KPK_11-2013_-_Prosedur_Mengenai_Pesakit_Yang_Ingin_Discaj_dari_Hospital_Atas_Risiko_Sendiri.pdf

[13] Shihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ansari al-Ramli al-Manufi al-Syafi‘i, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj , (Beirut : Dar al-Fikr, 1984) Jlid 3 Hlm. 19

(وَيُسَنُّ) لِلْمَرِيضِ (التَّدَاوِي) لِحَدِيثِ «إنَّ اللَّهَ لَمْ يَضَعَ دَاءً إلَّا وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ الْهَرَمِ»

[14] Shihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ansari al-Ramli al-Manufi al-Syafi‘i, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj , (Beirut : Dar al-Fikr, 1984) P 3/ 19

أَفْهَمَ أَنَّهُ لَوْ قَطَعَ بِإِفَادَتِهِ كَعَصْبِ مَحَلِّ الْفَصْدِ وَجَبَ وَهُوَ قَرِيبٌ

[15] Ahmad Salamah al-Qalyubi & Umairah, Hasyiah Qalyubi wa Umairah, (Beirut: Dar al-Fikr, 1995) jil. 1, hlm. 403.

يحرم تركه في نحو جرح يظن فيه التلف كالفصد، ويجوز اعتماد قول الكافر في الطب ما لم يخالف الشرع.

[16] Kementerian kesihatan Malaysia (KKM), Prosedur mengenai pesakit yang ingin discaj dari hospital atas risiko sendiri, hal.2, diakses daripada https://mmc.gov.my/wp-content/uploads/2019/11/Surat_Pekeliling_KPK_11-2013_-_Prosedur_Mengenai_Pesakit_Yang_Ingin_Discaj_dari_Hospital_Atas_Risiko_Sendiri.pdf