Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-342: RUKHSAH BERBUKA BAGI PESAKIT KRONIK: PENGARUH PENILAIAN PAKAR PERUBATAN

APAKAH_RUKHSAH_BERBUKA_BAGI_PESAKIT_KRONIK_PENGARUH_PENILAIAN_PAKAR_PERUBATAN.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Baru-baru ini,   Pakar Nefrologi dan Pemindahan Buah Pinggang di Pusat Perubatan Sunway mengeluarkan kenyataan bahawa pesakit Buah Pinggang Kronik (Chronic Kidney Disease) perlu menjalani penilaian kesihatan sebelum berpuasa. Hal ini kerana tempoh berpuasa yang panjang bagi pesakit (CKD) tanpa pengambilan air boleh mencetuskan dehidrasi dan menurunkan fungsi buah pinggang, terutama bagi pesakit yang berada pada tahap penyakit yang lebih teruk (tahap 4 hingga 5). Pesakit pada tahap 4 dan 5 dinasihatkan untuk tidak berpuasa kerana fungsi buah pinggan berpotensi tidak pulih. Penilaian berdasarkan kadar penapisan glomerular (GFR) adalah penting untuk menentukan sama ada pesakit selamat berpuasa atau tidak berpuasa demi mengelakkan kemerosotan fungsi buah pinggang yang mendadak.[1]

Oleh itu, kajian ini meneliti peranan pakar perubatan dalam menilai tahap kesihatan pesakit bagi menentukan kelayakan mereka menerima rukhsah untuk tidak berpuasa sebagaimana yang diharuskan oleh syarak.

Ruksah Berbuka Puasa bagi Pesakit Kronik

Islam membenarkan rukhsah bagi mereka yang tidak mampu menjalani ibadah puasa demi memelihara tubuh dan kesihatan. Kelonggaran berbuka puasa bagi pesakit diharuskan oleh syarak apabila wujud kemudaratan atau risiko kesihatan sekiranya seseorang itu berpuasa. Ini dibuktikan menerusi firman-Nya :

مَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya:Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang berbuka) itu pada hari-hari lain

Surah al-Baqarah (184)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang sakit termasuk dalam golongan yang diharuskan untuk berbuka puasa dan wajib menggantikan puasanya. [2]

Fuqaha empat mazhab membahaskan had sakit yang diharuskan berbuka puasa adalah apabila seseorang pesakit mengidap penyakit yang akan bertambah kesakitannya jika berpuasa. Ini merupakan pendapat jumhur ulama yang terdiri daripada mazhab al-Hanafi[3] al-Maliki[4] al-Syafi’i dan al-Hanbali[5]. Peranan pakar perubatan diambilkira dalam menilai tahap kesihatan pesakit bagi menentukan kelayakan mereka untuk tidak berpuasa. Ini juga berdasarkan kenyataan dalam karya Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil :

إذا كان الصوم يضر به ويزيده ضعفا أفطر ويقبل قول الطبيب المأمون

Maksudnya : “Sekiranya puasa memudaratkan dirinya dan menambah kelemahannya, maka dia diharuskan berbuka puasa dan pandangan doktor yang dipercayai boleh diterima.

Selain itu, sekiranya sakit tersebut sangat berat sehingga ditakuti boleh membawa kepada kebinasaan dan memberi musibah seperti risiko kehilangan nyawa atau hilang fungsi organ, maka wajib baginya berbuka puasa menurut jumhur ulama daripada mazhab al-Hanafi [6] al-Maliki[7], al-Syafi’i[8], dan sebahagian ulama mazhab al-Hanbali[9]. Perkara ini juga dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:

وان لم يقدر على الصوم لمرض يخاف زيادته ويرجي البرء لم يجب عليه الصوم

Maksudnya: "Dan jika dia tidak mampu berpuasa kerana penyakit yang ditakuti akan bertambah kronik tetapi masih diharapkan sembuh,, maka tidak diwajibkan ke atasnya untuk berpuasa." [10]

Apabila seorang individu dengan sebab berpuasa bakal menghadapi risiko bahaya kesihatan atau kematian berdasarkan kenyataan doktor, maka majoriti ulama menegaskan kewajipan untuk berbuka. Hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: “Kemudaratan hendaklah dihilangkan”

 

Oleh yang demikian, Islam memberi rukhsah kepada orang yang sakit untuk berbuka puasa bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar sekaligus menegaskan bahawa menjaga nyawa dan kesihatan merupakan salah satu prinsip asas dalam syariat.

 

PENGARUH PENILAIAN PAKAR PERUBATAN

Peranan pakar perubatan dalam penentuan rukhsah berbuka bagi pesakit kronik perlu dilihat dalam kerangka perbahasan fuqaha mazhab. Penilaian doktor dijadikan sandaran bagi menentukan sama ada pesakit mampu meneruskan ibadah puasa atau disarankan untuk berbuka.

Dalam mazhab Syafi‘i, bagi mereka yang tidak mampu menunaikan kafarah puasa dua bulan berturut-turut akibat usia lanjut atau penyakit yang tiada harapan sembuh berdasarkan sangkaan kuat yang disahkan oleh pakar perubatan, maka maka pesakit dibenarkan menggantikan puasa dengan fidyah (memberi makan) dan tidak perlu menunggu sembuh untuk berpuasa.[11] Malahan, jika penyakit itu dijangka berlanjutan selama dua bulan berdasarkan sangkaan yang kuat, sama ada melalui kebiasaan penyakit itu atau rujukan kepada doktor maka pesakit dibenarkan tidak berpuasa.[12]

Oleh yang demikian, pesakit kronik yang tidak mampu puasa   juga terlepas daripada kewajiban menggantikan puasa apabila telah disahkan oleh doktor bahawa mereka tiada harapan sembuh. Selain itu, apabila doktor menasihati untuk berbuka puasa kerana dengan berpuasa menyebabkan semakin kronik maka dia wajib membayar fidyah tanpa menggantikan puasanya.

Pesakit yang hanya merasa bimbang penyakitnya akan bertambah buruk sekiranya berpuasa, tanpa sandaran kukuh atau pengesahan pakar, maka dia tidak dibenarkan berbuka puasa.[13] Hal ini kerana kebimbangan semata-mata berdasarkan syak atau sangkaan tidak mencukupi. Oleh itu, penilaian kesihatan daripada doktor perubatan seharusnya menjadi rujukan dalam menentukan kemampuan pesakit untuk membolehkan berpuasa atau berbuka. Pendekatan ini selari dengan dalil yang memerintahkan bertanya kepada pihak berkompeten (ikhtisas) dan berautoriti, berdasarkan firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya:Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

Surah al-Nahl (43)

Penyakit-penyakit tubuh dinilai berdasarkan ilmu perubatan serta kepakaran doktor yang diperoleh melalui pengalaman, penyelidikan dan amalan klinikal. Oleh itu, pakar perubatan berperanan sebagai penilai tahap kesihatan pesakit kronik dan mempengaruhi keputusan sama ada pesakit mampu berpuasa atau dibenarkan berbuka.

Kesimpulan

Rukhsah berbuka bagi pesakit kronik merupakan kelonggaran yang diharuskan oleh syarak apabila wujud kemudaratan atau risiko kesihatan sekiranya seseorang itu berpuasa. Walau bagaimanapun, dalam menilai tahap kemudaratan atau risiko kesihatan yang dihadapi oleh pesakit, pandangan pakar perubatan perlu diambil kira sebagaimana yang telah dibahaskan oleh para fuqaha. Dalam hal ini, pakar perubatan berperanan menilai keadaan kesihatan pesakit dan memberikan gambaran mengenai kesan berpuasa terhadap penyakit yang dihidapi.Hal ini menunjukkan bahawa penilaian pakar perubatan mempunyai pengaruh dalam menentukan kemampuan pesakit untuk menerima rukhsah tidak berpuasa sebagaimana yang diharuskan oleh syarak.

[1]https://www.utusan.com.my/nasional/2026/03/ramadan-pesakit-buah-pinggang-kronik-perlu-penilaian-sebelum-berpuasa/#google_vignette

[2] Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 1964M) 2/281

[3] Ibn ‘Abidin, Hasyiah Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar, (Beirut: Dar al-Fikr, cetakan 2, 1966M) 2/422

(أو مريض خاف الزيادة) لمرضه وصحيح خاف المرض، وخادمة خافت الضعف بغلبة الظن بأمارة أو تجربة أو بأخبار طبيب حاذق مسلم مستور

[4] Muhammad bin Muhammad al-Hattab, Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil, (Dar al-Fikr, cetakan 3, 1992M) 2/447

إذا كان الصوم يضر به ويزيده ضعفا أفطر ويقبل قول الطبيب المأمون

[5] Mansur bin Yunus bin Idris al-Buhuti, Kasyaf al-Qana’ ‘an Matn al-Iqna’, (Riyadh: Maktabah al-Nasr al-Hadithah) 2/310

(والمريض) غير الميئوس من برئه (إذا خاف) بصومه (ضررا بزيادة مرضه أو طوله) أي: المرض (ولو بقول مسلم ثقة أو كان صحيحا فمرض في يومه أو خاف مرضا لأجل عطش أو غيره سن فطره وكره صومه وإتمامه)

[6] Ibn Nujaim, al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq, (Dar al-Kutub al-Islami, cetakan 2) 2/303

إذا خاف الهلاك فالإفطار واجب

[7] al-Nafrawi, al-Fawakih al-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, (Dar al-Fikr, 1415H – 1995M) 1/309

ولمرض خاف زيادته أو تماديه ووجب إن خاف هلاكا أو شديد أذى كحامل ومرضع لم يمكنهما استئجار أو غيره خافتا على ولديهما

[8] Mahyuddin bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriah, 1348H) 6/258

قال أصحابنا وغيرهم من غلبه الجوع والعطش فخاف الهلاك لزمه الفطر وإن كان صحيحا مقيما

[9] al-Buhuti, Kasyaf al-Qana’ ‘an Matn al-Iqna’, 2/310

فلو خاف تلفا بصومه كره وجزم جماعة بأنه يحرم ولم يذكروا خلافا في الإجزاء (فإن صام) المريض مع ما سبق (أجزأه) صومه، نقله الجماعة لصدوره من أهله في محله كما لو أتم المسافر

[10] al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/258

[11] Zakariyya al-Ansari. Asna al-Matalib Fi Syarah Raud al-Thalib : Dar al-Kitab Al-Islami. (3/ 369 )

[فَصْلٌ عَجَزَ الْمُكَفِّرُ عَنْ الصِّيَام أَوْ التَّتَابُع]

(فَصْلٌ وَإِنْ عَجَزَ) الْمُكَفِّرُ (عَنْ الصِّيَامِ أَوْ التَّتَابُعِ) لَهُ (لِهَرَمٍ أَوْ مَرَضٍ لَا يُرْجَى) زَوَالُهُ (وَكَذَا لَوْ) رُجِيَ زَوَالُهُ لَكِنَّهُ (دَامَ) أَيْ يَدُومُ (شَهْرَيْنِ غَالِبًا) بِالظَّنِّ الْمُسْتَفَادِ مِنْ الْعَادَةِ فِي مِثْلِهِ أَوْ مِنْ قَوْلِ الْأَطِبَّاءِ (أَوْ لِمَشَقَّةٍ شَدِيدَةٍ) تَلْحَقُهُ بِالصَّوْمِ أَوْ بِتَتَابُعِهِ (مَعَ الْقُدْرَةِ) عَلَيْهِمَا (وَلَوْ) كَانَتْ الْمَشَقَّةُ (بِشَبَقٍ) وَهُوَ شِدَّةُ الْغُلْمَةِ أَيْ شَهْوَةِ الْوَطْءِ (أَوْ خَوْفِ زِيَادَةٍ فِي الْمَرَضِ أَطْعَمَ) أَيْ مِلْكَ (سِتِّينَ مِسْكِينًا أَوْ فَقِيرًا) لِلْآيَةِ السَّابِقَ

[12] Ali al-Ansari. Kifayah al-Nanbih Fi Syarah Al-Tanbih (14/314)

ومن لم] يستطع الصوم؛ لكبر أو مرض لا يرجى برؤه- كفَّر بالإطعام؛ للآية ولم يعتبر الإمام والغزالي في المرض ألا يرجى زواله؛ بل قالا: لو كان يدوم شهرين في الغالب على الظن المستفاد من اطراد العادة في مثله، أو من مراجعة الأطباء، كان له أن يعدل إلى الإطعام، ولا ينتظر زواله ليصوم، بخلاف ما إذا كان له مال غائب؛ حيث قلنا: لا يجوز له الصيام على رأيٍ، بل ينتظر.

[13] Zain al-Din bin Ibrahim Ibn Nujaim, Al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq, (Dar al-Kutub al-Islami, cetakan 2) 2/303.

ثم معرفة ذلك باجتهاد

غير ظاهر الفسق وقيل عدالته شرط فلو برأ من المرض لكن الضعف باق وخاف أن يمرض سئل عنه القاضي الإمام فقال الخوف ليس بشيء كذا في فتح القدير وفي التبيين والصحيح الذي يخشى أن يمرض بالصوم فهو كالمريض ومراده بالخشية غلبة الظن كما أراد المصنف بالخوف إياها وأطلق الخوف ابن الملك في شرح المجمع وأراد الوهم حيث قال لو خاف من المرض لا يفطر