Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-347: ANALISIS HUKUM DAN GARIS PANDUAN PENGLIBATAN PEMIMPIN NEGARA DALAM SAMBUTAN VAISAKHI

analisis_hukum_sambutan_vaisakhi.JPG

PENDAHULUAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama. Kepelbagaian ini menjadi asas kepada kekuatan sosial negara sekali gus membentuk sebuah masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain. Dalam konteks ini, keharmonian antara penganut agama merupakan elemen signifikan yang perlu sentiasa diambil cakna oleh semua rakyat Malaysia demi menjamin kestabilan dan kesejahteraan negara dalam jangka masa yang panjang.

Sehubungan dengan itu, umat Islam di Malaysia tidak dapat mengelakkan diri daripada berinteraksi dan bergaul dengan penganut agama lain dalam pelbagai situasi kehidupan terutamanya dalam sambutan perayaan tertentu yang mempunyai unsur keagamaan. Sebagai contoh, perayaan Vaisakhi atau dikenali sebagai Baisakhi.

Perayaan ini merupakan perayaan menuai musim bunga yang disambut terutamanya oleh masyarakat Punjabi di India dan di seluruh dunia. Secara tradisinya, perayaan ini disambut pada hari pertama bulan Vaishakha dalam kalendar suria Hindu yang jatuh pada 13 atau 14 April. Sambutan ini meraikan musim menuai hasil tanaman musim sejuk menjadikannya perayaan pertanian yang penting bagi masyarakat Punjabi. Namun, disebabkan ia turut bertepatan dengan Tahun Baharu Hindu bagi kebanyakan komuniti yang mengikuti kalendar suria, variasi perayaan ini turut disambut di pelbagai wilayah lain di seluruh India.[1]

Perayaan ini kemudiannya mendapat kepentingan keagamaan apabila Guru Gobind Singh iaitu Guru Kesepuluh Sikh menubuhkan Khalsa Panth iaitu “pahlawan suci” melalui upacara Amrit yang melahirkan identiti “Saint-Soldier” dalam kalangan penganut Sikh pada tahun 1699.[2] Bagi penganut Sikh, Vaisakhi merupakan perayaan yang meriah dan penuh kegembiraan. Kebiasaannya, sambutan ini bermula di gurdwara dengan pelaksanaan upacara keagamaan, pembacaan kitab suci dan nyanyian hymne. Perarakan Nagar Kirtan turut diadakan di jalanan, diiringi bacaan pujian dan persembahan seni mempertahankan diri oleh golongan muda.

Selain itu, amalan khidmat sukarela (sewa) turut dilaksanakan, termasuk penyediaan makanan percuma (langar) kepada orang ramai. Antara hidangan yang disajikan ialah karah parshad, iaitu manisan yang melambangkan kesaksamaan dan nilai keramahan dalam masyarakat Sikh. Manakala, warna tradisional Vaisakhi ialah kuning dan oren yang melambangkan kelahiran semula, pengorbanan Panj Pyare serta kegembiraan perayaan. Di Punjab, pada waktu ini juga ladang gandum yang berwarna kuning keemasan menandakan bahawa musim menuai telah tiba.[3] Secara keseluruhan, Vaisakhi merupakan perayaan yang menggabungkan elemen pertanian dan keagamaan serta menjadi simbol kesyukuran, pembaharuan iman dan pengukuhan identiti masyarakat Sikh di seluruh dunia.

Lantas, persoalan yang timbul adalah bagaimanakah pemimpin negara dan umat Islam dapat menyantuni kepelbagaian kaum dan agama khususnya dalam konteks perayaan seperti Vaisakhi yang disambut oleh penganut agama Sikh saban tahun dan perayaan agama lain di Malaysia demi memperkukuh perpaduan negara tanpa menjejaskan prinsip akidah dan batasan syariat?

PRINSIP UMUM PENGLIBATAN UMAT ISLAM DALAM PERAYAAN PENGANUT AGAMA LAIN

Secara asasnya, Allah SWT menyebutkan bahawa bumi ini diciptakan dan dijadikan sebagai tempat hidup bagi semua manusia tidak kira latar belakang, agama dan bangsa. Firman Allah SWT:

وَالْأَرْضَ وَضَعَهَا لِلْأَنَامِ

Maksudnya: Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhluk-Nya yang lain.

(Surah al-Rahman: 10)

Oleh yang demikian, asas kepada interaksi Muslim dengan orang bukan Islam ialah hidup secara harmoni dan saling membantu dalam perkara-perkara kebaikan bagi memakmurkan dunia ini. Hal ini juga berdasarkan prinsip pengutusan Rasulullah SAW yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ ‎﴿١٠٧﴾

Maksudnya: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

(Surah al-Anbiya: 107)

Pengutusan Rasulullah SAW kepada seluruh alam itu bermaksud bahawa Nabi Muhammad SAW tidak hanya diutuskan kepada kaumnya daripada kalangan Arab sahaja, bahkan kepada semua manusia pada setiap masa dan tempat sehinggalah hari Kiamat.[4] Oleh yang demikian, rahmat tersebut turut melibatkan umat Baginda SAW dalam kalangan orang Islam sebagai umat ijabah dan orang bukan Islam sebagai umat dakwah.

Justeru, terdapat prinsip umum yang digariskan dalam Islam untuk dijadikan panduan kepada umat Islam bagi menguruskan interaksi dengan penganut agama lain sama ada menghadiri majlis perayaan, mengiringi jenazah dan menghadiri pengebumian serta menziarahi pusara orang bukan Islam. Prinsip umum adalah seperti berikut:

1. Menjaga akidah

Umat Islam wajib untuk menjaga akidah dalam apa-apa jua keadaan pada setiap masa. Dalam konteks berinteraksi dengan penganut agama lain, umat Islam wajib memastikan bahawa setiap bentuk penglibatan tidak membawa kepada pengiktirafan terhadap kepercayaan dan amalan yang bercanggah dengan akidah Islam yang boleh mencetuskan kekeliruan dan keraguan terhadap keimanan kepada Allah SWT.

Oleh itu, tugas untuk memelihara akidah bukan semata-mata fardu ain ke atas individu sahaja, malah juga merupakan fardu kifayah yang turut melibatkan masyarakat dan negara. Hal ini kerana, kedudukan Islam adalah penting sebagai asas kebenaran dalam hidup beragama. Firman Allah SWT:

وَقَالُوا لَن يَدْخُلَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ ۗ تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ ۗ قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ‎﴿١١١﴾

Maksudnya: “Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang yang beragama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

(Surah al-Baqarah: 111)

Di samping itu, Islam juga mengiktiraf kewujudan kepelbagaian agama serta menjamin kebebasan beragama dalam kalangan manusia, selagi mana ia tidak mengganggu ketenteraman awam dan melanggar prinsip keadilan. Prinsip ini berasaskan pengiktirafan terhadap fitrah manusia yang mempunyai pilihan serta tanggungjawab terhadap kepercayaan masing-masing. Justeru itu, Islam menegaskan sikap toleransi, saling menghormati dan hidup secara aman antara penganut agama yang berbeza, di namun tetap memelihara identiti dan meyakini akidah umat Islam itu sendiri. Firman Allah SWT:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ ‎﴿٦﴾

Maksudnya: Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.

(Surah al-Kafirun: 6)

Namun begitu, pengiktirafan ini bukanlah bermaksud Islam menerima semua agama. Pegangan umat Islam bahawa Islam merupakan satu-satunya agama yang benar adalah berasaskan keyakinan terhadap wahyu Ilahi yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang membawa ajaran tauhid yang murni dan syariat yang sempurna. Justeru itu, Islam mempertahankan prinsip bahawa ia adalah satu-satunya ajaran agama yang benar di sisi Allah, sebagaimana yang ditegaskan dalam nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ ‎﴿١٩﴾

Maksudnya: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.

(Surah Ali Imran: 19)

2. Larangan Penyertaan dalam Ritual Keagamaan

Oleh yang demikian, demi menjaga identiti dan keaslian jati diri sebagai umat Islam, syariat melarang umatnya daripada menyertai sebarang ritual atau ibadah agama lain kerana ia boleh membawa kepada mencemarkan kesucian akidah Islam dan tasyabbuh iaitu meniru atau menyerupai golongan lain dalam perkara yang menjadi ciri khas agama atau identiti mereka. Larangan ini bertujuan memelihara kemurnian akidah serta mengelakkan kekeliruan dalam batas antara kebenaran dan kebatilan, di samping membezakan syiar Islam dalam kehidupan seharian berbanding agama-agama yang lain. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.

(Riwayat Abu Daud)

Daripada hadis tersebut, dapat disimpulkan bahawa Islam sangat mementingkan identiti Muslim yang tersendiri melalui larangan tasyabbuh (menyerupai orang bukan Islam) terutamanya dalam perkara berkaitan akidah, ibadat, syiar dan perayaan agama yang khusus bagi tujuan menjaga kemurnian tauhid. Walaupun peniruan dalam aspek budaya yang bersifat umum dan tidak melambangkan identiti keagamaan tertentu seperti penggunaan alatan harian atau pakaian bangsa yang menutup aurat adalah diharuskan, umat Islam perlu tetap berwaspada terhadap perkara yang boleh menjerumus kepada keharaman atau kekufuran jika ia melibatkan simbol, amalan atau perayaan yang mempunyai nilai kepercayaan agama lain. Di samping itu, al-Mazhari dalam mensyarahkan hadis di atas dengan menyatakan bahawa “Sesiapa yang menyerupakan dirinya dengan orang kafir dalam berpakaian atau selainnya daripada perkara-perkara yang diharamkan, maka jika dia beriktikad bahawa perbuatan itu halal, dia menjadi kafir. Jika dia beriktikad bahawa ia haram (namun tetap melakukannya), maka dia berdosa.[5]

3. Kehadiran Bersifat Sosial

Allah SWT tidak melarang umatnya untuk berinteraksi dan menjalinkan hubungan yang baik dengan penganut agama lain bahkan menganjurkan mereka untuk saling berkenalan antara satu sama lain selari dengan firman-Nya:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ‎﴿١٣﴾

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Oleh itu, penglibatan umat Islam dalam apa-apa jua aktiviti berkaitan agama lain seperti perayaan, mengiringi jenazah dan menziarahi kubur orang bukan Islam dibolehkan selagi mana tidak mengandungi unsur keagamaan yang bercanggah dengan syariat Islam. Selain itu, kehadiran dalam majlis atau aktiviti tersebut mestilah atas dasar sosial sahaja seperti memenuhi jemputan, menjaga hubungan baik dalam kejiranan atau urusan rasmi sahaja.

4. Bersifat Adil dan Ihsan

Selain itu, Islam juga menuntut umatnya untuk menegakkan keadilan dan mengamalkan ihsan terhadap seluruh manusia tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang. Prinsip keadilan dalam Islam bersifat menyeluruh iaitu meliputi hubungan sesama manusia dalam aspek sosial, ekonomi dan perundangan. Manakala, ihsan pula menzahirkan akhlak yang tinggi seperti berbuat baik, bertoleransi dan berkasih sayang. Dalam hal ini, Allah SWT tidak melarang untuk umat Islam untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada golongan bukan Islam yang terdiri daripada orang yang baik dan tidak memusuhi Islam. Firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ‎﴿٨﴾

Maksudnya: Allah SWT tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

(Surah al-Mumtahanah: 8)

إنَّ رَسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم مَرَّت به جِنازةٌ، فقامَ فقيلَ: إنَّه يَهوديٌّ، فقال: أليسَت نَفسًا.

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melalui satu jenazah, lalu Baginda berdiri. Maka dikatakan kepada Baginda: ‘Sesungguhnya itu adalah jenazah seorang Yahudi.’ Lalu Baginda bersabda: ‘Bukankah ia juga satu jiwa (manusia)?

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan contoh teladan daripada akhlak Baginda SAW dalam menghormati nilai kemanusiaan sejagat iaitu apabila Baginda berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi dan bersabda, “Bukankah ia juga satu jiwa?” Hal ini menegaskan bahawa setiap manusia memiliki kemuliaan asas sebagai ciptaan Allah tanpa mengira agama. Perbuatan ini menunjukkan keharusan penghormatan terhadap manusia yang tidak terhad kepada sesama Muslim sahaja, bahkan mencakupi semua manusia sebagai manifestasi adab dan ihsan yang diajarkan Islam. Hal ini juga mengingatkan umat Islam agar mengekalkan sikap belas kasihan dan keadilan dalam semua interaksi sosial, sekalipun berbeza agama atau kepercayaan.

5. Menjaga Adab dan Sensitiviti

Dalam setiap interaksi umat Islam dengan penganut agama lain, Islam menggalakkan umatnya untuk menjaga adab, akhlak dan sensitiviti sesama manusia terutamanya mereka yang berlatar belakangkan agama dan budaya yang berbeza. Hal ini termasuk berpakaian sopan, berkomunikasi dengan baik dan tidak menghina apa-apa yang mereka sembah bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan…”

(Surah al-An‘am: 108)

Ayat ini mengajar umat Islam supaya menjaga tutur kata dan menghormati sensitiviti agama lain bagi mengelakkan konflik serta memelihara keharmonian masyarakat yang berbilang agama dan kaum.

HUKUM PENGLIBATAN PEMIMPIN NEGARA DALAM PERAYAAN VAISAKHI

Dalam konteks Malaysia sebagai negara majmuk, pemimpin negara dan pemimpin masyarakat mewakili semua komuniti dan kelompok rakyat yang berada di bawah pemerintahan dan tanggungannya. Hal ini kerana mereka mempunyai tanggungjawab dan perhatian yang perlu diberikan kepada golongan tersebut, walaupun dalam golongan kelompok minoriti. Para pemimpin bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan, kebajikan dan hak mereka sebagai rakyat di bawah pemerintahnya. Oleh itu, hukum penglibatan pemimpin negara akan dihuraikan dengan lebih terperinci seperti berikut.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan diteliti oleh pemimpin negara untuk menghadiri majlis perayaan di rumah ibadat agama lain iaitu:

  1. Harus/Dibolehkan:

Menghadiri majlis sosial, jamuan makan atau kunjungan hormat yang bertujuan menjaga hubungan baik (silaturahim) dan keharmonian kaum.

  1. Perkara Yang Wajib Dielakkan:

Mengambil bahagian dalam upacara ritual keagamaan, memakai pakaian khas keagamaan mereka atau melakukan perkara yang khusus dalam kepercayaan sesuatu perayaan.

Bagi sambutan Vaisakhi ini, perayaan tersebut bukan sahaja penting bagi mereka bahkan mencerminkan kekayaan kepelbagaian budaya di negara ini. Oleh itu, penglibatan pemimpin negara dalam majis begini adalah diharuskan sebagai salah satu usaha untuk mengeratkan perpaduan negara dan mengekalkan keharmonian bersama.

Walau bagaimanapun, penglibatan pemimpin negara ke majlis tersebut hendaklah dengan tujuan yang jelas iaitu hubungan kemasyarakatan (muamalat), ziarah perpaduan atau rumah terbuka sahaja tanpa melibatkan diri dalam aktiviti atau ritual keagamaan. Hal ini kerana Islam tidak mengajar kebencian tetapi Islam sangat menjaga dan memelihara batas dan sempadan akidah. Hal ini secara tidak langsung menggambarkan dan menonjolkan imej Islam yang harmoni namun wajib menjaga benteng akidah dan mengelakkan tasyabbuh (menyerupai amalan agama lain).[6]

Selain daripada itu terdapat garis panduan umum yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi orang Islam yang turut merayakan hari kebesaran orang bukan Islam seperti berikut:

GARIS PANDUAN ORANG ISLAM TURUT MERAYAKAN HARI KEBESARAN AGAMA ORANG BUKAN ISLAM

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut:

1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Contohnya:

i. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.

ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.

iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.

iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.

v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

Contohnya:

i. Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;

ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;

iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;

iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.

3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.

Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Contohnya:

i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;

ii. Berpakaian yang menjolok mata;

iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;

iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.

4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.”

Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

Contohnya:

i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;

ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;

iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;

iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.[7]

KESIMPULAN

Kesimpulannya, penglibatan pemimpin Muslim dalam sambutan Vaisakhi adalah diharuskan atas dasar menjaga hubungan baik kemasyarakatan, menyambung silaturahim dan mengekalkan keharmonian kaum. Kehadiran mereka ke majlis sebegini perlulah bersifat sosial secara eksklusif seperti ziarah perpaduan atau menghadiri rumah terbuka bagi meraikan serta menghormati kekayaan kepelbagaian budaya di negara ini. Hal ini selari dengan prinsip Islam yang amat menggalakkan sifat adil, toleransi dan ihsan terhadap seluruh manusia tanpa mengira latar belakang agama bagi memastikan kehidupan yang aman dan sejahtera.

Walau bagaimanapun, keharusan ini datang dengan tanggungjawab yang besar di mana batas serta kesucian akidah Islam wajib dipelihara pada setiap masa. Pemimpin negara dan umat Islam secara keseluruhannya dilarang keras daripada mengambil bahagian dalam sebarang upacara ritual keagamaan, memakai pakaian khas agama tersebut atau melakukan amalan tasyabbuh iaitu menyerupai identiti agama lain. Selain itu, majlis yang dihadiri juga mestilah mematuhi garis panduan pihak berkuasa agama iaitu bebas daripada sebarang simbol, perbuatan, mahupun acara yang bertentangan dengan akidah, syarak, pembinaan akhlak dan sensitiviti umat Islam.

Waallahu a’lam.

[1] https://www.britannica.com/topic/Baisakhi

[2] https://www.sikhnet.com/news/vaisakhi-biggest-sikh-celebration

[3] Ibid.

[4] Wahbah al-Zuhayli, al-Tafsir al-Munir (Damsyiq: Dar al-Fikr, 1991), jld. 9, hlmn. 128.

[5] Mazhar al-Din al-Zaidani, Al-Mafatih fi Syarh al-Masabih. (Beirut: Dar al-Nawadir, 1433H) Jld. 5, Hlm. 18.

من شَبَّه نفسَه بالكفار في اللباس وغيره من المحرَّمات، فإن اعتقد تحليلَه فهو كافر، وإن اعتقد تحريمَه فقد أَثِمَ.

[6] Datin Paduka Prof. Dr. Khadijah binti Mohd Khambali @ Hambali, Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, 09 April 2026.

[7] https://www.islam.gov.my/en/guideline/470-