Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-349: HUKUM PERKAHWINAN KETIKA SAKIT TENAT

nikah_ketika_sakit_tenat.JPG

 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Apakah hukum perkahwinan bagi seseorang yang sedang berada dalam keadaan sakit tenat? Adakah akad nikah itu sah atau dianggap terbatal? Mohon penjelasan SS Mufti

Ringkasan Jawapan

Hukum perkahwinan bagi orang yang berada dalam keadaan sakit tenat adalah sah di sisi mazhab Syafi’i. Suami dan isteri berhak mewarisi harta pasangan yang sakit apabila berlaku kematian. Namun, terdapat kesan khusus dari sudut mahar apabila melibatkan perkahwinan dalam keadaan sakit tenat.

Secara asasnya pihak suami wajib membayar mahal mithil. Jika lelaki yang sakit berkahwin dengan wanita sihat, isteri berhak mendapat mahar mithil tetapi jika mahar melebihi kadar tersebut, maka lebihan itu dianggap sebagai pemberian kepada isteri jika isteri adalah waris.

Sebaliknya, jika wanita yang sakit berkahwin dengan lelaki sihat, maka isteri tetap layak menerima mahar. Jika mahar kurang daripada mahar mithil, kekurangan itu dianggap pemberian kepada suami sebagai waris, tetapi waris lain boleh menolaknya dan meminta suami untuk menyempurnakan mahar kepada kadar mithil.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Dalam perbahasan fiqh, istilah yang merujuk kepada penyakit yang membawa kepada kematian disebut sebagai marad al-maut (مرض الموت). Para fuqaha tidak membataskan maknanya secara jelas kerana ia merupakan satu perbahasan panjang yang diperselisihkan oleh para fuqaha. Sebahagian ulama berpandangan bahawa marad al-maut adalah penyakit yang menyebabkan seseorang bersiap sedia menghadapi kematian dengan melakukan amalan soleh atau penyakit yang bersangkut paut dengan kematian. Manakala, Imam al-Mawardi dan ulama yang sependapat dengannya menyatakan bahawa ia adalah penyakit yang kebiasaannya menyebabkan hidup seseorang tidak berpanjangan dan pandangan ini dinukilkan daripada Imam al-Syafi’i.[1]

Berdasarkan takrifan di atas, para ulama membahaskan hukum perkawinan ketika sakit tenat. Dalam mazhab Syafi’i, hukum perkahwinannya adalah sah. Hal ini disebutkan dalam kitab al-Hawi al-Kabir:

قَالَ الشافعي رحمه الله تعالى: " وَيَجُوزُ نِكَاحُ الْمَرِيضِ ". قَالَ الْمَاوَرْدِيُّ: وَهَذَا صَحِيحٌ، إِذَا تَزَوَّجَ امْرَأَةً: صَحَّ نِكَاحُهَا

Maksudnya: “Imam Syafi’i Rahimahullah Ta’ala berkata: Diharuskan perkahwinan bagi orang yang sakit. Imam al-Mawardi berkata: Ini adalah pendapat yang sahih iaitu apabila seorang lelaki yang sakit mengahwini seorang wanita, maka sah nikahnya”.[2]

Seterusnya, firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا

Maksudnya: “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

Surah al-Nisa’ (3)

Para ulama yang berhujah mengharuskan perkahwinan ketika sakit tenat bersandar kepada keumuman dalil al-Quran di atas yang tidak membezakan antara orang yang sihat dengan orang yang sakit.[3]

Kesan kepada Perkahwinan

Perkahwinan seseorang yang sedang sakit tenat yang boleh membawa kepada kematian pada asasnya tidak berbeza daripada perkahwinan lain kerana ia tetap sah dan tertakluk kepada kewajipan memenuhi segala rukun, syarat serta hak yang perlu dilaksanakan oleh setiap pasangan. Malah menurut Mazhab Syafi’i, dari sudut perwarisan harta, suami isteri tersebut juga mewarisi antara satu sama lain walaupun perkahwinan tersebut dilakukan dalam keadaan sedang sakit yang membawa kematian.[4] Namun, terdapat beberapa kesan terhadap mahar atau mas kahwin seperti berikut:

  1. Perkahwinan lelaki yang sakit tenat dengan wanita yang sihat

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa Isteri berhak mendapat mahar selagi mana mahar tersebut tidak melebihi mahar seumpamanya (mahar mithil). Jika mahar tersebut melebihi mahar mithil, maka ia perlu dilihat dari sudut status lebihan mahar tersebut terhadap harta peninggalan orang sakit. Keadaannya seperti berikut:

  • Jika isteri adalah waris maka lebihan daripada mahar dianggap sebagai pemberian (tabarru’) kepada waris.
  • Jika isteri bukan ahli waris seperti ahli zimmi atau hamba yang tidak mewarisi, maka lebihan mahar mithil dianggap sebagai wasiat kepadanya dalam had yang dibenarkan iaitu sepertiga (⅓) harta.[5]
  1. Perkahwinan lelaki yang sihat dengan wanita yang sakit tenat

Dalam situasi ini, suami berhak mewarisi harta isteri dan juga wajib membayar mahar sekalipun mahar itu berada pada kadar mahar mithil atau lebih tinggi. Namun, jika mahar yang diberikan adalah lebih rendah daripada mahar mithil, maka kekurangan nilai mahar tersebut dianggap sebagai satu bentuk pemberian (tabarru’) kepada waris iaitu suami tersebut. Namun begitu, ahli waris yang lain berhak menolak tindakan tersebut dan menyempurnakan mahar itu kepada kadar mahar mithil supaya hak mereka tidak terjejas.

Sebaliknya, jika suami tersebut bukan waris kepada isterinya seperti seorang hamba atau seorang lelaki muslim sedangkan wanita itu seorang zimmi, maka mahar tidak perlu disempurnakan kepada mahar mithil dan kekurangan tersebut tidak dikira sebagai wasiat yang tertakluk kepada had sepertiga (1/3) harta. Hal Ini kerana, dalam keadaan ini tidak wujud isu hak waris yang perlu dilindungi.

Hal ini kerana, orang yang sakit hanya dilarang daripada melakukan tindakan yang boleh mengurangkan harta pusaka, sedangkan dalam keadaan ini isteri tersebut tidaklah mengurangkan harta sedia ada tetapi hanya tidak memperoleh sesuatu keuntungan iaitu nilai mahar yang penuh. Tambahan pula, pembahagian harta pusaka adalah pada harta yang jelas akan kekal dan boleh diwarisi oleh waris, sedangkan manfaat perkahwinan (mahar) yang melibatkan hubungan suami isteri tidak termasuk dalam kategori harta yang boleh diwarisi selagi pasangan tidak meninggal dunia. Oleh itu, ia tidak sama dengan pengurangan harta warisan.[6]

[1] Ibn Hajar al-Haitami, Ahamd bin Muhammad. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi). jld 7 hlm 31.

(وَمِنْ) الْمَرَضِ (الْمَخُوفِ) لَمْ يُذْكَرْ حَدُّهُ لِطُولِ الِاخْتِلَافِ فِيهِ بَيْنَ الْفُقَهَاءِ فَقِيلَ كُلُّ مَا يُسْتَعَدُّ بِسَبَبِهِ لِلْمَوْتِ بِالْإِقْبَالِ عَلَى الْعَمَلِ الصَّالِحِ، وَقِيلَ كُلُّ مَا اتَّصَلَ بِهِ الْمَوْتُ وَقَالَ الْمَاوَرْدِيُّ وَتَبِعَاهُ كُلُّ مَا لَا يَتَطَاوَلُ بِصَاحِبِهِ مَعَهُ الْحَيَاةُ وَقَالَا عَنْ الْإِمَامِ وَأَقَرَّاهُ

[2] Al-Mawardi, Ali bin Muhammad. Al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi’i. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1999). Jld 8 hlm 279.

[3] Ibid.

وَدَلِيلُنَا عُمُومُ قَوْله تَعَالَى: {فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلاثَ وَرُبَاعَ} [النساء: ٣] . وَلَمْ يُفَرِّقْ بَيْنَ صَحِيحٍ وَمَرِيضٍ

[4] Al-Juwaini, Abdul Malik bin Abdullah. Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab. (T.tp:Dar al-Minhaj, 2007). Jld 11 hlm 273.

إذا نكح المريض امرأة، صح النكاح وفاقاً، والمنكوحة ترث الزوجَ خلافاً لمالك رحمه الله، وإياه قصد الشافعي رضي الله عنه بالرد

[5] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftin. (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1991). Jld 6 hlm 132.

نِكَاحُ الْمَرِيضِ صَحِيحٌ فَإِنْ نَكَحَ بِمَهْرِ الْمِثْلِ أَوْ أَقَلَّ، فَهُوَ مِنْ رَأْسِ الْمَالِ، كَمَا لَوِ اشْتَرَى شَيْئًا بِثَمَنِ مِثْلِهِ، وَإِنْ كَانَ بِأَكْثَرَ مِنْ مَهْرِ الْمِثْلِ، اسْتَحَقَّتْ مَهْرَ الْمِثْلِ، وَالزِّيَادَةُ تَبَرُّعٌ عَلَى الْوَارِثِ. وَقَدْ سَبَقَ حُكْمُهُ. فَإِنْ لَمْ تَكُنْ وَارِثَةً، كَالذِّمِّيَّةِ، وَالْمُكَاتَبَةِ، فَالزِّيَادَةُ مَحْسُوبَةٌ مِنَ الثُّلُثِ.

[6] Ibid.

لَوْ نُكِحَتِ الْمَرِيضَةُ بِأَقَلَّ مِنْ مَهْرِ الْمِثْلِ، فَالنُّقْصَانُ تَبَرُّعٌ عَلَى الْوَارِثِ، فَلِلْوَرَثَةِ رَدُّهُ وَتَكْمِيلُ مَهْرِ الْمِثْلِ. فَإِنْ لَمْ يَكُنْ وَارِثًا، بِأَنْ كَانَ عَبْدًا، أَوْ مُسْلِمًا وَهِيَ ذِمِّيَّةٌ، لَمْ يُكْمَلْ مَهْرُ الْمِثْلِ، وَلَمْ يُعْتَبَرْ هَذَا النَّقْصُ مِنَ الثُّلُثِ. وَإِنَّمَا جُعِلَ ذَلِكَ وَصِيَّةً فِي حَقِّ الْوَارِثِ، وَلَمْ يُجْعَلْ وَصِيَّةً فِي الِاعْتِبَارِ مِنَ الثُّلُثِ؛ لِأَنَّ الْمَرِيضَ إِنَّمَا يَمْنَعُ مِنْ تَفْوِيتِ مَا عِنْدَهُ، وَهَذَا لَيْسَ بِتَفْوِيتٍ، إِنَّمَا هُوَ امْتِنَاعٌ مِنَ الْكَسْبِ. وَأَيْضًا فَإِنَّ الْمَنْعَ فِيمَا يُتَوَهَّمُ بَقَاؤُهُ لِلْوَارِثِ وَانْتِفَاعُهُ بِهِ، وَالْبُضْعُ لَيْسَ كَذَلِكَ. هَذَا هُوَ الصَّحِيحُ الَّذِي قَطَعَ بِهِ الْجُمْهُورُ.