
Mukadimah
Al-Quran merupakan wahyu Allah SWT yang diturunkan sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia dan merupakan kalam Allah SWT yang wajib dimuliakan, dihormati dan dipelihara daripada sebarang bentuk penghinaan. Firman Allah SWT:
ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ
Maksudnya: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.
Surah al-Hajj (32)
Dalam konteks mushaf al-Quran yang telah rosak, lusuh, tidak lagi boleh dibaca atau mengalami kerosakan akibat bencana seperti banjir, persoalan yang sering timbul ialah bagaimanakah cara yang sebenar untuk melupuskannya?
Persoalan ini kembali mendapat perhatian masyarakat susulan laporan mengenai penemuan longgokan al-Quran yang dipercayai telah dibakar di tepi padang bola di Taman Bandar Senawang, Negeri Sembilan, pada 22 Ogos 2026. Menurut laporan, cebisan helaian dan tulisan al-Quran masih kelihatan selepas pembakaran. Pihak polis telah menjalankan siasatan, manakala sisa kebakaran tersebut akan diuruskan oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan.
Kejadian ini sewajarnya menjadi ruang untuk masyarakat memahami bahawa membakar mushaf al-Quran tidak semestinya bermaksud menghina al-Quran. Dalam keadaan tertentu, pembakaran merupakan salah satu kaedah yang diharuskan syarak bagi melupuskan mushaf yang telah rosak. Namun begitu, ia mestilah dilakukan dengan penuh adab, tertib dan bertujuan memelihara kehormatan al-Quran, bukannya dilakukan secara sewenang-wenangnya sehingga helaian dan tulisan al-Quran bertebaran serta terdedah kepada penghinaan.
Al-Quran Wajib Dimuliakan dan Dipelihara
Allah SWT sendiri menjamin pemeliharaan al-Quran sebagaimana firman-Nya:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memeliharanya.”
Surah al-Hijr (9)
Umat Islam diperintahkan untuk menjaga kehormatan mushaf dan mengelakkannya daripada diletakkan di tempat yang boleh menyebabkan ia dipijak, dicampakkan, dicemarkan atau diperlakukan tanpa penghormatan.
Justeru, apabila sesuatu mushaf telah rosak dan tidak lagi sesuai digunakan, tindakan melupuskannya hendaklah tetap berasaskan prinsip takzim terhadap kalam Allah SWT.
Dalam hal ini, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa menjaga dan memuliakan kesucian al-Quran merupakan tanggungjawab dan kewajipan setiap umat Islam.
Cara Membakar Mushaf dengan Betul
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-30 pada 22 Ogos 1992 telah menjelaskan beberapa panduan berkaitan pelupusan bahan yang mengandungi ayat al-Quran.
Antaranya:
- Pembakaran hendaklah dilakukan di tempat yang bersih dan sesuai.
Ia tidak sepatutnya dilakukan di tempat awam atau kawasan yang boleh menimbulkan penghinaan terhadap mushaf. - Pembakaran hendaklah dilakukan sehingga sempurna.
Seboleh-bolehnya, semua helaian dan bahan yang mengandungi tulisan al-Quran hendaklah dibakar sehingga tidak lagi meninggalkan tulisan yang boleh dikenal pasti. - Abu dan sisa pembakaran hendaklah dikumpulkan.
Sisa tersebut tidak boleh dibiarkan bersepah, ditiup angin atau bercampur dengan sampah biasa. - Abu hendaklah ditanam di tempat yang bersih.
Tempat tersebut hendaklah dipastikan tidak menjadi laluan manusia supaya sisa tersebut tidak dipijak atau dicemari. - Abu juga boleh dihanyutkan ke laut atau sungai yang mengalir, dengan mengambil kira keadaan dan peraturan berkaitan supaya tidak menyebabkan pencemaran.
Jelas bahawa tujuan pembakaran ialah untuk menghilangkan bentuk tulisan dan memelihara kehormatan mushaf, bukan membakar kemudian meninggalkan sisa di tempat terbuka secara semberono.
Sebab Tidak Boleh Membakar dan Meninggalkan Mushaf al-Quran Sewenangnya
Di sinilah letaknya perbezaan antara hukum membakar dan cara melaksanakan pembakaran.
Pembakaran boleh menjadi harus apabila bertujuan memuliakan dan memelihara al-Quran.[1] Namun, sekiranya seseorang membakar mushaf tanpa kawalan sehingga helaian yang belum terbakar, abu atau cebisan tulisan al-Quran berterbangan dan terdedah kepada penghinaan, maka cara tersebut jelas bertentangan dengan tujuan syarak.
Imam al-Syatibi menyebut:
إن الأعمال بالنيات والمقاصد معتبرة في التصرفات من العبادات والعادات
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat, dan sesuatu tujuan serta maksud diambil kira dalam setiap tindakan, sama ada dalam perkara ibadah mahupun adat kebiasaan.”[2]
Maka, pembakaran yang dilakukan untuk menjaga kehormatan al-Quran hendaklah dilaksanakan dengan kaedah yang benar-benar mencapai tujuan tersebut.
Dalam konteks ini, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memberikan garis panduan supaya proses pembakaran dikawal dan diselia, termasuk oleh pegawai Jabatan Agama atau pihak yang bertanggungjawab melaksanakan pelupusan. Di Wilayah Persekutuan, pelupusan al-Quran kebiasaannya akan diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Selain itu, perkembangan teknologi turut memberikan ruang kepada kaedah yang lebih selamat. Pada hari ini terdapat alat moden yang boleh menghancurkan kertas sehingga menjadi debu atau serpihan halus, kemudian dibakar dan akhirnya ditanam atau dialirkan ke sungai.
Kaedah sebegini dapat mengurangkan kemungkinan masih wujudnya tulisan atau huruf al-Quran yang dapat dikenal pasti selepas proses pelupusan. Hal ini menunjukkan bahawa syariat Islam tidak terikat kepada satu bentuk teknikal semata-mata. Asasnya ialah tercapainya maqasid untuk memelihara kesucian dan kehormatan al-Quran.
Adab Ketika Mengendalikan Pelupusan al-Quran
Selain kaedah teknikal, adab juga perlu diberikan perhatian. Pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan agar pihak yang mengendalikan pelupusan menjaga adab terhadap mushaf, antaranya berada dalam keadaan berwuduk dan tidak berhadas.
Antara perkara yang sewajarnya diberikan perhatian ialah:
- Mengendalikan mushaf dengan penuh hormat.
- Memastikan tempat pelupusan bersih dan sesuai.
- Mengelakkan mushaf daripada dicampakkan atau diletakkan di tempat terbuka.
- Memastikan semua helaian yang mengandungi ayat al-Quran dilupuskan dengan sempurna.
- Mengumpulkan abu dan sisa pembakaran.
- Memastikan abu ditanam di tempat yang bersih dan tidak dilalui manusia atau diuruskan dengan kaedah yang dibenarkan.
- Mendapatkan pandangan atau bantuan pihak Jabatan Agama bagi pelupusan dalam jumlah yang banyak.
- Tidak menjadikan proses pembakaran sebagai tontonan, bahan gurauan atau perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah dan salah faham dalam masyarakat.
Kesimpulan
Daripada perbahasan di atas, jelas bahawa membakar al-Quran yang telah rosak bukanlah suatu penghinaan apabila ia dilakukan dengan niat dan kaedah yang bertujuan memelihara kehormatannya. Dalam konteks Malaysia, kaedah pembakaran hendaklah dilakukan secara sempurna di tempat yang bersih, sisa dan abu hendaklah dikumpulkan, kemudian ditanam di tempat yang bersih dan tidak dilalui orang ramai atau dihanyutkan ke laut atau sungai yang mengalir. Perkara ini juga memerlukan interaksi orang awam dengan pihak berautoriti agar proses tersebut juga dapat dikawal dan dilaksanakan dengan penuh adab.
Oleh itu, umat Islam hendaklah memahami bahawa yang menjadi asas bukan semata-mata membakar atau tidak membakar, tetapi bagaimana kehormatan kalam Allah SWT dipelihara.
Wallahu a‘lam.
Rujukan:
[1] Badr al-‘Aini, Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari (Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi, t.t.), jld. 20: 19.
فِي هَذَا الحَدِيث جَوَاز تحريق الْكتب الَّتِي فِيهَا اسْم الله، عز وَجل، بالنَّار وَإِن ذَلِك إكرام لَهَا وصون عَن وَطئهَا بالأقدام، وَقيل: هَذَا كَانَ فِي ذَلِك الْوَقْت، وَأما الْآن فالغسل إِذا دعت الْحَاجة إِلَى إِزَالَته
[2] Al-Syatibi, al-Muwafaqat (t.tp: Dar Ibn al-Qayyim, 2003), jld. 3: hlm. 7.