
Pendahuluan
Kehidupan di dunia merupakan medan ujian dan persinggahan sementara sebelum manusia melangkah ke alam kekal abadi di akhirat. Dalam kerangka akidah Islam, penentuan kedudukan akhir seseorang manusia sama ada memperoleh kebahagiaan di syurga atau kesengsaraan di neraka merupakan sebahagian daripada perkara ghaib yang berada di bawah kehendak dan hak mutlak Allah SWT semata-mata. Tiada makhluk sama ada malaikat mahupun nabi yang diutuskan oleh Allah SWT memiliki ilmu pengetahuan secara persendirian untuk mengesahkan pengakhiran hayat seseorang individu secara khusus melainkan apa-apa yang telah dikhabarkan secara khusus melalui wahyu.
Namun begitu, dalam interaksi sosial hari ini, kerap kali kelihatan kecenderungan sesetengah individu yang mudah menghukum kedudukan akhirat orang lain sama ada dengan memberikan jaminan syurga atau menetapkan balasan neraka akibat perbezaan pandangan, perselisihan faham mahupun perbuatan maksiat secara zahir. Perbuatan ini bukan sahaja menyalahi disiplin ilmu akidah malah merosakkan adab-adab Islam yang dituntut dalam agama.
Pengecualian Berdasarkan Nas Wahyu Khusus
Menurut prinsip syarak, orang yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkan ke dalam syurga, manakala orang kafir dan musyrik yang meninggal dunia dalam kekufuran akan dimasukkan ke dalam neraka. Walau bagaimanapun, untuk memfokuskan ganjaran syurga atau azab neraka kepada individu secara khusus, ia tidak wajar dilakukan melainkan jika terdapat dalil qat’i daripada Al-Quran atau hadis yang sahih. Antara contoh pengecualian khusus tersebut merangkumi:
- Sepuluh Sahabat yang Dijamin Syurga (Al-'Asharah al-Mubashsharuna bi al-Jannah) seperti Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib RA.
- Para Nabi dan Rasul AS serta individu lain yang dinamakan secara khusus oleh wahyu seperti Fatimah al-Zahra’, Khadijah binti Khuwailid, Hasan dan Husain serta Bilal bin Rabah RA.
- Individu khusus yang dinamakan sebagai penghuni neraka melalui nas syarak seperti Firaun, Abu Lahab, Abu Jahal dan Iblis.
Larangan Menentukan Pengakhiran Manusia
Terdapat hadis sahih yang secara tegas melarang perbuatan menentukan tempat atau kedudukan seseorang di akhirat secara sewenang-wenang iaitu:
Daripada Jundab bin Abdillah RA bahawasanya Rasulullah SAW menceritakan:
عَنْ جُنْدَبٍ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدَّثَ: أَنَّ رَجُلًا قَالَ: وَاللهِ لاَ يَغْفِرُ اللهُ لِفُلاَنٍ، وَإِنَّ اللهَ تَعَالَى قَالَ: مَنْ ذَا الَّذِي يَتَأَلَّى عَلَيَّ أَنْ لاَ أَغْفِرَ لِفُلاَنٍ، فَإِنِّي قَدْ غَفَرْتُ لِفُلاَنٍ، وَأَحْبَطْتُ عَمَلَكَ.
Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki berkata: Demi Allah, Allah tidak akan mengampunkan si fulan. Maka Allah Ta'ala berfirman: Siapakah yang bersumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampunkan si fulan? Sesungguhnya Aku telah mengampunkan si fulan tersebut dan Aku telah membatalkan amalanmu.”
Riwayat Muslim
Al-Nawawi mensyarahkan yataalla bermaksud bersumpah, manakala al-alyah bermaksud sumpah. Dalam hadis ini, terdapat dalil yang menyokong pendirian Ahli al-Sunnah bahawa dosa-dosa boleh diampunkan tanpa taubat sekiranya Allah SWT menghendaki untuk mengampunkannya.[1]
Selain itu, Musa Shahin Lashin menyatakan bahawa hadis di atas merupakan peringatan agar tidak menghukum seseorang sebagai ahli neraka atau mengatakan bahawa dosa-dosanya tidak akan diampunkan kerana keputusan tersebut merupakan hak mutlak Allah SWT, begitu juga kehendak dan ketetapan-Nya. Allah SWT mengampunkan sesiapa yang Dia kehendaki sebagaimana firman-Nya:
لِّلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ وَإِن تُبْدُوا مَا فِي أَنفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُم بِهِ اللَّهُ ۖ فَيَغْفِرُ لِمَن يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٢٨٤﴾
Maksudnya: “Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Baqarah: 284)
Oleh itu, sesiapa yang membuat keputusan sedemikian terhadap seseorang, sebenarnya dia telah membatasi sesuatu yang luas, iaitu rahmat Allah SWT dan seolah-olah campur tangan dalam kehendak-Nya dengan menetapkan satu kemungkinan sahaja daripada kehendak-Nya. Dengan perbuatan tersebut, dia mendedahkan dirinya kepada hukuman dan perhitungan Allah SWT kerana dia mungkin dipertanggungjawabkan atas dosanya sendiri dan dosa akibat hukumannya terhadap orang lain. Bahkan, boleh jadi Allah SWT menggugurkan amalan solehnya disebabkan keburukan yang dilakukannya, sedangkan orang yang dihukumnya itu pula mendapat keampunan-Nya. Allah SWT juga boleh menggantikan keburukan orang tersebut dengan kebaikan.
Justeru, tujuan utama hadis ini bukan hanya melarang seseorang daripada menyebabkan orang lain berputus asa daripada rahmat Allah SWT tetapi lebih luas daripada itu iaitu melarang seseorang daripada membatasi dan menyempitkan keluasan rahmat Allah SWT.[2]
Implikasi Buruk Sikap Menghukum Destinasi Akhirat
Kecenderungan segelintir masyarakat untuk menjadi "hakim akhirat" dengan menentukan pengakhiran syurga atau neraka sesama manusia membawa bahaya serta implikasi negatif yang amat berat. Perbuatan mendahului ketentuan Allah SWT boleh membawa kepada kemurkaan-Nya. Sebagaimana yang disebut dalam Hadis Jundab di atas, sikap menghukum seseorang sebagai ahli neraka dengan penuh keyakinan merupakan suatu bentuk keberanian terhadap ketetapan Allah SWT dan berisiko menyebabkan pahala amalan kebajikan orang yang menghukum menjadi sia-sia.
Selain itu, perbuatan menghukum orang lain sebagai ahli neraka juga boleh melahirkan sifat takbur, riak dan ‘ujub dalam diri seseorang. Sikap tersebut sering berpunca daripada perasaan yang menganggap diri sendiri lebih baik, lebih suci atau lebih benar daripada orang lain. Keadaan ini boleh menyebabkan penyakit hati seperti sombong dan meremehkan orang lain semakin berakar dalam diri.
Seterusnya, perbuatan menghukum seseorang sebagai “pasti masuk neraka” dan tidak mempunyai peluang untuk mendapat keampunan juga boleh menutup pintu taubat serta menyebabkan manusia berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Apabila seseorang yang melakukan maksiat merasakan dirinya sudah tidak mempunyai harapan untuk diampuni, keadaan tersebut boleh mendorongnya untuk terus melakukan kejahatan tanpa berusaha memperbaiki diri dan kembali bertaubat kepada Allah SWT.
Di samping itu, amalan melabel dan membidaahkan sesama Muslim sebagai calon ahli neraka akibat perbezaan ijtihad atau kesalahan tertentu boleh merosakkan ukhuwah dan perpaduan umat Islam. Sikap sedemikian berpotensi mencetuskan perpecahan, permusuhan dan kebencian sesama Muslim sedangkan perbezaan pandangan dalam perkara tertentu sepatutnya diuruskan dengan ilmu, adab dan sikap saling menghormati.
Keseimbangan Antara Maqam Takut (Khauf) dan Harapan (Raja')
Menurut Syeikh Abdul Qadir al-Mandili, maqam takut (khauf) dan harapan (raja’) sewajarnya sama banyak dan seimbang bagi orang yang taat. Saiyidina Umar berkata, “Jika diseru, “Masuklah syurga semua makhluk kecuali seorang lelaki, aku takut akulah lelaki tersebut.[3] Jika diseru, “Masuklah api neraka semua makhluk kecuali seorang lelaki, aku mengharapkan akulah lelaki tersebut.[4]”[5]
Apabila seorang hamba menghadap kepada Tuhannya dan berusaha mendekatkan diri kepada-Nya, maka sewajarnya dia menghimpunkan antara maqam khauf dan raja’. Janganlah rasa takutnya mengatasi pengharapannya sehingga menyebabkan dia berputus asa terhadap rahmat dan keampunan Allah SWT. Demikian juga, janganlah pengharapannya mengatasi rasa takutnya sehingga mendorongnya terjerumus ke dalam lembah maksiat dan kejahatan.
Sebaliknya, seorang hamba hendaklah menyeimbangkan kedua-dua maqam tersebut supaya dia mampu mencapai maqam dekat dengan Allah SWT. Apabila hal tersebut dapat direalisasikan, maka dia akan memperoleh sifat-sifat golongan yang disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ ﴿١٦﴾
Maksudnya: “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur (sedikit sangat tidur kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh) mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya) dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.”
(Surah al-Sajadah: 16)
Al-Maraghi mentafsirkan mereka menjauhkan diri daripada tempat tidur yang biasanya mereka gunakan untuk tidur. Mereka tidak tidur, sebaliknya berdoa kepada Tuhan mereka dalam keadaan takut akan kemurkaan dan azab-Nya dan mengharapkan keampunan daripada-Nya, mengharapkan kurniaan rahmat serta pengampunan-Nya kepada mereka.[6]
Keseimbangan antara maqam khauf dengan raja’ inilah yang menjadi pemangkin dan pendorong utama kepada seorang hamba untuk sentiasa istiqamah beramal soleh demi meraih pengakhiran yang baik iaitu husn al-khatimah.
Tanda Husn al-Khatimah
Husn al-khatimah merupakan pengakhiran yang baik bagi seorang Muslim yang dicapai melalui amal soleh dan keredaan Allah SWT. Antara tanda husn al-khatimah yang disebutkan oleh para ulama berdasarkan nas-nas syarak termasuklah:
- Mengucap kalimah syahadah di saat akhir hayat. Perkara ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Muadz bin Jabal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّة.
Maksudnya: “Sesiapa yang akhir perkataannya “Tiada Tuhan melainkan Allah”, nescaya dia akan memasuki syurga.”
Riwayat Abu Daud
- Berpeluh di dahi ketika meninggal dunia. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَوْتُ المُؤْمِنِ بِعَرْقِ الجَبِينِ.
Maksudnya: “Tanda kematian bagi seorang Mukmin ialah dengan berpeluh dahinya.”
Riwayat al-Tirmidzi
- Meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat. Perkara Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِن مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الجُمْعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الجُمْعَةِ إِلَّا وَقَّاه اللهُ فِتْنَةَ القَبْرِ.
Maksudnya: “Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali Allah SWT akan melindunginya daripada fitnah kubur.”
Riwayat al-Tirmizi
- Melakukan amalan soleh sebelum meninggal dunia. Dalam satu hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَالُوا وَكَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ قَالَ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ.
Maksudnya: Jika sekiranya Allah SWT menginginkan kebaikan terhadap hamba-Nya, maka Allah SWT menjadikannya sentiasa melakukan amal. Para sahabat RA bertanya, “Bagaimana dia menjadikannya sentiasa melakukan amal?” Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya.”
Riwayat al-Tirmizi
- Berasa gembira dan senang hati untuk bertemu dengan Allah SWT. Hal ini berdasarkan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy'ari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ.
Maksudnya: “Sesiapa gembira bertemu dengan Allah, maka Allah gembira bertemu dengannya. Dan sesiapa merasa berat bertemu dengan Allah, maka Allah juga merasa berat untuk bertemu dengannya.”
Riwayat al-Bukhari
Oleh itu, setelah mengetahui tanda-tanda seseorang yang dikurniakan husn al-khatimah, setiap Muslim hendaklah berusaha untuk memperoleh pengakhiran hidup yang baik dengan meningkatkan ketakwaan dan soleh serta sentiasa memohon pertolongan dan rahmat daripada Allah SWT. Sehubungan dengan itu, antara doa yang boleh diamalkan sebagai salah satu usaha untuk meraih husn al-khatimah ialah:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمُرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَوَاتِمَهُ، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umurku adalah pada penghujungnya dan sebaik-baik amalanku sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hariku adalah hari di mana aku berjumpa dengan-Mu kelak.”
Riwayat Ibn al-Sunni
Kesimpulan
Ringkasnya, penentuan destinasi akhirat manusia adalah hak mutlak Allah SWT semata-mata. Setiap individu bertanggungjawab meletakkan fokus terhadap penyucian dan perbaikan diri sendiri melalui keseimbangan sifat khauf dan raja’, di samping mengelakkan sikap suka menghukum atau menilai pengakhiran orang lain demi memelihara diri daripada sifat keangkuhan serta mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat.
Dalam Islam, tindakan mendahului ketetapan Allah SWT dengan bersumpah atau memastikan nasib akhirat mana-mana individu tanpa dalil wahyu yang khusus adalah dilarang keras. Sebaliknya, pendekatan yang sewajarnya diambil oleh setiap Muslim adalah mendoakan hidayah dan keampunan bagi sesama insan serta sentiasa mengharapkan husn al-khatimah bagi diri sendiri.
[1] Al-Nawawi, Syarh al-Nawawi ala Muslim. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, 1392H) Jld. 16, Hlm. 174.
مَعْنَى يَتَأَلَّى يَحْلِفُ وَالْأَلْيَةُ الْيَمِينُ وَفِيهِ دَلَالَةٌ لِمَذْهَبِ أَهْلِ السُّنَّةِ فِي غُفْرَانِ الذُّنُوبِ بِلَا تَوْبَةٍ إِذَا شَاءَ اللَّهُ غُفْرَانَهَا.
[2] Musa Shahin Lashin, Fath al-Mun’im Syarh Sahih Muslim. (Kaherah: Dar al-Shuruq, 1423H) Jld. 10, Hlm. 119.
التحذير من الحكم على إنسان بأنه من أهل النار أو بأنه لن يغفر له ذنبه أو ذنوبه لأن هذا الحكم لله تعالى وحده ولإرادة الله وحده ولفعل الله وحده فهو يغفر لمن يشاء {وإن تبدوا ما في أنفسكم أو تخفوه يحاسبكم به الله فيغفر لمن يشاء ويعذب من يشاء والله على كل شيء قدير} [البقرة 284]
فمن حكم هذا الحكم على إنسان حجر واسعا وتدخل في المشيئة بالحجر عليها وتعيين وجه واحد على إرادتها وبذلك يعرض نفسه للعقاب والحساب يعرض نفسه لأن يؤخذ بذنبه وبذنب من حكم عليه فيحبط الله عمله الصالح بما فعل من سيئات ويغفر الله لمن حكم عليه ويبدل سيئاته حسنات فليس الهدف من الحديث النهي عن تقنيط الإنسان من رحمة الله كما بوب الإمام النووي رحمه الله بل النهي عن تحجير رحمة الله.
[3] Inilah dipanggil takut (khauf).
[4] Inilah dipanggil harapan (raja’).
[5] Abdul Qadir al-Mandili, Penawar Bagi Hati. (Patani: Matbaah Bin Halabi, 1378H) Hlm. 70.
[6] Al-Maraghi, Tafsir al-Maraghi. (Mesir: Syarikat Maktabah wa Matbaah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1365H) Jld. 21, Hlm. 111.
تَتَجافى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفاً وَطَمَعاً وَمِمَّا رَزَقْناهُمْ يُنْفِقُونَ) أي يتنحون عن مضاجعهم التي يضطجعون فيها لمنامهم، فلا ينامون، داعين ربهم خوفا من سخطه وعذابه، وطمعا فى عفوه عنهم، وتفضله عليهم برحمته ومغفرته.