Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-98: DUNIA ADALAH LADANG BAGI AKHIRAT

 

 

Soalan: Apakah status hadith “Dunia ini adalah ladang bagi akhirat” ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Matan Hadith

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

 

الدُّنْيَا مَزْرَعَةُ الآخِرَةِ

Maksudnya: “Dunia ini adalah lading (tempat bercucuk tanam) bagi akhirat”.

 

Dunia Adalah Tempat Persinggahan

Di dalam al-Qur’an diceritakan bahawa dunia adalah tempat persinggahan bagi manusia dan ia merupakan tempat untuk mengumpulkan amalan-amalan untuk dibawa ke akhirat iaitu tempat yang kekal. Berdasarkan firman Allah SWT:

 

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak”. [al-Syura:20]

 

Pendapat Ulama’ Berkaitan Hadith Ini

Antara ulama’ yang menilai hadith ini adalah:

 

  • Imam al-Sakhawi mengatakan bahawa beliau tidak menemuinya. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 351]

 

  • Imam al-Zurqani menyatakan bahawa beliau tidak mengetahuinya (hadith ini). [Lihat: Mukhtasar al-Maqasid, 467]

 

  • Imam al-Iraqi mengatakan bahawa beliau tidak menjumpai hadith ini marfu’ (sampai) kepada Rasulullah SAW. [Lihat: al-Mughni an Haml al-Asfar, 4/24]

 

  • Imam al-Saghani menghukum hadith ini palsu. [Lihat: al-Maudhu’at, 64]

 

  • Syeikh Mulla Ali Qari dalam menyatakan bahawa hadith ini adalah palsu, walaubagaimanapun makna hadith ini adalah betul. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 345]

 

Tarjih

Setelah melihat pendapat para ulama’ berkaitan hadith ini, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini tidak diketahui akan asalnya tetapi maknanya adalah sahih kerana ia bertepatan dengan firman Allah SWT di atas.

 

Penutup

Kesimpulannya, mengenalpasti akan kesahihan status sebuah hadith adalah penting kerana Nabi SAW telah mengancam terhadap orang-orang yang melakukan pendustaan terhadapnya dan juga kalamnya (hadithnya). Sebagaimana sabda Nabi SAW:

 

مَن حَدَّثَ عنِّي بِحديثٍ ، يَرَى أنَّهُ كَذِبٌ ، فَهُوَ أحَدُ الكاذِبَيْنِ

Maksdunya: “Barangsiapa yang berkata-kata daripadaku akan sebuah hadith dan dia melihat  bahawa ia adalah dusta maka dia adalah salah seorang daripada pendusta itu”.

[Riwayat Muslim, Tirmizi dan Ibn Majah]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan memelihara kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith Nabi SAW. Amin.