Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-81: MENGHIDUPKAN MALAM BULAN RAMADHAN

 

Soalan:

Apakah status dan makna hadith ini ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

                   

Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia buat umat Islam. Ini kerana, padanya terdapat banyak kelebihan-kelebihan dan juga tawaran-tawaran yang istimewa daripada Allah SWT kepada hamba-Nya.

 

Matan Hadith

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengdirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”. [Riwayat al- Bukhari, no. Hadith 36 dan 1870]

 

Makna Hadith

Hadith di atas bermaksud agar kita bersungguh-sungguh dalam menghidupkan atau membangunkan malam-malam di bulan Ramadhan. Ini kerana, ganjarannya amat besar bagi orang yang membangunkan malam-malam di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT iaitu dihapuskan segala dosa-dosa yang pernah dilakukan.

 

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata ketika memberi makna “Barangsiapa yang menghidupkan Ramadhan” adalah kita menghidupkan malam-malamnya (Ramadhan) dengan bersolat. Selain itu, beliau menyebut bahawa Imam al-Nawawi memberi maksud menghidupkan Ramadhan adalah dengan solat Tarawih. [Lihat: Fath al-Bari, 4/251] Mendirikan atau menghidupkan malam Ramadhan bukanlah satu perkara yang wajib tetapi ia merupakan sunnah yang dituntut.

 

Di sini, kami berpendapat bahawa solat tarawih merupakan satu juzuk daripada menghidupkan atau mendirikan malam Ramadhan. Selain itu, kita juga dituntut agar memperbanyakkan ibadah-ibadah yang lain seperti solat-solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, beristighfar dan lain-lain lagi. Ini semua termasuk di dalam menghidupkan dan mendirikan malam-malam Ramadhan.

 

Penutup

Kesimpulannya, mendirikan malam Ramadhan dengan amal ibadah kepada Allah SWT hukumnya adalah sunnah muakkadah (ditekankan). Selain itu, Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam beribadat apabila tibanya Ramadhan. Ini juga diamalkan oleh para Khulafa’ al-Rasyidin dan juga para sahabat yang lain. Untuk itu, sebaiknya  seorang muslim itu sentiasa memperbanyakkan amal ibadah pada bulan Ramadhan yang penuh dengan kelebihan ini, terutamanya pada sepuluh malam yang terakhir kerana di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima amalan-amalan kita dan seterusnya memberi kita kesempatan untuk bertemu dengan malam al-Qadar. Amin.