Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-62: Apakah status hadith ini ?

 

 

Soalan

Apakah status hadith menjarangkan gigi serta feqahnya ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Matan hadith

Di sini kami datangkan  matan hadith yang berkaitan menjarangkan gigi:

  • Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لَعَنَ اللهُ الوَاشِمَاتِ وَالمُسْتَوْشِمَاتِ ، وَالنَّامِصَاتِ وَالمُتَنَّمِصَاتِ ، وَالمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ المُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللهِ

 

Maksudnya: “Allah SWT melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu. Orang yang mencabut bulu mata dan orang yang diminta cabut bulu matanya. Orang yang menjarangkan giginya demi kecantikan sehingga merubah ciptaan Allah SWT”. [Riwayat al-Bukhari (di dalam riwayat al-Bukhari tidak disebut “وَالنَّامِصَاتِ”), no. hadith 4507, 5476, 5487 dan Muslim, no. hadith 3966]

 

Hukum Hadith

Hukum hadith ini adalah sahih dan ia juga merupakan hadith muttafaqun ‘alaih (متفق عليه) kerana ia diriwayatkan oleh Syaikhan (Al-Bukhari dan Muslim).

 

Definisi menjarangkan gigi (تفليج الأسنان)

Menjauhkan atau menjarakkan gigi antara satu sama lain bagi menampakkan kemudaannya (usia yang muda) dan menzahirkan kecantikan giginya. [Lihat: Sahih Fiqh al-Sunnah, 3:50]

 

Syarah al-Hadith

Adapun menjarangkan gigi merupakan perbuatan orang-orang yang sudah tua atau orang-orang yang usianya hampir dengan usia tua bagi menzahirkan kemudaan dan kecantikan giginya. Ini kerana, meninggalkan ruang kecil (menjarangkan gigi) biasanya berlaku pada budak-budak perempuan yang kecil. Apabila wanita itu sudah tua dan usianya telah lanjut maka dia melakukan hal sedemikian bagi menampakkan kecantikan pada giginya dan memberi gambaran bahawa usianya masih muda. Selain itu, ia juga dinamakan al-Washr iaitu mengikis gigi (menipiskan gigi). Hal ini juga adalah dilaknat oleh Allah SWT sama seperti mengjarangkan gigi. Perbuatan ini adalah haram bagi orang yang melakukannya dan juga orang yang meminta untuk dilakukannya sebagaimana yang terdapat di dalam hadith ini. Tambahan pula, ini termasuk di dalam mengubah ciptaan Allah SWT, pemalsuan dan juga terdapat unsur penipuan. Manakala makna, orang yang menjarangkan giginya demi kecantikan membawa maksud untuk menzahirkan kecantikan semata-mata. Ini juga memberi isyarat bahawa perbuatan ini adalah haram apabila orang yang meminta untuk melakukan hal tersebut untuk menzahirkan kecantikan semata-mata. Bagi orang yang berhajat kepadanya demi perubatan atau aib pada gigi dan yang seumpama dengannya maka ini tidak menjadi masalah. [Lihat: al-Minhaj, 14:106]

 

Feqah al-Hadith

Di dalam hadith ini, kita dapat mengeluarkan beberapa feqah al-Hadith. Antaranya :

 

  • Perbuatan ini dilakukan oleh wanita sahaja berdasarkan matan hadith atau kebanyakan yang melakukan perkara ini adalah wanita.

 

  • Hukum menjarangkan gigi adalah haram berdasarkan nas hadith yang jelas bahawa Allah SWT melaknat perkara tersebut.

 

  • Menjarangkan gigi termasuk dalam perkara yang mengubah ciptaan Allah SWT.

 

  • Terdapat unsur-unsur penipuan di dalam menjarangkan gigi.

 

  • Jika orang yang berhajat kepada menjarangkan gigi disebabkan faktor kesihatan atau aib maka ia dibolehkan.

Hukum berkaitan gigi

Berikut adalah beberapa hukum yang berkaitan dengan gigi:

 

Pertama: Hukum memakai gigi palsu

Hukum memakai gigi palsu adalah dibolehkan kerana ia termasuk di dalam keperluan. Dengan adanya gigi palsu ini maka ia akan memudahkan seseorang itu untuk makan, bercakap dan lain-lain lagi. Walaupun begitu, gigi palsu tersebut perlulah tidak mengandungi bahan-bahan yang terlarang.

 

Kedua: Hukum memutihkan gigi

Adapun hukum memutihkan gigi adalah dibolehkan kerana fungsinya seperti siwak (bersugi) iaitu membersihkan dan menyucikan gigi daripada kotoran. Hal ini dibolehkan selagimana tidak mengandungi bahan-bahan yang terlarang.

 

Ketiga: Hukum membaiki gigi yang terserpih atau patah

Berkaitan hukum membaiki gigi yang terserpih atau patah juga dibolehkan kerana ini tidak termasuk di dalam mengubah ciptaan Allah SWT kerana ia mengembalikan sesuatu itu pada asalnya dan ini termasuk di dalam menghilangkan aib yang terdapat pada diri seseorang itu. Hal ini juga dibolehkan selagimana tidak mengandungi bahan-bahan yang terlarang padanya.

 

Keempat: Hukum membaiki gigi untuk kecantikan

Hukum membaiki gigi untuk kecantikan adalah tidak dibolehkan berdasarkan nas yang jelas sebagaimana yang dinyatakan di awal perbahasan ini. Ini kerana, ia termasuk di dalam mengubah ciptaan Allah SWT dan sesiapa yang melakukan perbuatan akan dilaknat oleh Allah SWT.

 

Penutup

Kesimpulannya, perbuatan ini amatlah dilarang di dalam Islam dan hukumannya adalah amat berat iaitu laknat Allah SWT ke atas mereka ini. Untuk itu, kita sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya haruslah menjauhi perkara ini. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan dan kesungguhan dalam meninggalkan perkara-perkara yang ditegah di dalam agama yang suci ini. Amin.