Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-144: KEPENTINGAN SABAR DALAM AGAMA

 

Soalan: Apakah terdapat kisah berkaitan sabar di dalam agama?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, kami ingin datangkan sebuah hadith sahih yang diceritakan oleh Rasulullah SAW berkenaan umat terdahulu yang diazab kerana mereka memilih untuk beriman kepada Allah SWT. Di dalam al-Qur’an terdapat banyak ayat yang menceritakan berkaitan sabar. Antaranya:

 

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا

Maksudnya: “Dan bersabarlah kamu dengan orang-orang yang menyeru kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang yang mana mereka mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata dan janganlah kamu memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana kamu mahukan kesenangan hidup di dunia. Dan janganlah kamu taat kepada orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi peringatan Kami di dalam al-Qur’an serta menurut hawa nafsunya. Di samping tingkah-lakunya pula melampaui kebenaran”. [al-Kahfi:28]

 

Antara hadith yang menceritakan berkaitan kepentingan sabar ini adalah daripada seorang sahabat bernama Khabbab bin al-Art. Beliau berkata: Kami mengadu kepada Rasulullah SAW ketika Baginda SAW beralaskan sehelai kain di sisi Ka’bah. Kami berkata: Tidakkah Baginda SAW memohon pertolongan kepada kami? Tidakkah Baginda SAW berdoa kepada kami?. Lalu Baginda SAW bersabda:

 

قَدْ كَانَ مَنْ قَبْلَكُمْ، يُؤْخَذُ الرَّجُلُ فَيُحْفَرُ لَهُ فِي الأَرْضِ، فَيُجْعَلُ فِيهَا، فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُجْعَلُ نِصْفَيْنِ، وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الحَدِيدِ، مَا دُونَ لَحْمِهِ وَعَظْمِهِ، فَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ، وَاللَّهِ لَيَتِمَّنَّ هَذَا الأَمْرُ، حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ، لاَ يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ، وَالذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ، وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebelum daripada kamu, diambil lelaki lalu digali baginya lubang kemudian dihumbankan dia ke dalamnya.Terdapat juga yang didatangkan padanya dengan gergaji lalu gergaji tersebut diletakkan di kepalanya, kemudian digergajikan kepala tersebut sehingga terbelah kepada dua. Ada juga yang dicakar dengan cakaran besi sehingga memisahkan daging dan tulangnya. Ini semua tidak membuat mereka berpaling daripada agamanya (Islam). Demi Allah, akan sempurna perkara ini (Islam) sehingga seseorang pengembara itu mampu berjalan dari San’a hingga ke Hadharalmaut dan dia tidak takut melainkan Allah SWT dan tidak risau serigala akan menerkam kambingnya. Akan tetapi kamu tergesa-gesa (inginkan kemenangan atau hasil)”. [Riwayat al-Bukhari (6943)]

 

Di dalam hadith ini, Nabi SAW menceritakan kepada para sahabat bahawa sebelum daripada mereka terdapat golongan yang diazab dan diseksa lebih teruk daripada mereka. Akan tetapi mereka tetap bersabar dengan ujian ini dan mereka sesekali tidak berpaling daripada agama ini. Oleh sebab itu, Nabi SAW menggambarkan orang yang sabar dengan berpegang dengan agamanya adalah seperti seorang yang menggenggam bara api. Ini disebutkan di dalam Jami’ al-Tirmizi:

 

  • Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW:

 

يَأْتِيْ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيْهِم عَلَى دِيْنِهِ كَالقَابِضِ عَلَى الجَمْرِ

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar daripada kalangan manusia yang berpegang dengan agamanya seperti seorang yang menggenggam bara api”. [Riwayat al-Tirmizi (2260)] [Hadith ini sahih dengan banyaknya syawahid (jalur lain) padanya]

 

Telah berkata al-Qari’:

 

“Tidak mungkin seseorang itu boleh memegang atau menggenggam bara api melainkan ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan perlu menanggung kesusahannya. Untuk itu, tidak dapat digambarkan pada waktu itu apabila seseorang itu ingin menjaga agamanya dan juga cahaya keimanannya kecuali dengan kesabaran yang tinggi”. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 6:444]

 

Penutup

Kesimpulannya, kesabaran amat penting di saat manusia makin jauh dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Kita juga perlulah menjaga nikmat Iman dan Islam yang kita kecapi pada hari ini kerana ia adalah daripada usaha keras para sahabat dan golongan selepas daripada mereka bagi menegakkan agama Allah SWT di muka bumi ini. Ini kerana, Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang istimewa kepada orang-orang yang sabar berdasarkan Firman-Nya:

 

  • Firman Allah SWT:

 

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira”. [al-Zumar:10]

 

Semoga Allah SWT memelihara iman dan amal kita serta mengurniakan kita kesabaran yang teguh agar kita dapat memelihara dan mengekalkan dua nikmat yang besar dan agung ini. Amin.

 

Wallahua’lam