Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-128: IMAM AL-BUKHARI DAN SAHIHNYA

Soalan: Siapakah imam al-Bukhari serta pengenalan ringkas sahihnya?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Irsyad al-Hadith pada kali ini akan membicarakan berkenaan seorang tokoh yang telah banyak berjasa dan mewakafkan dirinya untuk berkhidmat dengan hadith-hadith Nabi SAW. Selain itu juga, beliau telah menghasilkan sebuah karya yang sangat agung dan diterima oleh umat ini sehingga ke saat ini.

 

Pengenalan Ringkas Imam al-Bukhari RA

Nama sebenar beliau adalah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Ju’fiy al-Bukhari. Al-Bukhari adalah nisbah kepada tempat kelahiran beliau iaitu Bukhara yang terletak di Khurasan. Tambahan pula, Bukhara merupakan sebuah bandar lama, luas dan cantik. Kuniyah beliau adalah Abu Abdillah dan beliau terkenal dengan gelaran imam ahli hadith atau amir al-Mu’minin dalam hadith. Beliau lahir pada 194 Hijrah di bandar Bukhara.

 

Tambahan pula, imam al-Bukhari merupakan seorang anak yatim apabila ayahnya Ismail telah meninggal dunia ketika usia beliau masih kecil. Disebabkan itu, ibunya mengambil peranan dalam mendidik dan membesarkan imam al-Bukhari. Imam al-Bukhari sejak kecil lagi sudah cenderung untuk menghafaz hadith-hadith nabi SAW dan juga mempelajari ilmu-ilmu agama yang lain. Ini kerana, keluarganya merupakan sebuah keluarga yang amat menitikberatkan ilmu pengetahuan sebagaimana ayahnya merupakan seorang yang terkenal dengan keilmuannya.

 

Imam al-Bukhari merupakan seorang yang rajin menghadiri majlis-majlis atau halaqah-halaqah ilmu. Ketokohan imam al-Bukhari dalam bidang hadith sudah menonjol sejak beliau masih kecil lagi apabila kisah beliau menegur seorang guru yang ahli hadith ketika guru tersebut sedang menyampaikan pengajian. Guru tersebut adalah al-Allamah al-Dakhili, di mana beliau tersalah dalam meriwayatkan sanad hadith. Dikatakan usia imam al-Bukhari pada ketika itu adalah 11 tahun. Berdasarkan apa yang telah dinyatakan di atas, kita ketahui bahawa imam al-Bukhari merupakan seorang yang cerdik dan rajin dalam menuntut ilmu. Ini dapat dilihat ketika usia beliau masih kecil lagi. Tambahan pula, kesungguhan beliau ini diteruskan dengan rehlah-rehlah ilmiah yang telah ditempuhi oleh imam al-Bukhari semata-mata untuk menuntut ilmu dan mencari hadith Nabi SAW.

 

Guru-Guru Imam al-Bukhari

Antara guru-guru imam al-Bukhari ialah:

  • Ali bin al-Madini
  • Ahmad bin Hanbal
  • Yahya bin Ma'in
  • Ishak bin Rahawaih
  • Qutaibah bin Sa’id

 

Murid-Murid Imam al-Bukhari

Antara murid-murid imam al-Bukhari adalah:

  • Imam al-Tirmizi
  • Imam al-Nasa’ie
  • Imam Muslim
  • Imam Ibn Khuzaimah
  • Abu Zur’ah al-Razi
  • Abu Hatim al-Razi

 

Ujian Kepada Imam al-Bukhari

Kisah ujian yang dilakukan oleh ulama’ hadith di Baghdad kepada imam al-Bukhari ini sangat masyhur dan diceritakan di dalam karya-karya yang menceritakan berkaitan sirah atau sejarah kehidupan beliau, contohnya di dalam kitab Sirah Imam al-Bukhari oleh Syeikh Abdul Salam al-Mubarakfuri atau di dalam kitab Imam al-Bukhari Imam al-Huffaz dan al-Muhaddithin oleh Dr. Taqiyuddin al-Nadwi.

 

Apabila para ulama’ hadith di Baghdad mendapat berita akan kehadiran imam al-Bukhari di Baghdad, maka mereka telah merancang satu ujian bagi menguji tahap hafazan, keilmuan dan kecerdikan beliau. Para ulama’ ini telah mengumpul seratus buah hadith yang telah ditukar sanad dan matannya antara satu sama lain. Kemudian hadith-hadith tersebut diberikan kepada sepuluh orang bagi membacanya kepada imam al-Bukhari. Setiap orang akan membaca sepuluh buah hadith di hadapan imam al-Bukhari setelah itu akan bertanya imam al-Bukhari berkaitan hadith tersebut. Apabila ditanya, imam al-Bukhari memberi jawapan yang sama bagi sepuluh orang yang bertanya itu dengan mengatakan “aku tidak tahu”. Mendengar jawapan imam al-Bukhari itu membuatkan hadirin tertanya-tanya akan kepandaian dan tahap hafazan imam al-Bukhari. Tambahan pula, majlis itu dihadiri bukan sahaja daripada kalangan penduduk di Baghdad tetapi ia juga dihadiri oleh penduduk dari luar Baghdad juga. Setelah selesai semua pertanyaan, beliau mula membetulkan satu persatu hadith yang diajukan kepada beliau sehingga ke hadith yang seratus dengan matan dan sanadnya yang tepat. Dengan itu, semua hadirin terpegun dan mengakui dengan ketokohan imam al-Bukhari dalam bidang hadith.

 

Sanjungan Terhadap Imam al-Bukhari

Antara sanjungan terhadap Imam al-Bukhari adalah:

 

  • Telah berkata Ishak bin Rahawaih rahimahullah:

“Wahai sekalian ashab hadith, lihatlah pada pemuda ini dan tulislah (hadith) daripadanya, sesungguhnya jika dia pada zaman Hasan bin Abi al-Hasan al-Basri sudah tentu manusia berhajat pada ilmu hadith dan fiqhnya”.

 

  • Telah berkata Qutaibah bin Sa’id rahimahullah:

“Aku melazimi ahli fiqh, ahli zuhud dan ahli ibadah tetapi aku tidak pernah melihat orang seperti Muhammad bin Ismail”.

 

  • Telah berkata Ahmad bin Hanbal rahimahullah:

“Khurasan tidak pernah mengeluarkan atau melahirkan insan sehebat Muhammad bin Ismail”.

 

  • Telah berkata Imam al-Darimi rahimahullah:

“Aku telah melihat ulama’ di Haramain, Hijaz, Syam dan Iraq tetapi aku tidak pernah melihat mereka semua melainkan Muhammad bin Ismail al-Bukhari lebih hebat daripada mereka”.

 

  • Telah berkata Imam Muslim rahimahullah:

“Biarkan aku mencium kedua kakimu wahai guru kepada sekalian guru, ketua kepada sekalian ahli hadith dan pakar dalam ilmu ‘ilal (kecacatan) hadith”.

 

  • Telah berkata Abu Hatim al-Razi rahimahullah:

“Khurasan tidak pernah menghasilkan seseorang yang lebih kuat hafalannya berbanding Muhammad bin Ismail dan tidak ada yang datang dari Khurasan menuju ke Iraq yang lebih alim daripadanya”.

 

  • Telah berkata imam al-Tirmizi rahimahullah berkata:

“Aku tidak melihat di Iraq dan Khurasan orang yang lebih alim tentang ‘illah-‘illah hadith, tarikh (sejarah) dan sanad-sanad daripada Muhammad bin Ismail al-Bukhari”.

 

Kewafatan Imam al-Bukhari

Telah berkata Abdul Quddus bin Abd al-Jabbar al-Samarqandi:

 

فَسَمِعْتُهُ لَيْلَةَ مِنَ اللَّيَالِي وَقَدْ فَرَغَ مِنْ صَلَاةِ اللَّيْلِ ، يَدْعُو وَيَقُوْلُ فِيْ دُعَائِهِ : اللهُمَّ إِنَّهُ قَدْ ضَاقَتْ عَلَيَّ الأَرْض بِمَا رَحُبَتْ فَاقْبِضْنِيْ إِلَيْكَ . قَالَ : فَمَا تَمَّ الشَّهْر حَتَّى قَبَضَهُ الله تَعَالَى

Maksudnya: Pada satu malam, aku terdengar beliau (imam al-Bukhari) berdoa setelah selesai solat malam, “Ya Allah dunia telah sempit bagiku, sedangkan ianya luas, maka Kau cabutlah nyawaku wahai Allah”. Tidak sampai sebulan selepas itu, Allah SWT telah memperkenankan doanya.

 

Beliau meninggal dunia pada malam aidilfiri tahun 256 Hijrah, setelah hidup selama 62 tahun kurang 13 hari. Telah berkata Yahya bin Ja’far selepas kematian imam al-Bukhari:

 

مَوْتُ محمد بِنْ إِسْمَاعِيْل ذِهَابُ العِلْمِ

Maksudnya: “Kematian Muhammad bin Ismail bererti perginya (hilangnya) ilmu”.

 

Pengenalan Sahih al-Bukhari Dan Manhaj Imam al-Bukhari

Hadith merupakan sumber kedua dalam syariat Islam yang telah diakui oleh al-Qur’an. Kepentingannya dan keperluannya tidak dapat dinafikan lagi kerana tanpa hadith manusia tidak dapat memahami, mengenali dan mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam al-Qur’an. Ini kerana, antara fungsi hadith adalah menafsirkan makna atau ayat-ayat yang terdapat di dalam al-Qur’an. Selain itu juga, tidak semua hukum-hakum diceritakan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an. Disebabkan itu, tidak dapat tidak, umat Islam tidak boleh meninggalkan atau memisahkan hadith Nabi SAW dengan kehidupan mereka. Antara karya hadith yang paling agung adalah sahih imam al-Bukhari:

 

Nama Sebenar Sahih al-Bukhari

Imam al-Bukhari telah memberi nama yang cukup istimewa  bagi karya sahihnya iaitu al-Jami’ al-Sahih al-Musnad al-Mukhtasar min Umur Rasulillah SAW wa Sunanihi wa Ayyamihi (الجامع الصحيح المسند المختصر من أمور رسول الله صلى الله عليه وسلم وسننه وأيامه). Walaubagaimanapun, karya ini terkenal dengan nama Sahih al-Bukhari.

 

Sebab Penulisan Sahih al-Bukhari

Terdapat dua sebab imam al-Bukhari menulis sahihnya sebagaimana yang dinyatakan:

 

  • Pertama: Guru beliau iaitu Ishak bin Rahawaih telah menyampaikan hasratnya atau mencadangkan kepada muridnya agar menghimpunkan hadith-hadith yang sahih, Maka, kata-kata itu sangat memberi kesan di dalam hatiku.

 

  • Kedua: Beliau (imam al-Bukhari) telah bermimpi bahawa beliau berdiri di sisi rasulullah SAW serta dalam masa yang sama, beliau mengipas rasulullah SAW. Setelah itu, beliau bertanya kepada penafsir mimpi berkaitan mimpi beliau. Penafsir mimpi mengatakan bahawa beliau akan menghalang pendustaan terhadap rasulullah SAW. Disebabkan itulah yang membuatkan aku untuk menghasilkan karya ini.

 

Manhaj Imam al-Bukhari

Imam al-Bukhari telah memilih hadith-hadith yang sahih untuk dimuatkan di dalam karya beliau ini. Akan tetapi, beliau tidak meletakkan kesemua hadith-hadith yang sahih kerana khuatir ia akan menjadi panjang (terlampau banyak hadith).

Selain itu juga, imam al-Bukhari akan memilih hadith-hadith yang bersesuaian dengan bab-bab yang terdapat di dalam sahihnya. Tambahan pula, imam al-Bukhari terkenal dengan manhaj ikhtisar (memendekkan teks atau matan hadith) iaitu beliau tidak mendatangkan matan hadith dengan penuh.

 

Jika melihat kepada nama sahih al-Bukhari, itu telah jelas menunjukkan manhaj imam al-Bukhari dalam menghasilkan karya beliau ini. Antaranya, al-Jami’ iaitu menghimpunkan, al-sahih iaitu hadith-hadith yang sahih, al-Musnad iaitu hadith-hadith yang mempunyai sanad yang bersambung kepada rasulullah SAW dan juga al-Mukhtasar iaitu memendekkan atau memotong matan hadith. Di samping itu, imam al-Bukhari telah memilih daripada 100 ribu hadith yang sahih untuk dimuatkan ke dalam karya beliau. Hal ini difahami melalui perkataan imam al-Bukhari sendiri:

 

أَحْفَظُ مِائَةَ أَلْف حَدِيْث صَحِيْح وَأَعْرِفُ مِائَتَيْ أَلْف حَدِيْث غَيْر صَحِيْح

Maksudnya: “Aku menghafal 100 ribu hadith yang sahih dan aku juga tahu 200 ribu hadith yang tidak sahih”.

 

Cara-Cara Imam al-Bukhari Menulis Hadith Di Dalam Sahihnya

Imam al-Bukhari sendiri mengatakan bahawa beliau tidak akan menulis hadith di dalam karyanya itu melainkan beliau akan membersihkan diri (mandi atau berwudhuk) terlebih dahulu dan solat dua rakaat. Solatnya ini merupakan solat Istikharah memohon pertolongan kepada Allah SWT agar menerima amalannya ini serta memberkatinya.

 

Tempat-Tempat Penulisan Kitab Sahih al-Bukhari

Imam al-Bukhari menulis kitab atau karyanya ini di beberapa tempat dan bukan di satu tempat sahaja. Hal ini diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar bahawa beliau (imam al-Bukhari) mula menulis dan menyusun bab-bab di dalam sahihnya di masjid al-Haram. Kemudian, beliau mula mengtakhrij hadith-hadith di dalam sahihnya di negerinya dan negeri-negeri yang lain. Disebabkan itu, sahih al-Bukhari ini dihasilkan dalam tempoh 16 tahun sebagaimana dikhabarkan oleh imam al-Bukhari sendiri.

 

Penyemakan Sahih al-Bukhari

Setelah imam al-Bukhari selesai menghasilkan karyanya, beliau tidak terhenti di situ. Bahkan beliau meminta ulama’ besar hadith di zamannya untuk menilai dan menyemak karyanya itu. Antara yang terlibat dalam menilai sahih al-Bukhari ini ialah Ali bin al-Madini, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma’in dan ramai lagi. Kesemua mereka bersaksi akan kesahihan hadith-hadith yang terdapat di dalam sahih al-Bukhari ini melainkan empat buah hadith sahaja. Cara ini digunakan juga oleh imam Malik bin Anas setelah beliau meminta 70 orang ulama’ di zamannya untuk menilai karya Muwattha’nya.

 

Sebab-Sebab Sahih al-Bukhari Lebih Utama Daripada Sahih Muslim

Terdapat beberapa sebab sahih al-Bukhari lebih utama daripada sahih Muslim, antaranya:

  • Syarat Imam al-Bukhari lebih ketat berbanding imam Muslim.
  • Imam al-Bukhari mengsyaratkan hadith ‘An’anah mestilah bersambung dan tidak terputus antara perawi.
  • Hadith yang dipertikai di dalam sahih al-Bukhari adalah lebih sedikit berbanding di dalam sahih imam Muslim.
  • Ketokohan imam al-Bukhari lebih terserlah berbanding imam Muslim dalam bidang hadith. Ini kerana, imam Muslim merupakan murid kepada imam al-Bukhari.

 

Syarat-Syarat Imam al-Bukhari

Berikut adalah syarat-syarat hadith Sahih yang telah disepakati oleh para ulama’ adalah:

  • Sanadnya bersambung.
  • Perawinya perlulah seorang yang adil (tidak berdusta).
  • Perawinya perlulah seorang yang sempura dhabitnya (ingatannya).
  • Tidak syaz (riwayatnya tidak bercanggah dengan riwayat perawi yang thiqah).
  • Tidak ada ‘illah (kecacatan).

 

Imam al-Bukhari telah menambah satu syarat yang ketat iaitu mesti berlaku pertemuan antara perawi (ثبوت اللقاء), manakala imam Muslim hanya mensyaratkan sezaman (المعاصرة) kerana kemungkinan berlaku pertemuan antara perawi-perawi kerana mereka sezaman.

 

 Penyusunan Hadith-Hadith Di Dalam Sahih al-Bukhari

Imam al-Bukhari menyusun hadith-hadith di dalam sahihnya mengikut kitab (tajuk utama) dan setiap kitab itu mempunyai bab-bab tertentu. Di samping itu, kitab yang pertama adalah permulaan wahyu dan diakhiri dengan kitab al-Tauhid. Antara kitab atau tajuk utama lain yang terdapat di dalam sahih al-Bukhari adalah kitab al-Iman, kitab ilmu, kitab wudhuk, kitab mandi, kitab haidh, kitab tayammum, kitab solat dan beberapa kitab atau tajuk lagi. Pada penyusunan kitab dan bab inilah terserlah akan fiqh imam al-Bukhari, Disebabkan itu, para ulama’ mengatakan fiqh imam al-Bukhari terletak pada terjemah bab-babnya. Ini kerana, daripada situ para ulama’ dapat mengenalpasti akan pendapat-pendapat imam al-Bukhari dalam permasalahan fiqh.

 

Jumlah Hadith Di Dalam Sahih al-Bukhari

Berikut adalah jumlah hadith di dalam sahih al-Bukhari walaupun bilangannya menjadi perselisihan oleh para ulama’ disebabkan sebahagian mereka menjadikan menghimpunkan atau memisahkan bilangan hadith-hadith samada ia adalah mutaba’at, mu’allaqat dan juga hadith-hadith yang berbeza riwayatnya.

 

Menurut Imam Ibn Solah [Lihat: al-Hadith fi Ulum al-Qur’an wa al-Hadith, 197]:

  • Jumlah hadith keseluruhannya: 7275
  • Jumlah hadith yang tidak berulang: 4000

 

Menurut Imam al-Nawawi [Lihat: Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 73/1]:

  • Jumlah hadith keseluruhannya: 7275
  • Jumlah hadith yang tidak berulang: 4000

 

Menurut Imam al-Hafiz Ibn Hajar [Lihat: al-Hadith fi Ulum al-Qur’an wa al-Hadith, 197]:

  • Jumlah hadith keseluruhannya: 9082
  • Jumlah hadith yang tidak berulang: 2602

 

Menurut Dr. Abu Laith [Lihat: Ulum al-Hadith, 65]:

  • Jumlah hadith keseluruhannya: 9082
  • Jumlah hadith bersambung (Mausul) yang tidak berulang: 2602
  • Jumlah mutaba’at: 341

Sanjungan ulama’ terhadap sahih al-Bukhari

Antara sanjungan terhadap sahih al-Bukhari adalah:

 

  • Telah berkata Imam Ibn Kathir rahimahullah:

“Para ulama’ telah bersepakat menerimanya (sahih al-Bukhari) dan keshahihan semua yang ada di dalamnya, begitu juga semua umat Islam”.

 

  • Telah berkata imam Tajuddin al-Subki rahimahullah :

“Adapun kitabnya (al-Bukhari) al-Jami' al-Sahih adalah kitab Islam yang paling mulia selepas Kitabullah (al-Qur’an)”.

 

  • Telah berkata Ibn Salah rahimahullah:

“Sesungguhnya kitab al-Bukhari adalah kitab yang paling sahih di antara keduanya (sahih Muslim) dan yang paling banyak faedahnya”.

 

  • Telah berkata imam al-Nawawi rahimahullah:

“Para ulama’ telah bersepakat bahawa kitab yang paling sahih selepas al-Qur'an adalah sahih al-Bukhari dan sahih Muslim dan umat ini telah menerimanya. Kitab al-Bukhari adalah yang paling sahih daripada keduanya dan yang paling banyak faedah”.

 

  • Telah berkata syeikh al-Islam ibn Taimiyyah rahimahullah:

“Tidak ada di bawah permukaan langit ini kitab yang lebih sahih selepas al-Qur'an daripada sahih al-Bukhari dan Muslim”.

 

Penutup

Kesimpulannya, tidak disangkal lagi bahawa imam al-Bukhari merupakan seorang tokoh yang telah banyak berjasa dan keilmuan beliau dalam bidang hadith tiada tandingannya. Hal ini dapat dilihat apabila beliau telah berjaya menghasilkan sebuah karya yang cukup hebat dan agung sehinggakan kedudukannya selepas daripada al-Qur’an. Tambahan pula, ijma’ umat ini menerima bahawa hadith-hadith di dalam sahih al-Bukhari kesemuanya adalah sahih. Ini menunjukkan keberkatan dan keikhlasan beliau dalam menghasilkan karya ini. Akhirnya, semoga Allah SWT merahmati beliau dan semoga Allah SWT mengurniakan kita kesungguhan dan keikhlasan dalam memartabatkan sunnah Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua'lam