Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-33: Hadis penciptaan Hawa daripada tulang rusuk

Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan Hawa diciptakan bukan daripada tulang rusuk atau seperti tulang rusuk ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berkaitan soalan yang diajukan, isu hadis yang menceritakan berkaitan penciptaan waniat atau Hawa daripada tulang rusuk telah berlaku perselisihan oleh para ulama’ dalam memahami hadis ini. Sebelum kami nyatakan pendapat ulama’ berkaitan hadis ini, kami sertakan dahulu hadis-hadis yang menceritakan tentang isu ini, antaranya ialah:

hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

اسْتَوْصُوا بِالنساءِ خَيْرًا، فإنَّ المرأةَ خُلقتْ من ضِلَعٍ ، وإنَّ أَعْوَجَ شيءٍ في الضِّلعِ أَعْلَاه ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ ، وإن تركتَه لم يزلْ أَعْوَجَ ، فاستوصُوا بالنِّساءِ خَيْرًا

Maksudnya : “Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang  paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bilamana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah para wanita”.

[Riwayat al-Bukhari, kitab hadis-hadis berkaitan Nabi, bab penciptaan Adam dan keturunannya, no. hadis: 3083, kitab al-Nikah, bab Wasiat Untuk Wanita, no.hadis 4787]

Berdasarkan hadis ini, yang dimaksudkan dengan wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk ialah asal penciptaan wanita adalah bengkok dan wanita tidak menerima pembetulan sebagaimana tulang rusuk juga tidak menerima pelurusan. Maka dengan itu, setiap kali kamu ingin membetulkannya maka ia akan patah. Ini adalah perumpamaan bagi talak iaitu jika kamu ingin daripadanya untuk meluruskan apa yang tidak lurus itu maka ia akan membawa kepada perpisahan. [Lihat: Fath al-Bari, 6:368]

Selain itu, terdapat hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ المرأةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ، لَنْ تستقيمَ لَكَ علَى طريقَةٍ، فإِنَّ استمْتَعْتَ بِها استمتعْتَ بِها وبِها عِوَجٌ، وإِنْ ذهبْتَ تقيمُها كسرْتَهَا، وكسرُها طلاقُها

Maksudnya: “Sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk dan tidak dapat kamu luruskan dengan cara bagaimanapun, jika kamu hendak bersenang-senang dengannya, kamu dapat bersenang-senang dengannya dan dia tetap saja bengkok, namun jika kamu berusaha meluruskannya, nescaya dia akan patah dan mematahkannya adalah menceraikannya”. [Riwayat Muslim, kitab Menyusui, bab Wasiat untuk wanita, no. hadis: 2670]

Padanya terdapat dalil atau tanda apa yang dikatakan oleh fuqaha’ atau sebahagian daripada mereka bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam sebagaimana firman Allah SWT bahawa Allah SWT menciptakan manusia daripada diri yang satu dan daripada diri itu Allah SWT ciptakan pasangannya. Selain itu, Nabi SAW menjelaskan bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk. Di dalam hadis ini, dianjurkan agar berkelakuan baik dan lembut dengan wanita serta sabar di atas sikapnya yang bengkok dan juga kelemahan akalnya. Selain itu, dikeji mentalaknya tanpa sebab dan dalam keadaan dia (suami) tidak  ingin membetulkannya (isteri). [Lihat: al-Minhaj, 10:57]

 

Pendapat ulama’ dalam memahami isu ini

Para ulama’ telah berselisih pendapat dalam memahami makna hadis Nabi SAW ini. Antaranya ialah:

  • Pertama: Sebahagian ahli tafsir dan ahli hadis berpendapat bahawa hakikat penciptaan wanita itu adalah daripada tulang rusuk dan ia bukanlah perumpamaan sebagaimana yang dinyatakan oleh sebahagian ulama’ yang lain. Antaranya hujah yang mengatakan bahawa wanita ini diciptakan daripada tulang rusuk ialah, berdasarkan firman Allah SWT:

خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا

Maksudnya: “Dia (Allah) menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya isterinya (Hawa)”. [Al-Zumar : 6]

Al-Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat ini:

“Maksud Allah SWT telah menciptakan kamu daripada diri yang satu ialah Allah SWT menciptakan kamu dalam keadaan berbeza jenis, golongan, lidah (bahasa), warna daripada diri yang satu iaitu Adam AS. Kemudian di jadikan daripadanya Hawa sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang dijadikan daripadanya (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya – (zuriat keturunan) - lelaki dan perempuan yang ramai”. [al-Nisa’ : 1] [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 7:75]

 

  • Kedua: Wanita diciptakan daripada tulang rusuk adalah sekadar perumpamaan dan ia bukannya menunjukkan akan hakikat penciptaan wanita. Ini merupakan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar dan Imam al-Qurthubi ketika mensyarahkan hadis ini. Selain kebanyakan ulama’ kontemporari juga memilih pendapat ini. Antaranya ialah Syeikh Syuaib al-Arna’outh, beliau berkata:

“Apa yang dimaksudkan di sini (iaitu hadis bahawa wanita diciptakan daripada tulang rusuk) adalah sekadar perumpamaan dan ini jelas dinyatakan di dalam riwayat yang lain iaitu “إنَّ المرأةَ كالضِّلَعِ، (Sesungguhnya wanita itu seperti tulang rusuk)”. Begitu juga, ia tidak bermaksud bahawa wanita ini diciptkan daripada tulang rusuk Adam sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian manusia dan dakwaan tersebut tidak ada dinyatakan di dalam sunnah (hadis) yang sahih”.

 

Tarjih

Berdasarkan apa yang telah dinyatakan dan dibahaskan oleh para ulama’, kami lebih cenderung kepada pendapat yang kedua yang menyatakan bahawa maksud hadis tersebut adalah sekadar perumpamaan dan bukannya wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Ini kerana, tidak dinafikan bahawa perwatakan wanita itu amat berbeza dengan lelaki sehingga diumpamakan mereka ini seperti tulang rusuk. Tambahan pula, di dalam hadis ini juga, Nabi SAW memulakan dengan “Nasihatilah para wanita (dengan baik)” dan di dalam hadis ini juga tidak disebut daripada tulang rusuk Adam. Selain itu, terdapat sebuah hadis yang sahih sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh Syuaib al-Arna’outh iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ المرأةَ كالضِّلَعِ، إذا ذَهبتَ تقيمُها كسرتَها، وإِنْ ترَكتَها استمتعتَ بِها وفيها عِوَجٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya wanita itu diciptakan seperti tulang rusuk, jika kamu ingin meluruskannya nescaya akan patah dan jika kamu membiarkannya maka kamu akan dapat bersenang-senang akan tetapi dia tetap bengkok”. [Riwayat Muslim, kitab Menyusui, bab Wasiat untuk wanita, no. hadis: 2669]

Tambahan pula, berkenaan dengan maksud diri yang satu di dalam surah al-Zumar ialah  ialah jenis yang sama iaitu manusia dan bukannya asal penciptaan wanita itu daripada lelaki, bahkan manusia itu lahir dan tercipta daripada lelaki dan wanita. [Lihat: Tafsir al-Manar, 4:272]

Penutup

Berdasarkan apa yang telah dijelaskan, maka kita (lelaki) dituntut untuk sentiasa berlaku baik, lemah-lembut serta sabar dengan wanita dalam apa jua keadaan. Tambahan pula, wanita ini adalah ciptaan Allah SWT yang istimewa untuk kaum lelaki yang perlu dijaga akan kehormatannya dan memandunya ke arah mentaati Allah SWT dan melaksanakan segala syariat-Nya. Selain itu juga, wanita adalah sebahagian daripada lelaki sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatakan oleh Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Sesungguhnya wanita itu adalah saudara kandung bagi lelaki”. [Riwayat Abu Daud, kitab bersuci, bab Orang yang mendapati seluarnya basah ketika tidur, no. hadis: 204]

 

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi manfaat kepada kita agar kita sentiasa berada di dalam naungan taufiq dan hidayah Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama dan memimpin kita untuk sentiasa berada di atas jalan yang benar serta menganugerahkan kepada kita isteri-isteri yang solehah dan keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat. Amin.

 

Wallahua`lam