Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-34 : Hadith al-Mudallas (المدلس)

Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan Hadith Mudallas ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Setelah kami melakukan penelitian terhadap soalan yang diajukan, hadith Mudallas merupakan salah satu jenis daripada jenis-jenis hadith dan ia termasuk di dalam ilmu Mustholah al-Hadith. Untuk itu kami menjawab soalan berikut seperti berikut:

 

Definisi Hadith Mudallas

Hadith Mudallas atau kata terbitannya al-Tadlis (التدليس) dari sudut bahasa bermaksud sembunyi (الخفاء), manakala dari sudut istilah pula bermaksud:

إِخْفَاءُ عَيْبٍ فِي الإسْنَادِ وتَحْسِيْنٌ لِظَاهِرِهِ

Maksudnya: “Menyembunyikan kecacatan di  dalam al-Isnad (sanad) dan menampakkan zahirnya itu baik”.

Untuk itu, hadith Mudallas ialah perawi menyembunyikan aib atau kecacatan yang terdapat di dalam sanad agar ia kelihatan baik dan tidak bermasalah. “Tadlis” di dalam hadith terbahagi kepada beberapa bahagian:

 

Jenis-jenis “Tadlis”:

 

  • Pertama: Tadlis al-Isnad (sanad) : Tadlis Al-Isnad adalah seorang perawi meriwayatkan suatu hadith yang dia tidak mendengarnya daripada seseorang yang pernah dia temui dengan cara yang disangka bahawa dia telah mendengar daripadanya dengan menggunakan lafaz yang disangka bahawa dia telah mendengar daripadanya.

Contohnya: Diriwayatkan oleh Al-Hakim dengan sanadnya daripada Ali bin Khasyrum dia berkata, “Telah meriwayatkan kepada kami Ibn ‘Uyainah daripada Al-Zuhri: maka dikatakan kepadanya : “Apakah engkau telah mendengarnya daripada Al-Zuhri?”. Dia (Ibn ‘Uyainah) menjawab : “Tidak, dan tidak pula daripada orang yang mendengarnya daripada Al-Zuhri. Aku telah diberitahu oleh ‘Abdurrazzaq daripada Ma’mar dan Ma’mar daripada Al-Zuhri.

Di dalam contoh ini, Ibn ‘Uyainah telah menggugurkan dua orang perawi antara dia dan al-Zuhri iaitu Abdul Razak dan Ma’mar sebagaimana yang diceritakan sendiri oleh beliau.

 

  • Kedua: Tadlis al-Taswiyah (menyamakan): Tadlis al-Taswiyah ialah meriwayatkan sebuah hadith yang ada di dalamnya seorang perawi yang dhaif di antara dua orang perawi yang thiqah, lalu perawi tersebut menggugurkan perawi yang dhaif agar riwayat tersebut diriwayatkan perawi yang thiqah daripada perawi yang thiqah.

Contohnya: Apa yang diriwayatkan oleh al-Walid bin Muslim bahawa “telah meriwayatkan kepada kami al-Awza’iy daripada Nafi’”. Sepatutnya al-Walid mengatakan “telah meriwayatkan kepada kami al-Awza’iy daripada Abdullah bin ‘Amir daripada Nafi’”. Al-Awza’iy dan Nafi’ kedua-duanya adalah thiqah manakala Abdullah bin ‘Amir adalah dhaif. Untuk itu, al-Walid menggugurkan Abdullah bin ‘Amir disebabkan dia seorang perawi yang dhaif. Di samping itu, al-Walid mengetahui bahawa Nafi’ adalah guru kepada al-Awza’iy tetapi al-Awza’iy tidak mendengarnya daripada Nafi’.

Di dalam contoh ini, al-Walid bin Muslim telah menggugurkan Abdullah bin ‘Amir disebabkan beliau seorang perawi yang dhaif agar riwayat tersebut bersih daripada perawi yang dhaif.

 

  • Ketiga: Tadlis al-Syuyukh (guru): Tadlis al-Syuyukh ialah seorang perawi meriwayatkan daripada seorang guru sebuah hadith yang didengar daripadanya kemudian dia memberi nama panggilan, kunniyyah, gelaran atau sifat yang tidak dikenali atau masyhur pada guru tersebut agar dia (guru) tidak dikenali (ketahui).

Contohnya: Apa yang dilakukan oleh Abu Bakar bin Mujahid, beliau merupakan salah seorang daripada imam ahli qira’at. “Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Abi Abdillah” yang dimaksud dengan Abdullah bin Abi Abdillah ialah Abu Bakar Abdullah bin Abi Daud al-Sijistani.

Di dalam contoh ini, Abu Bakar bin Mujahid telah menggunakan kunniyyah yang tidak masyhur bagi gurunya iaitu Abu Bakar Abdullah bin Abi Daud al-Sijistani agar tidak diketahui disebabkan gurunya itu seorang yang dhaif.

 

Hukum riwayat Mudallis (المدلس)

Al-Hafiz Ibn Hajar: Hukum perawi yang melakukan tadlis walaupun perawi tersebut seorang yang adil, tidak diterima hadith mereka melainkan apabila jelas perawi tersebut mendengar hadith tersebut. [Lihat: Nuzhah al-Nazhor, 93]

Selain itu, terdapat juga sebahagian ulama’ yang memperincikan berkaitan hukum riwayat Mudallas berdasarkan jenis-jenis tadlis yang dilakukan.

 

  • Tadlis al-Isnad: Tidak diterima riwayatnya melainkan dia seorang yang thiqah (dipercayai) dan dalam masa yang jelas bahawa dia mendengar hadith tersebut (menggunakan lafaz yang jelas seperti “سمعت”.
  • Tadlis al-Taswiyah: Perawi yang melakukan tadlis al-Taswiyah ini adalah dhaif maka ditolak kesemuanya.
  • Tadlis al-Syuyukh: Terdapat dua hal keadaan dalam tadlis al-Syuyukh ini:
  • Pertama: Jika syeikh (guru) itu boleh dikenali dan dia seorang yang adil dan thiqah maka diterima riwayat atau hadithnya. Jika sebaliknya, maka ditolak riwayatnya.
  • Kedua: Jika syeikh (guru) itu seorang yang tidak boleh dikenali maka riwayatnya

 

Tarjih

Hukum riwayat Mudallas ialah apabila perawi tersebut meriwayatkan hadith dengan lafaz yang “muhtamal” (tidak jelas bahawa dia mendengar hadith tersebut) seperti “أن”, “عن” atau “قال” maka ia perlu dilihat dengan terperinci terhadap sanad tersebut walaupun terdapat sebahagian ulama’ yang menolak riwayat Mudallas secara mutlak. Jika telah dipastikan bahawa dia telah mendengar hadith tersebut dan tidak berlaku kecacatan yang boleh menjejaskan pendengaran tersebut maka riwayatnya diterima. Tambahan pula, jika ia diriwayatkan dengan lafaz yang jelas seperti “حدثنا” atau “سمعت” yang menunjukkan bahawa berlaku pendengaran hadith tersebut maka riwayatnya diterima dan dijadikan hujjah.

 

Kesimpulan

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam ilmu Mustholah Hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita amal dan sampaikan kepada orang lain.

 

Wallahua`lam.