Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-221: ABDULLAH BIN AL-SYIKHIR

Soalan: Siapakah Abdullah bin al-Syikhir?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan berkaitan seorang lagi peribadi yang bernama Abdullah bin al-Syikhir. Di sini kami nyatakan beberapa rujukan daripada karya-karya para ulama’ terdahulu yang menceritakan berkaitan peribadi ini. Antaranya:

 

  • Kata Imam Ibn Abd al-Bar al-Qurthubi (463 W):

 

“Abdullah bin al-Syikhir bin ‘Auf bin Ka’ab bin Waqdan al-Harashiy al-‘Amiriy daripada al-Harish. Mereka adalah daripada Bani ‘Amir bin So’so’ah. Beliau bersahabat dengan Nabi SAW dan juga mempunyai riwayat (meriwayatkan hadith daripada Nabi SAW). Selain itu, beliau dikira sebagai ahli Basrah dan beliau merupakan ayah kepada Mutharrif yang alim dalam fiqh dan juga adiknya Yazid Abi al-Ala’.” [Lihat: al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Ashab, 926/3]

 

  • Kata Imam Ibn Athir (630 W):

 

“Abdullah bin al-Syikhir bin ‘Auf bin Ka’ab bin Waqdan al-Harish yang mana namanya ialah Muawiyah bin Ka’ab bin Rabi’ah bin ‘Amir bin So’so’ah al-‘Amiriy al-Ka’biy daripada bani al-Harish iaitu berasal bani ‘Amir bin So’so’ah. Beliau merupakan sahabat dan tinggal di Basrah.” [Lihat: Usd al-Ghabah, 170/3]

 

  • Kata Imam al-Nawawi (676 W):

 

“Abdullah bin al-Syikhir merupakan sahabat Nabi SAW. Nama beliau ialah Abdullah bin al-Syikhir bin ‘Auf bin Ka’ab bin Waqdan al-Harish iaitu Muawiyah bin Ka’ab bin Rabi’ah bin ‘Amir bin So’so’ah al-‘Amiriy al-Ka’biy al-Harashiy al-Basri. Beliau adalah ayah kepada Mutharrif dan Yazid. Imam Muslim mengambil riwayatnya daripada Nabi SAW dan meletakkan di dalam kitab Sahihnya dua buah hadith iaitu yang diriwayatkan oleh anaknya daripadanya.” [Lihat: Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 272/1]

 

  • Kata Imam al-Mizzi (742 W):

 

“Abdullah bin al-Syikhir bin ‘Auf bin Ka’ab bin Waqdan al-Harish iaitu Muawiyah bin Ka’ab bin Rabi’ah bin ‘Amir bin So’so’ah al-Harashiy al-‘Amiriy. Ayah kepada Mutharrif bin  Abdullah bin al-Syikhir, Yazid bin Abdullah bin al-Syikhir dan Hani’ Abdullah bin al-Syikhir dan beliau merupakan sahabat (Nabi SAW). Beliau meriwayatkan hadith daripada Nabi SAW dan antara yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah anak-anaknya Mutharrif bin  Abdullah bin al-Syikhir, Yazid bin Abdullah bin al-Syikhir dan Hani’ Abdullah bin al-Syikhir. Selain itu, beliau merupakan ahli Basrah dan ramai yang mengambil riwayatnya melainkan Imam al-Bukhari.”  [Lihat: Tahzib al-Kamal, 81/15]

 

  • Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852 W):

 

“Abdullah bin al-Syikhir bin ‘Auf bin Ka’ab bin Waqdan bin al-Harish bin Ka’ab bin Rabi’ah bin ‘Amir al-‘Amiriy al-Harashiy.” [Lihat: al-Isobah fi Tamyiz al-Sohabah, 110/14]

 

“Abdullah bin al-Syikhir bin ‘Auf bin Ka’ab bin Waqdan al-Harish al-Harashiy al-‘Amiriy. Beliau bersahabat dengan Nabi SAW dan juga meriwayatkan hadith daripada Nabi SAW. Antara yang meriwayatkan hadith daripadanya adalah anaknya Mutharrif, Hani’ dan Yazid. Beliau merupakan ahli Basrah. Aku katakana bahawa Ibn Sa’ad telah meletaknya di dalam tabaqah (kumpulan) orang yang masuk Islam ketika pembukaan (kota Makkah). Telah berkata Ibn Mandah bahawa beliau merupakan utusan daripada bani ‘Amir.” [Lihat: Tahzib al-Tahzib, 251/5]

 

Riwayat Abdullah bin Syikhir

Antara riwayat Abdullah bin Syikhir di dalam Sahih Muslim adalah:

 

  • Daripada Abdullah bin Syikhir berkata:

 

صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَرَأَيْتُهُ تَنَخَّعَ فَدَلَكَهَا بِنَعْلِهِ

Maksudnya: “Aku telah solat bersama Rasulullah SAW lalu aku telah melihatnya meludah lalu menyapu dengan selipar Baginda SAW.” [Riwayat Muslim (554)]

 

Penutup

Kesimpulannya, Abdullah bin Syikhir merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW dan sahabat Nabi SAW kesemuanya bersifat dengan ‘udul atau adil. Kita dilarang sama sekali menghina sahabat-sahabat Nabi SAW kerana Nabi SAW menegah kita daripada melakukan hal sedemikian. Ini berdasarkan sebuah hadith:

 

  • Daripada Abi Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لاَ تَسُبُّوا أَصْحَابِي، فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ، ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ، وَلاَ نَصِيفَهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu mencela sahabatku, jika salah seorang daripada kamu menginfaqkan emas seperti bukit Uhud, tidak sesekali menyamai satu mud salah seorang daripada mereka dan tidak pula setengah daripadanya.” [Riwayat al-Bukhari (3673)]

 

Tambahan pula, mereka ini berada di dalam kurun-kurun yang terbaik. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.

 

Wallahua’lam