Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-234: LANGSIR MENARIK REZEKI DAN MENOLAK BALA

Soalan: Apakah benar dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa meletakkan tabir atau langsir di hadapan pintu rumah adalah sunnah Nabi SAW dan ia boleh menarik rezeki dan mengelakkan fitnah-fitnah jahat?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, setakat pencarian yang kami lakukan berkaitan isu ini, kami tidak mendapati atau menemui sebarang nas atau dalil daripada al-Qur’an ataupun hadith Nabi SAW yang menunjukkan bahawa dengan meletakkan langsir di hadapan pintu rumah dapat menarik rezeki dan juga boleh mengelakkan daripada terkena fitnah-fitnah jahat.

 

Oleh itu, suka bagi kami untuk mengingatkan diri kami dan sidang pembaca sekalian akan sebuah hadith yang melarang kita untuk menyandarkan sesuatu perkara atau mereka-reka sesuatu perkara dalam urusan agama.

 

  • Daripada Aisyah R.anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ، فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ianya tertolak.” [Riwayat al-Bukhari (2697) dan Muslim (1718)]

 

Hadith ini merupakan salah satu daripada asas yang penting di dalam Islam. Hadith ini merupakan neraca kepada amalan zahir, di mana semua pekerjaan yang bukan daripada suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya, maka ia adalah ditolak. Untuk itu, setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu perkara yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya di dalam urusan beragama, maka ia bukanlah daripada agama ini.

 

Kesimpulannya, menggunakan tabir atau langsir di pintu tidaklah menjadi masalah bahkan ia adalah digalakkan dengan tujuan agar orang di luar tidak boleh melihat apa yang ada di dalam rumah. Tambahan pula, terdapat hadith yang sahih berkaitan larangan Nabi SAW terhadap orang yang cuba mengintai ke dalam rumah serta hukuman yang berat bagi sesiapa yang cuba untuk mengintai ke dalam rumah orang lain tanpa izin. Akhirnya, setiap amalan yang melibatkan urusan agama perlulah didasarkan dengan dalil-dalil samada daripada al-Qur’an mahupun hadith Nabi SAW. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan untuk terus menggali dan mengamalkan sunnah-sunnah Nabi SAW di dalam kehidupan seharian. Amin.

 

Wallahua’lam