Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-312: KEHEBATAN SYEIKH JAMALUDDIN AL-QASIMI

QASIMI.JPG

Soalan

Assalamualikum SS Mufti, boleh jelaskan kepada kami kehidupan Syeikh Jamaluddin al-Qasimi dan  kehebatannya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Al-Allamah al-Muhaddis Syria, Syeikh Muhammad Jamaluddin bin Muhammad Said bin Qasim bin Soleh bin Ismail bin Abu Bakar yang lebih dikenal dengan al-Qasimi. Dilahirkan pada tahun 1283 H / 1866 M.

Pembelajarannya bermula dengan didikan ayahnya sehingga memperoleh prinsip-prinsip dasar ilmu agama dan hukum. Ayahnya adalah seorang faqih dan juga ahli dalam bidang sastera. Dia juga sempat mempelajari ilmu lainnya daripada ulama pada zamannya, antara yang terkemuka ialah Syeikh al-Bakri al-Atthar dan Syeikh Abd al-Raziq al-Baithar.

Beliau ialah ulama' hadis besar dari bumi Syria sebelum era Syeikh Ahmad Syakir dan Syeikh Bahjat al-Baithar.

Ustaz ‘Asim Baitar berkata: “Syeikh al-Qasimi mula mengajar dalam usia 14 tahun dan tidak pernah memberhentikannya sehinggalah beliau meninggal dunia. Pelajarnya amat ramai dalam majlis ilmu yang disusun atur sama ada di masjid atau rumah, di waktu malam atau siang. Pada masa yang sama, beliau menulis dan berkarya.

Beliau mengambil manfaat setiap minit daripada waktunya. Beliau pernah merasa sesal seketika apabila berhenti di hadapan kedai kopi yang dipenuhi oleh orang ramai dalam keadaan membazirkan masa dengan perkara yang lagha. Beliau berkata: “Alangkah ruginya dan aku bercita-cita kalau waktu boleh dijual, nescaya aku beli semua waktu mereka.”

Syeikh Jamaluddin al-Qasimi memulakan kehidupan ilmiahnya sebagai pengajar di masa hidup ayahnya, setelah ayahnya wafat dia menggantikan kedudukannya di Masjid Sananin Damsyiq. Beliau mengembangkan semangatnya dalam keilmuan, dalam menyusun, mensyarah, mengkritik dan reformasi sehingga karangannya berkembang dan karyanya yang banyak hingga jumlahnya tidak kurang dari 80 buah, baik yang telah dicetak mahupun   yang masih dalam bentuk manuskrip (makhtuthat).

Ustaz ‘Asim Baitar berkata: “Syeikh al-Qasimi telah meninggalkan karyanya melebihi 100 buah.”

Syeikh al-Qasimi pernah berkata: “Allah cintakan aku sejak dari kecil lagi untuk membaca, mentelaah, menulis kitab dan risalah.” Beliau juga berkata: “Allah hilangkan daripadaku sifat suka membuang masa tanpa perkara yang berfaedah dan menganggur sebaliknya aku mentelaah banyak kitab sastera dan sejarah yang tak terhitung.”

Beliau juga pernah berkata dalam mukadimah kitab al-Fadhlu al-Mubin (hal. 53): “Alhamdulillah, aku dikurniakan untuk menamatkan bacaan:

  • Sahih Muslim dengan sempurnanya dalam masa 40 hari
  • Sunan Ibn Majah dalam masa 21 hari
  • Muwatta’ Imam Malik dalam masa 19 hari
  • Taqrib al-Tahzib berserta dengan tashihnya dalam masa 10 hari

Oleh itu, sewajarnya kita meninggalkan perasaan malas dan jemu, tetapi gunakanlah dengan penuh tamak masa yang ada untuk mempelajari ilmu dan beramal.

Syeikh al-Muhaddis Ahmad Syakir adalah salah seorang muridnya. Dia pernah memuji gurunya itu, “Ketika kami menginjak dewasa, kami sangat ingin berhias dengan ilmu yang benar, iaitu ilmu al-Quran dan al-Sunnah. Kami sangat gemar dengan kitab-kitab para salafus soleh serta kitab-kitab yang sesuai dengan manhaj mereka dan orang-orang yang datang setelah mereka yang berpegang teguh dengan petunjuk kenabian dan mereka mengikuti dalil yang sahih tanpa disertai taksub terhadap suatu pendapat dan hawa nafsu. Serta tidak pula hanya taqlid buta. Guru kami al-Qasimi Rahimahullah ialah orang yang pertama yang berjalan dengan manhaj yang lurus ini…” (Lihat pengantar kitab al-Mashu ’ala al-Jaurabain karya al-Qasimi).

Syeikh Jamaluddin al-Qasimi meninggal dunia pada tahun 1332 Hijrah/1914 M dalam usia hanya 49 tahun. Tetapi beliau dengan masa yang ada telah mewakafkan hampir seluruh waktunya dengan semangat yang amat tinggi sehingga mampu mengkaryakan lebih daripada 100 buah karya. Antara karyanya yang terkenal ialah:

  • Mau'izah al-Mukminin min Ihya 'Ulumuddin,
  • Tafsir Mahasin an-Takwil,
  • Hayat al-Bukhari
  • Faslu al-Karim fii Haqiqat ‘audi Ruh ilal Mayyiti hina al-Kalam
  • Dalail at-Tauhid
  • Qawaid al-Tahdis fi Funun Mustalah al-Hadis dan lain-lain.

Semoga Allah SWT merahmati Syeikh al-Qasimi . Amin