Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-330: NIAT DAN AMALAN ORANG MUKMIN

ih330.png

 

 

Soalan: Benarkah niat orang mukmin lebih baik berbanding amalannya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat seperti solat, haji, puasa dan lain-lain lagi. Ini kerana, ibadat-ibadat tersebut tidak akan dikira sah melainkan apabila dilakukan atau disertakan dengan niat:

  • Daripada Umar bin al-Khattab RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: ““Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang akan mengikut apa yang diniatkan.” [Riwayat Muslim (1907)]

 

Selain itu juga, Allah SWT mengajar kita semua agar setiap ibadah atau perkara yang dilakukan perlulah diniatkan kerana Allah SWT. Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

 

  • Firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Al-An’am:162

Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”

 

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat sebuah hadith yang menceritakan berkaitan niat seorang mukmin itu lebih baik berbanding amalannya. Hadith tersebut adalah:

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW:

نِيَّةُ الْمُؤْمِنِ خَيْرٌ مِنْ عَمَلِهِ

Maksudnya: “Niat seorang mukmin lebih baik berbanding amalannya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (5942)]

 

Sebelum kami nyatakan akan status hadith di atas, maka di sini kami akan datangkan terlebih dahulu beberapa pandangan ulama dalam menilai hadith ini, antaranya:

  • Imam al-Baihaqi (458 H) menyatakan sanad hadith ini adalah dhaif tetapi daripada jalur Anas bin Malik RA dan matan yang sedikit berbeza tetapi maknanya sama iaitu:

نِيَّةُ الْمُؤْمِنِ أَبْلَغُ مِنْ عَمَلِهِ

Maksudnya: “Niat seorang mukmin lebih baik berbanding amalannya.” [Lihat: Syu’ab al-Iman, 175/9]

 

  • Imam al-Sakhawi (902 H) menyatakan bahawa hadith ini adalah dhaif pada asalnya tetapi ia kuat apabila dihimpunkan dengan jalur-jalurnya yang lain (antara jalurnya daripada Sahl bin Sa’ad dan al-Nawwas bin Sam’an). [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 702]
  • Imam al-Suyuthi (911 H) menilai bahawa hadith ini adalah hadith yang dhaif. [Lihat: al-Durar al-Muntathirah, 197/1]
  • Imam al-Syaukani (1250 H) mengatakan bahawa hadith ini mempunyai syawahid (sokongan daripada jalur yang lain). [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 250]
  • Syeikh Muhammad Darwish al-Hut (1277 H) menyatakan bahawa hadith ini adalah dhaif sepertimana yang dikatakan oleh al-‘Iraqi. [Lihat: Asna al-Mathalib, 308]

Setelah kami melihat dan menekuni beberapa pendapat para ulama seperti di atas, maka kami nyatakan bahawa hadith ini adalah dhaif bukannya palsu kerana hadith ini mempunyai syawahid atau sokongan daripada hadith atau jalur yang lain sepertimana yang kami jelaskan di atas. Selain itu, al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani (852 H) juga menilai hadith ini adalah dhaif sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab beliau Fath al-Bari dalam mensyarahkan hadith-hadith di dalam Sahih al-Bukhari. [Lihat: Fath al-Bari, 219/4]

 

Makna Hadith Mengikut Imam al-Baihaqi

Maksud niat lebih baik berbanding amalan adalah kerana niat tidak akan dimasuki kerosakan, manakala amalan pula boleh dimasuki oleh kerosakan. Adapun yang dimaksudkan dengan kerosakan itu adalah seperti riya’. Perkara ini boleh dilihat daripada kata-kata Abu Sahl dan dikatakan juga bahawa niat tanpa amal boleh menjadi ketaatan. Ini berdasarkan sebuah hadith, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا، كُتِبَتْ لَهُ حَسَنَةً

Maksudnya: “Barangsiapa yang berazam untuk lakukan kebaikan tetapi dia tidak sempat melakukannya. Maka akan ditulis baginya satu kebaikan.” [Riwayat Muslim (206)] Untuk itu, mereka mengatakan bahawa amalan yang dilakukan tanpa niat tidaklah menjadi satu ketaatan. [Lihat: Syu’ab al-Iman, 176/9]

 

Penutup

Kesimpulannya, kami nyatakan sekali lagi bahawa hadith ini adalah dhaif dan niat merupakan salah satu rukun yang penting. Fungsinya adalah untuk membezakan di antara adat dan juga ibadat. Justeru itu, kami akhiri artikel pada kali ini dengan kata-kata daripada Imam al-Ghazali:

“Niat yang lurus dan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah Rabb al-Alamin lebih tinggi martabat dan kedudukannya daripada pekerjaan yang semata-mata hanya berdasarkan pada niat untuk memperoleh keduniaan. Niat lurus dan hati ikhlas itulah yang membuat amal seseorang itu diterima oleh Allah SWT. Sedangkan niat buruk lambat-laun nescaya akan menghilangkan rasa taat kepada Allah dan akhirnya akan mengubah menjadi kesukaan kepada berbuat maksiat. Daripada perbuatan maksiat, orang itu tidak akan memperolehi apapun melainkan kekecewaan dan kerugian. Untuk itu, keikhlasan merupakan kemuncak dalam penerimaan amalan walau apa jua sekalipun bidang yang diceburi kerana ia akan menentukan dan menjadi neraca sama ada diterima atau tidak di sisi Allah SWT.”

Akhirnya, semoga Allah SWT menerima segala amalan kita serta menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa ikhlas dalam melakukan setiap amalan. Amin.

 

Wallahua'lam


Print   Email
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+