IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-539: SESIAPA YANG MENYEBUT MADINAH DENGAN NAMA YATHRIB, DIA PERLU ISTIGHFAR

ih539

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya mahu pencerahan berkenaan hadis ini. Ada saya pernah baca yang Nabi sebut ‘sesiapa yang sebut Madinah dengan nama Yathrib, hendaklah dia beristighfar’. Apakah status hadis ini ustaz? Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis. Antaranya Imam Ahmad (m. 241 H) di dalam al-Musnad, Abu Ya’la(m.307 H) di dalam al-Musnad, Ibn Adiy(m.365 H) di dalam al-Kamil fi Dhu’afa al-Rijal, Ibn Syabah (m.262 H) di dalam Tarikh al-Madinah. Kesemuanya melalui jalan periwayatan Yazid Bin Abi Ziyad daripada Abdurrahman bin Abi Laila dariada al-Bara bin ‘Azib. Ia juga diriwayatkan secara mursal melalui jalan periwayatan yang sama. Riwayat secara mursal ini dinukilkan oleh Abdurrazzaq al-San’ani (m.211 H) dalam al-Musannaf dan juga Ibn Syabah di dalam kitab yang sama.

Sanad hadis yang disebutkan adalah hadis yang lemah. Perkara ini disebabkan oleh perawi yang bernama Yazid bin Abi Ziyad yang menjadi paksi (madar) hadis ini. Beliau adalah perawi yang saduq (benar) akan tetapi hafalan beliau diragui dan dikritik oleh para ulama hadis. Tambahan lagi, berlaku perubahan pada hafalan beliau pada akhir umurnya. Antara buktinya beliau meriwayatkan hadis ini dengan dua periwayatan yang berbeza, pertama beliau meriwayatkan hadis ini secara musnad. Dalam riwayat lain beliau meriwayatkan secara mursal.

Walaupun sanadnya lemah, dari sudut makna, ia mempunyai makna yang sahih dengan sokongan daripada riwayat hadis lain yang lebih sahih. Para ulama menjelaskan bahawa penamaan Madinah sebagai Yathrib adalah perkara yang tidak elok kerana perkataan Yathrib membawa makna keburukan, celaan dan hinaan. Ianya tidak disukai oleh Nabi SAW. Berdasarkan hadis yang sahih terdapat larangan menggelar Madinah dengan Yathrib dari Baginda SAW dan larangan ini menunjukkan perkara yang haram dilakukan  menurut para ulama. Antara yang lain, hadis riwayat Imam Muslim menjelaskan bahawa Allah menamakan Madinah sebagai Tabah yang membawa makna elok, makmur dan bersih dari kesyirikan. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang benar. Wallahu’alam.

Huraian jawapan :

Matan asal hadis tersebut adalah seperti berikut

‌مَنْ ‌سَمَّى ‌الْمَدِينَةَ ‌يَثْرِبَ ‌فَلْيَسْتَغْفِرِ ‌اللهَ عَزَّ وَجَلَّ، هِيَ طَابَةُ هِيَ طَابَةُ

Maksudnya : “Sesiapa yang menamakan Madinah dengan (nama) Yathrib, maka dia hendaklah memohon keampunan Allah SWT. Ia adalah Tobah. Ia adalah Tobah (nama lain bagi Madinah Munawwarah).”

Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis. Antaranya Imam Ahmad (m. 241 H) dalam al-Musnad[1]. Beliau menukilkan sanad seperti berikut :

حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ مَهْدِيٍّ قَالَ: حَدَّثَنَا صَالِحُ بْنُ عُمَرَ عَنْ يَزِيدَ بْنِ أَبِي زِيَادٍ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى عَنِ الْبَرَاءِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“ Ibrahim bin Mahdi telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Saleh bin Umar telah menceritakan kepada kami, bahawa beliau meriwayatkan daripada Yazid bin Abi Zziyad daripada Abdurrahman bin Abi Laila daripada al-Bara bin ‘Azib, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda…”

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Abu Ya’la (m. 307 H) dalam kitab beliau, al-Musnad[2]. Beliau menukilkan sanad seperti berikut :

حدّثنا أحمد بن إبراهيم الموصلى حدّثنا أبو على صالح بن عمر عن يزيد بن أبى زيادٍ عن عبد الرحمن بن أبى ليلى عن البراء بن عازبٍ قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم

“Ahmad bin Ibrahim al-Musili telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Abu Ali Saleh bin Umar telah menceritakan kepada kami, bahawa beliau meriwayatkan daripada Yazid bin Abi Ziyad daripada Abdurrahman bin Abi Laila daripada al-Bara bin ‘Azib, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda…”

Ibn ‘Adiy (m.365 H) juga turut meriwayatkan hadis ini melalui jalan periwayatan Yazid bin Abi Ziyad daripada Abdurrahman bin Abi Laila daripada al-Bara bin ‘Azib di dalam kitab al-Kamil fi al-Dhu’afa[3]. Selain daripada itu, Ibn Syabah (m.262 H) turut menukilkan hadis ini dalam kitab Tarikh al-Madinah[4] dengan matan yang hampir sama.

Dalam riwayat yang lain, hadis ini juga diriwayatkan secara mursal (tiada perantaraan sahabat) melalui jalan periwayatan Yazid bin Abi Ziyad daripada Abdurrahman bin Abi Laila daripada Nabi SAW. Riwayat secara mursal ini dinukilkan dalam beberapa kitab hadis. Antaranya Abdurrazzaq al-San’ani (m.211 H) dalam al-Musannaf[5]. Beliau menukilkan sanad dan matan seperti berikut :

عَنِ ابْنِ جُرَيْجٍ قَالَ: حُدِّثْتُ عَنْ يَزِيدَ بْنِ أَبِي زِيَادٍ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ قَالَ لِلْمَدِينَةِ يَثْرِبُ فَلْيَقُلْ: أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ ثَلَاثًا هِيَ طِيبَةٌ هِيَ طِيبَةٌ هِيَ طِيبَةٌ

“Diriwayatkan daripada Ibn Juraij, beliau berkata : Saya diceritakan daripada Yazid bin Abi Ziyad daripada Abdurrahman bin Abi Laila bahawa Nabi SAW bersabda : Sesiapa yang menyebut Madinah dengan nama Yathrib, maka sebutlah : Saya memohon keampunan kepada Allah (istighfar) sebanyak tiga kali. Ia dalah Tibah, ia adalah Tibah.”

Riwayat secara mursal ini juga turut dinukilkan oleh Ibn Syabah[6] dengan jalan periwayatan yang sama. Beliau menukilkan matan seperti berikut :

مَنْ قَالَ لِلْمَدِينَةِ يَثْرِبَ فَلْيَقُلْ: أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ ثَلَاثًا هِيَ طَابَةُ هِيَ طَابَةُ هِيَ طَابَةُ

“Sesiapa yang menyebut Madinah dengan nama Yathrib, maka sebutlah istighfar sebanyak tiga kali. Ia adalah Tabah, ia adalah Tabah.”

Jika diteliti, kesemua riwayat ini bertemu pada Yazid bin Abi Ziyad al-Qurasyi al-Kufi. Beliau dikritik oleh para ulama hadis khususnya sudut hafalan beliau. Ini kerana pada akhir umur beliau, berlaku perubahan pada hafalan beliau. Imam al-Nasaie menyebut bahawa beliau tidak kuat hafalan[7].

Imam Ahmad menyebut bahawa bukan dari kalangan al-Hafiz[8]. Abu al-Hasan al-‘Ijli (m.261 H) menjelaskan berkenaan hafalan dan apa yang berlaku kepada hafalan beliau, beliau menyatakan :

جائز الحديث وكان بآخره يلقن

“ Hadis beliau boleh diriwayatkan. Pada akhir umurnya berlaku perubahan (pada hafalan beliau).”[9]

Di antara bukti beliau berlaku perubahan pada hafalan beliau adalah riwayat hadis ini. Dalam satu riwayat beliau meriwayatkan hadis ini dengan menyebut perantaraan antara Abdurrahman bin Abi Laila dengan Nabi SAW, iaitu al-Bara bin ‘Azib. Dalam riwayat yang lain, beliau meriwayatkan secara mursal iaitu menggugurkan al-Bara bin ‘Azib yang menjadi perantaraan. Perkara ini menunjukan beliau tidak konsisten dalam periwayatan yang menjadi tanda masalah dalam hafalan beliau.

Justeru, sanad hadis ini lemah disebabkan Yazid bin Abi Ziyad. Walaupun sanadnya, dari sudut makna, ia mempunyai makna yang sahih dengan sokongan daripada riwayat hadis lain yang lebih sahih sanadnya. Jabir bin Samurah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

‌إِنَّ ‌اللهَ ‌تَعَالَى ‌سَمَّى ‌الْمَدِينَةَ ‌طَابَةَ

“Sesungguhnya Allah SWT menamakan Madinah dengan nama Tabah”[10]

Hadis ini menjelaskan bahawa penamaan Madinah sebagai Tabah adalah sesuatu yang baik. Perkara ini kerana Tabah bermaksud bau yang baik dan elok. Bahkan Imam al-Nawawi (m.676 H) menjelaskan, Allah menamakan Madinah dengan nama Tabah adalah kerana Madinah bersih dari kesyirikan dan kemakmuran yang terdapat di dalamnya[11].

Di sana terdapat juga larangan secara jelas untuk menyebut Madinah sebagai Yathrib. Abu Ayub al-Ansari meriwayatkan :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌نَهَى ‌أَنْ ‌يُقَالَ ‌لِلْمَدِينَةِ ‌يَثْرِبَ

Maksudnya : “Rasulullah SAW melarang agar tidak menyebut Madinah sebagai Yathrib.”[12]

Hadis ini di atas jelas menyebutkan larangan menyebut Madinah sebagai Yathrib. Hal ini kerana Yathrib pada dasarnya mengandungi makna yang buruk. Ia merupakan perkataan yang berasal dari perkataan ثَرَبَ yang bermaksud memalukan, buruk dan hina[13]. Ibn Hajar al-‘Asqalani (m. 851) menjelaskan hikmah di sebalik larangan menamakan Madinah sebagai Yathrib dengan menukilan pandangan Isa bi Dinar, salah seorang ulama bermazhab Maliki. Beliau menjelaskan sesiapa yang menyebut Madinah sebagai Yathrib, maka dia akan mendapat dosa ini kerana perkataan Yathrib itu sendiri membawa makna menghina dan mencela. Ia juga membawa makna keburukan. Penamaan sebegitu rupa tidak dibenarkan kerana Nabi SAW suka kepada nama-nama yang elok dan baik. Baginda tidak gemar kepada nama-nama yang buruk.[14]

Kesimpulannya, sanad hadis yang disebutkan adalah hadis yang lemah. Perkara ini disebabkan oleh perawi yang bernama Yazid bin Abi Ziyad. Beliau adalah perawi yang saduq (benar) akan tetapi hafalan beliau diragui dan dikritik oleh para ulama hadis. Tambahan lagi, berlaku perubahan pada hafalan beliau pada akhir umurnya. Antara buktinya beliau meriwayatkan hadis ini dengan dua periwayatan yang berbeza, pertama beliau meriwayatkan hadis ini secara musnad. Dalam riwayat lain beliau meriwayatkan secara mursal.

Walaupun sanadnya lemah, dari sudut makna, ia mempunyai makna yang sahih dengan sokongan daripada riwayat hadis lain yang lebih sahih. Para ulama menjelaskan bahawa penamaan Madinah sebagai Yathrib adalah perkara yang tidak elok kerana perkataan Yathrib membawa makna keburukan, celaan dan hinaan. Ianya tidak disukai oleh Nabi SAW.  Berdasarkan hadis yang sahih terdapat juga larangan menggelar Madinah dengan Yathrib dari Baginda SAW dan larangan ini menunjukkan perkara yang haram dilakukan  menurut para ulama. Antara yang lain, hadis riwayat Imam Muslim menjelaskan bahawa Allah menamakan Madinah sebagai Tabah yang membawa makna elok, makmur dan bersih dari kesyirikan.

NOTA HUJUNG:

[1] Abu Abdullah, Ahmad bin Hanbal, al-Musnad (2001), Muassasah al-Risalah, Beirut, j.30 h.483 no. 18519.

[2] Abu Ya’la al-Musili, Ahmad bin ‘Ali, Musnad Abi Ya’la (2013), Dar al-Hadith, Kaherah, j.3 h.203 no. 1688.

[3] Abu Ahmad bin ‘Adiy, Abdullah bin ‘Adiy, al-Kamil fi Dhu’afa al-Rijal (1997), Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, j.9 h.165.

[4] Ibn Syabah, Zaid bin Ubaidah, Tarikh al-Madinah (1978), Jeddah, j.1 h.165. Dalam matan yang dinukilkan ada beberapa tambahan iaitu : مَنْ قَالَ لِلْمَدِينَةِ يَثْرِبَ فَلْيَسْتَغْفِرِ اللَّهَ هِيَ طَابَةُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

[5] Al-San’ani, Abdurrazzaq bin Hammam, al-Musanaf (1983), al-Maktab al-Islami, Beirut, j.9 h.267 no. 17617.

[6] Ibid.,  j.1 h.164.

[7] Abu Abdurrahman al-Nasaie, Ahmad bin Syu’aib, al-Dhu’afa wa al-Matrukin (1976), Dar al-Wa’i, Aleppo, h.111. Beliau menyebut : ‌يزِيد ‌بن ‌أبي ‌زِيَاد كُوفِي لَيْسَ بِالْقَوِيّ

[8] Ibn Abi Hatim, Abdurrahman bin Muhammad, al-Jarh wa al-Ta’dil (1952), Dairah al-Ma’arif al-Uthmaniyah, India,j.9 h.265.

[9] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Ahmad bin Ali, Taqrib al-Tahzib (1995), Muassasah al-Risalah, Beirut, j.4 h.413.

[10] Abu al-Husain, Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim (t.t), Dar Ihya al-Turath al-‘Arabiy, Beirut, j.2 h.1007, no.1385.

[11] Abu Zakariya al-Nawawi, Yahya bin Syarf, al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim (1972), Dar Ihya al-Turath al-‘Arabiy, Beirut, j.9 h.155.

[12] Ibid., j.1 h.165

[13] Ibn Manzur, Muhammad bin Mukarram, Lisan al-Arab (1994), Dar Sadir, Beirut, j. h.235.

[14] Ibn Hajar al-Asqalani, Ahmad bin Ali, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (1959), Dar al-Ma’rifah, Beirut, j.4 h.87. Beliau menyebut : وَلِهَذَا قَالَ عِيسَى بْنُ دِينَارٍ مِنَ الْمَالِكِيَّةِ مَنْ سَمَّى الْمَدِينَةَ يَثْرِبَ كُتِبَتْ عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ قَالَ وَسَبَبُ هَذِهِ الْكَرَاهَةِ لِأَنَّ يَثْرِبَ إِمَّا مِنَ التَّثْرِيبِ الَّذِي هُوَ التَّوْبِيخُ وَالْمَلَامَةُ أَوْ مِنَ الثَّرْبِ وَهُوَ الْفَسَادُ وَكِلَاهُمَا مُسْتَقْبَحٌ وَكَانَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ الِاسْمَ الْحَسَنَ وَيَكْرَهُ الِاسْمَ الْقَبِيحَ


Print   Email