Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-544 : HADIS BERPAGI-PAGILAH DENGAN SEDEKAH

IH544

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t. Ustaz, saya ada satu soalan. Maaf ganggu ustaz. Adakah ustaz pernah dengar tentang hadis Nabi ‘berpagi-pagilah dengan bersedekah’. Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani (m.360 H) di dalam al-Mu’jam al-Wasit.Ia diriwayatkan daripada jalur Ali RA. Hadis yang diriwayatkan melalui jalur riwayat Ali adalah riwayat yang terlalu lemah kerana berlaku tafarrud (diriwayatkan secara bersendirian) yang berpunca daripada seorang perawi yang bernama Isa bin Abdullah bin Muhammad bin Umar bin Ali bin Abi Talib. Beliau bukan sahaja bersendirian dalam periwayatan, beliau juga adalah perawi yang lemah dan dikritik oleh ulama hadis. Bukan itu sahaja, bahkan beliau sering meriwayatkan hadis-hadis yang palsu dan disandarkan kepada ayah dan datuknya. Perkara ini disebabkan kelemahan hafalan dan kesalahan yang sering dilakukan dalam periwayatan.

Jalur riwayat ini mempunyai syahawid daripada jalur riwayat Anas. Ia diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi (m. 458 H) di dalam Syu’ab al-Iman dan al-Sunan al-Kubra daripada al-Qadhi Abu Yusuf daripada al-Mukhtar bin Fulful daripada Anas secara marfu.

Ia juga turut diriwayatkan daripada Yahya bin Sa’id daripada al-Mukhtar bin Fulful daripada anas secara mauquf (terhenti kepada sahabat) . Imam al-Baihaqi menjelaskan bahawa riwayat secara marfu tidak betul. Sebetulnya ia adalah ucapan Anas bukan sabda Nabi SAW. Dari sudut makna, tidak dapat dinafikan bahawa sedekah mempunyai banyak kelebihan seperti mana yang dinyatakan dalam hadis-hadis yang sahih. Wallahu’alam.

Huraian jawapan :

Teks asal  yang hampir sama dengan hadis tersebut ialah :

‌بَاكِرُوا ‌بِالصَّدَقَةِ فَإِنَّ الْبَلَاءَ لَا يَتَخَطَّى الصَّدَقَةَ

Maksudnya : “Berpagi-pagilah dengan sedekah. Sesungguhnya bala tiada mendahului sedekah.”

Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa dalam kitab hadis. Antaranya al-Mu’jam al-Wasit[1] oleh Imam al-Tabarani (m.360 H). Beliau menukilkan riwayat daripada Anas seperti berikut :

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْحَضْرَمِيُّ قَالَ: ثَنَا حَمْزَةُ بْنُ أَحْمَدَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ عُمَرَ بْنِ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ قَالَ حَدَّثَنِي عَمِّي عِيسَى بْنُ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِيه عَنْ جَدِّهِ عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Muhammad bin Abdullah al-Hadrami telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Hamzah bin Ahmad bin Abdullah bin Muhammad bin Umar bin Ali bin Abi Talib telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Bapa saudara saya, Isa bin Abdullah telah menceritakan kepada saya. Beliau meriwayatkan daripada ayahnya daripada datuknya daripada Ali bin Abi Talib, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda…”

Menurut Imam al-Tabarani, berlaku tafarrud (bersendirian) di dalam riwayat ini kerana tiada yang meriwayatkan daripada Ali melainkan Isa bin Abdullah[2]. Di dalam sanad ini Isa bin Abdullah yang mana hafalan dan kredibiliti beliau dipertikaikan dan dikritik oleh para ulama hadis. Antaranya yang mengkrtitik beliau adalah Abu Hatim al-Razi (m.277 H). Abu Hatim menyebut :

لم يكن بقوى الحديث

“Beliau tidak kuat dalam periwayatan hadis.”[3]

Ibn Hibban (m. 354 H) dalam kitab al-Majruhin[4] menjelaskan bahawa beliau banyak meriwayatkan dan menyandarkan riwayatkan palsu daripada moyangnya. Tidak boleh menggunakan riwayat beliau sebagai hujah. Beliau banyak tersalah dan terkeliru sehingga meriwayatkan sesuatu yang palsu daripada orang sebelum beliau iaitu ayah dan datuk beliau. Ibn ‘Adiy (m.365( menilai beliau sebagai perawi yang lemah[5]. Abu Nu’aim al-Asbahani (m.430 H) menjelaskan :

روى عَن أَبِيه عَن آبَائِهِ أَحَادِيث مَنَاكِير لَا يكْتب حَدِيثه لَا شَيْء

“Beliau meriwayatkan daripada ayahnya daripada datuk-datuknya hadis-hadis yang mengandungi banyak kesalahan (munkar). Periwayatan beliau tidak boleh ditulis (diriwayatkan). Tidak boleh satu pun.”[6]

Al-Haithami turut menilai Isa bin Abdullah sebagai seorang perawi yang lemah[7]. Berdasarkan penjelasan tersebut, riwayat Isa Bin Abdullah adalah lemah. Riwayat beliau mempunyai syawahid (riwayat sokongan) yang bermaksud sokongan melalui jalur riwayat sahabat yang lain, iaitu melalui jalur riwayat Anas RA. Jalur ini diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi (m.458) di dalam kitab beliau iaitu Syu’ab al-Iman[8] dengan sanad seperti berikut :

حَدَّثَنَا الْإِمَامُ أَبُو الطَّيِّبِ سَهْلُ بْنُ مُحَمَّدٍ حَدَّثَنَا أَبُو عَمْرِو بْنُ مَطَرٍ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ عُبَيْدٍ الشَّهْرَزُورِيُّ، بِحُلْوَانَ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مُؤَمَّلٍ الْقَيْسِيُّ الْبَصْرِيُّ حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ عُبَيْدٍ حَدَّثَنَا أَبُو يُوسُفَ الْقَاضِي عَنِ الْمُخْتَارِ بْنِ فُلْفُلٍ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“al-Imam Abu Al-Tayyib Sahl bin Muhammad telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Abu ‘Amru bin Matar telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Ibrahim bin Muhammad bin Ubaid al-Syahrazuri telah menceritakan kepada kami di Hulwan, beliau berkata : Muhammad bin Muammal al-Qaysi al-Basri telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Bisyr bin Ubaid telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Abu Yusuf al-Qadhi telah menceritakan kepada kami, beliau berkata. Beliau meriwayatkan daripada al-Mukhtar bin Fulful daripada Anas bin Malik, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda…”

Tambahan lagi, Imam al-Baihaqi turut meriwayatkan hadis daripada Yahya bin Sa’id daripada al-Mukhtar bin Fulful daripada Anas RA secara mauquf (terhenti pada sahabat)[9]. Namun begitu, Imam al-Baihaqi mengatakan bahawa riwayat secara marfu’ adalah riwayat yang salah. Sebetulnya riwayat yang betul adalah riwayat secara mauquf. Ia adalah ucapan Anas[10] bukan sabda Nabi SAW.

Kesimpulannya, hadis yang diriwayatkan melalui jalur riwayat Ali adalah riwayat yang terlalu lemah kerana berlaku tafarrud (diriwayatkan secara bersendirian) yang berpunca daripada seorang perawi yang bernama Isa bin Abdullah bin Muhammad bin Umar bin Ali bin Abi Talib. Beliau bukan sahaja bersendirian dalam periwayatan, beliau juga adalah perawi yang lemah dan dikritik oleh ulama hadis. Bukan itu sahaja, bahkan beliau sering meriwayatkan hadis-hadis yang palsu dan disandarkan kepada ayah dan datuknya. Perkara ini disebabkan kelemahan hafalan dan kesalahan yang sering dilakukan dalam periwayatan.

Jalur riwayat ini mempunyai syahawid daripada jalur riwayat Anas. Ia diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi daripada al-Qadhi Abu Yusuf daripada al-Mukhtar bin Fulful daripada Anas secara marfu. Ia juga turut diriwayatkan daripada Yahya bin Sa’id daripada al-Mukhtar bin Fulful daripada anas secara mauquf. Imam al-Baihaqi menjelaskan bahawa riwayat secara marfu tidak betul. Sebetulnya ia adalah ucapan Anas bukan sabda Nabi SAW. Dari sudut makna, tidak dapat dinafikan bahawa sedekah mempunyai banyak kelebihan seperti mana yang dinyatakan dalam hadis-hadis yang sahih.

NOTA HUJUNG :

[1] Al-Tabarani, Sulaiman bin Ahmad, al-Mu’jam al-Awsat (1995), Dar al-Haramain, Kaherah, j.6 h.9 no. 5643

[2] Imam al-Tabarani menyebut : لَا يُرْوَى هَذَا الْحَدِيثُ عَنْ عَلِيٍّ إِلَّا بِهَذَا الْإِسْنَادِ

[3] Ibn Abi Hatim, Abdurrahman bin Muhammad, al-Jarh wa al-Ta’dil (1952), Dairah al-Ma’arif al-Uthmaniyah, India, j.6 h.280.

[4] Ibn Hibban al-Busti, Muhammad bin Hibban, al-Majruhin (2000), Dar al-Sami’i, Riyadh, j.2 h.103 no.707. Beliau menyebut : يروي عن أبيه، عن آبائه أشياء موضوعة، لا يحل الاحتجاج به، كأنه كان يهم ويخطىء، حتى كان يجيء بالأشياء الموضوعة عن أسلافه، فبطل الاحتجاج بما يرويه لما وضعت

[5] Ibn Adiy, Abdullah bin Adiy, al-Kamil fi Dhu’afa Al-Rijal (1997), Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, j.6 h.424.

[6] Abu Nu’aim al-Asbahani, Ahmad bin Abdullah, al-Dhu’afa (1983), Dar al-Thaqafah, Casablanca, h.122.

[7] Abu al-Hasan al-Haithami, Ali bin Abu Bakar, Majma’ al-Zawaid wa Manbal al-Fawaid (1994), Maktabah al-Qudsi, Kaherah, j.3 h.110. وَفِيهِ عِيسَى بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُحَمَّدٍ، وَهُوَ ضَعِيفٌ

[8] Abu Bakar al-Baihaqi, Ahmad bin al-Husain, Syu’ab al-Iman (2003), Maktabah al-Rusyd, Riyad, al-Dar al-Salafiyah, India, j.5 h.52 no.3082.

[9] Abu Bakar al-Baihaqi, Ahmad bin al-Husain, al-Sunan al-Kubra (2003), Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, j.4 h.318 no. 7831. Beliau berkata : أَخْبَرَنَا أَبُو عَبْدِ اللهِ الْحَافِظُ، وَأَبُو نَصْرٍ أَحْمَدُ بْنُ عَلِيٍّ الْفَامِيُّ، ثنا أَبُو الْعَبَّاسِ مُحَمَّدُ بْنُ يَعْقُوبَ ثنا مُحَمَّدُ بْنُ عَوْفٍ الطَّائِيُّ ثنا ابْنُ الْمُصَفَّى ثنا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ عَنِ الْمُخْتَارِ بْنِ فُلْفُلٍ عَنْ أَنَسٍ، قَالَ:  ‌بَاكِرُوا ‌بِالصَّدَقَةِ

[10] Ibid. Beliau menjelaskan : مَوْقُوفٌ وَكَانَ فِي كِتَابِ شَيْخِنَا أَبِي نَصْرٍ الْفَامِيِّ مَرْفُوعًا وَهُوَ وَهْمٌ، وَرُوِيَ عَنْ أَبِي يُوسُفَ الْقَاضِي، عَنِ الْمُخْتَارِ بْنِ فُلْفُلٍ مَرْفُوعًا