Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 553 : KISAH IBLIS MEMOHON KEPADA ALLAH AGAR DIBERIKAN RUMAH DAN LAIN-LAIN DI DUNIA

IH553

Soalan :

Assalamualaikum wbt ustaz. Maaf menganggu ustaz. Saya ada persoalan tentang status riwayat yang saya dengar. Saya ada dengar dalam satu ceramah yang menyebut ketika iblis diturunkan ke bumi, Iblis memohon kepada Allah agar diberikan rumah, tempat bermajlis, makanan dan lain-lain. Allah pun berikan tandas sebagai rumah Iblis, pasar sebagai tempat bermajlis, makanan yang tidak disebutkan nama Allah sebagai makanan Iblis. Benarkah ada riwayat tersebut? Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Riwayat tersebut terdapat dalam beberapa kitab hadis. Antaranya di dalam al-Mu’jam al-Kabir oleh Imam al-Ṭabarānī (m. 360 H) dan Imam al-Ṭabarī (m. 310 H) di dalam Tahzīb al-Athār. Ibn Abi al-Dunyā turut meriwayatkan hadis ini melalui jalur sanad yang sama di dalam kitab Makāid al-Shayṭān.

Riwayat hadis tersebut ialah riwayat yang terlalu lemah berpunca daripada Ubaidullah bin Zahr al-Ḍamirī. Beliau perawi yang sering melakukan kesilapan dalam periwayatan dan tidak mempunyai kelayakan dalam periwayatan seperti mana yang dijelaskan oleh Yahya bin Ma’īn. Di dalam sanad ini juga terdapat Ali bin Yazīd bin Abī Hilāl yang dikritik kredibiliti beliau oleh ulama hadis. Yahyā bin Ayyūb al-Ghafiqī juga antara punca kelemahan riwayat ini dan beliau disifatkan oleh ulama hadis sebagai perawi yang teruk hafalannya. Di samping itu, tiada jalur periwayatan lain yang menyokong riwayat Sa’īd bin Abī Maryam sehingga menjadikan riwayat ini tafarrud (bersendirian dalam periwayatan).

Abu al-Faḍl al-Iraqī (m. 706 H) menjelaskan bahawa riwayat hadis ini terlalu lemah dan tidak boleh disebarkan.  Penilaian ini turut dijelaskan oleh al-Haithamī (m. 807 H) di dalam Majma‘ al-Zawāid.

Huraian jawapan :

Terdapat riwayat yang hampir sama maknanya dengan persoalan yang dikemukakan. Riwayat tersebut terdapat dalam beberapa kitab hadis. Antaranya di dalam al-Mu’jam al-Kabir oleh Imam al-Ṭabarānī (m. 360 H)[1]. Beliau menukilkan sanad dan matan seperti berikut:

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ ثنا سَعِيدُ بْنُ أَبِي مَرْيَمَ ثنا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ عَنْ عُبَيْدِ اللهِ بْنِ زَحْرٍ عَنْ عَلِيِّ بْنِ يَزِيدَ عَنِ الْقَاسِمِ عَنْ أَبِي أُمَامَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: إِنَّ إِبْلِيسَ لَمَّا أُنْزِلَ إِلَى الْأَرْضِ قَالَ: ‌يَا ‌رَبِّ ‌أَنْزَلْتَنِي ‌إِلَى ‌الْأَرْضِ وَجَعَلْتَنِي رَجِيمًا أَوْ كَمَا ذَكَرَ فَاجْعَلْ لِي بَيْتًا قَالَ: الْحَمَّامُ. قَالَ: فَاجْعَلْ لِي مَجْلِسًا، قَالَ: الْأَسْوَاقُ وَمَجَامِعُ الطُّرُقِ. قَالَ: اجْعَلْ لِي طَعَامًا. قَالَ: مَا لَا يُذْكَرُ اسْمُ اللهِ عَلَيْهِ قَالَ: اجْعَلْ لِي شَرَابًا قَالَ: كُلُّ مُسْكِرٍ. قَالَ: اجْعَلْ لِي مُؤَذِّنًا، قَالَ: الْمَزَامِيرُ. قَالَ: اجْعَلْ لِي قُرْآنًا. قَالَ: الشِّعْرُ. قَالَ: اجْعَلْ لِي كِتَابًا قَالَ: الْوَسْمُ. قَالَ: اجْعَلْ لِي حَدِيثًا قَالَ: الْكَذِبُ. قَالَ: اجْعَلْ لِي مَصَايِدَ قَالَ: النِّسَاءُ

Maksudnya : Yahya bin Ayyūb telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Sa’īd bin Abu Maryam telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Yahyā bin Ayyūb telah menceritakan kepada kami, beliau meriwayatkan daripada Ubaidullah bin Zahr daripada ‘Alī bin Yazīd daripada al-Qasim daripada Abu Umamah RA daripada Nabi SAW. Baginda bersabda : Ketika Iblis dihalau ke bumi, dia berkata: Wahai Tuhan, Engkau telah menghalau aku ke bumi dan menjadikan aku sebagai makhluk yang direjam, maka berikanlah aku rumah. Allah berfirman: Rumah kamu ialah tandas. Iblis berkata lagi : Jadikan tempat bermajlis untuk aku. Allah berfirman : Tempat bermajlis kamu ialah pasar-pasar dan persimpangan jalan. Iblis berkata : Berikan makanan untuk aku. Allah berfirman : Makanan kamu ialah makanan yang tidak disebutkan nama Allah. Iblis meminta lagi : Berikan minuman untuk saya. Allah berfirman : Minuman kamu ialah setiap minuman yang mabuk. Iblis berkata lagi : Jadikan tukang azan untuk aku. Allah berfirman : Tukang azan kamu ialah seruling-seruling. Iblis berkata : Jadikan Quran untuk aku. Allah berfirman : Quran kamu ialah syair. Iblis memohon lagi : Jadikan satu kitab untuk saya. Allah berfirman : Tatu (lakaran di tubuh badan). Iblis berkata lagi : Jadikan satu perkataan (yang khusus) untuk aku. Allah berfirman : Pendustaan. Iblis memohon lagi : Jadikan perangkap untuk aku (berburu). Allah berfirman : Perangkap kamu ialah para wanita.“

Riwayat ini juga dinukilkan oleh Imam al-Ṭabarī (m. 310 H) di dalam Tahzīb al-Athār[2]. Beliau menukilkan sanad seperti berikut:

حَدَّثَنَا الْمُثَنَّى بْنُ إِبْرَاهِيمَ الْآمُلِيُّ، وَمُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ، قَالَا: حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي مَرْيَمَ، قَالَ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ قَالَ: أَخْبَرَنِي ابْنُ زَحْرٍ، عَنْ عَلِيِّ بْنِ يَزِيدَ عَنِ الْقَاسِمِ عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: إِنَّ إِبْلِيسَ لَمَّا نَزَلَ الْأَرْضَ قَالَ: يَا رَبِّ...

Maksudnya : al-Muthannā bin Ibrahīm al-Āmulī dan Muhammad bin Abdul Malik telah menceritakan kepada kami, mereka berdua berkata : Ibn Abī Maryam telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Yahyā bin Ayyūb telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Ibn Zahr telah memberitahu kami, beliau meriwayatkan daripada ‘Ali bin Yazīd daripada al-Qāsim daripada Abu Umamah al-Bāhilī daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda : Ketika Iblis turun ke bumi, dia berkata : Wahai Tuhan...“

Ibn Abi al-Dunyā turut meriwayatkan hadis ini melalui jalur sanad yang sama di dalam kitab Makāid al-Shayṭān[3]. Di dalam riwayat ini terdapat tambahan matan seperti berikut:

قال: فاجعل لي رسلا قال: الكهنة...

Maksudnya : “...Iblis berkata : Jadikan seorang utusan untuk aku. Allah berfirman : Utusan kamu ialah tukang tilik...“

Jika diteliti madar (paksi) sanad hadis ini tertumpu kepada Sa’īd bin Abī Maryam. Rajah berikut menjelaskan sanad hadis ini:

sanad_hadis_iblis_mohon_kepada_Allah_rumah_dll.PNG

 

Sa’īd bin Abī Maryam atau nama beliau Sa’īd bin al-Ḥakam al-Jumahī (m. 224 H) ialah seorang perawi yang thiqah (dipercayai kredibilitinya). Imam Ahmad memuji beliau dan menyebut beliau merupakan perawi yang perlu ditemui untuk diambil riwayatnya di Mesir.[4] Beliau ialah antara perawi yang dimuatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Ṣaḥīḥ.[5] Abu Hatīm (m. 277 H) turut menilai beliau sebagai perawi yang thiqah.[6]

Yahyā bin Ayyūb al-Ghafiqī Abu al-Abbās (m. 263 H) ialah seorang perawi yang berasal daripada Mesir. Abu Daud menilai beliau sebagai seorang perawi yang thiqah. Imam al-Nasaiī menyatakan bahawa tidak mengapa untuk meriwayatkan hadis daripada beliau dan pada masa yang sama beliau mengkritik hafalan Yahyā bin Ayyūb.[7] Penilaian yang dilakukan oleh Imam al-Nasaiī bertitik tolak daripada kritikan Imam Ahmad bin Hanbal (m. 241 H) terhadap Yahyā bin Ayyūb. Imam Ahmad menyebut bahawa Yahyā ialah perawi yang teruk hafalan hadisnya.[8] Al-Daruqutni turut mengkritik hadis-hadis riwayat Yahyā sehingga beliau menghukum sebahagian hadisnya dengan hukum al-Muḍṭarib (berlaku kecelaruan dalam riwayat sehingga sukar untuk ditentukan kesahihannya).[9]

Ubaidullah bin Zahr al-Ḍamirī merupakan seorang perawi yang dikritik. Imam Ahmad menilai beliau sebagai seorang perawi yang lemah. Yahyā bin Ma’īn mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai kelayakan dalam periwayatan hadis (Laysa bi Syai). Ali bin al-Madinī (m. 234 H) mengatakan bahawa beliau sering melakukan kesalahan dalam riwayat hadis (munkar al-ḥadīth).[10]  Abu Abdurrahman al-Sulamī (m. 412 H) pernah bertanya kepada al-Daruqutnī berkenaan status Ubaidullah bin Zahr. Al-Daruqutnī menyebut bahawa Ubaidullah ialah perawi lemah.[11]  Antara kaedah yang dinyatakan oleh Ibn Hibban(m. 354 H) untuk berinteraksi dengan riwayat beliau ialah :

وإذا اجتمع في إسناد خبر عبيد الله بن زحر وعلي بن يزيد والقاسم أبو عبد الرحمن لم يكن متن ذلك الخبر الا مما عملته أيديهم

Maksudnya :“ Jika dalam satu sanad berkumpulnya Ubaidullah bin Zahr, Ali bin Yazīd dan al-Qāsim Abu Abdurrahman, maka matan hadis tersebut ialah apa yang dibuat sendiri oleh mereka (banyak kesalahan dan kesilapan).“[12]

Bahkan Ibn Hibban menjelaskan jika beliau meriwayatkan daripada Ali bin Yazīd maka akan berlaku bencana besar (kesalahan dan kesilapan).[13] Ali bin Yazīd bin Abī Hilāl al-Alhānī (m. 112 H) ialah perawi yang terlalu lemah. Yahya bin Ma’īn menjelaskan bahawa riwayat hadis Ali bin Yazīd daripada Abu Umamah kesemuanya lemah.[14] Beliau menjelaskan lagi bahawa hadis-hadis Ubaidullah bin Zahr dan Ali bin Yazīd yang diriwayatkan daripada Abu Umamah secara marfu‘ (disandarkan kepada Nabi SAW) adalah lemah.

Ibn Yazīd menjelaskan bahawa beliau sering melakukan kesilapan dalam periwayatan dan cuai dalam menyampaikan hadis.[15] Imam al-Bukhari turut mengkritik beliau dengan mengatakan beliau sebagai sering melakukan kesilapan (munkar al-Ḥadīth)[16].Imam al-Nasaiī mengatakan beliau bukan perawi yang thiqah (dipecayai kredibilitinya).[17] Boleh dikatakan kebanyakan ulama hadis mengkritik kredibiliti beliau dalam periwayatan hadis khususnya hadis-hadis yang beliau riwayatkan daripada al-Qasim bin Abdurrahman.

Al-Qāsim bin Abdurrahman Mawla Mu’āwiyah al-Syāmī antara perawi yang banyak dikritik oleh kebanyakan ahli hadis antaranya Imam Ahmad bin Hanbal. Imam Abu Daud pernah bertanya kepada Imam Ahmad tentang al-Qāsim bin Abdurrahman, beliau menjawab bahawa al-Qāsim banyak meriwayatkan hadis-hadis yang mengandungi banyak kesalahan dan Ja’far bin Zubair ialah antara orang terawal yang meriwayatkan hadis daripada beliau di Basrah yang kemudiannya ramai ulama meninggalkan periwayatan beliau.[18] Al-‘Ijli (m. 261 H) menjelaskan bahawa al-Qāsim bin Abdurrahman ialah perawi yang thiqah namun begitu beliau mempunyai hafalan yang lemah.[19]

Justeru, riwayat hadis tersebut ialah riwayat yang terlalu lemah berpunca daripada Ubaidullah bin Zahr al-Ḍamirī. Beliau perawi yang sering melakukan kesilapan dalam periwayatan dan tidak mempunyai kelayakan dalam periwayatan seperti mana yang dijelaskan oleh Yahya bin Ma’īn. Di dalam sanad ini juga terdapat Ali bin Yazīd bin Abī Hilāl yang dikritik kredibiliti beliau oleh ulama hadis. Yahyā bin Ayyūb al-Ghafiqī juga antara punca kelemahan riwayat ini dan beliau disifatkan oleh ulama hadis sebagai perawi yang teruk hafalannya. Di samping itu, tiada jalur periwayatan lain yang menyokong riwayat Sa’īd bin Abī Maryam sehingga menjadikan riwayat ini tafarrud (bersendirian dalam periwayatan).

Abu al-Faḍl al-Iraqī (m. 706 H) menjelaskan bahawa riwayat hadis ini terlalu lemah dan tidak boleh disebarkan.[20] Penilaian ini turut dijelaskan oleh al-Haithamī (m. 807 H) di dalam Majma‘ al-Zawāid.[21]

NOTA HUJUNG :

[1] Abu al-Qāsim, Sulaiman bin Ahmad (t.t), al-Mu’jam al-Kabīr, ed. Hamdi bin Abd al-Majid, Kaherah: Maktabah Ibn al-Taimiyah, j.8 h.245 no 7837.

[2] Abu Ja’far al-Ṭabarī, Muhammad bin Jarir (t.t), Tahzīb al-Athār wa Tafṣīl al-Thābit ‘an Rasulillah min al-Akhbār Musnad Umar bin al-Khaṭṭāb, ed. Mahmud Shakir, Mesir: Matba’ah al-Madanī, j.2 h.644, al-Sifr al-Thānī no 953.

[3] Ibn Abī al-Dunyā, Abdullah bin Muhammad (1991), Makāid al-Shayṭān, ed. Majdi Salim Ibrahim, Kaherah : Maktabah al-Quran, h.73. Ibn Abi al-Dunyā berkata : حدثنا أبو بكر التميمي حدثنا ابن أبي مريم حدثنا يحيى بن أيوب قال: حدثنا ابن زحر عن علي بن يزيد عن القاسم عن أبي أمامة

[4] Ibn Hajar al-‘Asqalānī, Ahmad bin Ali (1326 H), Tahzīb al-Tahzīb, India: Matba’ah Dairah al-Ma’arīf al-Nizamiyah, j.4 h.58. al-Husain bin al-Hasan al-Razī menyebut : سألت أحمد عن من أكتب بمصر فقال عن ابن أبي مريم

[5] Abu al-Naṣr Al-Kalābāzī, Ahmad bin Muhammad (1986), al-Hidayah wa al-Irshād fī Ma’rifah Ahl al-Thiqah wa al-Sadād (Rijāl Ṣaḥīḥ al-Bukharī), ed. Abdullah al-Laithī, Beirut: Dar al-Ma’rifah, j.1 h.284 no 388.

[6] Ibid.

[7] Ibid., j.11 h.187. Ibn Hajar menukilkan : وقال النسائي: ليس به بأس وقال مرة: ليس بالقوي

[8] Ibn Abī Hatim, Abdurrahman bin Muhammad (1952), al-Jarh wa al-Ta’dīl, Beirut : Dar Ihyā al-Turath al-‘Arabī, j.9 h.127. Ibn Abu Hatim menukilkan : نا عبد الرحمن أنا عبد الله بن أحمد بن محمد  بن حنبل فيما كتب إلي قال قال أبي يحيى بن ايوب سيئ الحفظ

[9] Ibid. وقال الدارقطني في بعض حديثه اضطراب

[10] Ibid.,j.5 h.315. Ibn Abī Ḥātim menukilkan : نا عبد الرحمن أنا حرب بن إسماعيل الكرماني فيما كتب إلي [قال قلت لاحمد بن حنبل: ‌عبيد ‌الله ‌بن ‌زحر فضعفه. أنا أبو بكر بن أبي خيثمة فيما كتب إلي  قال سئل يحيى ابن معين عن ‌عبيد ‌الله ‌بن ‌زحر فقال: ليس بشئ. نا عبد الرحمن نا محمد ابن أحمد بن البراء قال قال على ابن المديني: ‌عبيد ‌الله ‌بن ‌زحر منكر الحديث.

[11] Abu Abdurrahman al-Sulami, Muhammad bin al-Husain (2006), Suālāt al-Sulamī li al-Daruqutnī, ed. Dr Sa’ad bin Abdullah al-Humaid, Dr.Khalid bin Abdurrahman al-Jarisi, Riyadh, h. 208. Beliau menyebut : وسألتُه عن ‌عُبيدِ ‌اللهِ  ‌بنِ ‌زَحْرٍ؟ فقال: ضعيف

[12] Ibn Hibban, Muhammad bin Hibban (1976), al-Majrūhīn,ed. Mahmud Ibrahim Zayed, Aleppo: Dar al-Wa’ī, j.2 h.62.

[13] Ibid. Beliau menyebut : وَإِذا روى عَن عَليّ بن يزِيد أَتَى بالطامات

[14] Al-Mizzī,Yusuf bin Abdurrahman (1980), Tahzīb al-Kamāl fī Asmā al-Rijāl, ed. Dr Bashar Awwad Ma’ruf, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.21 h.178. قال يحيى بْن مَعِين: علي بْن يزيد عن القاسم عَن أَبِي أمامة هِيَ ضعاف كلها

[15] Ibid., Beliau berkata : واهي الحديث، كثير المنكرات

[16] Abu Muhammad Al-Maqdisī, Abd al-Ghanī bin Abd al-Wahid (2016), al-Kamāl fi Asmā al-Rijāl, ed. Shadi bin Muhammad Ali Nu’man, Kuwait: Syarikat Ghuras li al-Di’ayah wa al-‘Ilan wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, j.7 418.

[17] Ibis. Beliau menyebut : ليس بثقة

[18] Abū Daud, Sulaiman bin al-Ash’ath (1994), Suāalāt al-Imam Abū Daud li al-Imam Ahmad, ed. Dr Ziyad Mansur, Madinah Munawwarah: Maktabah al-Ulūm wa al-Hikam, h.255. Imam Abu Daud berkata : سَمِعت أَحْمد قَالَ ‌الْقَاسِم ‌أَبُو ‌عبد ‌الرَّحْمَن هُوَ ابْن عبد الرَّحْمَن هُوَ مولى لعبد الرَّحْمَن بن يزِيد بن مُعَاوِيَة قَالَ يرْوى لَهُ أَحَادِيث مَنَاكِير كَانَ جَعْفَر بن الزبير أَولا رَوَاهَا بِالْبَصْرَةِ فَترك النَّاس حَدِيثه ثمَّ جَاءَ بشر ابْن نمير فروى بعض تِلْكَ الْأَحَادِيث فَترك أهل الْبَصْرَة حَدِيثه يجيئنا بعد من عبيد الله بن زحر عَن عَليّ بن يزِيد

[19] Abu al-Hasan al-‘Ijli, Ahmad bin Abdullah (1985), Ma’rifat al-Thiqāt min Rijāl Ahl al-Ilm wa al-Ḥadīth wa min al-Ḍu’afā’ wa Zikr Mazahibihim wa Akhbarihim, ed.  Abd al-‘Alim Abd ‘Azīm al-Bustawī, Madinah Munawwarah: Maktabah al-Dar, j.2 h.212. Al-‘Ijli menyebut : ‌الْقَاسِم ‌أَبُو ‌عبد ‌الرَّحْمَن شَامي تَابِعِيّ ثِقَة يكْتب حَدِيثه وَلَيْسَ بِالْقَوِيّ

[20] Abu al-Faḍl, Abd al-Raḥīm bin al-Husain (2005), al-Mughnī ‘an Haml al-Asfār fi al-Asfār fī Takhrīj mā fī Ihyā min al-Akhbār, Beirut: Dar Ibn Hazm, h.912. Beliau menyebut : أخرجه الطَّبَرَانِيّ فِي الْكَبِير وَإِسْنَاده ضَعِيف جدا

[21] Abu al-Hasan, Ali bin Abu Bakr (1994), Majma‘ al-Zawāid wa Manba‘ al-Fawāid, ed. Husam al-Dīn Qudsi, Kaherah: Maktabah Al-Qudsī, j.8 h.119. Beliau menyebut: رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ وَفِيهِ عَلِيُّ بْنُ يَزِيدَ الْأَلْهَانِيُّ وَهُوَ ضَعِيفٌ


Print   Email
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+