Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 558: PEMAHAMAN HADIS AKHIR ZAMAN NISBAH SEORANG LELAKI BERSAMAAN 50 WANITA

 

Template_Header_Artikel_PMWP.png
Latar Belakang Isu

Baru-baru ini tular suatu video yang disampaikan oleh seorang ustaz terkemuka di negeri jiran yang menyebutkan bahawa Nabi SAW telah menghalalkan di akhir zaman seorang lelaki untuk bernikah dengan 50 orang wanita. Benarkah dakwaan ini dan wujudkah hadis tersebut ?

Penjelasan

Memahami hadis Nabi SAW mestilah dengan menggunakan disiplin ilmu hadis yang telah disusun oleh ulama hadis. Jika kita membaca sesuatu matan hadis umpamanya maka kita perlulah merujuk kepada pelbagai aspek antaranya dengan merujuk kepada huraian para ulama hadis yang muktabar terhadap hadis tersebut.

Hadis yang dimaksudkan ialah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa beliau mendengar daripada Rasulullah SAW bersabda:[1]

إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُرْفَعَ العِلْمُ، وَيَكْثُرَ الجَهْلُ، وَيَكْثُرَ الزِّنَا، وَيَكْثُرَ شُرْبُ الخَمْرِ، وَيَقِلَّ الرِّجَالُ، وَيَكْثُرَ النِّسَاءُ حَتَّى يَكُونَ لِخَمْسِينَ امْرَأَةً القَيِّمُ الوَاحِدُ

Maksudnya: Antara tanda-tanda kiamat ialah diangkat ilmu, banyak kejahilan, banyak zina, banyak meminum arak, (bilangan) kaum lelaki sedikit dan kaum wanita banyak sehingga 50 wanita dinisbahkan untuk seorang lelaki yang menguruskan.

Riwayat al-Bukhari

Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis ini dalam beberapa tempat dalam karya sahihnya. Lafaz hadis di atas ialah lafaz yang beliau riwayatkan di bawah tajuk bab “Lelaki Sedikit dan Wanita Semakin Ramai”.[2] Hadis ini juga diriwayatkan dalam Sahih Muslim, Sunan al-Tirmizi, Sunan Ibn Majah dan lain-lain.

Menurut Ibn Battal maksud al-Qayyim al-Wahid terbahagi kepada dua makna. [Pertama] Seorang lelaki itu akan menjadi penjaga dan pengurus yang menguruskan urusan para wanita ketika itu. [Kedua] Boleh jadi kaum wanita yang ramai pada masa itu akan mengikuti seorang lelaki melakukan perkara-perkara yang maksiat. Namun, Imam al-Tahawi cenderung berpandangan bahawa hadis tersebut merujuk terhadap makna yang pertama.[3]  

Imam Ibn Hajar al-ʻAsqalani mengatakan bahawa Imam al-Qurtubi berpandangan bahawa:[4]

يحتمل أن يراد بالقيم من يقوم عليهن سواء كن موطوءات أم لا ويحتمل أن يكون ذلك يقع في الزمان الذي لا يبقى فيه من يقول الله الله فيتزوج الواحد بغير عدد جهلا بالحكم الشرعي قلت وقد وجد ذلك من بعض أمراء التركمان وغيرهم من أهل هذا الزمان مع دعواه الإسلام

Maksudnya: Barangkali yang dimaksudkan dengan seorang lelaki dalam hadis ialah sesiapa yang menanggung/memberi penjagaan ke atas wanita-wanita sama ada mereka yang menjalinkan hubungan badan ataupun tidak. Barangkali juga peristiwa ini berlaku pada zaman di mana tiada manusia yang menyebutkan nama Allah, lalu seseorang berkahwin melebihi had bilangan (yang ditetapkan oleh syarak) disebabkan jahil dengan hukum syarak. Aku (Imam Ibn Hajar al- ‘Asqalani) berkata: Situasi seperti ini pernah berlaku kepada sebahagian pemimpin etnik Turkmen dan selainnya daripada masyarakat ketika itu serta mendakwa inilah ajaran Islam.

Syeikh Mustafa al-Bugha ketika memberikan komentar terhadap hadis ini menyebutkan bahawa:

(لخمسين امرأة القيم الواحد) وهو الذي يقوم بأمورهن وذلك بسبب كثرة الفتن والحروب التي يذهب فيها الكثير من الرجال

Maksudnya: (bagi 50 wanita itu seorang lelaki) bermaksud orang lelaki yang menjaga urusan mereka. Ini kerana banyak berlaku fitnah dan peperangan sehingga ramai kaum lelaki yang terkorban.[5]

Kesimpulannya, yang dimaksudkan dengan al-Qayyim al-Wahid ialah seorang lelaki itu akan menjadi penjaga dan pengurus yang menguruskan urusan para wanita ketika itu. Hal ini kerana, ramai kaum lelaki terkorban disebabkan peperangan dan fitnah akhir zaman.

Oleh itu, ditekankan sekali lagi bahawa umat Islam perlu memahami sesuatu hadis dengan merujuk kepada syarahan dan huraian para ulama hadis yang muktabar agar tidak berlaku kesilapan. Suatu penyampaian kefahaman hadis yang asing dan bercanggah dengan apa yang difahami para ulama muktabar boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Semoga seluruh umat Islam sentiasa berhati-hati dalam mengungkapkan sesuatu perkara yang berkait dengan sabdaan Nabi SAW dan sentiasa bermuhasabah diri agar terpelihara daripada perkara-perkara yang tidak diinginkan. Wallahuaʻlam.

[1] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir (Dar Tuq al-Najah, 1422), no. hadis 5231, 7: 37.

[2] Ibid.

[3] Ibn Battal, Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, ed. Yasir bin Ibrahim (al-Riyad: Maktabah al-Rusyd, 2003), 7: 357.

[4] Ibn Hajar al-ʻAsqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi (Beirut: Dar al-Maʻrifah, 1379), 1: 179.

[5] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, no. hadis 81, 1: 27.


Print   Email
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+