Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 561 : PUASA YANG PALING UTAMA IALAH PUASA SYAABAN KERANA MEMULIAKAN RAMADAN

IH561

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ada soalan sempena bulan Syaaban ini. Saya pernah baca dalam satu hantaran di whatsapp. Ada hadis yang menyebut puasa paling utama ialah puasa di bulan Syaaban. Puasa ini dilakukan untuk memuliakan bulan Ramadan nanti. Apa pandangan ustaz? Adakah hadis ini sabit daripada Nabi SAW? Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan:

Hadis ini terdapat dalam beberapa kitab hadis antaranya Syarh Ma’anī al-Athār karya Abu Ja’far al-Ṭaḥāwī (m. 321 H), al-Muṣannaf karya Ibn Abī Syaibah (m.235 H), Jami’ al-Tirmizi karya Imam al-Tirmizī (m. 279 H), al-Bahr al-Zakhar karya al-Bazzār (m. 292 H), Syu’ab al-Iman, al-Sunan al-Kubrā dan Faḍail al-Awqat karya Imam al-Baihaqi (m. 458 H).

Sanad hadis ini tertumpu kepada Ṣadaqah bin Mūsā dan terdapat dua orang perawi yang meriwayatkan daripada beliau iaitu Mūsa bin Isma’īl dan Yazīd bin Hārūn. Walaupun terdapat dua orang perawi thiqah yang meriwayatkan hadis ini daripada Ṣadaqah bin Mūsā, namun tetap tidak menghilangkan tafarrud (riwayat secara bersendirian) sanad hadis ini. Hal ini kerana sanad hadis ini masih terfokus kepada Ṣadaqah. Tambahan lagi, Ṣadaqah bin Mūsa ialah perawi yang lemah dan hafalan hadis beliau sering dikritik. Di samping itu, tiada sanad lain yang menyokong sanad hadis ini.

Namun begitu, kelemahan hadis ini tidak menafikan sunat berpuasa di bulan Syaaban. Nabi SAW juga berpuasa pada bulan Syaaban. Terdapat banyak hadis sahih yang menyebut tentang perkara ini.

Huraian jawapan:

Hantaran yang disebutkan berasal daripada matan (teks) yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik :

سُئِلَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ؟ يَعْنِي بَعْدَ رَمَضَانَ قَالَ: ‌صَوْمُ ‌شَعْبَانَ ‌تَعْظِيمًا ‌لِرَمَضَانَ

Maksudnya : Rasulullah SAW pernah diajukan soalan oleh seseorang: “Apakah puasa yang paling utama (iaitu selepas bulan Ramadan)?” Nabi SAW menjawab : “Puasa pada bulan Syaaban kerana memuliakan Ramadan.”

Hadis ini terdapat di dalam beberapa kitab hadis antaranya Syarh Ma’anī al-Athār karya Abu Ja’far al-Ṭaḥāwī (m. 321 H).[1] Beliau menukilkan sanad seperti berikut:

حدثنا أحمد بن داود  قال: ثنا عبد الرحمن بن صالح الأزدي  قال: ثنا يزيد بن هارون  عن صدقة بن موسى عن ثابت عن أنس رضي الله عنه قال: سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم أي الصوم أفضل؟

Maksudnya : “Ahmad bin Daūd menceritakan kepada kami, beliau berkata: Abdurrahman bin Ṣāliḥ al-Azdī menceritakan kepada kami, beliau berkata: Yazīd bin Hārūn menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada Ṣadaqah bin Mūsā. Ṣadaqah pula meriwayatkan daripada Thābit dan Thābit meriwayatkan daripada Anas. Anas berkata bahawa Rasulullah pernah diajukan soalan: Apakah puasa yang paling utama?...”

Hadis ini turut diriwayatkan oleh Ibn Abī Syaibah (m.235 H) di dalam al-Muṣannaf.[2] Beliau menukilkan sanad seperti berikut :

حدثنا يزيد بن هارون قال: حدثنا صدقة بن موسى قال: أخبرنا ثابت البناني عن أنس

Maksudnya : “ Yazīd bin Hārun menceritakan kepada kami, beliau berkata: Ṣadaqah bin Mūsā menceritakan kepada kami, beliau berkata : Thābit al-Bunnanī memberitahu kami bahawa beliau meriwayatkan daripada Anas RA.”

Imam al-Tirmizī (m. 279 H) meriwayatkan hadis ini di dalam Jāmi’ al-Tirmizī[3] dengan sanad berikut:

حدثنا ‌محمد بن إسماعيل، قال: حدثنا ‌موسى بن إسماعيل، قال: حدثنا ‌صدقة بن موسى، عن ‌ثابت ، عن ‌أنس قال: «سئل النبي صلى الله عليه وسلم أي الصوم أفضل بعد رمضان؟ فقال: ‌شعبان ‌لتعظيم ‌رمضان. قيل: فأي الصدقة أفضل؟ قال: صدقة في رمضان

Maksudnya : “Muhammad bin Isma’il menceritakan kepada kami, beliau berkata: Mūsā bin Isma’īl menceritakan kepada kami, beliau berkata: Ṣadaqah bin Mūsā menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada Thābit. Thābit pula meriwayatkan daripada Anas, Anas berkata: Nabi SAW pernah diajukan soalan, apakah puasa yang lebih utama selepas bulan Ramadan? Baginda menjawab : Syaaban kerana memuliakan Ramadan. Baginda ditanya lagi: Apakah sedekah yang afdal? Baginda menjawab: Sedekah di bulan Ramadan.”

Al-Bazzar (m. 292 H) juga meriwayatkan hadis ini di dalam al-Bahr al-Zakhar.[4] Sanad yang beliau nukil ialah seperti berikut:

حَدَّثنا عبدة بن عبد الله أخبرنا يزيد بن هارون أخبرنا صَدَقَةُ يَعْنِي ابْنَ مُوسَى عَنْ ثابتٍ عَن أَنَس أَن رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيه وَسَلَّم سُئِلَ عَنْ أَفْضَلِ الصِّيَامِ

Maksudnya : “’Abdah bin Abdullah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Yazīd bin Hārun memberitahu kami, beliau berkata: Ṣadaqah bin Mūsā memberitahu kami bahawa beliau meriwayatkan daripada Thābit. Thābit pula meriwayatkan daripada Anas, Rasulullah SAW pernah diajukan soalan tentang puasa yang paling utama.”

Seterusnya, Imam al-Baihaqī (m. 458 H) meriwayatkan hadis ini di dalam Syu’ab al-Imān.[5] Beliau menukilkan sanad seperti berikut:

حدثنا أبو محمد بن يوسف أخبرنا أبو سعيد بن الأعرابي حدثنا محمد بن عبد الملك الدقيقي حدثنا يزيد بن هارون أخبرنا صدقة بن موسى حدثنا ثابت البناني عن أنس بن مالك قال: قيل: يا رسول الله أي الصوم أفضل؟

Maksudnya : “Abū Muhammad bin Yusuf menceritakan kepada kami, beliau berkata: Abu Sa’īd bin al-‘Arābī memberitahu kami, beliau berkata: Muhammad bin Abd al-Malik al-Daqīqī menceritakan kepada kami, beliau berkata: Yazīd bin Hārun menceritakan kepada kami, beliau berkata: Ṣadaqah bin Mūsā memberitahu kami, beliau berkata: Thābit al-Bunnanī menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada Anas bin Malik. Anas berkata: Rasulullah pernah diajukan soalan oleh seseoang: Wahai Rasulullah, apace puasa yang paling utama?”

Tambahan pula, Imam al-Baihaqī turut meriwayatkan hadis yang sama di dalam al-Sunan al-Kubrā[6] dan Faḍail al-Awqāt[7] dengan sanad yang sama. Al-Shajarī (m.499 H) juga memuatkan hadis ini di dalam Tartib al-Amālī al-Khamīsīyah.[8]

Analisis sanad

Jika penilitian dilakukan, madar (paksi) sanad hadis ini terfokus kepada Ṣadaqah bin Mūsā. Tiada sanad sokongan yang ditemui bagi jalur sanad ini. Rajah berikut menjelaskan perkara ini.

 

RAJAH SANAD PUASA YANG PALING UTAMA IALAH SYAABAN

Terdapat dua orang perawi yang meriwayatkan daripada Ṣadaqah bin Mūsā iaitu Yazīd bin Hārūn dan Mūsā bin Isma’īl.

  • Abu al-Mughirah Ṣadaqah bin Mūsā al-Daqīqī ialah perawi yang lemah. Hal ini dinyatakan Yahyā bin Ma’īn (m. 233 H) melalui nukilan al-‘Uqailī (m. 322).[9] Ibn Ḥātim al-Rāzī (m. 277 H) turut mengkritik Ṣadaqah bin Mūsā, beliau menyebut :

لين الحديث يكتب حديثه ولا يحتج به ليس بقوى

Maksudnya : “Beliau seorang yang lemah dalam periwayatan hadis. Riwayat hadisnya boleh ditulis namun tidak boleh dijadikan hujah kerana riwayatnya bukan daripada kategori riwayat yang kuat.”[10]

Ibn Hibban (m. 354 H) menyatakan walaupun Ṣadaqah ialah seorang yang salih, akan tetapi periwayatan hadis bukan daripada kepakarannya.[11] Imam al-Nasa’i (m.303 H) juga turut menilai Ṣadaqah sebagai seorang yang lemah dalam periwayatan.[12] Justeru, kebanyakan ulama hadis menilai Ṣadaqah sebagai perawi yang lemah.

  • Yazīd bin Hārūn Abu Khalid al-Wāsiṭī ialah seorang perawi yang thiqah (dipercayai kredibilitinya dalam periwayatan hadis) dan kuat hafalan. Hal ini dinyatakan oleh pakar hadis semisal Ali bin al-Madīnī (m.234 H)[13] al-‘Ijlī menyebut :

‌يزِيد ‌بن ‌هَارُون سلمى يكنى أَبَا خَالِد واسطي شَامي ثِقَة ثَبت فِي الحَدِيث وَكَانَ متعبدا متنسكا حسن الصَّلَاة جدا

Maksudnya : “Yazīd bin Hārūn al-Sulamī, beliau yang digelar Abū Khālid al-Wāsiṭī berasal dari negeri Sham. Beliau ialah seorang perawi yang thiqah dan mantap hafalannya dalam periwayatan hadis. Tambahan lagi, beliau ialah seorang yang rajin beribadah dan terlalu kerap menunaikan solat.”[14] Imam Ahmad bin Hanbal memuji Yazīd dengan menyebut bahawa beliau ialah seorang perawi yang hāfiz dan pakar (mutqin) dalam periwayatan hadis.[15]

  • Musa bin Isma’īl al-Minqarī juga ialah seorang perawi thiqah. Yahya bin Ma’in mengatakan bahawa beliau ialah seorang perawi yang thiqah dan ma’mun (dipercayai kejujurannya dalam periwayatan)[16] Abu Hātim turut memuji beliau dengan menjelaskan bahawa beliau lebih pakar daripada al-Hajjaj al-Anmāṭī dan juga antara perawi yang teliti meriwayatkan hadis di Basrah.[17]

Walaupun terdapat dua orang perawi thiqah yang meriwayatkan hadis ini daripada Ṣadaqah bin Mūsā, namun tetap tidak menghilangkan tafarrud (riwayat secara bersendirian) sanad hadis ini. Hal ini kerana sanad hadis ini masih terfokus kepada Ṣadaqah Mūsā. Tambahan lagi, Ṣadaqah bin Mūsa ialah perawi yang lemah dan hafalan hadis beliau sering dikritik. Di samping itu, tiada sanad lain yang menyokong sanad hadis ini. Perkara ini juga dijelaskan oleh Imam al-Tirmizi, beliau berkata :

هذا حديث غريب، وصدقة بن موسى ليس عندهم بذاك القوي

Maksudnya : “Hadis ini ialah hadis gharīb. Ṣadaqah bin Mūsā lemah menurut ulama hadis.”[18]

Al-Bazzar turut mengomentar sanad hadis ini setelah menukilkan keseluruhan hadis ini, beliau menjelaskan :

وَهَذَا الْحَدِيثُ لَا نَعْلَمُ رَوَاهُ، عَنْ ثابتٍ، عَن أَنَس إلَاّ صَدَقَةُ بن موسى

Maksudnya : “Kami tidak mengetahui perawi yang meriwayatkan daripada Thābit daripada Anas selain Ṣadaqah bin Mūsā.”[19]

Konklusinya, hadis ini ialah hadis lemah (Ḍa’īf) disebabkan Ṣadaqah bin Mūsa. Beliau ialah seorang perawi lemah dalam periwayatan hadis dan beliau sering dikritik khususnya hafalannya. Walaupun terdapat dua orang perawi yang meriwayatkan daripada beliau iaitu Musa bin Isma’īl al-Minqarī dan Yazīd bin Hārūn, sanad hadis ini tetap lemah kerana madar hadis ini masih tertumpu kepada Ṣadaqah. Tambahan lagi, tiada sanad lain yang menyokong jalur sanad Ṣadaqah bin Mūsā. Justeru, sanad hadis ini bukan sahaja lemah bahkan berlaku tafarrud[20] pada sanad ini.

Namun begitu, kelemahan hadis ini tidak menafikan sunat berpuasa di bulan Syaaban. Nabi SAW juga berpuasa pada bulan Syaaban. Terdapat banyak hadis yang menyebut tentang perkara ini, antaranya pertanyaan Usamah bin Zayd RA kepada Nabi SAW:

وَلَمْ أَرَكَ تَصُومُ مِنْ شَهْرٍ مِنَ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ:  ذَاكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya : “ Saya tidak lihat kamu berpuasa pada bulan yang lain sepertimana kamu berpuasa pada bulan Syaaban. Nabi SAW menjawab : Syaaban itu ialah bulan yang sentiasa manusia lupakan, bulan itu antara bulan Rajab dan Ramadan. Bulan tersebut ialah bulan yang dibentangkan amalan kepada Allah dan saya suka jika amalan saya dibentangkan dalam keadaan saya berpuasa.”[21]

NOTA HUJUNG :

[1] Abu Ja’far, Ahmad bin Ahmad (1994), Syarh Ma’ānī al-Athār, ed. Muhammad Zuhri al-Najjar, Muhammad Sayyid Jād al-Haq, Beirut: Dar ‘Alim al-Kutub, j.2 h.83 no. 3330

[2] Ibn Abī Syaibah, Abdullah bin Muhammad (2015), al-Muṣannaf, ed. Sa’ad bin Nāsir al-Syatarī, Riyadh: Dar al-Kunūz al-Ishbiliya,j.6 h.125 no.10024

[3] Abu ‘Isā, Muhammad bin ‘isā (1996), Jāmi’ al-Tirmizī, ed. Bashar ‘Awwad Ma’ruf, Beirut: Dar al-Gharb al-Islamī, j.2 h.43 no. 663.

[4] Abu Bakr al-Bazzar, Ahmad bin ‘Amr (2009), al-Bahr al-Zakhr,  ed. Mahfuz al-Rahman Zayn Allah, ‘Ādil bin Sa’ad, Ṣabrī Abdul Khāliq, Madinah Munawwarah: Maktabah al-‘Ulūm wa al-Hikam, j.13 h.301 no. 6890.

[5] Abu Bakr, Ahmad bin al-Husayn (2003), Syu’ab al-Imān, ed. Abd al-‘Alī Abdul Hamīd Hamid, Riyadh: Maktabah al-Rusyd, Bombay: al-Dār al-Salafiyah, j.5 h.352 no. 3539

[6] Abu Bakr, Ahmad bin al-Husayn (2011), al-Sunan al-Kubrā, ed. Abdullah bin Abdul Muhsin al-Turkī, Kaherah: Markaz Hijr li al-Buhūth wa al-Dirasāt al-‘Arabiyah al-Islamiyah, j.9 h.143 no. 8592.

[7] Abu Bakr, Ahmad bin al-Husayn (1990), Faḍail al-Awqāt, ed. Adnan Abdurrahman, Mekah Mukarramah: Maktabah al-Manārah, h.114.

[8] Al-Shajarī, Yahya bin al-Husayn (2001), Tartib al-Amālī al-Khamīsīyah, ed. Muhammad Hasan Ismail, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, j.2 h.144. Beliau berkata : أَخْبَرَنَا الْقَاضِي أَبُو الْقَاسِمِ عَلِيُّ بْنُ الْمُحَسِّنِ بْنِ عَلِيٍّ التَّنُوخِيُّ إِمْلَاءً، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو الْحُسَيْنِ عُبَيْدُ اللَّهِ بْنِ أَحْمَدَ بْنِ مُحَمَّدٍ الْجَوْشَنِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ إِسْحَاقَ الْمَدَائِنِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، قَالَ: حَدَّثَنَا يَزِيدُ وَهُوَ ابْنُ هَارُونَ، قَالَ: حَدَّثَنَا صَدَقَةُ وَهُوَ ابْنُ مُوسَى، قَالَ: حَدَّثَنَا ثَابِتٌ، عَنْ أَنَسٍ

[9] Al-‘Uqailī, Muhammad bin ‘Amr (1984), al-Ḍu’afā al-Kabīr, ed. Abdul Mu’ṭī Qal’ajī, Beirut: Dar al-Maktabah al’Ilmiyah, j.2 h.208. al-‘Uqailī menukilkan: حَدَّثَنَا مُعَاوِيَةُ بْنُ صَالِحٍ قَالَ: سَمِعْتُ يَحْيَى بْنَ مَعِينٍ يَقُولُ: ‌صَدَقَةُ ‌بْنُ ‌مُوسَى بَصْرِيٌّ ضَعِيفٌ

[10] Ibn Abī Ḥātim, Abdurrahman bin Muhammad (1952), al-Jarh wa al-Ta’dīl, Beirut: Dar Ihyā al-Turāth al-‘Arabī, j.4 h.432.

[11] Ibn Hibban, Muhammad bin Hibban (2000), al-Majrūhīn min al-Muhaddithīn, ed. Hamdi Abdul Majid al-Silafī, Riyadh: Dar al-Ṣami’ī, j.1 h.473. Beliau berkata : كان شيخًا صالحًا إلا أن الحديث لم يكن صناعته، فكان إذا روى قلب الأخبار حتى خرج عن حد الاحتجاج به

[12] Abu Muhammad al-Maqdisi, Abdul Ghanī bin Abdul Wāhid (2016), al-Kāmil fī Asmā al-Rijāl, ed. Shadī bin Muhammad Āli Nu’man, j.5 h.473. Abu Muhammad al-Maqdisī menukilkan : وقال النَّسائي: ضعيف

[13] Al-Mizzī, Yusuf bin Abdurrahman (1980), Tahzīb al-Kamāl fī Asmā al-Rijāl, ed. Dr. Bashar ‘Awwad Ma’ruf, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.32 h.267. Ali bin al-Madīnī menyebut : وَقَال علي ابن الْمَدِينِيّ  : هُوَ من الثقات

وَقَال فِي موضع آخر : ما رأيت رجلا قط أحفظ من يزيد ابن هارون

[14] Abu al-Hasan, Ahmad bin Abdullah (1985), Ma’rifat al-Thiqāt min Rijāl Ahl al-Ilmi wa al-Hadīth wa min al-Ḍu’afā wa Zikr Mazahibihim wa Akhbarihim, ed. Abdul ‘Alim al-Bustawī,  Madinah al-Munawwarah: Maktabah al-Dar, j.2 h.368.

[15] Ibn Abī Hātim, al-Jarh wa al-Ta’dīl, j.9 h.295.Ibn Abī Hātim menukilkan : ‌يزيد ‌بن ‌هارون حافظا متقنا للحديث

[16] Al-Kamāl fī Asmā al-Rijāl, j.9 h.48. Abu Muhammad al-Maqdisī : قال يحيى بن مَعِين: هو ثقة مأمون

[17] Ibid.

[18] Jami’ al-Tirmizī, j.2 h.43.

[19] Musnad al-Bazzar, j.13 h.301

[20] Bersendirian dalam periwayatan.

[21] Abu Abdullah, Ahmad bin Hanbal (2001), al-Musnad, ed. Sheikh Syu’aib al-Arnaut, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.36 h.85 no.21753. Sheikh Syu’aib menyebut bahawa sanad hadis ini hasan.