Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 565: APA YANG KAMU LAKUKAN KEPADA ORANG LAIN KAMU AKAN DIBALAS

Screenshot 2022 06 15 at 10.50.18 AM

 

Soalan

Ramai orang menyebutkan: “apa yang kita lakukan kita akan dibalas balik”. Adakah ia hadis Nabi SAW dan jika ia adalah hadis apakah statusnya?

 

Ringkasan Jawapan

Perkataan “sepertimana kamu lakukan kamu akan dibalas balik” merupakan ungkapan yang masyhur. Ungkapan ini diambil dari sebuah riwayat seperti yang direkodkan oleh Abdul Razzaq dalam Musannafnya yang berbunyi:

الْبِرُّ لَا يَبْلَى، وَالْإِثْمُ لَا يُنْسَى، وَالدَّيَّانُ لَا يَمُوتُ، فَكُنْ كَمَا شِئْتَ كَمَا تَدِينُ تُدَانُ

Maksudnya: “Kebaikkan tidak akan pudar, dosa tidak akan dilupa, al-Dayyan(Allah yang Maha Membalas segala amalan hambanya) tidak akan mati, jadilah sepertimana yang kamu ingin, sepertimana yang kamu lakukan kamu akan dibalas.”

Riwayat ini dinilai sebagai daif oleh ulama hadis seperti Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari namun maknanya adalah benar. Dalam hadis, Nabi SAW mengingatkan bahawa siapa yang memudahkan urusan orang lain maka Allah SWT akan memudahkan urusannya. Manakala orang yang menyusahkan urusan orang lain maka Allah SWT juga akan menyukarkan urusannya. 

 

Huraian Jawapan

Perkataan “seperti mana kamu lakukan kamu akan dibalas balik” merupakan ungkapan yang masyhur. Ungkapan ini diambil dari sebuah riwayat yang berbunyi:

الْبِرُّ لَا يَبْلَى، وَالْإِثْمُ لَا يُنْسَى، وَالدَّيَّانُ لَا يَمُوتُ، فَكُنْ كَمَا شِئْتَ كَمَا تَدِينُ تُدَانُ

Maksudnya: “Kebaikkan tidak akan pudar, dosa tidak akan dilupa, al-Dayyan(Allah yang Maha Membalas segala amalan hambanya) tidak akan mati, jadilah sepertimana yang kamu ingin, kamu akan dibalas seperti mana yang kamu telah lakukan.”

(Riwayat Abdul Razaq dalam Musannafnya) 

Riwayat ini terdapat dalam Musannaf Abd al-Razzaqal-Asma’ wa al-Sifatal-Zuhd al-Kabir oleh al-Baihaqi[1]. Ia diriwayatkan oleh Abdul Razzaq daripada Ma’mar daripada Ayub daripada Abu Qilabah Daripada Nabi SAW[2]. Walau bagaimanapun riwayat ini ialah riwayat yang mursal kerana Abu Qilabah ialah seorang tab’in dan tidak pernah bertemu dengan Nabi SAW. Adapun perawi yang lain merupakan perawi yang thiqahsebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Asqallani[3].

Manakala Imam Ahmad dalam al-Zuhd meriwayatkan hadis ini secara mauquf kepada Abu Darda’. Riwayat ini juga riwayat yang munqati’ kerana Abu Qilabah tidak pernah bertemu dengan Abu Darda’[4]. Meskipun begitu terdapat syawahid dari hadis Ibn Umar sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Adi dalam al-Kamil[5]. Namun setelah beliau menyebutkan beberapa riwayat dari Muhammad bin Abdul Malik al-Ansari beliau menyatakan bahawa:

وَكُلُّ أَحَادِيْثِهِ مِمَّا لَا يُتَابِعُهُ الثِّقَاتُ عَلَيْهِ وَهُوَ ضَعِيْفٌ جِدًّا

Maksudnya: “Setiap hadis-hadis yang diriwayatkannya tidak terdapat penguat (mutabaat) dari perawi yang thiqah dan dia seorang perawi yang daif jiddan[6].”

Imam al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir menilai beliau sebagai munkar al-hadis[7]. Manakala Imam al-Nasa’i pula menilai beliau sebagai matruk al-hadis[8]. Dalam kitab al-Jarh wa al-Ta’dil[9] disebutkan bahawa Imam al-Abu Zura’ah ditanya mengenai kedudukan Muhammad bin Abdul Malik al-Ansari:

سُئِلَ أَبُو زُرْعَةَ عَنْ مُحمَّدِ بْنِ عَبْدِ الـمَلِكِ الأَنْصَارِيِّ فَقَالَ: مَدَنِيٌ ضَعِيْفُ الحَدِيْثِ.

Maksudnya: “Abu Zura’ah ditanya berkenaan Muhammad bin Abdul Malik al-Ansari lalu beliau menjawab: Dia adalah seorang penduduk Madinah dan lemah dalam hadis.”

Kesimpulannya riwayat ini bertatus daif. Meskipun riwayat Abdul Razzaq mursal namun ia memiliki syawahid(penguat) dari riwayat Ibn Umar seperti yang disebutkan oleh Ibn Adi. Walau bagaimanapun makna hadis ini adalah benar. Imam al-Munawi ketika menjelaskan makna hadis ini berkata:

كَمَا تَفْعَلُ تُجَازَى بِفِعْلِكَ وَكَمَا تَفْعَلُ يُفْعَلُ مَعَكَ

Maksudnya: “Sepertimana kamu lakukan kamu akan dibalas dan sepertimana kamu lakukan (kepada orang lain) kamu juga akan dilakukan dengan perkara yang sama[10].”

Riwayat tersebut selaras dengan sepotong hadis Nabi SAW yang bersabda:

مَن نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ في عَوْنِ العَبْدِ ما كانَ العَبْدُ في عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Siapa yang membebaskan seseorang dari kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagimana hamba membantu saudaranya.”

(Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini Nabi mengingatkan supaya orang beriman sentiasa memudahkan urusan orang lain, tidak menyebarkan aib dan saling membantu saudaranya yang Islam. Siapa yang memudahkan urusan orang lain maka Allah SWT akan memudahkan urusannya. Manakala dalam riwayat yang lain disebutkan bahawa orang yang menyusahkan urusan orang lain maka Allah SWT akan menyusahkan. Sabda Nabi SAW:

مَنْ ضَارَّ، ضَارَّ اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ شَاقَّ، شَقَّ اللَّهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Siapa yang memudaratkan (orang lain) Allah akan memudaratkannya dan siapa yang menyusahkan (urusan orang lain) Allah akan menyusahkan urusannya.”

(Riwayat al-Tirmizi)

 

Oleh itu orang Islam perlu memiliki sikap sentiasa beringat bahawa setiap kejahatan mahupun kebaikan yang dilakukan pasti akan dibalas. Perkara ini diistilahkan oleh ulama sebagai الجَزَاءُ مِنْ جِنْسِ العَمَلِ yang bermaksud: balasan itu sesuai dengan apa yang dilakukan.

 

[1] Al-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah, Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi (1985), hlm. 518.

قد أخرجه البيهقي في الكلام على الديان من الاسماء والصفات وفي الزهد كلاهما له من جهة عبد الرزاق وكذلك هو في جامعه عن معمر عن أيوب عن أبي قلابة رفعه به مرسلا ووصله أحمد فرواه في الزهد له من هذا الوجه باثبات أبي الدرداء وجعله من قوله وهو منقطع مع وقفه

[2] Abdul Razzaq, Musannaf Abdul Razzaq, No: 20262, Beirut: al-Maktab al-Islami (1403H), jld. 11, hlm. 178.

[3] Ibn Hajar al-Asqallani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar al-Kitab al-Islami (1993), jld. 8, hlm 156.

وقد ورد هذا في حديث مرفوع أخرجه عبد الرزاق عن معمر عن أيوب عن أبي قلابة عن النبي صلى الله عليه و سلم بهذا وهو مرسل رجاله ثقات ورواه عبد الرزاق بهذا الإسناد أيضا عن أبي قلابة عن أبي الدرداء موقوفا وأبو قلابة لم يدرك أبا الدرداء

[4] Ibid.

[5] Ibn Adi, al-Kamil fi Dhuafa’ al-Rijal, Beirut: al-Kutub al-Ilmiyyah (1997), jld. 6, hlm. 156.

[6] Ibid.

[7] Imam al-Bukhari, al-Tarikh al-Kabir, Beirut: al-Kutub al-Ilmiyyah (1997),  jld. 1, hlm 164.

محمد بن عبد الملك أبو عبد الله الانصاري عن ابن المنكدر، منكر الحديث،

[8] Imam al-Nasai’, al-Dhuafa’ wa al-Matrukin, Halab: Dar al-Wa’yi (1396H), jld. 242.

محمد بن عبد الملك مدني يروي عن محمد بن المنكدر متروك الحديث

[9] Abu Hatim al-Razi, al-Jarh wa al-Ta’dil, Beirut: Dar al-Ihya’ al-Thurast (1952),  jld. 8, hlm. 4.

[10] Al-Munawi, Faidh al-Qadir, Beirut: Dar al-Makrifah (1952), Jld. 5, hlm. 62.