Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 571: BENARKAH ORANG YANG BERAT MENUNAIKAN SOLAT ISYAK DAN SUBUH DIKATEGORIKAN SEBAGAI MUNAFIK?

IH571.png

 

Soalan

Assalamualaikum, betulkah terdapat lafaz “munafik” dalam hadis yang menyebutkan bahawa orang yang berasa berat untuk solat Isyak dan Subuh itu adalah munafik? Selain itu, boleh saya tahu juga hadis ini disebutkan dalam kitab apa saja? Mohon pencerahan, terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Benar terdapat lafaz “munafik” dalam hadis ini dan kewajipan solat berjemaah ini adalah kewajipan yang ditetapkan pada zaman awal Islam bertujuan mencegah golongan munafik daripada meninggalkan solat. Hal ini kerana, apabila mereka bersendirian mereka tidak akan mendirikan solat. Kemudian, kewajipan tersebut telah dimansukhkan dalam Islam. Meskipun begitu, solat berjemaah di masjid amat dituntut dalam Islam kerana ganjarannya melebihi solat secara bersendiri menurut hadis Nabi SAW.

Huraian Jawapan

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَثْقَلَ الصَّلاةِ عَلَى الْمُنَافِقِينَ، صَلاةُ الْعِشَاءِ الآخِرَةِ، وَصَلاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا، لأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Maksudnya: Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Jikalau mereka mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.[1]

Riwayat Ahmad

Hadis ini juga diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis yang lain seperti Sahih al-Bukhari[2], Sunan al-Nasa’i[3], Sunan Ibn Majah[4], Sahih Ibn Khuzaimah[5] dan lain-lain karya hadis muktabar.

Sebenarnya apa yang nak dimaksudkan dalam hadis ialah setiap waktu solat bagi orang munafik adalah berat dan ia tidak tertumpu kepada waktu Isyak dan subuh sahaja. Perkara ini sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Munawi, kata beliau:

أثقل أن الصلوات كلها ثقيلة على المنافقين

Maksudnya:  Setiap solat bagi orang-orang munafik itu adalah paling berat.[6]

Kemudian, beliau menukilkan satu ayat al-Quran, firman Allah SWT:

وَلا يَأْتُونَ الصَّلاةَ إِلا وَهُمْ كُسَالَىٰ

Maksudnya: dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas.

Surah al-Taubah (54)

Al-Zarqani menyebutkan dalam syarah kitab Muwatta’ al-Imam Malik bahawa Abu Darda’ ketika sakit hendak meninggal dunia menyebutkan bahawa:

اسْمَعُوا وَبَلِّغُوا، حَافِظُوا عَلَى هَاتَيْنِ الصَّلاتَيْنِ يَعْنِي فِي جَمَاعَةٍ الْعِشَاءِ وَالصُّبْحِ وَلَوْ تَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لأَتَيْتُمُوهُمَا وَلَوْ حَبْوًا عَلَى مَرَافِقِكُمْ وَرُكَبِكُمْ

Maksudnya: Dengarkan dan sampaikanlah, peliharalah dua solat jemaah ini iaitu Isyak dan Subuh. Kalaulah kamu mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya kamu akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak di atas siku-siku dan lutut-lutut kamu.[7]

Dalam hadis ini juga menunjukkan bahawa agama Islam amat menggalakkan solat berjemaah pada kedua waktu ini iaitu Isyak dan Subuh. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh Muhammad Amin al-Harari ketika mensyarahkan hadis berkenaan solat al-ʻatamah(solat Isyak). Kata beliau:

وفي الحديث الحث العظيم على حضور جماعة هاتين الصلاتين لما في ذلك من الفضل الكثير لما فيهما من المشقة على النفس من تنقيص أول نومها وآخره ولهذا كانتا أثقل الصلاة على المنافقين

Maksudnya: Hadis ini memberikan galakan hebat untuk solat berjemaah pada dua solat tersebut(Isyak dan Subuh). Sedangkan padanya terdapat ganjaran yang besar kerana waktu tersebut merupakan waktu yang susah ke atas jiwa (manusia) seperti mengurangkan tidurnya  di awal malam dan akhirnya (sebelum Subuh). Solat-solat inilah merupakan solat yang paling berat bagi orang-orang munafik. [8]

Hadis ini juga menunjukkan kewajipan solat berjemaah yang diwajibkan pada awal Islam bertujuan mencegah golongan munafik daripada terus meninggalkan solat. Hal ini kerana, apabila mereka tidak berjemaah maka mereka akan meninggalkan solat tersebut. Kemudiannya, hukum wajib solat berjemaah ini telah dimansukhkan.[9] 

Kesimpulan

Berdasarkan kepada soalan di atas memang benar terdapat lafaz “munafik” dalam hadis ini. Namun, kewajipan solat berjemaah ini adalah kewajipan yang ditetapkan pada zaman awal Islam bertujuan mencegah golongan munafik daripada meninggalkan solat. Hal ini kerana, apabila mereka bersendirian mereka tidak akan mendirikan solat. Kemudian, kewajipan tersebut telah dimansukhkan dalam Islam. Meskipun begitu, solat berjemaah amat dituntut dalam Islam kerana ganjarannya melebihi solat secara bersendiri menurut hadis Nabi SAW. Wallahuaʻlam.

[1] Ahmad bin Hanbal. (2001). Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal. ed. Syuʻaib al-Arna’ut et al. Beirut: Mu’assasah al-Risalah. no. hadis 10016, 10100, 10877 dan 21266.

[2] Muhammad bin Ismaʻil al-Bukhari. (1422). Sahih al-Bukhari. ed. Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir. Hadis pertama dalam Bab Zikr al-‘Isya’ wa al-‘Atamah, wa Man Ra’ahu Wasiʻan. 1: 117.

[3] Abu ‘Abd al-Rahman  Ahmad bin Syuʻaib al-Nasa’i. (1986). Sunan al-Nasa’i. ed. ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah. Halab: Maktab al-Matbuʻat al-Islamiyyah. no. hadis 843. 2: 104.

[4] Muhammad bin Yazid al-Qazwini. (t.t.). Sunan Ibn Majah. ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi. Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah. no. hadis 797. 1: 261.

[5] Ibn Khuzaimah. (t.t.). Sahih Ibn Khuzaimah. ed. Muhammad Mustafa al-Aʻzami. Beirut: al-Maktab al-Islami. no. hadis 1484. 2: 370.

[6] Zain al-Din al-Munawi. (1356). Faid al-Qadir Syarh al-Jamiʻ al-Saghir. Mesir: Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra. 1: 63.

[7] Muhammad bin ‘Abd al-Baqi al-Zarqani. (2003). Syarh al-Zarqani ‘ala Muwatta’ al-Imam Malik. ed. Taha ‘Abd al-Ra’uf Saʻad. Kaherah: Maktabah al-Thaqafah al-Diniyyah. 1: 267.

[8] Muhammad Amin al-Harari. (2009). Al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim. al-Riyad: Dar al-Minhaj. 7: 245.

[9] Mahmud Muhammad Khitab al-Subki. (1353). Al-Minhal al-‘Azb al-Maurud Syarh Sunan al-Imam Abi Daud. Kaherah: Matbaʻah al-Istiqamah. 4: 233.