Soalan:
Saya pernah mendengar bahawa ada hadis yang melarang daripada mengajar surah Yusuf kepada golongan wanita, kerana terdapatnya kisah tentang isteri al-‘Aziz yang menggoda Nabi Yusuf? Alasannya adalah kerana dibimbangi golongan wanita akan terpengaruh dengan perbuatan tersebut.
Ringkasan Jawapan:
Tiada sebarang hadis yang melarang daripada mengajar Surah Yusuf kepada golongan perempuan dan wanita. Adapun nukilan pandangan daripada sebahagian ulama yang tidak suka mengajarkannya kepada wanita, maka itu adalah disebabkan wujudnya sebahagian golongan pada zaman mereka yang menyukai surah tersebut kerana ia mengandungi kisah tentang kerinduan, cinta dan godaan, serta sengaja memperdengarkan Surah tersebut kepada wanita sebagai bahan hiburan untuk membangkitkan gelora nafsu yang tidak halal.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Seluruh ayat Al-Quran itu tanpa sebarang keraguan merupakan petunjuk bagi semua golongan mukmin dan yang bertakwa, tanpa mengira jantina, keturunan dan latar belakang. Firman Allah SWT:
ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: Inilah dia Kitab Al-Quran, tiada sebarang keraguan padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa.
Surah al-Baqarah (2)
Hadis yang melarang daripada mengajar Surah Yusuf kepada wanita?
Imam al-Suyuti menyebut dalam salah satu kitab beliau berkenaan ‘Ulum al-Quran:
وَقَدْ صَحَّحَ الْحَاكِمُ فِي مُسْتَدْرَكِهِ حَدِيثَ النَّهْيِ عَنْ تَعْلِيمِ النِّسَاءِ سُورَةَ يُوسُفَ
Maksudnya: Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak telah mensahihkan hadis yang melarang daripada mengajar Surah Yusuf kepada golongan wanita.[1]
Namun menurut para pengkaji di Markaz al-Dirasat al-Quraniyyah yang mentahkik kitab ini, tidak dijumpai riwayat yang disebut oleh al-Suyuti dalam kitab al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain yang didakwa disahihkan oleh al-Hakim.[2] Maka dakwaan yang mengatakan ada hadis yang melarang adalah tertolak.
Bahkan sabit dalam hadis yang sahih bahawa Saidatina Aisyah R.Anha berkata ketika berhadapan dengan ujian fitnah:
وَاللَّهِ لاَ أَجِدُ مَثَلاً إِلاَّ أَبَا يُوسُفَ {فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ}
Maksudnya: Demi Allah, aku tidak mendapati adanya contoh yang lebih tepat dengan situasi aku ini kecuali apa yang disebut oleh bapa kepada Nabi Yusuf: Maka hanya bersabar sahaja yang terbaik bagiku dan hanya kepada Allah-lah aku memohon diberi kekuatan menghadapi apa yang kamu telah ceritakan ini.
Sahih al-Bukhari (4690) dan Sahih Muslim (2770)
Jelas bahawa Aisyah mengambil iktibar dan pengajaran daripada Surah Yusuf. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Yusuf sendiri yang menegaskan bahawa kisah para Nabi itu perlu dijadikan sumber pengajaran, tanpa membataskan hanya kepada golongan tertentu sahaja:
لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ۗ
Maksudnya: Sesungguhnya kisah para Nabi bersama kaum mereka mempunyai pengajaran bagi orang yang berfikir.
Surah Yusuf (111)
Selain itu, riwayat yang melarang daripada mengajar Surah Yusuf kepada wanita ada dijumpai dalam kitab Syiah, iaitu kitab al-Kafi oleh Muhammad ibn Ya’qub Al-Kulaini yang meletakkannya dalam bab ta’dib al-nisaa’, daripada Ali bin Abi Talib R.A:
لا تعلموا نساءكم سورة يوسف ولا تقرؤوهن إياها فإن فيها الفتن وعلموهن سورة النور فإن فيها المواعظ
Maksudnya: Jangan ajari wanita-wanita kalian Surah Yusuf, dan jangan membacanya kepada mereka kerana terdapat fitnah padanya; namun ajarilah mereka Surah al-Nur, kerana padanya terdapat nasihat (mawa’iz).[3]
Fatwa ulama yang tidak suka mengajar Surah Yusuf kepada wanita
Qadhi ‘Iyadh menyebut bahawa sebahagian ulama salaf tidak suka untuk mengajar Surah Yusuf kepada para wanita:
فَقَدْ كَرِهَ بَعْضُ السّلف تعليمَ النِّساءِ سُورةَ يُوسُفَ لِمَا انْطَوَتْ عَلَيْهِ مِنْ تِلْكَ الْقَصَصِ لِضَعْفِ مَعْرِفَتِهِنَّ وَنَقْصِ عُقُولِهِنَّ وَإِدْرَاكِهِنَّ
Maksudnya: Sebahagian ulama salaf tidak suka mengajar Surah Yusuf kepada golongan wanita kerana isi kandungan yang ada dalam kisah-kisah Baginda, yang disebabkan oleh lemahnya pengetahuan dan kurangnya akal serta kefahaman mereka.[4]
Menurut Ibn Taimiyyah pula:
فَمِنْ النَّاسِ وَالنِّسَاءِ مَنْ يُحِبُّ سَمَاعَ هَذِهِ السُّورَةِ لِمَا فِيهَا مِنْ ذِكْرِ الْعِشْقِ وَمَا يَتَعَلَّقُ بِهِ؛ لِمَحَبَّتِهِ لِذَلِكَ وَرَغْبَتِهِ فِي الْفَاحِشَةِ حَتَّى إنَّ مِنْ النَّاسِ مَنْ يَقْصِدُ إسْمَاعَهَا لِلنِّسَاءِ وَغَيْرِهِنَّ لِمَحَبَّتِهِمْ لِلسُّوءِ وَيَعْطِفُونَ عَلَى ذَلِكَ وَلَا يَخْتَارُونَ أَنْ يَسْمَعُوا مَا فِي سُورَةِ النُّورِ مِنْ الْعُقُوبَةِ وَالنَّهْيِ عَنْ ذَلِكَ...
Maksudnya: Ada sebahagian manusia dan wanita yang suka mendengar Surah Yusuf ini kerana ada padanya cerita tentang kerinduan dan seumpamanya; ini kerana mereka amat suka kepada perkara-perkara tersebut dan keinginan mereka yang kuat terhadap perkara-perkara keji (al-fahisyah), sehingga ada sebahagian daripada mereka yang sengaja memperdengarkan surah tersebut kepada wanita dan selain mereka yang suka dan cenderung kepada keburukan, dan mereka tidak memilih untuk mendengar Surah al-Nur yang mengandungi hukuman dan larangan terhadap perbuatan zina.
Tambah beliau lagi:
فَكُلُّ أَحَدٍ يُحِبُّ سَمَاعَ ذَلِكَ لِتَحْرِيكِ الْمُحِبَّةِ الْمَذْمُومَةِ وَيُبْغِضُ سَمَاعَ ذَلِكَ إعْرَاضًا عَنْ دَفْعِ هَذِهِ الْمَحَبَّةِ وَإِزَالَتِهَا: فَهُوَ مَذْمُومٌ
Maksudnya: Oleh itu, setiap orang yang suka mendengar Surah Yusuf untuk membangkitkan rasa cinta yang terlarang, dan tidak suka mendengar Surah al-Nur kerana enggan menyekat dan menghilangkan gelora cinta, dia merupakan orang yang tercela. [5]
Maka jelas daripada nukilan-nukilan di atas bahawa larangan daripada mengajar Surah Yusuf kepada wanita adalah bersebab dan diikat dengan konteks yang khusus, iaitu mereka yang sengaja menjadikan Surah Yusuf seolah-olah sebagai satu bahan hiburan untuk membangkitkan rasa cinta dan nafsu yang haram. Jika ada golongan tersebut pada hari ini, maka hukum larangan itu terpakai kepada mereka sahaja, dan tidak terpakai secara mutlak kepada orang lain. Begitu juga larangan akan terpakai sekiranya dibimbangi akan menimbulkan nafsu kepada mereka yang tidak memahami objektif sebenar kisah Nabi Yusuf.
Kesimpulan
Tiada sebarang hadis yang melarang daripada mengajar Surah Yusuf kepada golongan perempuan dan wanita. Adapun nukilan pandangan daripada sebahagian ulama yang tidak suka mengajarkannya kepada wanita, maka itu adalah disebabkan wujudnya sebahagian golongan pada zaman mereka yang menyukai surah tersebut kerana ia mengandungi kisah tentang kerinduan, cinta dan godaan, serta sengaja memperdengarkan Surah tersebut kepada wanita.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
[1] Rujuk al-Suyuti, Jalaluddin ‘Abd al-Rahman (1978) Al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an, Arab Saudi: Wizarah al-Syu’un al-Islamiyyah wa al-Awqaf, tahqiq: Markaz al-Dirasat al-Quraniyyah, 5/1656
[2] Ibid.
[3] Al-Kafi fi ‘Ilm al-Hadith, 5/516
[4] Rujuk Qadhi ‘Iyadh (1986) Al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa, Amman: Dar al-Faiha’, Cetakan Kedua, 2/537
[5] Rujuk Ibn Taimiyyah, Abu al-‘Abbas Taqiuddin (1995) Majmu’ al-Fatawa, Madinah al-Munawwarah: Mujamma’ al-Malik Fahd, tahqiq: Abd al-Rahman bin Muhammad bin Qasim 15/335